Jumaat, 29 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 11

Assalamualaikum.......(30 Oktober 2010)(Sabtu). Mereka tersenyum, aku pun tersenyum.

Sesiapa pernah ke Bandar Jengka, sudah pasti mengenali pasaraya yang megah berdiri di tengah-tengah pekan Jengka dan ianya adalah pasaraya yang pertama dibina di pekan ini - Pasaraya Mat Sapak. Pasaraya ini adalah seperti pasaraya kebiasaan yang lain. Ianya sudah cukup menjadi tempat untuk penduduk sekitar Jengka membeli peralatan dapur dan sebagainya. Setiap hari Sabtu pula, terdapat pasar malam di bersebelahan pasaraya Mat Sapak. Pasar malam yang menjual pelbagai macam barangan, pakaian, makanan dan sebagainya. Pasar malam yang sentiasa menjadi kunjungan mahasiswa UiTM, itu sudah pasti. Kehidupan aku diawal semester satu tidak lah terlalu aktif, kehidupan di dalam kampus - hanya pergi ke kelas kemudian pulang ke bilik semula, mahu makan pergi ke cafe atau dewan makan, mahu bersukan bermain bola atau join apa sahaja yang ada, kalau rajin aku ke Masjid Awis Qarni apabila masuk waktu solat atau kesudahannya duduk sahaja di bilik sahaja.

Peristiwa selepas maghrib, waktu aku keseorangan sahaja di bilik, bilik aku diketuk beberapa kali sambil diselangi dengan ucapan salam. Aku bangun membuka pintu sambil berligar di otak aku pertanyaan siapakah gerangan yang amat sopan bertindak sebegini?... Selalunya, pintu bilik dibuka tanpa salam dan isyarat langsung!.. Setelah menarik tombol pintu, aku agak terperanjat apabila yang mengunjungku adalah jejaka-jejaka jemaah tabligh yang seramai 4-5 orang. Meminta kebenaran untuk masuk ke bilik, dengan nada yang berat, aku membenarkan. Selesai semua mereka duduk, aku diperkenalkan dengan nama setiap dari mereka dan kemudian aku pula memperkenalkan diri. Apa yang aku tidak percaya,  baru ku tersedar, salah seorang dari mereka adalah senior aku di UiTM Kuala Pilah dahulu, Zarep nama beliau. Tapi, aku tangguhkan untuk menegurnya kerana dia agak diam ketika bersama jemaah itu. Aku diberikan sedikit penerangan mengenai kerja-kerja dakwah dan seterusnya dipelawa turun ke Masjid untuk solat Isyak bersama-sama dan akan ada sedikit ceramah selepas itu. Salam diberi, mereka pun beredar.

Aku kembali duduk semula, dan terfikir, kenapa aku begitu berat untuk membenarkan mereka masuk sebentar tadi??.. Adakah kerana aku membenci perbuatan mereka? Atau mungkin kerana aku tidak kenal mereka - jemaah Tabligh. Mungkin juga kerana aku tidak suka diceramah atau dipesan. Mungkin kerana aku tidak suka diajar perkara yang kononnya aku sudah tahu - agama... Ahh!.. itulah diri aku ketika itu. Apalah sangat yang aku tahu??!!.. Dan hari demi hari, aku mula cuba mendekati mereka, cuba memahami mereka, dengan memaksa diri untuk duduk bersama di majlis Ta'lim mereka yang selalunya diadakan selepas waktu Asar, mereka akan membaca beberapa potong hadith dari Kitab Fadhilatul Amal karangan Maulana Zakaria, dan memperdengarkannya dalam nada yang sederhana. Hari demi hari aku mula berasa selesa bersama mereka.

Dan suatu malam, selepas Isyak, aku duduk di majlis bayan(ceramah) dengan mendengar ceramah mereka. Tiba-tiba aku mula terasa mahu belajar, terasa mahu mengikut mereka. Rezeki aku, Alhamdulillah, hujung minggu tersebut mereka akan keluar berdakwah ke sekitar kawasan Jengka selama tiga hari. Selesai sahaja bayan, mereka mengesa hadirin agar berazam untuk keluar berdakwah . Dan meminta sesiapa yang berniat supaya bangun dan memberikan nama. Lantas, seorang demi seorang pelajar bangun menyatakan hasrat. Masa berlalu dan aku masih duduk disitu. Dengan tekad, aku mengangkat tangan seraya berkata;

"..Daud, keluar 3 hari InsyaALLAH..."

Ucapan aku disambut oleh beberapa orang ahli mereka;

"...InsyaALLAHHH..."

Mereka tersenyum kepadaku dan aku pun tersenyum semula. Berfikir panjang juga pada mulanya. Tetapi jika bukan sekarang aku berusaha mengenali golongan ini. Bila lagi? Malam itu sukar untuk aku tidur, mungkin kerana asyik memikirkan perkara yang akan di hadapi nanti, namun aku yakin, bahawa aku sudah bersedia untuk menyelongkar dunia baru yang bakal aku harungi ini...!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 10

Assalamualaikum........(29 Oktober 2010)(Jumaat). Ketika tiba di Jengka, Pahang.

Perjalanan yang mengambil masa yang agak lama, bergerak dari Kuala Lumpur di awal pagi, menelusuri lebuhraya karak yang berbukit bukau, dan akhirnya menemui kawasan ladang kelapa sawit yang sangat luas. Permandangan yang sama sahaja - kelapa sawit kiri dan kanan. Setelah bergerak lebih jauh, baru lah ketemu akan sebuah pekan kecil yang dinamakan Bandar Pusat Jengka. Kampus UiTM Jengka terletak disana. Setibanya di kampus Jengka, suasana tidak lah sesukar mana, kerana kali ini semua dokumen sudah aku sediakan. Mungkin kerana pengalaman membuatkan aku lebih bersedia. Selesai procedure pendaftaran, aku ditunjukkan bilik tidur di tingkat empat asrama Blok A. Mendapat bilik yang muat untuk empat orang. Duduk bersama dua orang pelajar jurusan Business iaitu Faiz dan Fadhil, serta seorang lagi adalah pelajar jurusan Sains iaitu Ijan.

Bilik budak-budak jurusan Kejuruteraan Awam (KA) hanyalah sebelah menyebelah dengan bilik aku sahaja. Tetapi aku belum bersedia menegur kesemua mereka. Aku tidak lah merasa terlalu asing berada di UiTM Jengka ini kerana kawan-kawan Pra-Sains 2 UiTM Arau dahulu juga ramai yang mendaftar di sini dan ada diantara mereka sama kos dengan aku, seperti Shaikh, Faxrurozi, Aswadi, Suryani dan...urmm.. itu aje la kot. Di dalam kelas pertama aku, barulah aku dapat melihat muka-muka sebenar pelajar KA dan rupa-rupanya budak lelaki kelas aku kebanyakannya menetap sama level dengan bilik aku. Nampaknya suasana akan jadi lebih meriah. Kehidupan disini semakin rancak. Segala-galanya baru bagi semua orang. Kami tampak gembira.

Aku pada awalnya lebih banyak masa dihabiskan bersama rakan-rakan bilik(roommate), pergi ke dewan makan bersama dan melihat kawasan sekitar UiTM juga bersama. Ketika ini aku mengenali ramai pelajar jurusan Business. Iye lah, aku asyik bersama roommate dan mereka pula bersama rakan jurusan mereka. Setelah beberapa ketika, baru lah aku mula serasi dengan rakan-rakan satu kos dengan aku. Aku tidak berapa ingat dengan siapa aku mula rapat. Dengan budak-budak bilik Itok, sebab bilik mereka dekat, atau dengan Ijul, sebab aku pernah makan bersama dia di cafe. Iya lah, ramai kot, aku agak selesa dengan semua orang. Tidak menjadi masalah besar untuk bergaul. Menjadi seorang pelajar, menjadi seorang anak lelaki, menjadi seorang adik, menjadi seorang sahabat, menjadi seseorang kepada seseorang yang lain, dan juga yang paling penting menjadi hamba Allah, adalah sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Tanggungjawab ini dipikul atas pilihan sendiri, dan atas ketentuan Allah yang semestinya adalah yang terbaik untuk hamba-nya ini.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 9

Assalamualaikum......(28 Oktober 2010)(Khamis). Menyambung Diploma.

Perjalanan kursus Pra Sains 2 aku di UiTM Arau Perlis berjalan agak lancar. Carry mark juga agak selesa untuk semua subjek. Carry mark adalah 40% markah yang kita perolehi untuk sepanjang semester terdiri daripada test, assignment, projek dan lain-lain. Selebihnya sebanyak 60% terdapat pada peperiksaan akhir semester atau lebih dikenali sebagai final exam. Keselesaan ini seterusnya membawa kepada keyakinan yang tinggi dalam menjawab setiap kertas final exam aku. Kebanyakan dari kami amat gembira dengan soalan-soalan final exam dan semestinya ramai di antara kami yakin akan berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma. Borang sudah diisi, aku memilih Kejuruteraan Awam (Civil Engineering) kerana melihat kos ini lebih mudah difahami (mungkin) berbanding Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal. Kenapa Kejuruteraan? Kerana aku minat bidang ini.

Untuk pulang ke tempat masing-masing selepas final exam berakhir, kami semua memilih untuk menaiki keretapi express. Keretapi ini akan berhenti di stesen Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa lebih lama dari perjalanan menaiki bas. Sangat memenatkan, namun seronok - pengalaman baru. Apa lah yang hendak dibuat di dalam keretapi selama lebih 12 jam (mungkin lebih), berjalan ke hulu dan ke hilir. Berbaring di tempat duduk yang tidak begitu selesa untuk tidur, duduk di cafe keretapi yang menyediakan makanan dan minuman yang mahal. Apa lah yang boleh dibuat sangat. Layan sahaja. Bergerak dari Perlis sekitar petang. Tiba di ibu kota Kuala Lumpur sekitar subuh keesokan harinya. Wah!,.. penatnya badan tidak dapat digambarkan.

Sarapan bersama nasi lemak dan kopi O di KL Sentral. Rehat untuk tenangkan badan yang sudah dipaksa terkurung di dalam keretapi begitu lama. Masing-masing kelihatan sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah. Mata yang kuyu kepenatan ditambah dengan ketidak selesaan badan. Berpecahlah kesemua mereka ke destinasi masing-masing. Perpisahan yang diakhiri dengan pelukan dan salam. Juga pesan-memesan supaya jangan  melupakan antara satu sama lain. Maka, bergeraklah mereka. Ada yang ke Melaka, Seremban, Selangor dan lain-lain tempat. Aku meneruskan perjalanan menaiki keretapi untuk ke Seremban. Dan akan menaiki bas pula untuk ke Kuala Pilah. Kepulangan disambut dengan senyuman dari mak dan ayah sudah cukup untuk membuat hati anak lelakinya ini berbangga dan puas. Sangat gembira.

Cuti semester sementara menunggu tawaran diploma, aku membanting tulang membantu keluarga menyiapkan majlis perkahwinan kakak(Alang) aku. Rumah ini rumah pengantin perempuan, anak gadis pertama pulak tuh yang berkahwin, semestinya ibu aku orang yang paling sibuk. Majlis berjalan seperti majlis perkahwinan kebiasaan. Namun, kemeriah majlis tetap tersendiri. Dihadiri oleh orang yang jarang sekali diketemukan. Diperkenalkan oleh mak kepada mereka, sebagai ahli keluarga. Dan aku juga gembira menerima ahli keluarga yang baru (Abang Ipar - Abang Arin). Majlis tersebut selesai dengan selamat. Selang beberapa hari, aku mendapat surat tawaran Diploma. Aku dapat seperti yang aku minta. Diploma Kejuruteraan Awam. Aku terpilih untuk ke kampus UiTM Jengka Pahang. Dengar cerita tempat nya agak corok(pedalaman). Disebabkan ahli keluarga aku ramai yang sudah mengambil cuti ketika majlis perkahwinan, hanya pasangan pengantin sahaja yang masih mempunyai baki cuti - mereka cuti sangat lama. Maka, merekalah yang menghantar aku ke Jengka, Pahang. Bergerak ke Pahang bersama pengantin baru, aku membawa harapan dan impian serta sudah sedia menerima kehidupan baru yang akan menentukan hala tuju kehidupan aku. Dan UiTM Jengka Pahang menjadi destinasi untuk pengalaman itu!!...

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Khamis, 28 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 8

Assalamualaikum........(28 Oktober 2010)(Khamis). Berjalan dan berfikir.

Ketika aku di UiTM Arau Perlis, seluruh negara dikejutkan dengan kejadian bah laut yang terbesar dalam sejarah nusantara iaitu peristiwa tsunami pada Disember 2004 yang telah mengakibatkan ramai manusia terkorban. Peristiwa malang ini membabitkan Bandar Aceh, Sri Lanka, India, Thailand, beberapa pantai Malaysia di Selat Melaka dan juga beberapa bahagian lain lagi. Ketika ini Pak Lah menjadi Perdana Menteri, dan beliau telah bertindak membatalkan semua sambutan Tahun Baru untuk tahun 2005. Ketika itu, aku dan rakan-rakan tetap bertindak mencari sesuatu aktiviti untuk Tahun Baru dengan menyewa beberapa buah kereta dan menyusun rancangan untuk ke Pulau Pinang di hari malam Tahun Baru 2005 (malam New Year).

Ini lah kali pertama aku memasuki sebuah pulau dan melalui sebuah jambatan yang sebelum ini hanya aku lihat melalui gambar dan melalui kaca television sahaja - Jambatan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang juga tiada apa-apa sambutan dilakukan. Maka, malam tersebut kami hanya banyak berpusing-pusing ke sekeliling kawasan Butterworth dan menikmati suasana malam di pulau yang berangin itu. Kami juga singgah ke kawasan Gurney yang juga terkesan sedikit akibat tsunami. Sebenarnya, tiada lah banyak yang boleh kami lihat dari kesan bah laut terhadap pantai disana. Ada juga segelintir remaja yang tetap melakukan aktiviti hiburan untuk menyambut Tahun Baru, tetapi masih di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Bandar Butterworth sebenarnya adalah bandar yang agak old scholl kerana masih banyak rumah kedai ala-ala koboi. Kelihatan agak klasik juga. Aku memang suka perkara yang klasik. Malam itu kami berpusing, ada kala kami terpecah, ada masa kami tersesat, melihat kerenah mat rempit berlumba sehingga polis tiba - kami juga lintang pukang lari kerana takut dituduh terbabit walaupun hanya menonton, melihat kerenah bapuk-bapuk berkeliaran, melihat pergaduhan di luar pub, dan macam-macam lagi. Banyak perkara boleh didekati pada malam itu. Selesai berpusing, kami mencari parking di tepi pantai, ada yang melelapkan mata didalam kereta, ada yang berbual-bual. Menjelang Subuh, kami bergerak mencari masjid atau surau. Rupanya susah sungguh untuk mencari rumah Allah di Pulau ini. Setelah mencari dan bertanya kepada orang sekeliling, Alhamdulillah, akhirnya kami ketemu sebuah surau kecil, kami berhenti solat Subuh dan berehat disitu.

Sesudah cerah, kami bergerak meninggalkan pulau dan menuju ke Seberang Perai, yakni daratan bagi negeri Pulau Pinang. Kami memilih untuk ke UiTM Pulau Pinang untuk bertemu rakan masing-masing. Aku memilih untuk mencari rakan-rakan ku ketika di UiTM Kuala Pilah dahulu. Sudah lama tidak berjumpa mereka, sekali berjumpa membawa kepada perbualan yang agak lama. Kisah demi kisah dibuka, sambil berkesempatan merasa makanan-makanan disana. Sedap juga.

Melalui UiTM aku dapat menjelajah ke seluruh Malaysia. Ketika aku di UiTM Kuala Pilah, aku berpeluang untuk ke Negeri Kelantan, iaitu ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), PCB telah dipilih sebagai lokasi kursus Biro Tatanegara kami. Kursus selama tiga hari ini sangat seronok dan menarik, serta tentatifnya tidak ubah seperti kursus Biro Tatanegara yang lain. Berpengalaman solat subuh di tepi pantai PCB, menghirup udara segar dan juga menikmati makanan-makanan disana. Selesai kursus, kami singgah di bandar Kota Bharu. Membeli sedikit barangan bukti pemergian ke Kelantan untuk dibawa ke rumah. Melihat tempat orang, untuk orang seperti aku adalah amat mengujakan, dan banyak yang boleh dipelajari. Dengan melihat dunia luar dan asing dapat membuka minda manusia agar tidak lah tepu atau tidaklah seperti masih duduk "di bawah tempurung".

Disamping kita dapat belajar dan melihat budaya orang lain, secara tidak langsung kita dapat menghayati ciptaan Tuhan yang Maha Esa, yang sangat indah dan maha menakjubkan. Subhanallah, kenapa setelah segalanya yang Tuhan berikan dan kurniakan, masih ramai manusia yang menjadi penentang yang nyata?! Ya Allah, ampunkan kami, maafkan dosa-dosa kami. Semoga Allah memberi petunjuk kepada hamba-hambanya yang kerdil ini dan memohon janganlah Kau pesongkan hati kami, setelah Engkau beri kami petunjuk. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 7

Assalamualaikum.......(28 Oktober 2010)(Khamis). Kemudahan dan kurniaan

Adalah perkara biasa, jika kita terdengar kisah-kisah seram apabila tiba di mana-mana asrama. Tambahan pula untuk kampus UiTM Arau di Perlis ini yang memang sudah lama dibina. Tetapi, biasa lah. Aku selalunya ambil endah tak endah akan berita tersebut sebab aku sendiri pun penakut. Haha. Kolej yang aku duduk, kolej Cengal, adalah kolej yang baru. Design pun baru. Apa yang menarik disini adalah meja study dalam bilik kami. Meja disediakan setiap seorang. Jadi dalam bilik ada 4 buah kerusi dan 4 buah meja. Semuanya menghadap kedinding. Setiap meja disediakan sebuah lampu 'pendaflour kecil' yang dilekatkan didinding. Suiznya juga berlainan setiap satu. Kami merasa lebih selesa sebab ahli bilik yang lain boleh menutup lampu utama jika mereka ingin tidur. Dan bagi sesiapa yang ingin mengulangkaji, boleh menggunakan lampu 'pendaflour kecil' tersebut. Mengulangkaji diwaktu malam memang agak seronok. Memang benar kata orang, kemudahan yang baik menjadi faktor utama dalam mewujudkan mewujudkan suasana yang lebih selesa.

Jika tiada kelas pagi keesokkan harinya, aku akan selalu mengulangkaji sehingga subuh. Dan itulah amalan peribadi aku di UiTM Arau. Kadang-kadang aku seorang sahaja mengulangkaji. Kadang-kadang aku juga bertemankan rakan-rakan. Bila ada teman, selalunya aku tidak mudah bosan. Banyak la perkara boleh dibualkan di dalam sessi pembelajaran itu. 

Tetapi, semua ini berubah sekitar hujung semester. Apabila kolej Cengal kecoh dengan berita seorang pelajar ternampak bayangan manusia berjalan-jalan kesana kemari di atas atap asrama kami di waktu malam. Dan kadang-kadang bayangan tersebut itu  melompat-lompat dari satu blok ke blok yang berlainan. Cerita tersebut telah tersebar dan semestinya telah mematikan rutin harian aku dan rakan-rakan untuk berjaga malam, dan ramai yang mengambil keputusan untuk tidur lebih awal.Haha. Kelakar juga jika difikirkan kembali. 

Apa sahaja yang terjadi ada hikmahnya. Dan apa sahaja yang tersedia itu adalah yang terbaik untuk kita. Mungkin ada orang tidak perlu berjaga malam dan berusaha gigih untuk belajar. Namun, keputusan peperiksaannya lebih hebat dari kita. Ada juga orang yang Tuhan kurniakan sedikit kelebihan di dalam otaknya agar cepat menangkap apa yang diajar oleh pensyarah. Golongan ini hanya menyemak sedikit sahaja apabila peperiksaan tiba, kerana manusia jenis ini cepat memahami konsep yang diajar. Itulah kuasa Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang manusia kerdil ini tidak ketahui. Namun, ramai manusia tidak bersyukur dan menggunakan pula kurniaan Tuhan itu  untuk perkara-perkara batil. Bagi aku, aku belajar cara aku, orang lain belajar cara mereka. Masing-masing ada cara. Tetapi tiada masalah jika kita sentiasa bertukar selera dan cara. Itu lah indahnya menuntut ilmu. Setiap jiwa rasa teruja untuk menerima ilmu, dan juga sedia untuk meluahkannya kembali suatu hari nanti, insyaALLAH.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 27 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 6

Assalamualaikum......(27 Oktober 2010)(Rabu). Yakin dengan diri

Di Perlis ini terkenal dengan ladang tebu terbesar. Rakyat Perlis pun tak kurang ramahnya - tambahan pakcik-pakcik teksi di sekitar Kangar. Mungkin sebab pelajar adalah punca rezeki bagi mereka -  maka, mereka lebih ramah dengan kami. Di UiTM Arau Perlis ini aku dapat merasai nikmat duduk di Universiti. Mungkin sebab suasananya berbeza dengan kampus Kuala Pilah. Dengan saiz kampus yang agak besar - kampus Arau adalah kampus cawangan terbesar di Malaysia. Tidak bosan untuk kita pusing-pusing satu kampus, aktiviti kebiasaan aku dan rakan ketika awal semester. Kelibat mahasiswi juga lebih ramai dan lebih berbeza. Hehe.:)

Petang di kampus Arau adakalanya kami bermain bola sepak. Rajin sungguh aku bersukan disini. Mungkin sebab boleh dapat ramai kawan. Sebagai teman gelak tawa. Kehidupan disini nampaknya lebih baik. Lebih meyakinkan. Jauh dari keluarga membawa aku untuk lebih menghargai setiap tindakan yang dilakukan. Terus terang aku katakan. Aku semakin yakin ketika di kampus Arau ini. Pensyarah-pensyarah juga majoritinya baik dan kelas juga lebih menarik. Cuma, mungkin pensyarah Bahasa Inggeris sahaja yang agak tegas sedikit. Siapa datang lewat, memang tak berpeluang untuk masuk kelas. Kehadiran di UiTM adalah penting. Tiga kali tidak hadir secara berturut-turut tanpa sebab boleh menyebabkan anda tidak layak mengambil peperiksaan. Dan disebabkan budak kelas aku ramai berasal dari Kelantan, maka lebih ramai yang suka mendiamkan diri di dalam kelas Bahasa Inggeris. Termasuklah aku. Haha.:D

Suasana malam di sini juga meriah. Ada tiga medan selera di dalam kampus ini. Ada 'Kulat', 'Mushroom' dan juga ada 'Orange'. Aku tak pasti nama ini kekal atau tidak sehingga sekarang. Mungkin istilah ini juga boleh berubah mengikut masa. 'Kulat' adalah yang paling dekat dengan Kolej Cengal - asrama aku. Aku selalu lepak di'Kulat' selain lepak di Dewan makan Kolej Cengal. Pelajar sebenarnya disediakan makanan percuma di dewan makan setiap kolej. Tapi biasa lah, pelajar di Malaysia sangat memilih dengan makanan.

Suasana di dalam asrama adalah persis seperti suasana asrama yang lain di Malaysia. Waktu siang mungkin lebih sunyi - ramai ke kelas. Kehidupan asrama di waktu malam adalah yang paling meriah dan menyeronokkan. Suasana bermula selepas maghrib. Jejaka-jejaka jemaah tabligh mula berdoa di luar surau, dan seterusnya bergerak dari bilik ke bilik untuk berjumpa saudara seagama. Ada satu peristiwa, ketika sebelum aku benar-benar mengenali jemaah ini, aku sendiri melarikan diri kerana takut dikunjungi. Masa mematangkan manusia untuk menerima nasihat dan juga menerima pendapat orang lain dan menilai dari pelbagai perspektif. Baik atau buruknya seseorang atau sesebuah kumpulan tiada siapa layak menghakiminya selain Allah.

Setiap malam akan ada sahaja orang yang berjaja dengan membawa plastik besar berisi burger atau pun 'Hotdog'. 'Hotdog' di Malaysia juga dipanggil sosej. Mereka mengetuk pintu dan menyebut nama barang yang mereka jual... "..Burger...burger...hotdog...hotdog...".. Harganya juga berpatutan. Sesuai untuk pelajar yang lapar di waktu malam. Bercerita tentang 'Hotdog'. Aku teringat kisah aku ketika di sekolah rendah, ketika di dalam rombongan sekolah. Aku pernah membeli 'Hot Dog' dan membawanya ke dalam bas. Aku ditanya rakan aku;

"Apa kau beli tu Daud..??...."

Tanya rakan ku,

"..'Anjing Panas'..."

Jawab aku selamba.

Rupanya, perbualan aku itu didengari oleh cikgu pengiring rombongan kami, yang juga cikgu berbahasa Inggeris di sekolah aku. Beliau memarahi aku dengan menyatakan bahawa 'Hotdog' bukan lah bermaksud 'Anjing Panas'. Menasihatkan aku supaya tidak mengulanginya.Aku mengangguk dan mendiamkan diri. Walaubagaimanapun ketika itu aku berasakan bahawa apa yang aku katakan adalah betul. Translation aku sudah betul. Cuma mungkin benar, apa yang aku tengah makan itu sebenarnya adalah sosej ayam dan bukanlah 'Anjing Panas'. Lemahnya penggunaan istilah Bahasa Malaysia kita sekarang ini. Aku rasa sehingga sekarang orang masih memanggilnya 'Hotdog'. Masyarakat masih belum mampu merubah istilah ini. Berharap juga suatu hari kita mempunyai bahasa Malaysia yang hebat dan terbela. InsyaALLAH.

Lewat malam di kampus Arau agak sejuk dan berangin. Panas juga kadang-kadang. Mungkin sebab bentuk tanah di Arau  terdiri dari tanah yang lapang - jika dilihat dari mata kasar. Malam juga tempat anak-anak muda duduk melepak, ada yang mengulangkaji, bergayut dengan awek, isap rokok di dalam dan diluar bilik, mengadap PC main game, ada juga yang bermain gitar - suara mereka agak sedap juga dan aktiviti biasa di asrama di malam hari. Aku juga tidak punya masalah untuk berkomunikasi dengan mereka, selagi kita punya tujuan untuk dibualkan. Bercampur gaul dengan pelbagai jenis manusia menjadikan kita lebih yakin dan perbualan serta luahan percakapan itu menjadikan hati-hati manusia lebih lega dan tenteram.. Hati manusia adalah antara mahkluk Tuhan yang paling indah dan kompleks ciptaannya. Terima kasih Tuhan atas segalanya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)...!!

Selasa, 26 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 5

Assalamualaikum........(26 Oktober 2010)(Selasa). Tiba di Perlis.

Jika mahu diingat kembali, aku sangat kecewa tak dapat sambung diploma terus, dan terpaksa pula menimbal kembali kursus pra-sains di UiTM Arau, Perlis. Panggilan diterima daripada kakak kerani yang menyatakan bahawa aku harus melapor diri terus ke UiTM Arau dalam beberapa hari kerana surat tawaran yang dihantar mungkin lewat sampai ke rumah pelajar. Aku bergerak ke Arau seorang diri, tanpa diiringi ahli keluarga sebab perkara ni berlaku terlalu pantas dan mengejut. Tiada persediaan rapi dibuat. Namun, di legakan sedikit apabila terjumpa sahabat lama ku yang juga belajar disana. Kami ditakdirkan menaiki satu bas.Alhamdulillah.

Sampai di UiTM Arau Perlis sekitar subuh... 12 jam perjalanan dari Seremban - banyak perkara boleh dilihat, pemandangan yang sangat baru.. Bergerak ke Arau tanpa borang tawaran adalah perkara yang sangat memeningkan aku.. Alhamdulillah, Allah memudahkan dengan menemukan aku dengan orang kuat HEP di sana, aku tak ingat namanya, Puan itu membantu aku menguruskan segala urusan pendaftaran aku, sehingga aku hanya perlu menguruskan urusan asrama sahaja. Puan itu seperti disediakan oleh Tuhan untuk aku. Terima kasih kasih Allah. Menjelang tengah hari, mengusung beg yang besar turun naik bukit, mencari Kolej Cengal, antara Kolej paling belakang sekali, pernah disapa oleh Mak guard yang simpati, "Kesiannya dia...". Namun, tiada apa-apa pula yang dia bantu, hanya pergi berlalu. Aku tahu, bahawa aku harus kental untuk berdikari sendiri di UiTM ini..

Tiba di asrama Kolej, mencari bilik, mendapati bilik yang aku bakal duduki terletak di sebelah toilet... pintunya ku ketuk, tombolnya aku tolak..

"..Assalamualaikum...",

Salam diberi. Menoleh-lah bakal roomate aku kearahku dengan muka yang terpinga-pinga. Yang juga kelihatan seperti baru tiba.. Menjawab salam dengan lorghat pantai timurnya.

"..Waalaikumsalee.."

Aku memperkenalkan diri, dan kami berbual ringan. Dan kini aku ingin membuat pengakuan bahawa, aku langsung tidak faham satu hapah pun ketika kami berbual berdua itu...!!  haha.. Bahasa Kelantan sangat asing bagi aku ketika itu... Namun, buat-buat faham sudah la.. Dan bilik yang boleh diduduki seramai 4 orang itu akhirnya dipenuhi oleh seorang lagi anak jati Kelantan, dan seorang lagi berasal dari Selangor... Fuh,,.. ada pun orang Selangor. Aku sudah ada 'kawan'. Kawan yang boleh memahami dan difahami bahasanya - ketika itu.

Aku sebenarnya tidak prejudis. Sebenarnya aku yang silap. Kerana aku tidak pernah mahu explore bahasa-bahasa yang ada di Malaysia. Lama juga aku cuba nak mendalaminya. Akhirnya setelah beberapa bulan. Aku boleh menangkap beberapa istilah. Menarik sebenarnya bahasa Kelantan ni. Pengalaman dapat berbual dengan loghat negeri lain ni adalah pengalaman yang menerujakan. Keadaan ketika itu aku rasa seperti tidak berada di Perlis, tetapi terasa seperti berada di Kelantan...hehe.

Kerinduaan kampung dan keluarga tidak dapat digambarkan. Jasad berada di Perlis, namun hati aku masih di Kuala Pilah. Berada di kejauhan menuntut aku mejalani semester ini dengan lebih bersungguh-sungguh. Aku ingin melakukannya dengan lebih baik. Lebih tekun. Berbeza seperti sebelumnya. Berjaga malam untuk mengulangkaji adalah satu  fenomena pelik bagi aku, namun aku lakukannya ketika di UiTM Arau. Belajar membancuh air nescafe panas untuk diminum ketika mengulangkaji. Mepunyai bekalan Maggi yang cukup untuk mengisi perut yang dikala kosong. Sesekali aku melihat langit diluar. Bercita-cita untuk menjadi orang yang lebih matang dan bukan orang yang hanya suka berkata kosong,... insyaALLAH..

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)...!!

Ahad, 3 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (belajar) - 4

Assalamualaikum....(4 Oktober 2010)(Isnin). Elak jadi bodoh sombong!

Hanya menjalani kos pra-sains ketika di kampus UiTM Kuala Pilah... Apa lah yang ada pada SPM aku, semuanya tidak menepati target.. Oleh itu, aku isi permohonan untuk pra-sains.. Dan aku ditawarkan... Alhamdulillah... Di UiTM Kuala Pilah semuanya di dalam english, aku jadi agak janggal, semua benda aku tak tahu... ketika itu, english aku lemah, matematik aku lemah, add math pun lemah, fizik dan kimia lagi la aku  lemah... otak kiri dan otak kanan pun aku tak pandai nak guna dah... setiap kali test matematik aje aku fail..setiap kali test yang lain pun aku fail.. Kalau tak fail pun hanya cukup makan,....argghh!!... lembab sangat ke otak aku nih??...

Tetapi, sehinggalah aku belajar bab kamiran di dalam matematik, aku tiba-tiba minat bab ni, aku faham bab nih, serius aku faham.. Dan untuk test kamiran aku telah mendapat markah yang paling tinggi dalam kelas... giler!!.. berlaku tiba-tiba.... memang sangat tiba-tiba.. sampaikan pensyarah matematik aku masa tuh menyindir kawan-kawan kelas aku yang lain,...

"Haa,..tengok?.. Daud pun dapat 100 peratus, kamu yang lain ni tak study ke?"..

Terperanjat aku dengar, perasaanku ada rasa sedikit happy - kerana dipuji... Namun, hakikatnya, di dalam lubuk hati ini terasa sangat hina. Daud yang sebelum ini menjadi masalah kepada pensyarah kerana tidak boleh memberi yang terbaik, telah bertindak sedikit cemerlang. Aku dijadikan sebagai contoh pelajar yang tak patut diikut ketika itu - mungkin... Tetapi itulah hakikat yang aku harus terima. Dan aku sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan meneladani kenyataan pensyarah aku itu.

Namun, selepas itu, kecemerlangan aku tak lama, mungkin sebab aku belum mampu kuasai matapelajaran itu. Berubah kepada matapelajaran kimia pula. Subjek ini lagi la mempunyai seribu satu halangan untuk aku memasuki medan kefahaman-nya. Entah mengapa, tidak suka aku akan istilah-istilahnya. Pensyarah kimia aku juga sudah sedia maklum pencapaian aku dan beliau juga mengenali aku dengan cara yang sama, sehingga dia juga pernah berpesan, katanya;

"..Kalau tak tahu tuh bertanya, jangan jadi bodoh sombong..."

Err!!!,..Satu demi satu ayat pedih yang aku terima dari pensyarah-pensyarah aku,... Kadang-kadang situasi sukar yang aku lalui ketika itu bagaikan tiada sokongan langsung dari pensyarah.. Mungkin sebab aku sendiri yang tidak mahu berusaha lebih gigih... Dan pemalas pulak tuh... Di lain peristiwa, pensyarah add math aku pernah bertanya.... Bertanya kepada aku diatas sebab kegagalan aku menjawab salah satu soalannya di dalam kelas;

"Daud, kat hostel buat ulangkaji tak?.. buat latihan tak?? .."

Dengan yakin aku jawab-lah;

"..Tak Cik, tak sempat..."

Dia pun mengelengkan kepala,.. Gelengan kepala yang sangat sementara itu dapat aku rasakan bahasa-nya... Inilah antara cara sindiran paling pedih yang pernah aku terima ketika di UiTM Kuala Pilah.. Dan aku sepatutnya sangat tahu, kelakuannya itu tidak lain hanyalah untuk menyedarkan orang semacam aku yang tegar untuk menjadi orang yang "tak sedar dek untung"... Tapi, berbeza dengan apa yang berlaku di saat akhir semester aku, setelah selesai semua paper, aku dipanggil pensyarah fizik aku, memang aku dah agak, fizik aku tak boleh buat masa exam final.... Bila pintu pensyarah aku ketuk, dan masuk, perkataan pertama keluar darinya adalah;

"..Haa kamu, bila balik kampung?.." ,

Jawab aku;

"..Esok encik..",

Sambil dia mengarah tangan menyuruh aku duduk di kerusi, dia berkata lagi;

"..Kamu mintak apa untuk diploma kamu?..",

Jawab aku;

"...Architecture encik.."

Pensyarah aku merenung aku, dan menarik nafas panjang lalu berpesan, katanya;

"...Apa pun kos yang akan kamu dapat nanti, belajar la sungguh-sungguh, jangan malas, kalau tak faham jangan malu bertanya, kurang kan sikit bermain tuh, dan kena usaha lebih lagi kalau betul-betul nak berjaya"..

Begitu lah lebih kurang ayat-nya yang aku masih ingat - mungkin punya ralat. Satu kata-kata semangat yang sungguh merubah perasaan kecewa aku... Menjadi kembali bersemangat... dan berazam keatas apa sahaja peluang sambung belajar yang akan ditawarkan kepada aku selepas itu, akan aku cuba hargainya insyaALLAH... Di dalam cuti semester, keputusan exam final pun keluar. Dan ternyata. Aku tidak layak untuk menyambung pelajaran ke diploma, hanya layak untuk mengambil semula semester Pra Sains 2... Dan aku memilih untuk mengambil-nya!... :/

Sementara aku ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!...

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (belajar) - 3

Assalamualaikum.......(2 Oktober 2010)(Ahad). Karut atau Logik?

Ketika aku di UiTM Kuala Pilah, aku pernah berkesempatan berbual dengan salah seorang pak guard di sana, masa-nya sekitar petang menanti senja, beliau berumur di dalam lingkungan 40-an... Aku masih cuba untuk mengingat peristiwa itu... Salam diberi, maka perbualan pun terjadi... Perbualan kosong yang disertakan dengan lawak-lawak yang tidak lah pun menghasilkan ketawa, sekadar ingin menjadi orang yang lebih baik, dan memegang prinsip untuk tidak menjadi seperti kera sumbang, semakin hari, aku ingin belajar menjadi orang yang mesra, tidak bongkak, tidak sombong dan disenangi teman-teman,...

Maka berbuallah kami berdua sehingga hari mulai gelap...Namun, sampai di satu tahap perbualan, keluar-lah satu ungkapan daripada mulut beliau, yang sehingga hari ini masih terlekat dalam ingatan aku... katanya;

"Sesiapa sahaja yang pernah belajar disini, akan kembali suatu hari nanti"...

Tersenyum aku mendengarnya... Terkesima pun ada, perasaan bercampur tidak percaya... Membuat kan aku mula tertanya-tanya,..Eh, betul ke nih?.. Aku memang pernah dengar cerita mengenai sumpah sebelum ini .. Betul ke wujud sumpah itu?? Aku yang ketika itu sudah berada di menara gading juga hampir-hampir mempercayai kenyataan tersebut..Dan hakikatnya, sehingga sekarang... aku masih belum menjejakkan kaki semula ke kampus Kuala Pilah...  Tiada sebab untuk aku kembali... mungkin selalu juga aku melalui pintu depan UITM Kuala Pilah, tapi, untuk masuk, mungkin tidak!...

Ah!!.. percaya sangat pada perkara-perkara seumpama ini... Mengarut saja...!! Tetapi... jika difikir dari segi logik, ada betul juga kata-kata pak guard tuh... Namun, ia-nya bukan-lah suatu ketetapan.. Jika alumni UiTM Kuala Pilah diberi peluang untuk berkumpul semula di UiTM itu... Pasti kami hadiri-nya!!... Namun, bukan-lah disebabkan sumpah atau apa-apa.. Petang yang tiada bezanya dengan suasana petang seperti hari ini, apa-lah salahnya jika ketika itu dia hanya bertujuan mengajar orang seperti aku supaya belajar untuk berbakti...

Belajar berbakti di suatu hari nanti kepada kampus UiTM Kuala Pilah... Mungkin secara terang atau secara sembunyian... Menghargai semua usaha yang dilakukan kampus UiTM Kuala Pilah dalam membentuk insan berguna pada masyarakat... Masa mematangkan aku untuk memikirkan maksud kata-kata beliau di petang itu.. Atau mungkin ketika itu aku hanya lah peneman bual seorang pak guard yang kesunyian di pondok birunya, yang juga sedang menunggu pertukaran shif-nya pada petang itu, maka, berbual-lah dia dengan aku, pak guard yang mesra pelajar dan sangat mudah untuk didekati... Dan beliau juga ingin menjadi pak guard yang baik dan tidak mahu digelar sebagai pak guard yang sombong...:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!

Jumaat, 1 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat - 2

Assalamualaikum.....(2 Oktober 2010)(Sabtu). Baru masuk kampus!

Masa aku kat cawangan UiTM Kuala Pilah, pertengahan tahun 2004 kalau aku tak silap.. ha'ah, betul lah 2004,.. sebab aku amik SPM tahun 2003...tua dah aku weh!.. Masuk aje UiTM, time tuh aku telah menerima pemberian hadiah berupa hand phone dari kakak aku... Tahu-tahu aje la orang yang baru merasa nak pakai hand phone.. Habis semua orang aku miss call... pantang bertemu orang, bertukar sahaja nombor-nya,.. Zaman itu, kalo tidak silap aku, popular dengan "three second"... aku tak pernah la nak dapat peluang bercakap lama dalam panggilan, kerana semua-nya "three second" jek...

"Kat mana tuh?"

Pap!.Letak.

Dijawab pulak oleh orang yang dipanggil tuh;

"Kat dining".

Pap!.Letak.

Hahaha... Sampai-kan di saat bila ada orang betul-betul nak call aku dan nak cakap lama, aku pulak ter-reject call tuh sebab dah terbiasa... hahaha... Kerana takutkan kredit terjatuh - mungkin itu lah sebabnya... Fuhh...Rindu pulak akan pisang goreng cicah sambal lada di sana...!!.. pandai makcik tuh masak, kedainya betul-betul di sebelah padang bola sepak... padang bola sepak yang hanya sebesar court tennis... kadang-kadang ada orang bermain, kadang-kadang tiada... Di kampus Kuala Pilah ini juga aku sudah mula suka ber"kenalan" dengan wanita yang lebih tua, mungkin kebanyakan mereka lebih mesra, atau golongan itu "sahaja" yang ada kat kampus tersebut di masa tuh...hahaha...Nak buat macam mana kan?..mungkin kurang pilihan...hehe.. - gurau...

Aku ni anak jati Kuala Pilah... bertindak menyambung pelajaran di kampus yang sangat dekat dengan rumah aku, maka, tidak banyak-lah perkara yang menarik mengenai persekitaran-nya, tiada-lah permandangan baru, semua-nya lama dan masih sama... kerana berada di tempat lahir sendiri, maka, tiada apa-apa yang ter"sendiri"nya... apa yang menarik adalah kehidupan "kampus" yang baru bagi aku, dan dapat bertemu bermacam jenis ragam kawan juga adalah baru bagi aku ... rindu pula aku pada mereka... haiiish!!... -_-"

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!...