Selasa, 23 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 17

Assalamualaikum........(21 November 2010)(Ahad). Taman Negara Pahang.

Di samping aku terbabit sebagai AJK di Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam (CESS), aku juga sempat berpengalaman memimpin seluruh batch aku untuk trip lawatan sambil belajar ke beberapa tempat sekitar Pahang untuk subjek yang berkaitan dengan batu dan tanah - tak silap aku nama subjek itu adalah Geologi. Aku dilantik sebagai Pengarah Projek. Aku tak berapa  ingat berapa yang banyak tempat kami pergi. Namun, yang paling terkesan di ingatan aku adalah lawatan ke Taman Negara Pahang. Kami ke Taman Negara untuk melihat jenis-jenis batu dan juga struktur muka bumi disana, serta semestinya kami merancang untuk cuti melancong!.. Seperti kata guru pengiring lawatan tersebut iaitu Encik M. Zul, "sambil menyelam, kita minum air".

Aku juga disediakan dua orang Penolong Pengarah iaitu Izzat atau lebih dikenali sebagai Kent, dan seorang lagi adalah Anas. Aku cukup bersyukur kerana aku dikurniakan pembantu. Sepatutnya, segala keputusan dapat dibuat dengan baik sekali kerana sekarang sudah terdapat dua lagi kepala yang akan memberi aku idea yang pelbagai untuk digunakan di dalam merangka aktiviti di Taman Negara. Tetapi, hakikatnya adalah, aku, Kent dan juga Anas mempunyai pemikiran dan pendapat yang sangat-sangat berbeza diantara satu sama lain, di dalam membincangkan apa sahaja perkara yang untuk lawatan Taman Negara itu nanti. Termasuk untuk isu tempahan asrama dan chalet, isu baju batch - warna baju dan design baju, isu makanan -  jenis makanan yang macam mana yang akan disediakan, banner - design dan warna, siapa mahu membuat itu, siapa mahu membuat ini, pemilihan beberapa AJK - ada yang mahu dan ada juga yang tidak mahu , cara-cara untuk menguruskan pelbagai ragam pelajar dalam batch kami - kawan-kawan kami, serta yang paling penting adalah untuk menjaga nama baik Encik M. Zul dan juga agar dapat menjayakan lawatan tiga hari dua malam kami di Taman Negara Pahang itu dengan jaya sekali.

Menjaga kebajikan makanan, kediaman dan kelesaan orang lain memang sesuatu yang agak sukar. Aku sentiasa mengharap agar kekurangan yang berlaku ketika menguruskan lawatan itu, adalah perkara remah dan  bukanlah perkara yang besar. Dan kawan-kawan aku lebih mengetahuinya. Maaf jika aku tersilap pandang. Aku pun baru belajar ketika itu. Tapi, kawan-kawan aku ketika itu adalah insan-insan yang baik dan sangat bagus yang pernah aku temui... hehe... Disamping bertindak sebagai ketua kepada yang lain, aku juga tidak lupa untuk menikmati lawatan ini. Berjalan masuk hutan di waktu malam pertama lawatan untuk menyuluh rusa dan kijang, di awal pagi keesokkan harinya pula mula berjalan masuk ke hutan semula dan menaiki bukit bukau untuk menikmati suasana sebenar hutan tebal Taman Negara Pahang, tidak cukup dengan itu, masuk pula ke dalam gua-gua yang terdapat di dalam hutan itu - aku tidak ingat nama guanya - nasib baik muat untuk aku masuk ke dalam gua sebab gua itu punya ruang-ruang yang sempit, berjalan di atas jambatan gantung yang menyambungkan pokok-pokok yang tinggi di dalam hutan tebal itu - aku memang gayat - tak tengok bawah aku dibuatnya, mengunjungi perkampungan Orang Asli sambil dihiburkan dengan beberapa aktiviti seperti belajar menggunakan sumpit, bermain air dengan menaiki bot laju melawan arus sungai Pahang, dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang disediakan oleh pihak agent dan juga yang aktiviti yang dibuat sendiri oleh kami.

Tiga hari yang penat diakhiri dengan rasa gembira - mungkin. Namun, setelah kami pulang ke kolej, kami kena pula menyediakan laporan lawatan tersebut untuk dihantar kepada Encik M. Zul, bab-bab buat laporan ini yang kami malas... Haha. Apa pun ianya adalah pengalaman yang menarik. Disamping punya pengalaman mengurus, dapat juga merasa masuk ke hutan tebal yang sebelum ini dilihat di dalam kaca tv sahaja. Dari saat ini aku mula berminat untuk travel ke banyak lagi tempat di Malaysia. Cuma di saat aku menulis ini, aku masih belum punya kesempatan. InsyaALLAH, suatu hari, dan kalau ditanya, mahu sahaja aku pusing satu dunia, untuk lihat tamadun-tamadun yang hebat di luar sana - sambil tulis buku. Hehe. Siapa tahu?... InsyaALLAH..:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Ahad, 14 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 16

Assalamualaikum............(15 November 2010)(Isnin). Perjalanan ke Zouk Club.

Jika dikira secara purata, jarak dari Jengka ke Kuantan, iaitu ibu negeri Pahang, dan dari Jengka ke Kuala Lumpur, iaitu ibu negara Malaysia adalah lebih kurang sama sahaja jaraknya. Oleh itu kebanyakan dari kami lebih terarah untuk ke Kuala Lumpur jika ingin meluangkan masa cuti yang ada. Pernah aku bersama tiga rakan aku iaitu Amad, Apis Sabri dan Zamru, bergerak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas semata-mata ingin menghadiri gig band Butterfingers di Zouk Club, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Band ini tidak lah asing bagi golongan remaja seusia kami. Jadi, keterujaan kami ketika itu agak tinggi. Kami akan bermalam di rumah sepupu Apis Sabri yang tidak silap aku terletak di sekitar Kuala Lumpur itu juga. Maka inilah kali pertama aku akan menjejakkan ke sebuah kelab malam yang agak elit di Kuala Lumpur.

Apalah istimewanya berada di gig ini? Tiada apa pun, hanya mahu merasa apa yang orang lain rasa. Bergembira melayan muzik tanpa sebarang pengaruh alkohol dan benda-benda mengarut yang lain. Siapa kata kalau nak berhibur perlu ada itu semua?.. Tidak semestinya. Dan jenis muzik grunge lebih serasi dengan jiwa kami berempat. Walaupun aku sendiri lebih menyukai lagu berentak punk ketika itu. Tapi ianya masih di dalam satu planet yang tidak jauh berbeza. Sebelum band Butterfingers beraksi, kami disajikan dengan band seperti Republic of Brickfields, OAG dan beberapa band lagi. Dan band OAG pulak adalah band yang aku sangat suka, sebab memang dah lama aku layan lagu mereka dari dulu. Setiap lagu mereka aku nyanyikan bersama. Suara Radhi memang ada kelas tersendiri. Melodinya punya keserasian dengan jiwa aku. Dan liriknya masih berkisar kehidupan remaja. Aku sukakan lagu mereka sehingga aku pernah bercita-cita membuat lagu seperti mereka.

Tiba giliran band Butterfingers, yang dianggotai oleh Emmet, Loque, Kadak dan Loko beraksi penuh bertenaga. Wah!.. Memang sama seperti di dalam corong radio. Sebijik!.. Lagu-lagu mereka tidak pernah menghampakan. Memang kami semua mengharap mereka membawa lagu-lagu lama. Lagu seperti Girl Friday, The Chemistry, Faculty Of Mind, dan lagu-lagu lama lain yang memang gempak habis. Di sokong pula dengan teknologi bunyi yang sangat bagus di Zouk Club, apa yang dipetik dan dimainkan band ini, jelas kegarangan dan kehanyutan irama Butterfingers mereka. Zouk Club bergegar malam itu. Banyak sungguh lagu dimainkan. Kalau tidak silap, band Butterfingers telah memainkan lebih 20 buah lagu untuk kami semua. Sangat puas. Selesai sahaja gig. Kami sempat juga bersalaman dengan mereka. Buterfinggers punya muzik sendiri. Berbeza dan bererti. Korang memang best!

Dan semestinya setelah selesai sahaja gig. Penat badan yang amat sangat. Dari Zouk Club, kami berempat berjalan kaki menuju ke KLCC dan duduk sebentar di kawasan sekitarnya. Menikmati lanskap malam di Kuala Lumpur dan kemudiannya kami menaiki bas dan menuju ke rumah sepupu Apis Sabri. Aku, Amad, Zamru dan Apis Sabri ketika itu tidak lah punya banyak wang, jadi kami bertekad membeli lima bungkus Maggi perisa curry dan dimasak di rumah sepupu Apis Sabri. Maka, makanlah kami berempat dengan gelak tawa sambil mengungkit beberapa peristiwa dan aksi ketika didalam gig tadi. Perut sudah kenyang. Mata sudah penat. Pagi esoknya kami harus bergerak kembali ke kampus Jengka Pahang. Lalu tidur lah kami berempat.

Empat remaja yang telah disajikan dengan hedonisma yang ringkas. Serba sedikit telah memuaskan hati anak muda berempat ini. Aku sendiri tidak bersetuju dan sakit hati dengan amalan hedonisma yang seperti tidak terkawal di zaman sekarang. Yang bagi aku, boleh merosakkan keseluruhan golongan masa depan negara iaitu golongan anak muda Malaysia. Tetapi, andai kata semua ini tiada. Kemanalah pula agaknya anak-anak muda sekarang melepaskan rasa jiwa mereka??... Mengharap si pemikir akan terus mencari penyelesaiannya. Risau juga... Dan untuk pengetahuan, band Butterfinggers sudah pun dibubarkan. Pemain gitarnya iaitu Loque pula sedang bergerak solo, dan kini bergelar Monoloque. Sekadar menceritakan perjalanan aku ke kelab malam itu. Untuk aku simpan apa sahaja yang aku pelajari dari melihat, mendengar dan berfikir, semoga ilmu ini mampu digunakan di masa hadapan kelak. InsyaALLAH.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 15

Assalamualaikum.........(15 November 2010)(Isnin). Berpersatuan.

Kehidupan di Jengka tidaklah menjanjikan keseronokan yang diimpikan oleh anak-anak muda zaman sekarang. Tiada banyak aktiviti hiburan yang wujud di pekan kecil ini. Sebaliknya, kawasan ini dipenuhi dengan hutan-hutan tebal dan juga sangat sedikit pembangunan yang didirikan. Tetapi pekan ini tetap istimewa. Walaupun tampak penuh dengan kehijauan alam disekeliling, pekan kecil Jengka ini tetap dilengkapi dengan pusat sukan futsal, snooker, stesen minyak dan kedai-kedai minum yang dibuka 24 jam serta beberapa ciri-ciri lain yang biasa terdapat di bandar besar masih terdapat disini. Tidaklah anak-anak muda seperti pelajar UiTM kampus Jengka merasa kekurangan ketika berada disini.

Di kampus Jengka aku terlibat dengan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam atau dikenali sebagai CESS (Civil Engineering Student Society) sebagai Exco Logistik. Hahaha... Sebelum masuk Universiti, aku dah set dalam minda aku, yang aku malas nak join mana-mana persatuan, mungkin jadi ahli tu boleh la. Tetapi di kampus Jengka ini aku agak ligat pula berpersatuan - dengan menjadi Exco. Bagaimana aku boleh terlibat menjadi Exco?

Ketika semester tiga, batch kami dikehendaki oleh abang-abang senior supaya mengadakan hari keluarga untuk pelajar kejuruteraan. Organisasi dibentuk dengan diketuai oleh Shaikh, kami semua bertungkus lumus mengendalikan hari keluarga tersebut yang lebih dikenali sebagai CEFAD (Civil Engineering Family Day). Susah senang di dalam menjadikan majlis tersebut kenyataan telah mengeratkan silaturrahim di antara kami seluruh batch. Dari suasana menaip kertas kerja, berurusan dengan pihak HEP, membeli barangan untuk digunakan di dalam aktiviti sukaneka, sehinggalah kepada suasana bersengkang mata hingga ke pagi untuk melukis dan mewarnakan banner. Didalam kekusutan itu wujud keseronokannya yang tersendiri. Alhamdulillah, majlis hari keluarga tersebut dijalankan dengan jayanya.

Semester berikutnya, semua senior kami yang memegang jawatan di dalam CESS meletakkan jawatan masing-masing setelah tamat tempoh masa perkhidmatan dan pemilihan baru harus dilakukan. Jawatan kuasa baru akan dipilih dikalangan pelajar di dalam batch kami. Sekali lagi kami menaruh harapan kepada Shaikh. Dan beliau memenangi kerusi presiden dengan mudah. Setelah presiden dan ahli majlis tertinggi dipilih. Maka, exco dibawahnya harus dipilih oleh Shaikh sendiri. Dan semestinya beliau memilih kawan-kawan yang dahulunya pernah terlibat dengan beliau di dalam beberapa aktiviti. Dan sebagai rakan, aku menerima perlawaannya. Hanya pinta aku ketika itu supaya tidak diberikan kedudukan yang berat. Cukup la sebagai exco biasa, dengan niat untuk support kawan-kawan. Dan Exco Logistik menjadi medium aku berpersatuan dikampus Jengka. Kesibukan untuk study, untuk jemaah tabligh, untuk persatuan, untuk rakan-rakan, menjadikan kehidupan aku sangat penuh dengan aktiviti. Setakat waktu itu, aku masih lagi seronok melayan kehidupan yang setiap hari laksana hari yang sangat bermakna bagi aku. Mungkin juga aku gembira kerana kawan-kawan ada disisi.. Maka, tak lah merasa bosan dan sunyi. Namun, cabaran sentiasa sahaja menanti...!!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Ahad, 7 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 14

Assalamualaikum.........(7 November 2010)(Ahad). Roommate baru.

Di hujung semester satu, kami semua harus mendaftarkan ahli bilik baru mengikut kos masing-masing. Jadi, aku dan roommate semestinya akan berpisah. Sebab kami semua lain-lain kos. Dan ini bukanlah perpisahan yang menyedihkan sangat kerana ianya hanyalah bertukar bilik sahaja. Tetapi, masih duduk di blok yang sama. Nampaknya aku akan punya masalah. Masalah untuk memasuki bilik manakah selepas ini? Siapa mahu terima aku? Budak-budak kos aku yang dekat dengan bilik aku pun semuanya sudah mempunyai roommate. Agak serabut jugak, aku masih mencari kesana dan kesini. Ada juga yang kosong, tapi, aku pula tak berapa rapat dengan mereka pada masa itu, jadi, aku lebih senyap dan menunggu untuk dipelawa, tak berani nak offer diri.

Akhirnya aku jumpa Syed Sofi, atau lebih dikenali sebagai iley dikalangan kami. Aku dan dia memang tidak mempunyai teman untuk mendaftar bilik. Jadi, aku pun berbincang dengan nya, tetapi kami perlu mencari dua orang lagi. Selepas masa berlalu terlalu lama, aku pula rasa sudah tidak dapat menahan sabar, kerana takut nanti disumbat masuk kemana-mana bilik yang aku tidak suka. Suatu ketika di dalam perjalanan menaiki tangga untuk kebilik masing-masing, aku mendengar perbualan dari dua lelaki ini, iaitu Ijol dan Jemy, yang tengah membincangkan perihal pendaftaran bilik untuk semester depan. Amad juga ada ketika itu jika aku tidak silap. Aku fikirkan mereka sudah cukup orang. Jadi aku diam sahaja la. Tetapi, mungkin sudah rezeki aku. Benarlah takdir itu milik Tuhan. Memang soalan yang aku perlukan selama ini akhirnya ditanya juga oleh orang. Dan soalan itu pula datang dari orang seperti mereka, soalannya berbunyi;

"Daud, ngko dah ada bilik?.."

Tanya mereka kepada aku,

"Belum..."

Jawab ku pelahan, sambil mengelengkan kepala lembut.

Dari hanya memandang anak tangga, aku mengangkat kepala memandang mereka dengan tanda tanya. Lalu, mereka tersenyum dan menawarkan aku untuk menyertai mereka kerana mereka juga hanya bertiga. Alhamdulillah, aku gembira, terasa lapang juga rasa hati, kerana terasa amat kusut sebelum ini. Namun tiba-tiba terfikir akan nasib si Syed, sebab aku sudah berjanji dengannya. Aku serba salah. Lantas aku memilih untuk bertindak sedikit kejam dengan menyambut pelawaan mereka bertiga tadi sahaja - malas nak fikir pasal cari roommate dah. Hal Syed itu nantilah aku selesaikan. Setelah beberapa hari, baru lah aku ketemu semula dengan Syed, dan Alhamdulillah, dia juga sudah ketemu teman biliknya. Jadi, nampaknya semuanya selesai.

Aku, Ijol, Jemy dan Amad. Memulakan semester baru sebagai teman sebilik. Apalah yang ada pada kami hanya lah keterujaan untuk meneruskan semester mendatang. Masing-masing mempunyai sikap yang agak positif dan semestinya kami semua amat berbeza. Berasal dari negeri-negeri yang berbeza juga. Aku dari Negeri Sembilan, Jemy dari Kelantan, Ijol dari Terengganu dan Amad dari Johor. Aku segan juga dan adakalanya terfikir yang aku ni sebenarnya tidak pun berada di dalam pelan awal mereka untuk duduk sebilik. Bersangka baik sahaja lah yang mampu aku lakukan. Kerana itu lebih baik... :)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 3 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 13

Assalamualaikum.......(4 November 2010)(Khamis). Melihat diri sendiri.

Pengalaman mengikut jemaah Tabligh keluar berdakwah memberi aku satu perspektif baru serta mengajar aku untuk rajin berfikir serta lebih terbuka didalam menerima pelbagai pandangan di dalam agama Islam. Dahulu aku pernah memandang serong golongan berjubah serta berserban ini. Mungkin kerana terlalu dimomokkan dengan jemaah-jemaah sesat di dalam masyarakat. Ketika itu juga aku semakin berminat menyelongkar beberapa kumpulan Islam lain yang wujud di dalam kelompok Melayu seperti golongan sufi atau tareqat, golongan Salaf, dan juga Syiah, yang kesemuanya mempunyai ramai pengikut di Malaysia. Tidak lah banyak yang aku teroka. Sekadar membaca ingin mengetahui. Jika benar tulisan yang aku baca, maka benarlah ilmu yang aku terima, jika silap ilmu yang aku terima, maka perlindungan Allah aku pinta, semoga memaafkan kami yang tiada daya upaya ini.

Aku tidak ingat berapa kali aku keluar mengikut jemaah Tabligh. Setiap kali keluar mengikut mereka, setiap satunya ada cerita tersendiri. Yang aku pelajari dari adab dan tertib yang menjadi pegangan mereka, sehinggalah kepada perkara-perkara luar dari jemaah yang harus di ambil kira. Aktiviti ziarah adalah aktiviti wajib di dalam jemaah ini. Menziarahi manusia dari rumah ke rumah, melalui pintu-pintu kediaman mereka, salam diberi dan menunggu tuan rumah keluar, jika salam sudah berjumlah 3 kali, maka, jemaah beredar dengan sangkaan baik terhadap tuan rumah. Dan jika tuan rumah berada dirumah pula, dan akan keluar menjawab salam, maka Amir(ketua jemaah) akan memperkenalkan jemaah kepada tuan rumah, dan kadang kala bertanyakan khabar, perkembangan serta kebajikan tuan rumah, perbualan selalunya terus berubah dari mengingati dunia kepada mengingati akhirat. Sedikit demi sedikit, bergantung kepada pengetahuan si tukang bicara. Ianya tidaklah mengambil masa. Selesai sudah. Tuan rumah akan dijemput untuk ke masjid berhampiran, masjid yang menjadi persinggah jemaah ini. Salam diberi, jemaah beredar dan mencari rumah lain pula.

Apa yang buat aku benar-benar teringat di dalam perjalanan dakwah Tabligh ini adalah setiap kali bertemu manusia di dalam aktiviti ziarah, aku dapat melihat pelbagai gaya jenis manusia yang muncul. Ada yang menyorok dari jemaah, ada yang keluar menyambut jemaah dengan baik, ada yang berat-berat ingin melayan, ada yang apa bila sedar kami datang -  mereka menukar seluar pendek kepada seluar panjang atau kain pelekat yakni untuk menghormati, ada yang sedang merokok akan memadamkan rokoknya, ada yang apabila kami selesai memberi tazkirah ringkas - mereka pula berceramah kepada kami - bukan pendek, bahkan lebih panjang berjela, ada juga kadang-kala menjadi debat yang kelihatan tenang dan ada ketika agak tegang, dan berbagai-bagai lagi keadaan. Aku suka melihat raut muka mereka ketika di berikan tazkirah. Dan kadang-kala aku melihat diri aku sendiri di dalam sifat-sifat mereka. Melihat banyak ciri  yang terdapat pada diri aku ini yang ada pada mereka, banyak persamaannya - dari dalam berbagai perkara. Membuat aku berfikir jauh mengharapkan diri ini berubah menjadi orang yang lebih berguna.

Aktiviti ziarah telah mengajar aku banyak perkara. Dapat melihat berbagai jenis manusia di berbagai tempat dan budaya. Berbagai jenis masjid pernah aku singgah. Berbagai jenis ragam AJK masjid yang kami pernah terima. Dakwah yang dilakukan kelihatan seperti mahu menyedarkan orang lain, namun, yang aku benar-benar nampak adalah, ianya sebenarnya adalah untuk sipendakwah sendiri, dan adalah untuk orang seperti aku yang mengikut aktiviti mereka. Telinga insan-insan di dalam jemaah adalah lebih banyak mendengar dan lebih dekat pendengarannya keatas setiap penyampaian tazkirah serta nasihat itu berbanding hadirin atau penduduk setempat yang mendengar dari jauh dan mendengar sekadar mana yang mampu. Semoga setiap perjalanan yang aku lalui memberi aku sedikit ilmu dalam menghadapi kehidupan mendatang. Segala perbuatan adalah dengan niat. Niat yang baik menghasilkan kesudahan yang baik, insyaALLAH. Semoga Allah melindungi iman kita semua. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Isnin, 1 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 12

Assalamualaikum....(1 November 2010)(Isnin). Malam puasa.

Berpuasa di bulan Ramadhan diperantauan memang tak sama. Yang paling kelihatan adalah mengenai juadah berbukanya. Makanan di Jengka Pahang tidak banyak berbeza, cuma mungkin sedikit istimewa kerana makanannya mempunyai pengaruh dari seluruh negeri, cakap sahaja mahu makanan dari negeri mana, ada sahaja semuanya. Bazar ramadhannya juga agak luas dan pelbagai. Aku sangat suka. Walaubagaimanapun, rasa makanan disini mungkin tidak terlalu kena dengan deria rasa aku. Aku belajar dan mula selesa untuk makan nasi kerabu adalah ketika di kampus Jengka ini. Itu pun sesudah beberapa semester. Dulu, di kampus UiTM Arau Perlis, ada juga. Tapi mungkin masih tidak biasa. Suasana di bulan puasa di Jengka sama sahaja. Aktiviti pun sama sahaja. Mungkin sebab aku sudah mula terbabit dengan jemaah Tabligh, maka aktiviti kerohanian aku agak terjaga. Alhamdulillah. Tapi masih ada kelemahan disana sini. InsyaALLAH diperbaiki.

Bulan puasa semester pertama memang ada cerita. Aku dan rakan selalu lepak di atas atap kolej Blok A. Aktiviti ini selalunya dilakukan di waktu malam. Ini sebenarnya adalah port lepak mereka yang merokok. Namun, akhirnya bertambah ramai ahli, tetapi masih di dalam kalangan rakan-rakan kami sahaja. Seronok juga sehinga aku pernah berbaring di atas atap, melabuhkan kepala di atas zink yang agak keras dan menghayati langit malam yang bersih tidak berawan. Dan rezeki aku, pernah mendapat peluang  melihat tahi bintang beraksi, namun hanyalah sekelip mata lalu. Subhanallah. Sangat mempersonakan.

Langit di kawasan Jengka Pahang jika dalam keadaan cuaca yang baik, memang langitnya cantik. Tambahan pula di malam bulan mulia Ramadhan ini. Ada sedikit lain perasaannya. Itu mungkin salah satu kelebihan pekan kecil Jengka. Aku sangat berani naik ke atas atap di waktu malam, dan ada kalanya lepak sampai ke waktu pagi, kerana ketika itu adalah bulan puasa, maka, fikiran aku tidak diganggu dengan benda-benda serta cerita-cerita mengarut itu semua. Menaiki tangga besi kecil di belakang bahagian tandas. Kalau dah naik ke atas atap, memang malas nak turun. Mungkin juga kerana aktiviti tersebut sangat baru ketika itu. Excited-nya lain macam. Tetapi, untuk semester-semester selepasnya, aktiviti tersebut tidak lah pula menjadi pilihan kami lagi. Aktiviti sentiasa berevolusi mengikut semester, dan semestinya sentiasa berubah setara usia seseorang manusia....!!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!