Jumaat, 25 Februari 2011

Erti

Biar bersalaman sekalipun,
belum tentu adanya rasa perlu untuk orang-orang seperti itu,

bukan mahu cerita siapa dahulu perlu hulur tangan,
senyum pun adakala sudah cukup,
iya-lah,
kata orang; janji kita dapat tunjuk muka,
apalah sangat jika kita sedia beri masa?,

nanti bila kena pada diri sendiri,
baru dia tahu apa rasanya erti,

ada orang yang tak kisah pun,
janji hidupnya tidak diganggu,
tapi dia juga ada rasa sedikit sunyi,
bila tidak bertindak seperti orang lain,
mungkin lah,
dia akan cuba suatu hari...

Suatu hari nanti dia akan jaga hati semua orang,
dan mungkin sehingga korbankan prinsipnya sendiri,

masyaAllah,
tatkala dapat merasa nikmatnya bila mencurah rasa,
tidaklah hanya menjadi lidah yang suka merasa...
................................................
Daud Mili
Melang, Kuala Pilah.
29 November 2010

Selasa, 22 Februari 2011

Haram...

haram...
mane ada haram,
kan ada logo JAKIM ni?,
aku makan tak ada rasa apa-apa pun yang pelik,

haram...
apsal pulak?,
iye-lah bersentuh lelaki dan perempuan; tak boleh,
tapi seronok weh!...
kalau begitu lebih baik dicucuk besi panas saja,

haram...
ape lagi yang haram ni?,
makan babi,
memang la haram, siapa pula yang mahu makan?,

haram...
iye, apa yang dia dah buat?,
dia pegang anjing,
eh, kenapa pula haram?,
basuh saja lah 7 kali,
pandai-pandai aja la kau ni,

haram...
cukuplah tuh!
sedikit sahaja yang Tuhan haram,
banyak lagi yang Tuhan halalkan,
ambillah mana-mana yang baik,

haram...
..................................................
Daud Mili
Dalam perjalanan keretapi (KTM)  Seremban-Kuala Lumpur
27 November 2010 

Isnin, 21 Februari 2011

Pergi buat kerja!

betapa rasa runsing,
betapa rasa tegang,
yang datang dari perasaan yang amat dalam,
andai boleh dipilih,
mahu sahaja melepaskan semua,

walaupun dahulu punya pengalaman,
apalah sangat yang kau belajar?

kali ini,
dirasa menjadi seorang adik,
menjadi seorang sahabat,
menjadi seorang anak,
susah lagi menjadi diri sendiri,
sukar lagi jadi hamba Tuhan,

alangkah indah cerita asalnya,
bukanlah cerita yang di ada-ada,
cuma penghujungnya masih kabur,
masih belum punya pilihan,

istikharah dipilih; untuk mencari jalan keluar,
mencari redha,
bersangka baik pada Yang Esa,
membuang rasa buruk sangka pada semua,
tutup sahaja mulut kau,
pergi buat kerja!
................................................
Daud Mili
Dalam perjalanan keretapi (KTM) Kuala Lumpur-Seremban
28 November 2010

Jumaat, 18 Februari 2011

Akidah

"...Kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain
jikalau tidak percaya aku akan dia,
bolehkah rosak iman?..."
- Munshi Abdullah

Rabu, 16 Februari 2011

Dia(Muhammad s.a.w).

Dari perut Aminah; anak perempuan Wahb,
Berbenihkan Abdullah; anak lelaki Abdul Muthalib,
Lahirlah seorang anak laki-laki,
Menurut cerita; dia sesuci-suci bayi,

Makkah rela menjadi tanah,
Lahirnya dia tanpa ber-ayah,

Tatakala menjadi budak - giliran ibu pula yang pergi,
Hidup dalam suasana jahiliyyah - dipelihara oleh Halimahtus Sa'adiah,
seterusnya menjadi kesayangan Abdul Muthalib,
menjadi teman rapat Abu Bakar,
kekasih Khadijah,

Si-pemegang mandat menjaga sebesar-besar umat,
memikul sebesar-besar amanah,
menanggung setinggi-tinggi sabar,
menerima sesakit-sakit cobaan,

dan sesungguhnya dia dikasihi Tuhan....

..................................................
01:34 PM
15 Februari 2010/12 Rabiulawal

Selasa, 8 Februari 2011

Dokter ekonomi!



"...Hei Dokter ekonomi! 
Apa yang terkandung di dalam bukumu itu, 
tiada lain hanyalah mengemukakan coretan-coretan melengkung yang rewet, 
dan itu bukanlah suatu keajaiban...." 
-Muhammad Iqbal, Indonesia.
Komentar terhadap Das Kapital (Karl Marx).

...

Isnin, 7 Februari 2011

Sungguh ganjil


"...Tuhanku

Sungguh ganjil

Bagaimana bisa sekian lama aku tergiur

Oleh yang bukan Engkau..."

-Emha Ainun Nadjib (1983)


...

Rabu, 2 Februari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 31

Assalamualaikum...............(31 Januari 2011)(Isnin). Penutup.

Tujuan utama aku menulis pengalaman ini adalah untuk mengasah bakat aku sebagai penulis. Dalam cita-cita aku untuk menulis berbagai jenis tulisan/buku dimasa akan datang. Dengan menggunakan ruang blog, kononnya untuk melihat sejauh mana kemampuan aku. Cita-cita aku adalah untuk menjadi Jurutera. Menulis mengenai bidang kejuruteraan tersebut mungkin dapat membantu pembangunannya di Malaysia. Selain itu, minat aku juga wujud dalam pelbagai bidang, terutamanya di dalam bidang seni. Dan di dalamnya ada seni penulisan. Aku harap akan ada yang sudi mengadili tulisan aku ini. Sudi mengkritik aku. Sudi untuk menasihati aku, biarpun dalam kontek penulisan mahu pun apa sahaja. Tulisan ini yang tidak pernah aku rancang secara teliti. Menulis mengikut sedap rasa hati. Aku juga bukan dari keluarga penulis. Jauh lagi keluarga artis. Hehe.

Salam perjuangan diucapkan untuk semua. Berjuang mencapai cita-cita di dalam hidup. Berjuang mencapai kemajuan dalam diri. Hidup berbekalkan pengalaman yang ada, memegang prinsip bahawa 'kebodohan itu bukanlah satu fitrah'. Ramai beranggapan bahawa dia tidak mampu melakukan ini, tidak mampu melakukan itu, kerana dia kata dia bodoh, dia tidak ada bakat, dia tidak pandai, dia tidak tahu. Sedangkan semua manusia dikurniakan otak untuk berfikir dan terus belajar. Yang membezakan atas usaha dan kesungguhan kita adalah hasil. Hasil kepada kerja kita. Tetapi setiap sesuatu hasil itu ada seninya. Ada kelebihan tersendiri. Pesan aku untuk diri aku dan kalian semua. Jangan takut. Jangan malu keatas apa yang orang akan kata. Lakukan sahaja. Mari terima pencerahan. Tinggalkan mereka yang mempertikaikan tindakanmu itu jauh kebelakang. Sekian, Terima Kasih.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 30

Assalamualaikum..................(31 Januari 2011)(Isnin). Masa belajar itu indah.

Kalau nak tulis semua cerita ketika aku di UiTM Shah Alam memang tak mampu. Terlampau banyak barangkali. Atau pun tidak berapa penting untuk diceritakan. Layak untuk disimpan sahaja di dalam sanubari ini. Disimpul dan di buka bila perlu. Begitu juga untuk apa sahaja cerita yang telah dilalui. Apa sahaja kenangan yang telah di tempuhi. Sekarang masa untuk melihat kehadapan lebih jauh. Jauh dari masa silam. Melihat dunia yang nyata, dunia sebenar seorang manusia. Dunia remaja atau dunia dewasa? Mungkin aku tengah berada diantara keduanya. Ah! aku belum mahu jadi dewasa. Hehe. Kalau boleh mahu sahaja jadi mahasiswa lagi. Dimana ketika itu aku suka merungut; ".. Bila la nak abis belajar nih??..". Rungutan yang selalu sahaja keluar bila assignment atau kerja kursus terlampau banyak. Kini semua tiada lagi. Dunia pekerjaan pula akan menyusul - bakal menyusul.

Ketika masuk sekolah menengah dahulu, sering sahaja teringatkan masa-masa sekolah rendah. Begitu juga ketika dah masuk Universiti, teringat akan indahnya zaman persekolahan. Kadang-kadang boleh buat ketawa sendirian. Bahkan kini, ianya lebih panjang dari sebelumnya, iaitu dari sekolah hingga ke Universiti. Memang tak habis kalau mahu cerita. Kalau kita lihat sendiri apa-apa dokumentari pun, mesti dia akan menemubual insan-insan yang terbabit secara langsung dalam cerita dokumentari itu. Mestilah! sebab dia lah yang paling banyak terdedah kepada dunia yang menjadi tajuk dokumentari tersebut. Tambah-tambah lagi warga emas. Bak kata perumpamaan, warga emas ini seperti bangunan bersejarah yang menyimpan pelbagai barang-barangan yang berharga. Iaitu ia mampu menceritakan segala apa yang dilihatnya, dihadapinya, didengarnya ketika zaman mudanya. Dan warga ini sangat penting dalam penulisan sejarah di kebanyakan negara. Dan termasuklah di Malaysia. Tetapi, mungkin Malaysia masih tidak mahu lebih terbuka dan jujur mengenai sejarah sendiri, maka, kelihatan sejarah kita terlalu kaku dan tidak langsung menarik. Aku pernah menonton channel History (Channel 555) di Astro, iaitu dokumentari tentang Malaysia oleh seorang warga Britain, aku sangat terkejut dengan penyampaian hasil kajiannya yang sungguh menarik dan sarat dengan fakta. Cukup mantap!. Tetapi, aku sedikit malu kerana yang melakukannya adalah warga luar. Bukannya warga Malaysia sendiri. Dan pastinya warga Britain tersebut hanya memandang sejarah Malaysia dari perspektifnya sendiri, memandang Malaysia sebagai salah sebuah negara yang sangat memerlukan kerajaan British suatu masa dahulu.

Berbicara mengenai masa belajar aku ketika aku di UiTM Shah Alam. Selain rapat dengan rakan-rakan didalam course aku. Aku juga agak rapat dengan rakan-rakan dari course lain seperti dari Fakulti Undang-undang dan sebagainya. Teman-teman lepak sambil shisha di Saad Char Kue Teaw yang terdiri daripada aktivis-aktivis mahasiswa seperti Ecal, Along, Paan, Farha, Nadia, Dosh, Athari, Karl, Iqa, Sarrah, Zikri, Mim, Zaki, Raf, Haziq, Ilyas, Azim, Halim, Naqi, Amzar dan ramai lagi yang aku tak mampu nak tulis. Selain itu juga untuk geng-geng Le Lac Community seperti Izmil, Hilman, King Chai, Acap, Adib, Fendi, Abon(Nazreen), Adi, Eddy dan juga rakan aktivis yang lain yang tak mampu aku sebutkan kat sini.

Keindahan masa belajar juga telah banyak ditulis oleh ramai orang. Dan ada pula yang disampaikan melalui lagu, novel, filem, bahkan ada diantaranya disampaikan dengan penuh falsafah dan penuh dengan pengajaran. Kini aku mengakhiri tulisan ini dengan rasa mahukannya lagi. Mungkin kalau ada kesempatan, aku boleh coretkan mengenai zaman yang paling indah ini. Aku menulisnya hanya sekadar mahu berkongsi sahaja. Bukan mahu menunjuk-nunjuk atau apa. Kadang-kadang kita hanya asyik menulis tentang orang lain, diri sendiri pun kita tidak berani mahu kritik atau ceritakan. Semoga sesiapa yang sudi membaca tulisan-tulisan aku dapat mengambil sedikit manfaat daripadanya iaitu daripada pengalaman-pengalaman aku. Semoga Tuhan datangkan kebaikan dari tulisan-tulisan ini dan jauhinya dari fitnah akhir zaman. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 29

Assalamualaikum............(31 Januari 2011)(Isnin). Kawan kelas.

Semenjak dari UiTM Kuala Pilah ke UiTM Arau, kemudian ke UiTM Jengka Pahang, rakan-rakan kelas aku adalah antara manusia yang paling rapat dengan diri aku ketika bergelar mahasiswa. Begitu juga ketika di UiTM Shah Alam. Ketika di UiTM Shah Alam, rakan kelas aku tidak terlalu banyak bertukar-tukar kerana kami sememangnya diletakkan di bawah group major kami sendiri iaitu Water Resources Division. Mungkin terlalu banyak untuk diceritakan tentang mereka. Tak mampu untuk aku tulis. Tetapi mereka adalah insan yang paling mudah untuk didekati. Dan kebanyakan dari mereka pun adalah bekas rakan-rakan ketika di UiTM Jengka Pahang lagi. Kelebihannya, kesemua ahli dalam kelas mempunyai kepala yang sama. Mampu untuk melayan perangai antara satu sama lain. Begitulah ianya terjadi. Di dalam rasa semangat untuk melayan aktiviti mereka, di dalam rasa malas untuk menyertai perjumpaan mereka, di dalam rasa bosan asyik melihat mereka setiap hari, di dalam rasa jengkel dengan sesetengah sikap-sikap mereka, di dalam rasa ambil berat terhadap perhatian diberikan oleh mereka serta mereka lah sebenarnya yang menjadi sumber gelak tawa aku, menjadi sumber rasa tenang di hati aku dan yang paling penting adalah menjadi sumber assignment untuk aku tiru. Hehe.

Dengan ke'sunshine'an Yusuf, ke'anak-anak'an Naufal, ke'muncul'an Pida, Ke'jengkel'an Syammir, ke'matang'an Basyir, ke'lembut'an Lukman, ke'macho'an Fahmi, ke'kelantan'an Fauzan, ke'enjoy'an Fadhil(Ax), ke'maintain'an Mat Ju, ke'genius'an Adham, ke'jambu'an Rudy, ke'misteri'an Amad, ke'korea'an Adam, ke'kemaih'an Nidzam, ke'pimpinan'an Burhan, ke'lurus'an Tuyang(Nurhafiz), ke'borneo'an Apai(Azrol) serta ke'utara'an Hariri. Begitu juga dengan ke'migrain'an Ekin, ke'sesat'an Lost(Adila), ke'gembira'an Tasya, ke'gedik'an Puteri, ke'sabar'an Dila, ke'blur'an Syu, ke'cool'an Ayu, ke'pucat'an Aina, ke'kesian'an Mimie, ke'kenit'an Dayang dan ke'farancisca'an Idzumi. Haha. Ini semua bukan lah sifat sebenar mereka pun. Ini hanyalah hasil yang keluar dari otak aku ketika aku menulisnya dengan sekali type sahaja. Hehe.

Aku gembira mengenali mereka semua. Teringat pula aku akan kisah persahabatan Hang Tuah dan Hang Jebat, satu kisah yang sungguh tragis. Ketika itu, tiada yang mampu untuk melepaskan ikatan persahabatan ini. Pasangan duet yang cukup utuh ketika berlawan dengan musuh-musuh Melaka. Walaupun masih muda, mereka umpama laksamana perang yang sudah lama berpengalaman, tanpa takut pada lawan, bagi mereka; pantang berundur walau setapak. Namun, kisah mereka ini, di akhiri dengan pembunuhan ke atas Hang Jebat oleh Hang Tuah sendiri - kerana menurut perintah Raja. Kerana ketaatan katanya. Bermula apabila Tuah difitnah oleh hati-hati yang cemburu, Tuah dihukum bunuh oleh Raja, Memanda Menteri mencampakkan sahaja ke dalam hutan kerana simpati, sebelum Tuah dikutip semula oleh Raja untuk membunuh Jebat. Dan Jebat pula pedih menahan rasa kecewa apabila Tuah di tuduh sebegitu rupa. Anak pahlawan mana mampu melihat sahabat baik sendiri dianiaya, lantas bangkit menuntut pembelaan keatas darah Tuah(Tuah padanya sudah mati dibunuh Raja). Maka istana Raja ditawannya. Sekembalinya dari buangan,  Tuah menhunus keris menentang Jebat di dalam istana Raja Melaka. Akhirnya, Tuah berjaya membunuh Jebat, sahabatnya sendiri kerana sangkanya derhaka kepada Raja.

Cukup lah aku bercerita. Hehe. Aku sebenarnya bukan tidak bersetuju dengan sistem Raja. Aku masih mahukan sistem tersebut di negara Malaysia ini. Tetapi aku mahu melihat Raja itu lebih berperanan. Lebih neutral. Lebih bijak memainkan funginya. Siapa yang tidak suka Raja yang adil? Betul tak?. Kembali cerita rakan kelas aku, aku berharap kalian semua akan berjaya menjadi 'somebody' satu hari nanti. Semoga impian kalian tercapai. Bila dah berjaya, jangan lupa bantu orang-orang yang susah. Jangan lupa pada jasa ibu bapa. Manfaatkan masa bersama keluarga. Ikatan itu tak akan putus sampai bila-bila. Kalau ada rezeki. Kita akan jumpa lagi. Pasti akan jumpa lagi. Tidak di dunia, mungkin di akhirat. Yang penting akhirat itu sesuatu yang pasti. Tiada yang mampu terlepas darinya. Ya Allah, selamatkan kami dari seksaan api neraka. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Selasa, 1 Februari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 28

Assalamualaikum.................(31 Januari 2011)(Isnin). Kuasa mahasiswa.

Aku tidak terbabit dalam mana-mana persatuan mahasiswa pun sebenarnya. Di luar mahupun di dalam Universiti. Tetapi aku mungkin hanya sebagai pemerhati terhadap dunia 'gerakan mahasiswa'. Aku juga tidak lah mampu mengambil bahagian di dalam mana-mana gerakan kerana pergerakan terhad aku sebagai seorang mahasiswa yang tidak ada apa-apa aset. Tambahan di UiTM Shah Alam tidak terdapat kumpulan mahasiswa yang benar-benar bergerak secara independent - iaitu kumpulan yang sangat aku cari-cari. Dalam hati aku ini, aku percaya yang mahasiswa mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, biarpun dalam soal ekonomi, sosial dan juga politik. Mahasiswa yang kebanyakannya berusia dari semuda-muda 19 tahun hinggalah sematang-matang 28 tahun. Umur tersebut mungkin hanya dari pemerhatian aku tanpa apa-apa fakta yang solid, bahkan pelajar Master dan PhD pun boleh jadi lebih tua dari umur tersebut. Mereka juga adalah mahasiswa.

Tetapi, sistem pendidikan pengajian tinggi yang wujud di Malaysia ini telah melayan mahasiswa persis seperti pelajar zaman sekolah. Masih tidak diberikan ruang yang cukup bebas untuk mengekspirasi idea-idea mereka. Biar dalam apa bidang sekali pun. Kebanyakannya agak tersekat. Dan dihalang juga untuk mengkritik. Diburukkan lagi dengan kebanyakan Universiti hanya mengagung-agungkan konsep yang berorientasikan peperiksaan. Mendesak mahasiswa gred-gred yang tinggi sehingga pelajar tertekan terhadap situasi yang diwujudkan. Kesannya, mahasiswa yang lahir adalah mahasiswa yang menjadi penghafal bahan bacaan yang hebat dan licik. Bukannya idealis. Oleh itu, ada mahasiswa yang mahu merubahnya. Tetapi dengan cara yang tersendiri. Iaitu melalui gerakan mahasiswa. Maka, wujudlah segelintir mahasiswa yang mahu membawa idea-idea yang lebih segar dengan cuba mencadangkan perubahan yang lebih mendasar kepada pihak pengurusan Universiti melalui medium pergerakan mahasiswa. Berlambaklah gerakan mahasiswa di seluruh Malayisa terutamanya di Universiti-universiti tersohor, sama ada pergerakan yang aktif, atau pun yang kurang aktif.

Pergerakan seumpama ini di Malaysia agak terhad pergerakannya. Ini kerana mahasiswa seluruh Malaysia masih di belenggu dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan UiTM pula di bawah Undang-Undang Malaysia Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan Peraturan-Peraturan Universiti Teknologi MARA. Banyak juga kan? Ini semua adalah untuk menghalang mahasiswa dari berpartisipasi atau menyertai mana-mana organisasi yang tidak diiktiraf Universiti. Namun, AUKU telah di gubal lagi pada tahun 2008. AUKU telah dilonggarkan sedikit kepada pembabitan pelajar di dalam organisasi luar, namun tidak pada mahasiswa UiTM kerana masih terikat dengan Akta 174. Alasannya, supaya mahasiswa belajar bersungguh-sungguh, jangan leka - hanya suka berorganisasi. Benarkah andaian mereka itu? Cuba kita lihat pada zaman sekarang. Mahasiswa yang tidak berpartisipasi pun masih juga tidak mahu belajar. Dimana silapnya?

Aku membaca, menonton dan mendengar mengenai pergerakan mahasiswa. Aku juga pernah menghadiri Public Lecture dari Fahmi Reza, seorang aktivis Student Power (klik sini). Public Lecture tersebut adalah mengenai sejarah pergerakan mahasiswa sekitar tahun 60'an sebelum AUKU diwujudkan pada tahun 70an. Zaman tersebut mahasiswa Malaysia sangat hebat. Bukan hanya terbabit dalam isu pendidikan, tetapi lebih luas menyeliputi masalah rakyat dan sebagainya. Aku juga menghadiri forum atau majlis anjuran pergerakan mahasiswa lain di sekitar Kuala Lumpur. Aku mempunyai rakan dalam dunia tersebut terutamanya dari UKM, UM, UNISEL dan juga dari UiTM sendiri. Penjelajahan ini membawa pengalaman yang menarik sebenarnya. Pengalaman bergaul dengan kaum-kaum lain seperti Cina, India, Singh dan sebagainya di dalam organisasi. Kerana aku sebagai mahasiswa UiTM (Universiti untuk Melayu/Bumiputera dan Arab) langsung tiada kesempatan untuk mengenali pelbagai kaum di Malaysia. Malu. Warganegara sendiri pun tidak dapat didekati. Semoga satu hari UiTM akan mencari solusi untuk perkara ini. Supaya mahasiswa UiTM lebih terbuka terhadap kaum lain. Aku sangat berharap akannya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!