Selasa, 1 Februari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 28

Assalamualaikum.................(31 Januari 2011)(Isnin). Kuasa mahasiswa.

Aku tidak terbabit dalam mana-mana persatuan mahasiswa pun sebenarnya. Di luar mahupun di dalam Universiti. Tetapi aku mungkin hanya sebagai pemerhati terhadap dunia 'gerakan mahasiswa'. Aku juga tidak lah mampu mengambil bahagian di dalam mana-mana gerakan kerana pergerakan terhad aku sebagai seorang mahasiswa yang tidak ada apa-apa aset. Tambahan di UiTM Shah Alam tidak terdapat kumpulan mahasiswa yang benar-benar bergerak secara independent - iaitu kumpulan yang sangat aku cari-cari. Dalam hati aku ini, aku percaya yang mahasiswa mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, biarpun dalam soal ekonomi, sosial dan juga politik. Mahasiswa yang kebanyakannya berusia dari semuda-muda 19 tahun hinggalah sematang-matang 28 tahun. Umur tersebut mungkin hanya dari pemerhatian aku tanpa apa-apa fakta yang solid, bahkan pelajar Master dan PhD pun boleh jadi lebih tua dari umur tersebut. Mereka juga adalah mahasiswa.

Tetapi, sistem pendidikan pengajian tinggi yang wujud di Malaysia ini telah melayan mahasiswa persis seperti pelajar zaman sekolah. Masih tidak diberikan ruang yang cukup bebas untuk mengekspirasi idea-idea mereka. Biar dalam apa bidang sekali pun. Kebanyakannya agak tersekat. Dan dihalang juga untuk mengkritik. Diburukkan lagi dengan kebanyakan Universiti hanya mengagung-agungkan konsep yang berorientasikan peperiksaan. Mendesak mahasiswa gred-gred yang tinggi sehingga pelajar tertekan terhadap situasi yang diwujudkan. Kesannya, mahasiswa yang lahir adalah mahasiswa yang menjadi penghafal bahan bacaan yang hebat dan licik. Bukannya idealis. Oleh itu, ada mahasiswa yang mahu merubahnya. Tetapi dengan cara yang tersendiri. Iaitu melalui gerakan mahasiswa. Maka, wujudlah segelintir mahasiswa yang mahu membawa idea-idea yang lebih segar dengan cuba mencadangkan perubahan yang lebih mendasar kepada pihak pengurusan Universiti melalui medium pergerakan mahasiswa. Berlambaklah gerakan mahasiswa di seluruh Malayisa terutamanya di Universiti-universiti tersohor, sama ada pergerakan yang aktif, atau pun yang kurang aktif.

Pergerakan seumpama ini di Malaysia agak terhad pergerakannya. Ini kerana mahasiswa seluruh Malaysia masih di belenggu dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan UiTM pula di bawah Undang-Undang Malaysia Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan Peraturan-Peraturan Universiti Teknologi MARA. Banyak juga kan? Ini semua adalah untuk menghalang mahasiswa dari berpartisipasi atau menyertai mana-mana organisasi yang tidak diiktiraf Universiti. Namun, AUKU telah di gubal lagi pada tahun 2008. AUKU telah dilonggarkan sedikit kepada pembabitan pelajar di dalam organisasi luar, namun tidak pada mahasiswa UiTM kerana masih terikat dengan Akta 174. Alasannya, supaya mahasiswa belajar bersungguh-sungguh, jangan leka - hanya suka berorganisasi. Benarkah andaian mereka itu? Cuba kita lihat pada zaman sekarang. Mahasiswa yang tidak berpartisipasi pun masih juga tidak mahu belajar. Dimana silapnya?

Aku membaca, menonton dan mendengar mengenai pergerakan mahasiswa. Aku juga pernah menghadiri Public Lecture dari Fahmi Reza, seorang aktivis Student Power (klik sini). Public Lecture tersebut adalah mengenai sejarah pergerakan mahasiswa sekitar tahun 60'an sebelum AUKU diwujudkan pada tahun 70an. Zaman tersebut mahasiswa Malaysia sangat hebat. Bukan hanya terbabit dalam isu pendidikan, tetapi lebih luas menyeliputi masalah rakyat dan sebagainya. Aku juga menghadiri forum atau majlis anjuran pergerakan mahasiswa lain di sekitar Kuala Lumpur. Aku mempunyai rakan dalam dunia tersebut terutamanya dari UKM, UM, UNISEL dan juga dari UiTM sendiri. Penjelajahan ini membawa pengalaman yang menarik sebenarnya. Pengalaman bergaul dengan kaum-kaum lain seperti Cina, India, Singh dan sebagainya di dalam organisasi. Kerana aku sebagai mahasiswa UiTM (Universiti untuk Melayu/Bumiputera dan Arab) langsung tiada kesempatan untuk mengenali pelbagai kaum di Malaysia. Malu. Warganegara sendiri pun tidak dapat didekati. Semoga satu hari UiTM akan mencari solusi untuk perkara ini. Supaya mahasiswa UiTM lebih terbuka terhadap kaum lain. Aku sangat berharap akannya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: