Rabu, 6 Jun 2012

Cerpen: 'Cuba'an

‘Cuba’an
Oleh: Daud Mili (2012)


Cikgu Nordin mengajar matapelajaran matematik tambahan di Sekolah Menengah Chung Hwa Kuala Pilah Negeri Sembilan. Walaupun sekolah ini ialah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina, namun, pelajar yang terdiri daripada kaum Melayu mengungguli jumlah majoriti pelajar disini selain pelajar kaum India pula sebagai minoriti. Ibubapa kaum Melayu lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana bagi mereka silibus disekolah ini boleh memberi kelebihan dan kepintaran kepada anak-anak mereka. Itu pendapat peribadi mereka.

Cikgu Nordin kini menghadapi sedikit masalah dengan sesi pembelajaran beliau setelah kerajaan Malaysia menguatkuasakan bahasa pengantara untuk matapelajaran Matematik yang kini telah bertukar kepada Bahasa Inggeris daripada Bahasa Malaysia sebelumnya. Cikgu Nordin agak risau tentang kesan dasar baru tersebut terhadap pelajar beliau terutamanya pelajar kaum Melayu yang agak lemah di dalam memahami teks bahasa Inggeris.

“Saya tengok result kamu ramai yang teruk untuk test bagi bab satu sampai bab tiga. Yang lulus lima orang sahaja, lagi tiga puluh dua orang macam tak faham apa yang saya ajar dalam kelas selama ini. Bab satu sampai bab tiga adalah asas kepada pembelajaran add math keseluruhannya, jika ini pun kamu tak boleh nak score, saya khuatir kamu tak faham bab-bab yang lain, macam mana saya nak berpindah ke bab-bab seterusnya?”

Seluruh kelas tampak sunyi. Tiada jawapan.

Ah Keet termenung menatap kertas jawapan beliau. Beliau mendapat keputusan yang agak baik. Beliau menjawab dengan betul lapan belas soalan daripada dua puluh soalan. Beliau seorang yang agak tekun. Punya seorang bapa yang tegas, berpangkat tinggi di sebuah syarikat pembinaan. Manakala ibunya pula seorang pegawai tinggi kerajaan di Kementerian Sumber Manusia. Beliau jarang beraktiviti diluar, malah menumpu sepenuh hari dengan menimba ilmu. Pagi beliau ke sekolah, petang menghadiri tuisyen dan malam pula menatap homework dan membuat begitu banyak latihan. Semua kerja akan diperiksa oleh ibu atau bapanya. Hidupnya umpama penjara bagi seorang remaja belasan tahun. Barangkali atas nama kepatuhan dan disiplin yang diterap dari kecil. Ah Keet tidak sekali membantah. Bahkan menganggap ianya sebagai sebuah rutin kehidupan.

“Kalau kamu tak cuba, kamu tak akan tahu dimana silap kamu, saya akan bagi kamu lima puluh buah soalan sebagai latihan, duduk bersama rakan-rakan yang lebih tahu, buat sama-sama, tanya kalau tak tahu, jangan jadi bodoh sombong. Kamu pun boleh berjumpa saya di bilik guru atau bila-bila masa. Teruskan mencuba, jangan leka nak main sahaja.” Pesan Cikgu Nordin kepada kelas tingkatan empat bestari.

Kertas latihan di edar seluruh kelas. Cikgu Nordin memberi masa tiga hari untuk menyelesaikannya. Hantar kepada ketua kelas.

Helmi menerima kertas soalan yang diedar dengan perasaan yang sangat malas. Sambil melihat kertas yang begitu banyak soalan, beliau mula sedikit kepeningan. Matematik bukan matapelajran yang beliau minati. Mata beliau sempat menjeling kearah Janet, yang hanya duduk selang dua meja di hadapannya, gadis Cina yang disukainya sejak dari tingkatan satu lagi. Namun Janet tidak membalas cinta monyetnya. Tanpa mengetahui sebab musababnya.

“Saya tak suka you, you pemalas!” kata-kata Janet ketika saat beliau melafaskan rasa hatinya tiba-tiba menjelma dibenak fikiran Helmi. Dia tak pernah lupa. Dia juga tak pernah putus asa.

Janet seorang gadis Cina yang baik. Dia datang dari keluarga yang sederhana. Dan menetap pula di perkampungan Cina yang terletak di pinggir pekan Kuala Pilah. Bukan sahaja lelaki Melayu yang gagal mendekatinya, lelaki sebangsa dia pun agak sukar untuk bergurau-senda kerana dia agak sedikit menyendiri. Tetapi tidak lah seorang yang pendiam, dia seperti gadis biasa-biasa, namun mungkin kurang selesa didekati lelaki.

Loceng berdering menandakan waktu rehat telah tiba.

Kelas jadi hingar bingar.

Setelah keluar dari kelas, cikgu Nordin meninggalkan kelas empat bestari dan terus berjalan menuju ke kantin, menangguh untuk meletakkan buku-bukunya di bilik guru. Barangkali kerana lapar atau malas.

Cikgu Badrul sudah pun berada di kantin. Menikmati laksa dan Nescafe suam sebagai hidangan waktu rehat. Memerhati cikgu Nordin menghampiri mejanya. Matanya membulat.

Cikgu Badrul adalah salah seorang guru matapelajaran fizik di sekolah tersebut. Dia sangat menyokong idea bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu Tun Dr Mahathir mengenai penukaran bahasa Inggeris dari bahasa Malaysia untuk matapelajaran Matematik dan Sains. Itulah antara cara terbaik untuk anak bangsa Malaysia dewasa ini untuk mempelajari apa sahaja bidang di dalam dunia ilmu yang sangat luas ini.

“Cuba kau fikir Din, seperti buku-buku rujukan untuk matematik dan sains, bahkan bidang kejuruteraan, undang-undang mahupun bidang perubatan, kesemua buku yang ditulis oleh orang U.S. atau orang Eropah. Kalau yang menulis itu orang India atau orang Indonesia sekali pun, mereka juga menggunakan bahasa Inggeris, cuba kau bayangkan andai anak-anak murid kita ini tidak menguasai bahasa Inggeris dari umur serendah sekarang, mereka sukar untuk survive di IPT nanti.” Terang Badrul kepada Nordin.

“Iya, itu aku tahu, bukan kah kita sendiri sudah punya matapelajaran bahasa Inggeris, hari Rabu sebagai hari Bahasa Inggeris, pertandingan pidato berbahasa Inggeris, pertandingan menulis esei bahasa Inggeris dan sebagainya. Bahkan banyak lagi method yang boleh kita bentuk untuk memperkasakan bahasa Inggeris ini kepada murid-murid. Penukaran ini hanya membelakangkan bahasa kebangsaan kita sahaja. Jangan suatu hari orang Malaysia tak boleh cakap bahasa sendiri.” Nordin seperti memberi peringatan pada Badrul.

“Aku tak rasa itu semua boleh membantu semua pelajar, maybe hanya segelintir pelajar sahaja yang mendapat faedah dari segala macam aktiviti berbahasa Inggeris kita selama ini. Bukannya semua pelajar. Kita harus cuba method yang dicadangkan oleh Perdana Menteri ini, kalau tidak kita sendiri tidak tahu hasilnya.” Badrul menyakinkan.

“Aku cuma risau, sesetengah dari anak-anak murid aku tidak dapat tangkap apa yang aku explain, kadang-kadang aku guna bahasa Malaysia sahaja atau aku rojakkan dengan English, dengan harapan mereka faham.” keluh Nordin.

“Sudah lah tu, apa yang penting, sekolah terpaksa mengikut dahulu apa yang disaran oleh Kementerian, perkara baru yang dibawa oleh Kementerian ini semestinya mempunyai cabaran dan halangan. Mungkin bukan anak-anak murid kita tahun ini yang mendapat faedahnya, mungkin generasi selepas ini, siapa tahu? Lagipun, pelajar kita sekarang ini mungkin sedikit terkejut. Lama-kelamaan okey lah tuh.” Pujuk Badrul kepada Nordin.

“Harap-harap begitu lah.” Jawab Nordin ringkas.

Di kelas empat bestari, pelajar-pelajar lain sudah keluar ke kantin, kecuali Helmi dan Tengku. Helmi rasa tidak lapar. Manakala Tengku hanya menguyah roti yang dibawa dari rumah. Helmi terus membelek-belek soalan latihan add math sambil memegang kepala. Helmi tidak tahu mahu belajar bersama siapa untuk menyelesaikan masalah matematik ini.

Helmi melihat Tengku. Mata Helmi kuyu kecewa kerana Tengku juga sekufu dengan nya. Mempunyai level pengetahuan yang sama dengan beliau. Harapannya tipis jika mereka belajar bersama. Selalunya sesi pembelajaran yang membabitkan Helmi dan Tengku hanya membawa kearah ngilaian gelak tawa dan menjurus kepada perkara-perkara lain yang kurang berfaedah. Jarang sekali membantu pembelajaran.

“Jom pekena rokok dulu.” Ajak Tengku kepada Helmi.

“Aku tak ada mood lah, engkau pergi la dulu, nanti aku datang.” Balas Helmi lemah.

“Jangan lambat, nanti aku habiskan.” Ugut Tengku.

“Suka hati engkau lah.” Helmi merelakan.

Tengku mengeluarkan sebatang rokok Winston light yang dikebas dari kotak rokok ayahnya di rumah pagi tadi. Mujur dia masih menyimpan lighter yang diperoleh dari rakan-rakan lepaknya semalam. Dia tiba di toilet, toilet penuh dengan pelajar lain. Tengku pun membuang air kecil di mangkuk berdiri dan menunggu sebentar agar semua pelajar di dalam tandas berkurangan.

Tunggu line clear.

Sementara itu, Helmi masih di kelas. Termenung. Entah apa yang difikirkan. Masa depan atau kesunyian? Tahun depan dia harus menghadapi SPM. Dia kembali melihat kertas latihan add math tadi.

“Susah sangat ke soalan tu?” Tegur Janet dari belakang.

“Eh, Janet…” suara Helmi terkejut dari lamunan.

“Kalau tak cuba, mana nak tau susah ke tak, bukan begitu?” suara Janet lembut.

Helmi sedikit terkedu kerana tidak pernah ditegur Janet. Jauh sekali mendapat perhatian Janet sebegini rupa. Helmi kali ini seperti mengalah dan mula merendah diri merasa dirinya memang seorang yang pemalas. Kelu.

“Sudah lah, kalau tak faham juga, mari lah join kita orang petang nanti, aku bercadang mahu bersama Michelle dan Siti di perpustakaan, kalau you mahu join sekali pun tidak ada salah nya…” Ajak Janet.

Bungkam.

Helmi takut.

Tetapi dalam sudut hatinya seperti sangat mengiyakan ajakan itu. Beliau terlalu mahu bersama mereka mengulangkaji pelajaran ini. Bersama Janet.

“Macam mana?” Soal Janet seperti terdesakkan jawapan.

“Urmm… Boleh juga, tapi kau tak kisah kan?” Helmi menduga.

“Kenapa perlu nak kisah pulak?” Tanya Janet kurang mengerti.

“Kau tak marah aku lagi?” Helmi berterus terang.

“Tidak. Aku tidak pernah marah sama you. Cuma aku tidak suka perangai you sebelum ini yang merimaskan. You terlalu mendesak.” Luah Janet.

“Iya lah… betul kata kau, aku suka mendesak. Salah aku. Tapi,aku hanya mencuba sahaja kan?…” Tanya Helmi sedikit malu.

“Banyak lah you punya cuba. Ah!... forget it. Urm… Jangan lupa ya petang nanti. Jumpa di perpustakaan.” senyum Janet manja.

Helmi hanya mengangguk dan membalas senyuman.

“Okey.” Balas Helmi lambat.

Helmi seperti menerima sedikit cahaya. Seperti ada bantuan dan kekuatan luar biasa memilih beliau untuk merasa begitu gembira. Mana tidaknya, ditegur dan diajak belajar bersama oleh gadis yang dia suka, sambil itu dia bakal pula menyelesaikan masalah pembelajarannya. Dia berharap dapat berubah. Andai tidak semua, barangkali sedikit.

Dia tidak berhenti tersenyum.

Senyum seorang diri.

Ah Keet membasuh muka di sinki tandas. Rasa sedikit lega selepas air paip yang sejuk itu menyentuh kulit mukanya. Hari itu cuaca agak panas. Kulit pelajar Cina ini sedikit sensitif. Cepat kemerah-merahan apabila terdedah kepada cahaya matahari. Bila dibilas air, beliau rasa sedikit ketenangan darinya. Sambil mengelap tangan dengan tisu dan ingin bergerak keluar dari tandas, Ah Keet terbau sesuatu. Beliau kenal bau ini. Beliau melihat sekeliling. Barulah beliau sedar yang ada seseorang rupanya sedang menghisap rokok di bahagian tandas yang paling hujung. Dengan menggunakan cermin muka yang terletak didinding, beliau memerhati siperokok tersebut, beliau sangat kenal dengan bayangan manusia itu. Iya, beliau sangat kenal.

“Haaa,… engkau rupanya Tengku!” sergah Ah Keet.

“Oiii… Ah Keet!... aku ingat siapa tadi, kau buat aku cuak je...” jawab Tengku terkejut dengan suara sedikit terketar.

“Bak sikit rokok kau tuh, aku nak rasa.” Pinta Ah Keet.

“Sejak bila kau isap rokok?” Tengku sedikit pelik.

“Aku pun nak cuba jugak…” rayu Ah Keet.

“Biar betul engkau?” soal Tengku.

“Betul lah, bak sini…” desak Ah Keet.

“Nah!” hulur Tengku.

Rokok Winston Light yang sudah tinggal separuh itu disedut laju oleh Ah Keet.

“Uhukkkk!!.... Uhukkk…!!”  Batuk asap keluar dari mulut dan hidung.

Tersedak.

Ah Keet memegang lehernya sambil menahan perit ditekak. Ah Keet mencampakkan rokok dan memijaknya dengan geram. 

Ah Keet puas. Puas mencuba.

“Hahaha… nak sangat cuba, kan dah kena. Hahaha…” tawa Tengku tanpa henti.

“Sudah lah, aku nak cari air minum di kantin sekejap.” Ah Keet keluar dari tandas menuju ke kantin.

Memandangkan masa rehat hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi, Tengku lekas menghilangkan bau rokok di badan dengan hanya menyapu-nyapu uniform sekolahnya. Dengan mengharap ada bau yang hilang. Sebiji gula-gula hacks dikeluarkan dari kocek seluar, dibuka plastik gula-gula, dan di masuk ke dalam mulut, berjalan menuju ke kelas di tingkat 2. Mengharap dengan memakan gula hacks ini bau rokok pada mulutnya akan hilang.

Ah Keet  di kantin sedang menikmati air kotak berperisa Oren. Tekak yang perit tadi terasa sedikit lega setelah dilalukan dengan air oren tersebut.

Lega.

“Menyesal pulak aku try rokok tuh tadi, Tiu nia seng…!” Sumpah Ah Keet sendirian.

....


**Penulis cuba meletakkan banyak watak didalam cerpen singkat ini. Seperti mana yang penulis fahami, cerpen tidak memerlukan begitu banyak watak. Namun, penulis tetap mahu mencuba merimaskan cerpen ini dengan watak. 'Cuba'an juga perlukan kritikan. 'Cuba'an ditulis sekitar Mei 2012.




Tiada ulasan: