Ahad, 30 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 25

Assalamualaikum.............(30 Januari 2011)(Ahad). Islam jadi cara hidup.

Di dalam post 'Jalur agama Islam', aku bercerita mengenai fahaman yang menjadi pegangan aku. Sekarang aku ingin terus berbicara mengenainya. Kenapa kita perlukan fahaman? Adakah kita memerlukan fahaman? Perlukan diadakan pemahaman kelompok, atau dibiarkan bersifat individu? Aku sendiri tiada jawapannya. Namun, Islam bagi aku adalah mengenai soal kerohanian, dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih Islam dari yang lain serta menuduh yang lainnya sesat atau kafir. Islam mempengaruhi hidup aku dari segi budaya dan nilai hidup secara keseluruhan. Menerima Islam sebagai cara hidup adalah kemahuan semua penganutnya, tetapi, ianya tidak semudah kata-kata, bahkan memerlukan kekuatan yang besar untuk menguasainya. Pelbagai fahaman di dalam Islam adalah salah satu dari perkara yang tidak dapat di-elakkan kewujudannya. Dan ini sepatutnya telah menjadikan agama Islam ini lebih terbuka kepada pelbagai jenis pemikiran dan bukannya tersekat kepada hanya satu pemahaman sahaja.

Agama Islam di Malaysia rata-rata adalah agama yang diperoleh dari keturunan - dari ibu bapa. Termasuk diri aku. Pencarian 'apa itu Islam' seharusnya dilakukan oleh individu itu sendiri. Adakah beliau beragama kerana beliau percaya akan agama tersebut, atau hanya beragama kerana mengikut orang disekelilingnya beragama? Hebat jika manusia itu ada keinginan untuk terus belajar. Sama ada belajar berguru, belajar sendiri dan berbagai cara lagi, mahu tidak mahu sahaja. Sumber rujukan di zaman sekarang tampak lebih mudah diperoleh berbanding zaman-zaman dahulu. Sudah banyak juga kitab diterjemah ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Tidak ada sebab untuk aku dan sesiapa sahaja yang beragama Islam menjauhi tulisan-tulisan tersebut. Apa yang ada hanya malas. Atau tidak suka belajar. Ada juga yang membenci. Menganggap bahawa diri sudah mengetahui segala-galanya. Ada juga yang cepat berpuas hati, cukuplah tahu perkara ini dan perkara itu sahaja. Dan berbagai-bagai sebab lagi. Zaman ini bukan lagi zaman untuk kita memaksa orang lain untuk buat yang tidak menjadi pilihannya. Siapa yang mempunyai keinginan dan terus melakukannya, dia akan lebih kehadapan dari yang lain.

Aku, menasihati diri aku, dan juga menasihati kalian semua, untuk memujuk hati kita ini, agar terus belajar mengenai agama Islam atau apa-apa fahaman yang kamu percayai, sambil menilainya sendiri menggunakan akal fikiran yang di anugerahkan Allah. Kita sudah cukup dewasa untuk melakukannya tanpa apa-apa tekanan dari pihak lain. Tidak perlu kita salahkan sesiapa jika kita gagal dalam mendalami atau mengamalkan perkara di dalam agama Islam. Cukuplah untuk menyalahkan Ibu dan bapa, tok imam di masjid, ustaz-ustaz di Jabatan Agama, guru-guru mengaji Al-Quran, guru-guru KAFA dan berbagai pihak lagi. Salahkanlah diri sendiri. Salahkan lah diri aku ini. Salahkan diri kamu itu.. Cari penyelesaian terhadap masalah yang menimpa diri sendiri. Semoga dipertemukan penyelesaiaannya. Dan juga, semoga sama-sama kita dapat manfaat dari apa yang kita telah pelajari dan yang akan kita pelajari nanti. Amen.


Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: