Ahad, 30 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 24

Assalamualaikum.........(16 Disember 2011)(Ahad). Jalur Agama Islam.

Berubah dari suasana desa ke bandar seperti Shah Alam, mengundang perubahan dari segi amalan sosial aku secara tidak langsung. Aku mula meminati mendengar syarahan agama Islam sejak dari Jengka Pahang lagi. di Shah Alam, aku menjelajah youtube mencari syarahan agama Islam dengan menggunakan line internet rumah sebelah aku secara percuma. Aku tertarik dan sependapat dengan satu lagi jalur fahaman yang terdapat di dalam agama Islam. Yang dikenali di Malaysia sebagai Salaf. Aku mendekati tulisan Dr Asri Zainul Abidin dan juga menonton rakaman-rakaman ceramahnya yang aku rasa dekat dengan pemahaman agama aku. Dari sana juga aku mengenali beberapa insan lain seperti Ustaz Fathul Bari, Ustaz Rasul Dahri dan juga ustaz-ustaz yang lain. Kenapa aku beria mahu menyebutnya, kerana aku benar-benar mahu mengakui apa yang menjadi pemahaman aku terhadap agama Islam selama ini. Ada juga pendapat mereka yang aku kurang bersetuju, namun, kebanyakan darinya lebih dekat dengan pemahaman aku. Aku bertindak seterusnya menghadiri sebuah Daurah di Melaka ketika musim cuti semester. Disana aku melihat golongan ini dengan lebih dekat. Golongan yang mengangkat ilmu lebih tinggi dari cerita masyarakat. Mengambil dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dengan penuh teliti dan tertib. Tidak kira dari golongan yang masih muda atau pun tua. Tidak ketinggalan juga kepada golongan yang sudah mahir, atau kepada golongan yang baru belajar - seperti aku. Mereka sentiasa membelek kitab Al-Quran dan Hadis ketika di dalam sesi kuliah. Akhlak tersebut membuat aku jatuh cinta dan terpaut pada method yang digunakan didalam memahami agama Islam.

Dan bahasa Arab dilihat menjadi keutamaan terhadap pembaca-pembaca kitab tersebut. Andai dikalangan mereka tidak tahu maksud, mereka akan cuba bertanya dan tak henti menuntut ilmu dari sahabat yang lain yang lebih arif. Kepulangan aku dari program Daurah ke Shah Alam, membuatkan aku benar-benar mahu belajar bahasa Arab. Disamping hatiku mahu mempelajari dan memahami Islam dengan cara yang lebih seronok. Aku mencari dan akhirnya ketemu. Mendaftarkan diri di dalam kelas bahasa Arab yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Arab UiTM Shah Alam. Kelas diadakan pada waktu malam selepas maghrib. Aku pergi seorang diri. Pada hari pertama, tidak aku sangka, rakan batch aku iaitu Mohd Nur, juga datang untuk belajar bahasa Arab. Di dalam kelas hanya terdapat lebih kurang sepuluh orang. Maka belajar la aku bersama yang lain. Aku tidak ada asas. Juga jauh dari pengetahuan aku tentang bahasa ini. Jadi, lambat untuk aku fahaminya. Dan ketika dipertengahan semester, aku masih tidak dapat sepenuhnya menangkap apa yang di ajar, dan boleh dikatakan gagal dalam menguasai bahasa ini, walaupun sedikit. Kelas tersebut pula terlalu awal dihentikan iaitu dipertengahan semester, dan tiada pula ura-ura mahu menyambungnya. Aku redha, aku sudah cuba mempelajari bahasa tersebut. Mungkin bukan disini tempatnya. InsyaAllah, jika berpeluang lagi, mahu aku memberikan masa untuk bahasa Arab ini.

Kembali kepada cerita golongan Salaf. Berbeza ketika aku di UiTM Jengka Pahang. Ketika itu aku tertarik dengan jemaah Tabligh. Di Shah Alam pula aku tertarik dengan Salaf. Aku tidak dipengaruhi, bahkan aku yang memilihnya sendiri. Selagi niat aku mahu belajar agama masih kuat - aku sedia untuk terus mempelajarinya walau apa jua cabang fahaman yang ada. Aku cuma disedarkan bahawa di dalam menuntut ilmu kita harus ada rujukan yang konkrit. Disebabkan itu lah aku selami jalur Islam ini. Sama-sama buka minda untuk terima dan nilai sendiri pelbagai fahaman dan mazhab yang wujud di Malaysia ini. Tidak perlu kita menuduh mana fahaman yang salah, mana yang betul. Doaku agar kita semua dapat diberi kefahaman oleh Allah, Tuhan yang maha mengetahui setiap sesuatu. Amen. Juga kesempatan di Shah Alam aku mempelajari aliran Al-Assyairah, satu lagi fahaman Sunnah yang terdapat di Malaysia selain Salaf dan Tabligh. Selain fahaman Sunnah, aku juga ada membaca serba sedikit tentang fahaman Syiah. Juga berkesempatan berbual dengan mereka beraliran Syiah di Malaysia. Yang kebanyakan dari mereka adalah Syiah keturunan dan ada juga yang baru menganutinya. Aku antara orang yang tidak bersetuju dengan apa yang dipercayai oleh Syiah, tetapi, aku tidak suka kepada mereka yang suka menimbulkan provokasi dan tuduh-menuduh bahawa siapa yang lebih benar sehingga menyebabkan suasana tegang diantara fahaman Sunnah dan Syiah.

Kita sentiasa mengharap kepada Allah agar kita dimasukkan kedalam golongan orang yang diredhai-Nya. Juga supaya Allah jangan pesongkan hati kami setelah Engkau beri kami petunjuk. Mengatakan bahawa kita adalah golongan yang 'sedar' dan mendakwa bahawa orang lain tidak 'sedar' adalah satu kesedaran yang salah. Taksub kepada sesuatu mazhab atau sesuatu fahaman adalah sikap yang sangat merbahaya. Untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah bukan suatu perkara yang mudah, dan bukan pula perkara yang boleh dilakukan sehari dua. Semoga kita semua terperlihara dari fitnah yang boleh memecah belahkan umat Islam. Amen. Rindu sungguh untuk melihat umat ini bersatu.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: