Khamis, 28 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 8

Assalamualaikum........(28 Oktober 2010)(Khamis). Berjalan dan berfikir.

Ketika aku di UiTM Arau Perlis, seluruh negara dikejutkan dengan kejadian bah laut yang terbesar dalam sejarah nusantara iaitu peristiwa tsunami pada Disember 2004 yang telah mengakibatkan ramai manusia terkorban. Peristiwa malang ini membabitkan Bandar Aceh, Sri Lanka, India, Thailand, beberapa pantai Malaysia di Selat Melaka dan juga beberapa bahagian lain lagi. Ketika ini Pak Lah menjadi Perdana Menteri, dan beliau telah bertindak membatalkan semua sambutan Tahun Baru untuk tahun 2005. Ketika itu, aku dan rakan-rakan tetap bertindak mencari sesuatu aktiviti untuk Tahun Baru dengan menyewa beberapa buah kereta dan menyusun rancangan untuk ke Pulau Pinang di hari malam Tahun Baru 2005 (malam New Year).

Ini lah kali pertama aku memasuki sebuah pulau dan melalui sebuah jambatan yang sebelum ini hanya aku lihat melalui gambar dan melalui kaca television sahaja - Jambatan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang juga tiada apa-apa sambutan dilakukan. Maka, malam tersebut kami hanya banyak berpusing-pusing ke sekeliling kawasan Butterworth dan menikmati suasana malam di pulau yang berangin itu. Kami juga singgah ke kawasan Gurney yang juga terkesan sedikit akibat tsunami. Sebenarnya, tiada lah banyak yang boleh kami lihat dari kesan bah laut terhadap pantai disana. Ada juga segelintir remaja yang tetap melakukan aktiviti hiburan untuk menyambut Tahun Baru, tetapi masih di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Bandar Butterworth sebenarnya adalah bandar yang agak old scholl kerana masih banyak rumah kedai ala-ala koboi. Kelihatan agak klasik juga. Aku memang suka perkara yang klasik. Malam itu kami berpusing, ada kala kami terpecah, ada masa kami tersesat, melihat kerenah mat rempit berlumba sehingga polis tiba - kami juga lintang pukang lari kerana takut dituduh terbabit walaupun hanya menonton, melihat kerenah bapuk-bapuk berkeliaran, melihat pergaduhan di luar pub, dan macam-macam lagi. Banyak perkara boleh didekati pada malam itu. Selesai berpusing, kami mencari parking di tepi pantai, ada yang melelapkan mata didalam kereta, ada yang berbual-bual. Menjelang Subuh, kami bergerak mencari masjid atau surau. Rupanya susah sungguh untuk mencari rumah Allah di Pulau ini. Setelah mencari dan bertanya kepada orang sekeliling, Alhamdulillah, akhirnya kami ketemu sebuah surau kecil, kami berhenti solat Subuh dan berehat disitu.

Sesudah cerah, kami bergerak meninggalkan pulau dan menuju ke Seberang Perai, yakni daratan bagi negeri Pulau Pinang. Kami memilih untuk ke UiTM Pulau Pinang untuk bertemu rakan masing-masing. Aku memilih untuk mencari rakan-rakan ku ketika di UiTM Kuala Pilah dahulu. Sudah lama tidak berjumpa mereka, sekali berjumpa membawa kepada perbualan yang agak lama. Kisah demi kisah dibuka, sambil berkesempatan merasa makanan-makanan disana. Sedap juga.

Melalui UiTM aku dapat menjelajah ke seluruh Malaysia. Ketika aku di UiTM Kuala Pilah, aku berpeluang untuk ke Negeri Kelantan, iaitu ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), PCB telah dipilih sebagai lokasi kursus Biro Tatanegara kami. Kursus selama tiga hari ini sangat seronok dan menarik, serta tentatifnya tidak ubah seperti kursus Biro Tatanegara yang lain. Berpengalaman solat subuh di tepi pantai PCB, menghirup udara segar dan juga menikmati makanan-makanan disana. Selesai kursus, kami singgah di bandar Kota Bharu. Membeli sedikit barangan bukti pemergian ke Kelantan untuk dibawa ke rumah. Melihat tempat orang, untuk orang seperti aku adalah amat mengujakan, dan banyak yang boleh dipelajari. Dengan melihat dunia luar dan asing dapat membuka minda manusia agar tidak lah tepu atau tidaklah seperti masih duduk "di bawah tempurung".

Disamping kita dapat belajar dan melihat budaya orang lain, secara tidak langsung kita dapat menghayati ciptaan Tuhan yang Maha Esa, yang sangat indah dan maha menakjubkan. Subhanallah, kenapa setelah segalanya yang Tuhan berikan dan kurniakan, masih ramai manusia yang menjadi penentang yang nyata?! Ya Allah, ampunkan kami, maafkan dosa-dosa kami. Semoga Allah memberi petunjuk kepada hamba-hambanya yang kerdil ini dan memohon janganlah Kau pesongkan hati kami, setelah Engkau beri kami petunjuk. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

1 ulasan:

Daud Mili berkata...

Bercita2 nak travel seluruh Malaysia, sebelum bercita2 untuk ke seluruh dunia plak!!...