Jumaat, 29 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 11

Assalamualaikum.......(30 Oktober 2010)(Sabtu). Mereka tersenyum, aku pun tersenyum.

Sesiapa pernah ke Bandar Jengka, sudah pasti mengenali pasaraya yang megah berdiri di tengah-tengah pekan Jengka dan ianya adalah pasaraya yang pertama dibina di pekan ini - Pasaraya Mat Sapak. Pasaraya ini adalah seperti pasaraya kebiasaan yang lain. Ianya sudah cukup menjadi tempat untuk penduduk sekitar Jengka membeli peralatan dapur dan sebagainya. Setiap hari Sabtu pula, terdapat pasar malam di bersebelahan pasaraya Mat Sapak. Pasar malam yang menjual pelbagai macam barangan, pakaian, makanan dan sebagainya. Pasar malam yang sentiasa menjadi kunjungan mahasiswa UiTM, itu sudah pasti. Kehidupan aku diawal semester satu tidak lah terlalu aktif, kehidupan di dalam kampus - hanya pergi ke kelas kemudian pulang ke bilik semula, mahu makan pergi ke cafe atau dewan makan, mahu bersukan bermain bola atau join apa sahaja yang ada, kalau rajin aku ke Masjid Awis Qarni apabila masuk waktu solat atau kesudahannya duduk sahaja di bilik sahaja.

Peristiwa selepas maghrib, waktu aku keseorangan sahaja di bilik, bilik aku diketuk beberapa kali sambil diselangi dengan ucapan salam. Aku bangun membuka pintu sambil berligar di otak aku pertanyaan siapakah gerangan yang amat sopan bertindak sebegini?... Selalunya, pintu bilik dibuka tanpa salam dan isyarat langsung!.. Setelah menarik tombol pintu, aku agak terperanjat apabila yang mengunjungku adalah jejaka-jejaka jemaah tabligh yang seramai 4-5 orang. Meminta kebenaran untuk masuk ke bilik, dengan nada yang berat, aku membenarkan. Selesai semua mereka duduk, aku diperkenalkan dengan nama setiap dari mereka dan kemudian aku pula memperkenalkan diri. Apa yang aku tidak percaya,  baru ku tersedar, salah seorang dari mereka adalah senior aku di UiTM Kuala Pilah dahulu, Zarep nama beliau. Tapi, aku tangguhkan untuk menegurnya kerana dia agak diam ketika bersama jemaah itu. Aku diberikan sedikit penerangan mengenai kerja-kerja dakwah dan seterusnya dipelawa turun ke Masjid untuk solat Isyak bersama-sama dan akan ada sedikit ceramah selepas itu. Salam diberi, mereka pun beredar.

Aku kembali duduk semula, dan terfikir, kenapa aku begitu berat untuk membenarkan mereka masuk sebentar tadi??.. Adakah kerana aku membenci perbuatan mereka? Atau mungkin kerana aku tidak kenal mereka - jemaah Tabligh. Mungkin juga kerana aku tidak suka diceramah atau dipesan. Mungkin kerana aku tidak suka diajar perkara yang kononnya aku sudah tahu - agama... Ahh!.. itulah diri aku ketika itu. Apalah sangat yang aku tahu??!!.. Dan hari demi hari, aku mula cuba mendekati mereka, cuba memahami mereka, dengan memaksa diri untuk duduk bersama di majlis Ta'lim mereka yang selalunya diadakan selepas waktu Asar, mereka akan membaca beberapa potong hadith dari Kitab Fadhilatul Amal karangan Maulana Zakaria, dan memperdengarkannya dalam nada yang sederhana. Hari demi hari aku mula berasa selesa bersama mereka.

Dan suatu malam, selepas Isyak, aku duduk di majlis bayan(ceramah) dengan mendengar ceramah mereka. Tiba-tiba aku mula terasa mahu belajar, terasa mahu mengikut mereka. Rezeki aku, Alhamdulillah, hujung minggu tersebut mereka akan keluar berdakwah ke sekitar kawasan Jengka selama tiga hari. Selesai sahaja bayan, mereka mengesa hadirin agar berazam untuk keluar berdakwah . Dan meminta sesiapa yang berniat supaya bangun dan memberikan nama. Lantas, seorang demi seorang pelajar bangun menyatakan hasrat. Masa berlalu dan aku masih duduk disitu. Dengan tekad, aku mengangkat tangan seraya berkata;

"..Daud, keluar 3 hari InsyaALLAH..."

Ucapan aku disambut oleh beberapa orang ahli mereka;

"...InsyaALLAHHH..."

Mereka tersenyum kepadaku dan aku pun tersenyum semula. Berfikir panjang juga pada mulanya. Tetapi jika bukan sekarang aku berusaha mengenali golongan ini. Bila lagi? Malam itu sukar untuk aku tidur, mungkin kerana asyik memikirkan perkara yang akan di hadapi nanti, namun aku yakin, bahawa aku sudah bersedia untuk menyelongkar dunia baru yang bakal aku harungi ini...!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

1 ulasan:

Daud Mili berkata...

Kitab Fadhilatul Amal karangan Maulana Zakaria memang punya banyak pengkritik. Beliau adalah salah seorang ahli hadith. Namun, beliau juga manusia. Tak lepas dari melakukan kesilapan. Mungkin beliau tersilap, dan mungkin juga beliau benar. maka ambil lah mana-mana yang baik. Bersangka baik itu lebih baik...

(siapa tak kenal, google la..)