Rabu, 3 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 13

Assalamualaikum.......(4 November 2010)(Khamis). Melihat diri sendiri.

Pengalaman mengikut jemaah Tabligh keluar berdakwah memberi aku satu perspektif baru serta mengajar aku untuk rajin berfikir serta lebih terbuka didalam menerima pelbagai pandangan di dalam agama Islam. Dahulu aku pernah memandang serong golongan berjubah serta berserban ini. Mungkin kerana terlalu dimomokkan dengan jemaah-jemaah sesat di dalam masyarakat. Ketika itu juga aku semakin berminat menyelongkar beberapa kumpulan Islam lain yang wujud di dalam kelompok Melayu seperti golongan sufi atau tareqat, golongan Salaf, dan juga Syiah, yang kesemuanya mempunyai ramai pengikut di Malaysia. Tidak lah banyak yang aku teroka. Sekadar membaca ingin mengetahui. Jika benar tulisan yang aku baca, maka benarlah ilmu yang aku terima, jika silap ilmu yang aku terima, maka perlindungan Allah aku pinta, semoga memaafkan kami yang tiada daya upaya ini.

Aku tidak ingat berapa kali aku keluar mengikut jemaah Tabligh. Setiap kali keluar mengikut mereka, setiap satunya ada cerita tersendiri. Yang aku pelajari dari adab dan tertib yang menjadi pegangan mereka, sehinggalah kepada perkara-perkara luar dari jemaah yang harus di ambil kira. Aktiviti ziarah adalah aktiviti wajib di dalam jemaah ini. Menziarahi manusia dari rumah ke rumah, melalui pintu-pintu kediaman mereka, salam diberi dan menunggu tuan rumah keluar, jika salam sudah berjumlah 3 kali, maka, jemaah beredar dengan sangkaan baik terhadap tuan rumah. Dan jika tuan rumah berada dirumah pula, dan akan keluar menjawab salam, maka Amir(ketua jemaah) akan memperkenalkan jemaah kepada tuan rumah, dan kadang kala bertanyakan khabar, perkembangan serta kebajikan tuan rumah, perbualan selalunya terus berubah dari mengingati dunia kepada mengingati akhirat. Sedikit demi sedikit, bergantung kepada pengetahuan si tukang bicara. Ianya tidaklah mengambil masa. Selesai sudah. Tuan rumah akan dijemput untuk ke masjid berhampiran, masjid yang menjadi persinggah jemaah ini. Salam diberi, jemaah beredar dan mencari rumah lain pula.

Apa yang buat aku benar-benar teringat di dalam perjalanan dakwah Tabligh ini adalah setiap kali bertemu manusia di dalam aktiviti ziarah, aku dapat melihat pelbagai gaya jenis manusia yang muncul. Ada yang menyorok dari jemaah, ada yang keluar menyambut jemaah dengan baik, ada yang berat-berat ingin melayan, ada yang apa bila sedar kami datang -  mereka menukar seluar pendek kepada seluar panjang atau kain pelekat yakni untuk menghormati, ada yang sedang merokok akan memadamkan rokoknya, ada yang apabila kami selesai memberi tazkirah ringkas - mereka pula berceramah kepada kami - bukan pendek, bahkan lebih panjang berjela, ada juga kadang-kala menjadi debat yang kelihatan tenang dan ada ketika agak tegang, dan berbagai-bagai lagi keadaan. Aku suka melihat raut muka mereka ketika di berikan tazkirah. Dan kadang-kala aku melihat diri aku sendiri di dalam sifat-sifat mereka. Melihat banyak ciri  yang terdapat pada diri aku ini yang ada pada mereka, banyak persamaannya - dari dalam berbagai perkara. Membuat aku berfikir jauh mengharapkan diri ini berubah menjadi orang yang lebih berguna.

Aktiviti ziarah telah mengajar aku banyak perkara. Dapat melihat berbagai jenis manusia di berbagai tempat dan budaya. Berbagai jenis masjid pernah aku singgah. Berbagai jenis ragam AJK masjid yang kami pernah terima. Dakwah yang dilakukan kelihatan seperti mahu menyedarkan orang lain, namun, yang aku benar-benar nampak adalah, ianya sebenarnya adalah untuk sipendakwah sendiri, dan adalah untuk orang seperti aku yang mengikut aktiviti mereka. Telinga insan-insan di dalam jemaah adalah lebih banyak mendengar dan lebih dekat pendengarannya keatas setiap penyampaian tazkirah serta nasihat itu berbanding hadirin atau penduduk setempat yang mendengar dari jauh dan mendengar sekadar mana yang mampu. Semoga setiap perjalanan yang aku lalui memberi aku sedikit ilmu dalam menghadapi kehidupan mendatang. Segala perbuatan adalah dengan niat. Niat yang baik menghasilkan kesudahan yang baik, insyaALLAH. Semoga Allah melindungi iman kita semua. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

1 ulasan:

Daud Mili berkata...

Manusia mampu berubah insyaALLAH. Atas doa dan sokongan serta keyainan diri sendiri. Tidak mustahil..:)