Ahad, 14 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 15

Assalamualaikum.........(15 November 2010)(Isnin). Berpersatuan.

Kehidupan di Jengka tidaklah menjanjikan keseronokan yang diimpikan oleh anak-anak muda zaman sekarang. Tiada banyak aktiviti hiburan yang wujud di pekan kecil ini. Sebaliknya, kawasan ini dipenuhi dengan hutan-hutan tebal dan juga sangat sedikit pembangunan yang didirikan. Tetapi pekan ini tetap istimewa. Walaupun tampak penuh dengan kehijauan alam disekeliling, pekan kecil Jengka ini tetap dilengkapi dengan pusat sukan futsal, snooker, stesen minyak dan kedai-kedai minum yang dibuka 24 jam serta beberapa ciri-ciri lain yang biasa terdapat di bandar besar masih terdapat disini. Tidaklah anak-anak muda seperti pelajar UiTM kampus Jengka merasa kekurangan ketika berada disini.

Di kampus Jengka aku terlibat dengan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam atau dikenali sebagai CESS (Civil Engineering Student Society) sebagai Exco Logistik. Hahaha... Sebelum masuk Universiti, aku dah set dalam minda aku, yang aku malas nak join mana-mana persatuan, mungkin jadi ahli tu boleh la. Tetapi di kampus Jengka ini aku agak ligat pula berpersatuan - dengan menjadi Exco. Bagaimana aku boleh terlibat menjadi Exco?

Ketika semester tiga, batch kami dikehendaki oleh abang-abang senior supaya mengadakan hari keluarga untuk pelajar kejuruteraan. Organisasi dibentuk dengan diketuai oleh Shaikh, kami semua bertungkus lumus mengendalikan hari keluarga tersebut yang lebih dikenali sebagai CEFAD (Civil Engineering Family Day). Susah senang di dalam menjadikan majlis tersebut kenyataan telah mengeratkan silaturrahim di antara kami seluruh batch. Dari suasana menaip kertas kerja, berurusan dengan pihak HEP, membeli barangan untuk digunakan di dalam aktiviti sukaneka, sehinggalah kepada suasana bersengkang mata hingga ke pagi untuk melukis dan mewarnakan banner. Didalam kekusutan itu wujud keseronokannya yang tersendiri. Alhamdulillah, majlis hari keluarga tersebut dijalankan dengan jayanya.

Semester berikutnya, semua senior kami yang memegang jawatan di dalam CESS meletakkan jawatan masing-masing setelah tamat tempoh masa perkhidmatan dan pemilihan baru harus dilakukan. Jawatan kuasa baru akan dipilih dikalangan pelajar di dalam batch kami. Sekali lagi kami menaruh harapan kepada Shaikh. Dan beliau memenangi kerusi presiden dengan mudah. Setelah presiden dan ahli majlis tertinggi dipilih. Maka, exco dibawahnya harus dipilih oleh Shaikh sendiri. Dan semestinya beliau memilih kawan-kawan yang dahulunya pernah terlibat dengan beliau di dalam beberapa aktiviti. Dan sebagai rakan, aku menerima perlawaannya. Hanya pinta aku ketika itu supaya tidak diberikan kedudukan yang berat. Cukup la sebagai exco biasa, dengan niat untuk support kawan-kawan. Dan Exco Logistik menjadi medium aku berpersatuan dikampus Jengka. Kesibukan untuk study, untuk jemaah tabligh, untuk persatuan, untuk rakan-rakan, menjadikan kehidupan aku sangat penuh dengan aktiviti. Setakat waktu itu, aku masih lagi seronok melayan kehidupan yang setiap hari laksana hari yang sangat bermakna bagi aku. Mungkin juga aku gembira kerana kawan-kawan ada disisi.. Maka, tak lah merasa bosan dan sunyi. Namun, cabaran sentiasa sahaja menanti...!!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: