Selasa, 23 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 17

Assalamualaikum........(21 November 2010)(Ahad). Taman Negara Pahang.

Di samping aku terbabit sebagai AJK di Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam (CESS), aku juga sempat berpengalaman memimpin seluruh batch aku untuk trip lawatan sambil belajar ke beberapa tempat sekitar Pahang untuk subjek yang berkaitan dengan batu dan tanah - tak silap aku nama subjek itu adalah Geologi. Aku dilantik sebagai Pengarah Projek. Aku tak berapa  ingat berapa yang banyak tempat kami pergi. Namun, yang paling terkesan di ingatan aku adalah lawatan ke Taman Negara Pahang. Kami ke Taman Negara untuk melihat jenis-jenis batu dan juga struktur muka bumi disana, serta semestinya kami merancang untuk cuti melancong!.. Seperti kata guru pengiring lawatan tersebut iaitu Encik M. Zul, "sambil menyelam, kita minum air".

Aku juga disediakan dua orang Penolong Pengarah iaitu Izzat atau lebih dikenali sebagai Kent, dan seorang lagi adalah Anas. Aku cukup bersyukur kerana aku dikurniakan pembantu. Sepatutnya, segala keputusan dapat dibuat dengan baik sekali kerana sekarang sudah terdapat dua lagi kepala yang akan memberi aku idea yang pelbagai untuk digunakan di dalam merangka aktiviti di Taman Negara. Tetapi, hakikatnya adalah, aku, Kent dan juga Anas mempunyai pemikiran dan pendapat yang sangat-sangat berbeza diantara satu sama lain, di dalam membincangkan apa sahaja perkara yang untuk lawatan Taman Negara itu nanti. Termasuk untuk isu tempahan asrama dan chalet, isu baju batch - warna baju dan design baju, isu makanan -  jenis makanan yang macam mana yang akan disediakan, banner - design dan warna, siapa mahu membuat itu, siapa mahu membuat ini, pemilihan beberapa AJK - ada yang mahu dan ada juga yang tidak mahu , cara-cara untuk menguruskan pelbagai ragam pelajar dalam batch kami - kawan-kawan kami, serta yang paling penting adalah untuk menjaga nama baik Encik M. Zul dan juga agar dapat menjayakan lawatan tiga hari dua malam kami di Taman Negara Pahang itu dengan jaya sekali.

Menjaga kebajikan makanan, kediaman dan kelesaan orang lain memang sesuatu yang agak sukar. Aku sentiasa mengharap agar kekurangan yang berlaku ketika menguruskan lawatan itu, adalah perkara remah dan  bukanlah perkara yang besar. Dan kawan-kawan aku lebih mengetahuinya. Maaf jika aku tersilap pandang. Aku pun baru belajar ketika itu. Tapi, kawan-kawan aku ketika itu adalah insan-insan yang baik dan sangat bagus yang pernah aku temui... hehe... Disamping bertindak sebagai ketua kepada yang lain, aku juga tidak lupa untuk menikmati lawatan ini. Berjalan masuk hutan di waktu malam pertama lawatan untuk menyuluh rusa dan kijang, di awal pagi keesokkan harinya pula mula berjalan masuk ke hutan semula dan menaiki bukit bukau untuk menikmati suasana sebenar hutan tebal Taman Negara Pahang, tidak cukup dengan itu, masuk pula ke dalam gua-gua yang terdapat di dalam hutan itu - aku tidak ingat nama guanya - nasib baik muat untuk aku masuk ke dalam gua sebab gua itu punya ruang-ruang yang sempit, berjalan di atas jambatan gantung yang menyambungkan pokok-pokok yang tinggi di dalam hutan tebal itu - aku memang gayat - tak tengok bawah aku dibuatnya, mengunjungi perkampungan Orang Asli sambil dihiburkan dengan beberapa aktiviti seperti belajar menggunakan sumpit, bermain air dengan menaiki bot laju melawan arus sungai Pahang, dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang disediakan oleh pihak agent dan juga yang aktiviti yang dibuat sendiri oleh kami.

Tiga hari yang penat diakhiri dengan rasa gembira - mungkin. Namun, setelah kami pulang ke kolej, kami kena pula menyediakan laporan lawatan tersebut untuk dihantar kepada Encik M. Zul, bab-bab buat laporan ini yang kami malas... Haha. Apa pun ianya adalah pengalaman yang menarik. Disamping punya pengalaman mengurus, dapat juga merasa masuk ke hutan tebal yang sebelum ini dilihat di dalam kaca tv sahaja. Dari saat ini aku mula berminat untuk travel ke banyak lagi tempat di Malaysia. Cuma di saat aku menulis ini, aku masih belum punya kesempatan. InsyaALLAH, suatu hari, dan kalau ditanya, mahu sahaja aku pusing satu dunia, untuk lihat tamadun-tamadun yang hebat di luar sana - sambil tulis buku. Hehe. Siapa tahu?... InsyaALLAH..:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: