Rabu, 8 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 19

Assalamualaikum..........(8 Disember 2010)(Rabu). Naik motor ke Terengganu.

Ini bukan kali pertama aku ke Terengganu. Selama aku duduk di UiTM Jengka Pahang, aku pernah ke Terengganu untuk tujuan kursus Biro Tata Negara, ketika itu aku bersama Basyir, Shaikh, Ekin dan Amiza. Selesai kursus tersebut. Aku, Basyir dan Shaikh telah dipelawa oleh Ijol untuk kerumah beliau yang terletak di Kuala Terengganu. Ekin dan Amiza pula ke rumah Yana. Disini, aku berkesempatan merasa udara dan suasana pantai Laut China Selatan, dan juga menikmati suasana hutan serta air yang sangat sejuk di Hutan Lipur Sekayu. Berkesempatan pula merasa makanan-makanan orang Terengganu, di samping menikmati suasana bandar, suasana kampung dan semestinya berinteraksi dengan orang-orang Kuala Terengganu. Memang menarik juga hasilnya. Tetapi bukan kisah ini yang aku mahu tulis. Aku mahu tulis mengenai perjalanan aku ke Dungun Terengganu daripada Jengka Pahang dengan menaiki motor Honda EX5 aku, yang lebih dikenali sebagai 'BFA' dikalangan rakan-rakanku. Kisah ini berlaku setelah batch aku tidak lagi mendapat perkhidmatan kolej. Dan kami harus menyewa rumah di sekitar Pekan Jengka. Dan disemester yang sama, housemate aku iaitu Joe, mempunyai seorang kakak yang akan melangsungkan majlis perkahwinan di Dungun, Terengganu - yang juga adalah rumah Joe. Maka, kami ahli rumah sewa bergabung dengan rakan-rakan lain yang juga menyewa sekitar rumah kami, bergerak secara konvoi dengan motor masing-masing ke Dungun Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak Joe itu. Aku dengan hanya menaiki EX5 cuba memberanikan diri menyertai mereka. Dan ini adalah antara keputusan paling cepat pernah aku buat - menyertai konvoi motor. Yeah!

Aku servis sekadar menukar minyak hitam dan plug motor aku sahaja. Dengan membeli tiub motor untuk disimpan dan akan dibawa bersama. Cukup sudah aku rasa. Maka, kami yang seramai lebih kurang 30 orang, yang juga 30 buah motor, bergerak ke Dungun, Terengganu. Dengan memakai baju sejuk berbulu berwarna coklat yang aku beli di kedai bundle, lengkap dengan sarung tangan dan helmet baru. Siap sedia untuk konvoi kali pertama dalam hidup aku. Haha. Aku tidak meresa risau sangat kerana di dalam kumpulan bermotor ini ada orang yang tahu membaiki motor - pomen, ada yang pakar arah jalan dan berbagai-bagai lagi pakar yang wujud di dalam kumpulan ini. Jadi, apa yang orang baru macam aku patut buat adalah mendengar arahan sahaja ketika berkonvoi.

Kalau aku tidak silap, kami bergerak awal pagi. Ini kerana kami akan tiba disana tengah hari atau petang. Apabila semua kenderaan sudah siap, kami pun bergerak. Di dalam perjalanan, sudah tentunya EX5 aku kalah kepada Yamaha LC, Yamaha Lagenda, dan semestinya jauh lagi ditinggalkan RXZ. Aku pun tak pasti berapa banyak jenis motor yang ada. Tetapi senarai tadi itu sudah cukup untuk mengambarkan kelajuan mereka-mereka ini, biarpun di jalan biasa, mahupun lebuhraya, kelajuan mereka tetap sama. Disebabkan aku selalu ditinggalkan oleh ahli yang lain, akhirnya, ketika kami berehat, mereka membuat keputusan agar aku dan pemilik EX5 lain agar mengetuai konvoi supaya tidak tertinggal lagi dibelakang. Perjalanan yang agak jauh. Boleh kata perjalanan bermotor ini adalah yang jauh pernah aku tempuhi. Naik kebas juga punggung aku melayan konvoi ini. Akhirnya, satu ketika, sampai juga aku di Dungun. Wah, lama juga. Setibanya kami disana, kami terus mencari rumah Joe dan melayan pula majlis perkahwinan kakaknya. Lama juga kami di rumah Joe.

Petang itu juga kami kembali ke Jengka, namun perjalanan pulang terasa lebih lama. Oh ya, kerana kami singgah di Cherating dahulu. Di sana kami berehat menikmati hari petang, kononnya mahu melihat matahari terbenam. Haha. Matahari pun tak nampak. Mungkin sebab kami terlewat sedikit - sudah senja. Setelah hari mulai gelap, kami bergerak terus ke selatan, yakni terus pulang ke Jengka Pahang. Perjalanan pulang ini masing-masing tidak memperdulikan EX5 lagi, mereka memecut dan siapa tertinggal, maka tertinggallah. Tetapi, yang menariknya, motor EX5 aku ni, agak sedikit perform ketika perjalanan pulang ke Jengka. Aku pun tidak tahu kenapa. Kerana ketika perjalanan pulang itu, aku mampu bersaing dengan motor-motor laju yang lain tanpa masalah. Laju sungguh motor aku - atau mereka yang bawa pelahan - aku pun tak tahu. Jadi, aku tidaklah ditinggalkan oleh mereka dan aku selamat sampai ke Jengka bersama mereka. Nampaknya semua gembira ,kecuali motor-motor kami sahaja - sudah pasti motor kami yang paling 'terseksa'.Hehe.

Penat badan tak mampu nak cerita. Tetapi, perjalanan ini sangat bermakna. Dahulu aku melihat keadaan ini dan menggelar mereka ini 'budak motor' - sebelum perkataan rempit memburukkan imej mereka. Kini, aku sudah merasa bagaimana menjadi mereka. Aku merasa puas, pengalaman ini cukup berharga. Apa pun aku tidak mungkin mengulanginya, kerana ternyata ianya sangat penat sekali. Ada juga aku bercita-cita, jika benar mahu konvoi, aku akan ulanginya suatu hari hanya jika aku memperolehi sebuah motor berkuasa tinggi. Hehe.:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: