Jumaat, 31 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 22

Assalamualaikum............(31 Disember 2010)(Jumaat). Mereka yang aku sanjungi.

Siapa pula lah yang aku sanjung sebegini rupa? Siap buat tajuk post lagi. Mungkin untuk memberi sedikit penghargaan - yang hakikatnya aku tidak mampu membalas jasa-jasa mereka. Ceritanya begini, ketika aku menerima tawaran menyambung pelajaran ke UiTM Shah Alam, aku ke'kering'an, tiada satu sen pun duit yang ada di dalam poket aku ketika itu. Bukan nak cerita pasal bayaran rumah sewa, membeli peralatan pembelajaran, buku-buku, pakaian  dan sebagainya, bahkan, nak buat procedure perubatan atau Medical Check-Up sebagai syarat untuk mendaftar di UiTM pun aku tak mampu nak bayar. Jadi, aku ketika itu agak risau dan sedikit buntu untuk meneruskan pengajian dan pernah juga terfikir untuk bekerja. Tapi, sebenarnya, aku adalah insan bertuah kerana telah dikurniakan Allah lima orang adik-beradik yang prihatin terhadap aku. Mereka lah yang membantu aku melunaskan kesemua perbelanjaan pengajian aku sebelum pinjaman pendidikan PTPTN aku diluluskan. Dan mereka inilah yang aku sanjungi. Mereka adalah Ambong - kakak yang sulung, Angah Amer - abang - yang kedua, Alang - kakak - yang ketiga, Apin - abang - yang keempat, dan juga Bangadik - abang - yang kelima. Ini bukanlah baru bagi mereka - membantu aku, sebenarnya sejak zaman sekolah lagi. Tetapi, seperti sedia maklum, perbelanjaan degree bukannya murah. Walaupun sebenarnya UiTM adalah yang paling murah. Tetapi untuk orang yang baru memulakan hidup di Shah Alam seperti aku, memang sangat memerlukan sokongan seperti ini. Terima kasih aku ucapkan kepada mereka. Harap aku juga dapat berbakti pula kepada mereka di masa depan. InsyaAllah.

Tidak lupa kepada yang melahirkan kami berenam, iaitu Mak yang tersayang. Yang tidak pernah langsung check result aku - samada okey atau tidak, kerana beliau tidak pandai untuk menilai grade yang digunakan di universiti kerana Mak aku orang kampung. Apa yang Mak aku mampu buat adalah beliau sentiasa memberi nasihat dan peringatan agar aku menjadi orang berguna. Sehingga kadang-kadang terkeluar satu dua perkataan yang agak pedih didengar, tapi penuh sarat nasihat yang sampai sekarang aku ingat. Antaranya, dia selalu membezakan aku dengan insan-insan lain yang lebih kurang umur dengan aku di kampung. Yang ketika itu mungkin aku agak nakal. Dan sekarang aku telah berjaya membuatkan Mak tidak mampu membandingkan lagi aku dengan sesiapa pun - maksud aku dari segi tahap pelajaran. Alhamdulillah.

Juga kepada ketua keluarga kami, iaitu Ayah. Ayah adalah orang yang paling kuat bekerja menyara Mak dan kami berenam dari kecil hingga selesai semuanya bersekolah. Aku masih ingat di ketika aku di Jengka, ketika itu aku ingin membuat pinjaman PTPTN untuk pengajian Diploma, aku perlu menyediakan slip gaji Mak dan Ayah aku. Jadi aku hubungi kampung menyuruh abang aku, Bangadik, untuk menghantar salinan tersebut. Mak aku tak kerja, jadi Mak aku tak perlukan slip, cukup surat menyatakan beliau adalah suri rumah. Ayah aku pula seorang pesara polis, itu pun polis bantuan zaman merdeka dahulu. Tetapi disaat aku dapat sambung belajar Diploma, beliau berkhidmat sebagai security guard di sekolah berdekatan rumah kami. Aku menyuruh abang aku menghantar salinan kad pesara ayah aku sahaja. Jadi aku akan gunakan salinan kad itu sebagai 'pendapatan keluarga' untuk proses permohonan PTPTN. Ketika aku menerima salinan tersebut, aku agak sedikit terkejut kerana pencen yang Ayah aku terima selama ini hanyalah sekitar plus-minus RM300 sebulan. Sungguh!.. aku tak pernah tahu dan tak pernah tengok selama ini. Sayu aku sekejap memikirkan bagaimana Ayah aku menyara kami semua ketika itu - iaitu sebelum beliau bekerja sebagai security guard. Tapi beliau tetap mampu, dan tidak pernah pula menunjukkan kesusahannya kepada kami. Ayah aku memang hebat.

Itulah dia mereka. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang berada di belakang aku ketika aku 'jatuh' dan 'berjaya' di dalam babak-babak kehidupan aku. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang selalu bergaduh dengan aku, berselisih faham dengan aku, dan akhirnya telah menjadikan kami saling mengambil berat dan saling bantu-membantu tanpa jemu. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang suka memarahi aku, mereka yang selalu mengutuk dan menyindir aku, hingga akhirnya tiada apa yang mampu memutuskan hubungan kekeluargaan kami yang telah terpatri sehingga kini. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang bersama-sama merasa kesusahan dan kekurangan di dalam hidup,.. sebelum kami bersama-sama merasai dan menikmati kehidupan yang lebih baik dan cukup sederhana. Alhamdulillah - segala puji hanya bagi Allah, kerana Allah mengurniakan mereka semua kepada aku...


Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

1 ulasan:

zuana's dear diary berkata...

yes2 family first ok.. mereka la sbnrnyer yg dh byk membantu kiter.. syukur der fmly yg baik hati mcm tuh