Jumaat, 31 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 22

Assalamualaikum............(31 Disember 2010)(Jumaat). Mereka yang aku sanjungi.

Siapa pula lah yang aku sanjung sebegini rupa? Siap buat tajuk post lagi. Mungkin untuk memberi sedikit penghargaan - yang hakikatnya aku tidak mampu membalas jasa-jasa mereka. Ceritanya begini, ketika aku menerima tawaran menyambung pelajaran ke UiTM Shah Alam, aku ke'kering'an, tiada satu sen pun duit yang ada di dalam poket aku ketika itu. Bukan nak cerita pasal bayaran rumah sewa, membeli peralatan pembelajaran, buku-buku, pakaian  dan sebagainya, bahkan, nak buat procedure perubatan atau Medical Check-Up sebagai syarat untuk mendaftar di UiTM pun aku tak mampu nak bayar. Jadi, aku ketika itu agak risau dan sedikit buntu untuk meneruskan pengajian dan pernah juga terfikir untuk bekerja. Tapi, sebenarnya, aku adalah insan bertuah kerana telah dikurniakan Allah lima orang adik-beradik yang prihatin terhadap aku. Mereka lah yang membantu aku melunaskan kesemua perbelanjaan pengajian aku sebelum pinjaman pendidikan PTPTN aku diluluskan. Dan mereka inilah yang aku sanjungi. Mereka adalah Ambong - kakak yang sulung, Angah Amer - abang - yang kedua, Alang - kakak - yang ketiga, Apin - abang - yang keempat, dan juga Bangadik - abang - yang kelima. Ini bukanlah baru bagi mereka - membantu aku, sebenarnya sejak zaman sekolah lagi. Tetapi, seperti sedia maklum, perbelanjaan degree bukannya murah. Walaupun sebenarnya UiTM adalah yang paling murah. Tetapi untuk orang yang baru memulakan hidup di Shah Alam seperti aku, memang sangat memerlukan sokongan seperti ini. Terima kasih aku ucapkan kepada mereka. Harap aku juga dapat berbakti pula kepada mereka di masa depan. InsyaAllah.

Tidak lupa kepada yang melahirkan kami berenam, iaitu Mak yang tersayang. Yang tidak pernah langsung check result aku - samada okey atau tidak, kerana beliau tidak pandai untuk menilai grade yang digunakan di universiti kerana Mak aku orang kampung. Apa yang Mak aku mampu buat adalah beliau sentiasa memberi nasihat dan peringatan agar aku menjadi orang berguna. Sehingga kadang-kadang terkeluar satu dua perkataan yang agak pedih didengar, tapi penuh sarat nasihat yang sampai sekarang aku ingat. Antaranya, dia selalu membezakan aku dengan insan-insan lain yang lebih kurang umur dengan aku di kampung. Yang ketika itu mungkin aku agak nakal. Dan sekarang aku telah berjaya membuatkan Mak tidak mampu membandingkan lagi aku dengan sesiapa pun - maksud aku dari segi tahap pelajaran. Alhamdulillah.

Juga kepada ketua keluarga kami, iaitu Ayah. Ayah adalah orang yang paling kuat bekerja menyara Mak dan kami berenam dari kecil hingga selesai semuanya bersekolah. Aku masih ingat di ketika aku di Jengka, ketika itu aku ingin membuat pinjaman PTPTN untuk pengajian Diploma, aku perlu menyediakan slip gaji Mak dan Ayah aku. Jadi aku hubungi kampung menyuruh abang aku, Bangadik, untuk menghantar salinan tersebut. Mak aku tak kerja, jadi Mak aku tak perlukan slip, cukup surat menyatakan beliau adalah suri rumah. Ayah aku pula seorang pesara polis, itu pun polis bantuan zaman merdeka dahulu. Tetapi disaat aku dapat sambung belajar Diploma, beliau berkhidmat sebagai security guard di sekolah berdekatan rumah kami. Aku menyuruh abang aku menghantar salinan kad pesara ayah aku sahaja. Jadi aku akan gunakan salinan kad itu sebagai 'pendapatan keluarga' untuk proses permohonan PTPTN. Ketika aku menerima salinan tersebut, aku agak sedikit terkejut kerana pencen yang Ayah aku terima selama ini hanyalah sekitar plus-minus RM300 sebulan. Sungguh!.. aku tak pernah tahu dan tak pernah tengok selama ini. Sayu aku sekejap memikirkan bagaimana Ayah aku menyara kami semua ketika itu - iaitu sebelum beliau bekerja sebagai security guard. Tapi beliau tetap mampu, dan tidak pernah pula menunjukkan kesusahannya kepada kami. Ayah aku memang hebat.

Itulah dia mereka. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang berada di belakang aku ketika aku 'jatuh' dan 'berjaya' di dalam babak-babak kehidupan aku. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang selalu bergaduh dengan aku, berselisih faham dengan aku, dan akhirnya telah menjadikan kami saling mengambil berat dan saling bantu-membantu tanpa jemu. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang suka memarahi aku, mereka yang selalu mengutuk dan menyindir aku, hingga akhirnya tiada apa yang mampu memutuskan hubungan kekeluargaan kami yang telah terpatri sehingga kini. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang bersama-sama merasa kesusahan dan kekurangan di dalam hidup,.. sebelum kami bersama-sama merasai dan menikmati kehidupan yang lebih baik dan cukup sederhana. Alhamdulillah - segala puji hanya bagi Allah, kerana Allah mengurniakan mereka semua kepada aku...


Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 21

Assalamulaikum........(16 Disember 2010)(Khamis). UiTM Shah Alam.

Aku ditawarkan ke UiTM Shah Alam sedikit lewat dari kawan-kawan aku yang lain - second intake. Aku, Shaikh dan Amad ketika itu sangat serabut mencari rumah sewa di Shah Alam, dah la kami bertiga aje. Sebab kawan-kawan yang lain semuanya sudah sebulan memulakan pengajian - sudah mempunyai rumah sewa dan ahli rumah masing-masing.  Sementara mendapat rumah sewa, kami bertiga menetap di rumah sewa Ijol. Rumah itu sudah penuh, ditambah pula dengan kami bertiga, menjadikan rumah itu sungguh pack. Suasana tersebut mendesak kami terus berusaha mencari rumah sewa lain tidak kira apa pun terjadi. Disamping usaha mencari rumah sewa, kami juga terus menerus mencari teman serumah. Kami bertiga mempunyai masalah kewangan ketika itu. Jadi, kami mencari rumah sewa yang mempunyai harga yang sedikit murah. Namun, gagal menemuinya. Yang ada hanyalah harga standard rumah sewa di Shah Alam ketika itu iaitu RM1000 hingga RM 1200 sebulan untuk sebuah rumah. Oleh sebab itu, kami perlu mencari sekurang-kurangnya lima orang lagi teman untuk duduk di rumah sewa tersebut.

Kami bertiga mengambil keputusan mencari  pelajar yang tiada rumah sewa ketika hari pendaftaran. Aku, Shaikh dan Amad mendaftar di dewan Annexe UiTM Shah Alam. Setelah selesai urusan kami, kami pun menunggu di luar dewan dan bertanya-tanya kan kepada pelajar-pelajar yang sama mendaftar bersama kami, adakah mereka sudah mempunyai rumah sewa, kolej atau tidak?.. Sebenarnya tak ramai pun kami tanya kerana kami juga agak segan, gaya kami macam orang jual barang pun ada.. Haha. Dan akhirnya kami bertemu Lukman. Lukman berasal dari Kelantan. Dia tidak berjaya mendapat perkhidmatan kolej, sama macam kami. Setelah berkenalan, dia setuju untuk duduk bersama kami. Alhamdulillah, kami sudah mempunyai empat orang.

Kami juga ada meminta bantuan dari agen rumah sewa. Agen rumah pasti mempunyai banyak contact. Mereka sudi menolong. Memang pantas, setelah beberapa hari, kami dihubungi agen menyatakan bahawa ada tiga orang pelajar juga sedang mencari teman serumah. Jadi kami hubungi mereka bertiga. Berjumpa lah kami semua di Restoran Mulus. Restoran yang terletak betul-betul di depan rumah sewa yang akan kami duduki. Mereka bertiga adalah pelajar degree, kos Kejuruteraan Elektrik. Mereka adalah Mail, Kue dan Fahmi(tulang). Setelah berbual, kami semua bersetuju untuk pindah terus ke rumah itu kerana rupa-rupanya mereka juga seperti kami, sudah tidak tahan dan malu untuk terus menumpang di rumah sewa rakan-rakan. Setelah kami duduk dirumah sewa baru kami, kami disertai pula oleh Naufal dan Adam. Naufal menyertai kami setelah keluar dari rumah sewa lamanya kerana masalah transport. Dan Adam pula menyertai kami kerana baru menerima tawaran degree - lewat sedikit dari kami. Duduklah kami semua di Pusat Komersial, Seksyen 7, Shah Alam. Kami juga adalah antara batch yang pertama menetap bangunan rumah kedai itu. Ketika itu Pusat Komersial tidak sesibuk seperti sekarang. Kalau sekarang nak cari parking pun susah. Penat lelah kami mencari rumah dan teman serumah ketika itu membuahkan hasil. Kami memulakan hidup baru, di bandar baru, di suasana baru, di persekitaran baru, dengan membawa harapan baru, azam baru dan impian yang semestinya lebih baru dan segar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan kami untuk menuntut ilmu.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Khamis, 16 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 20

Assalamualaikum........(16 Disember 2010)(Khamis). Saat akhir di Jengka Pahang.

Kalau diikutkan. Tiga tahun aku duduk di Jengka, banyak cerita aku yang boleh coretkan. Dari ketika duduk di Kolej, sehinggalah pengalaman duduk di rumah sewa. Dari gelak tawa nangis rakan-rakan, sedih pilu teman-teman, gaduh tumbuk sahabat-sahabat, sehinggalah kepada terhasilnya satu keluarga yang erat dan tampak jelas saling mengambil berat. Aku tidak mampu untuk coretkan semua cerita di Jengka Pahang. Biarlah ianya menjadi cerita dan bual tawa ku suatu hari nanti - jika diizinkan bertemu semula - semua watak-watak penting di dalam kehidupanku ketika di Jengka Pahang.

Di akhir semester aku di Jengka. Aku menjadi agak pemalas dan semakin lama semakin aku rasa nak grad Diploma lebih awal. Mungkin sebab dah nak dekat sangat nak grad. Jadi, kerja kursus aku jadi kerja yang paling ntah ape-ape pernah aku buat, subjek business plan aku menjadi kerja paling berterabur pernah aku buat, termasuk paper-paper final exam aku, dah la study gitu-gitu jek dan jawab pun ala kadar. Fikir masa tuh nak lulus aje. Nak grad. Yang paling simple aku buat adalah untuk paper Water Resources, seingat aku, masa exam aku submit paper tuh tak sampai sejam pun. Haha. Tak siap pun, ada la dua soalan aku jawab dari lima soalan besar. Cuak gak, takut tak lulus. Redha dan tawakkal. Dan Alhamdulillah, paper itu lulus juga. Sekadar lulus sahaja lah. Hehe.

Aku dan rakan-rakan mengisi borang untuk memohon menyambung ke pengajian Sarjan Muda(degree) di UiTM Shah Alam selepas grad diploma. Boleh dikatakan kesemua dari kami mengisinya. Suasana menjadi semakin teruja dan juga menjadi semakin sayu - kerana akan tamat diploma. Di samping memohon degree di UiTM Shah Alam. Aku dan Kent - melalui idea Kent - kami juga ada apply untuk sambung pengajian ke Universiti of Western Australia (kalau aku tidak silap, tak ingat nama universiti). Masih ambil course yang sama. Namun, aku membatalkan hasrat setelah melakukan beberapa procedure akhir kerana memikirkan perbelanjaan yang akan ditanggung. Aku bukan dari keluarga 'berada' seperti Kent. Jadi, aku tak mahu menyusahkan keluarga aku, sudah cukup aku membebankan mereka selama ini . Oleh itu aku memilih Shah Alam sahaja sebagai destinasi. Mungkin suatu hari jika aku mahu, baru lah aku akan ke luar negara untuk menyambung pengajian lebih tinggi - dengan duit sendiri. InsyaALLAH.

Meninggalkan Jengka memang menjadi impian semua musafir yang menuntut di UiTM Jengka Pahang, tambah-tambah lagi yang tinggal di luar negeri Pahang. Tetapi, apa yang sukar bagi mereka, termasuk aku, adalah meninggalkan kenangan-kenangan yang ada disana. Tidak semudah seperti melipat baju dari almari, menyimpan baju-baju di dalam beg, mengemas barang-barang keperluan, dan memasukkan kedalam kereta, terus memandu pulang. Tidak semudah itu. Walaupun sudah bertukar tempat, Jengka Pahang tetap punya keistimewaan.

Aku antara insan yang terakhir meninggalkan rumah sewa. Masih cuba menikmati suasana Pekan Jengka dan Kampus Jengka ini, mungkin ini kali terakhir - jika aku tiada sebab untuk kembali kesini lagi. Setelah pulang, bercuti lah semua rakan-rakanku dan aku, sambil menunggu keputusan peperiksaan, sebelum kami di sahkan grad secara rasmi. Dan sudah menjadi ramalan, majoriti dari kami semua nya lulus, ada juga yang cemerlang. Dan seorang demi seorang pula mendapat tawaran ke UiTM Shah Alam - termasuk aku. Sah!... memang ramai yang akan aku jumpa kembali di Shah Alam nanti. Jika dibandingkan dengan Jengka Pahang, Shah Alam tampak lebih mesra remaja, macam-macam ada, dekat pula dengan ibu kota Kuala lumpur, dan aku sebenarnya agak risau untuk menjalani pengajian di tempat yang sebegini - bandar Shah Alam. Berbeza dengan Jengka, aktiviti sosial remaja seumur aku di Shah Alam lebih bebas. Perihal akademik, aku tidak dapat menjangka apakah yang aku akan aku hadapi di dalam sesi pengajian nanti. Aku dengar degree berbeza dengan diploma. Agak susah.  Tetapi, bila fikirkan ramai kawan-kawan yang sama belajar di Jengka akan turut serta di Shah Alam, aku menjadi semakin berani. Didalam rasa keterujaan, aku panjatkan rasa syukur kepada Tuhan kerana telah menempatkan aku dikedudukan setinggi ini. Tidak semua orang berkesempatan merasainya.. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 8 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 19

Assalamualaikum..........(8 Disember 2010)(Rabu). Naik motor ke Terengganu.

Ini bukan kali pertama aku ke Terengganu. Selama aku duduk di UiTM Jengka Pahang, aku pernah ke Terengganu untuk tujuan kursus Biro Tata Negara, ketika itu aku bersama Basyir, Shaikh, Ekin dan Amiza. Selesai kursus tersebut. Aku, Basyir dan Shaikh telah dipelawa oleh Ijol untuk kerumah beliau yang terletak di Kuala Terengganu. Ekin dan Amiza pula ke rumah Yana. Disini, aku berkesempatan merasa udara dan suasana pantai Laut China Selatan, dan juga menikmati suasana hutan serta air yang sangat sejuk di Hutan Lipur Sekayu. Berkesempatan pula merasa makanan-makanan orang Terengganu, di samping menikmati suasana bandar, suasana kampung dan semestinya berinteraksi dengan orang-orang Kuala Terengganu. Memang menarik juga hasilnya. Tetapi bukan kisah ini yang aku mahu tulis. Aku mahu tulis mengenai perjalanan aku ke Dungun Terengganu daripada Jengka Pahang dengan menaiki motor Honda EX5 aku, yang lebih dikenali sebagai 'BFA' dikalangan rakan-rakanku. Kisah ini berlaku setelah batch aku tidak lagi mendapat perkhidmatan kolej. Dan kami harus menyewa rumah di sekitar Pekan Jengka. Dan disemester yang sama, housemate aku iaitu Joe, mempunyai seorang kakak yang akan melangsungkan majlis perkahwinan di Dungun, Terengganu - yang juga adalah rumah Joe. Maka, kami ahli rumah sewa bergabung dengan rakan-rakan lain yang juga menyewa sekitar rumah kami, bergerak secara konvoi dengan motor masing-masing ke Dungun Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak Joe itu. Aku dengan hanya menaiki EX5 cuba memberanikan diri menyertai mereka. Dan ini adalah antara keputusan paling cepat pernah aku buat - menyertai konvoi motor. Yeah!

Aku servis sekadar menukar minyak hitam dan plug motor aku sahaja. Dengan membeli tiub motor untuk disimpan dan akan dibawa bersama. Cukup sudah aku rasa. Maka, kami yang seramai lebih kurang 30 orang, yang juga 30 buah motor, bergerak ke Dungun, Terengganu. Dengan memakai baju sejuk berbulu berwarna coklat yang aku beli di kedai bundle, lengkap dengan sarung tangan dan helmet baru. Siap sedia untuk konvoi kali pertama dalam hidup aku. Haha. Aku tidak meresa risau sangat kerana di dalam kumpulan bermotor ini ada orang yang tahu membaiki motor - pomen, ada yang pakar arah jalan dan berbagai-bagai lagi pakar yang wujud di dalam kumpulan ini. Jadi, apa yang orang baru macam aku patut buat adalah mendengar arahan sahaja ketika berkonvoi.

Kalau aku tidak silap, kami bergerak awal pagi. Ini kerana kami akan tiba disana tengah hari atau petang. Apabila semua kenderaan sudah siap, kami pun bergerak. Di dalam perjalanan, sudah tentunya EX5 aku kalah kepada Yamaha LC, Yamaha Lagenda, dan semestinya jauh lagi ditinggalkan RXZ. Aku pun tak pasti berapa banyak jenis motor yang ada. Tetapi senarai tadi itu sudah cukup untuk mengambarkan kelajuan mereka-mereka ini, biarpun di jalan biasa, mahupun lebuhraya, kelajuan mereka tetap sama. Disebabkan aku selalu ditinggalkan oleh ahli yang lain, akhirnya, ketika kami berehat, mereka membuat keputusan agar aku dan pemilik EX5 lain agar mengetuai konvoi supaya tidak tertinggal lagi dibelakang. Perjalanan yang agak jauh. Boleh kata perjalanan bermotor ini adalah yang jauh pernah aku tempuhi. Naik kebas juga punggung aku melayan konvoi ini. Akhirnya, satu ketika, sampai juga aku di Dungun. Wah, lama juga. Setibanya kami disana, kami terus mencari rumah Joe dan melayan pula majlis perkahwinan kakaknya. Lama juga kami di rumah Joe.

Petang itu juga kami kembali ke Jengka, namun perjalanan pulang terasa lebih lama. Oh ya, kerana kami singgah di Cherating dahulu. Di sana kami berehat menikmati hari petang, kononnya mahu melihat matahari terbenam. Haha. Matahari pun tak nampak. Mungkin sebab kami terlewat sedikit - sudah senja. Setelah hari mulai gelap, kami bergerak terus ke selatan, yakni terus pulang ke Jengka Pahang. Perjalanan pulang ini masing-masing tidak memperdulikan EX5 lagi, mereka memecut dan siapa tertinggal, maka tertinggallah. Tetapi, yang menariknya, motor EX5 aku ni, agak sedikit perform ketika perjalanan pulang ke Jengka. Aku pun tidak tahu kenapa. Kerana ketika perjalanan pulang itu, aku mampu bersaing dengan motor-motor laju yang lain tanpa masalah. Laju sungguh motor aku - atau mereka yang bawa pelahan - aku pun tak tahu. Jadi, aku tidaklah ditinggalkan oleh mereka dan aku selamat sampai ke Jengka bersama mereka. Nampaknya semua gembira ,kecuali motor-motor kami sahaja - sudah pasti motor kami yang paling 'terseksa'.Hehe.

Penat badan tak mampu nak cerita. Tetapi, perjalanan ini sangat bermakna. Dahulu aku melihat keadaan ini dan menggelar mereka ini 'budak motor' - sebelum perkataan rempit memburukkan imej mereka. Kini, aku sudah merasa bagaimana menjadi mereka. Aku merasa puas, pengalaman ini cukup berharga. Apa pun aku tidak mungkin mengulanginya, kerana ternyata ianya sangat penat sekali. Ada juga aku bercita-cita, jika benar mahu konvoi, aku akan ulanginya suatu hari hanya jika aku memperolehi sebuah motor berkuasa tinggi. Hehe.:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 18

Assalamualaikum........(8 Disember 2010)(Rabu). Aku dan bunyi-bunyian.

Aku bukan lah pandai cipta lagu atau apa. Tetapi, aku telah mempunyai gitar kapuk sejak aku masih tingkatan lima sekolah menengah lagi. Material seperti itu tidak sepatutnya ada disisi orang yang ingin menduduki SPM seperti aku. Apakan daya, ketika itu, minat dan nafsu remaja aku sangat membuak-buak agar aku belajar bermain gitar. Belajar dari beberapa orang rakan dan juga melalui buku-buku yang aku beli di gerai majalah di tepi jalan pekan Kuala Pilah. Aku ada juga mengikut rakan-rakan ke sesi jamming mereka ketika di Kuala Pilah. Sehinggalah aku selesai peperiksaan SPM. Aku ketika itu hanya tahu bermain gitar telah dipelawa oleh Angah yang juga pandai bermain gitar, untuk menyertai dia dan Adril, Adril tahu bermain drum, untuk menyertai sesi jamming mereka, aku membantu mereka dengan bermain bass. Setelah beberapa bulan, kami bertindak untuk merakamkan 5 buah lagu hasil nukilan Angah, namun di olah oleh aku dan Adril ketika sesi latihan. dipendekkan cerita, sebelum aku ditawarkan ke UiTM Kuala Pilah, aku boleh dikatakan telah merasa sedikit pengalaman bermain muzik berkumpulan dan berpeluang pula merakamkan lagu-lagu punk rock versi sendiri di studio serba ringkas yang juga terletak di Kuala Pilah. Tetapi, kami ketika itu belum berkesempatan untuk perform kerana ketandusan peluang. Begitulah serba sedikit kisah perjalanan anak muda ini. Yang kononnya mahu sangat jadi musician. Haha.

Baiklah. Ceritanya pula di UiTM Jengka Pahang, aku tak terlepas dari dunia ini. Iaitu dunia muzik. Di asrama lelaki, bukan sukar mahu cari gitar kapuk, ada sahaja di bilik-bilik, maka, jelas lah untuk melihat siapa yang tahu main gitar, siapa yang tak tahu. Aku sudah semestinya apabila bosan, akan ke bilik rakan-rakan mencari hiburan, lalu ternampak gitar, dan akan dipetik sejauh mana yang aku tahu. Maka, menyanyi lah mereka yakni ahli bilik tersebut sambil melayan kerenah aku. Mungkin sedap atau tidak sedap atau hanya kerana melayan aku kerana datang ke bilik mereka.  Di UiTM Jengka Pahang ini juga aku telah dipelawa untuk turut serta dalam sesi jamming. Kumpulan yang dianggotai oleh Adam, Henry, Apis Sabri dan aku. Aku tidak berapa ingat. Mungkin hanya kami berempat. Atau ada lagi yang tertinggal. Aku rasa ahli nya berubah-ubah juga. Ada kala Zamru juga menyertai, Amad juga, serta Zain juga ada, dan yang lain-lain juga. Lagu apa yang dibawa? Urm... aku rasa genre-nya pelbagai. Adakalanya rock, adakalanya grunge, adakalanya punk rock, adakalanya... kami bawak saja lagu apa yang terlintas difikiran.Hehe. Namun, kumpulan ini tidak bertahan lama. Sejak ketiadaan Henry - kerana beliau berhenti belajar, maka gerakan kumpulan ini tidak lagi menyala. Dari nama Tong Kiat Tragedy ke Jengka Rejected, kalau sudah bukan bermain muzik itu masa depan kami, maka, tiada lah apa-apa yang boleh dibanggakan. Ketika aku bersama mereka juga aku tidak berkesempatan untuk perform. Tambahan umur kumpulan ini lebih pendek dari yang dijangka.

Begitulah suasana dunia bunyi-bunyian aku ketika di UiTM Jengka, Pahang. Tetapi, sehingga saat aku menulis ini, aku masih bersama Angah, tanpa Adril, namun mempunyai Apis sebagai drum dan Ah Cong sebagai second gitar. Haha, Mengarut sungguh perjalanan ini. Aku sendiri tidak dapat memberi komitmen kepada kumpulan walau di dalam keadaan sibuk atau senang. Hakikatnya muzik hanya hobi untuk orang seperti aku. Dan di Malaysia juga, orang yang mampu hidup senang dengan bermain muzik bukan lah ramai. Itu semua rezeki, dan semestinya mereka yang berjaya dalah mereka yang sangat berbakat di dalam bidang ini. Sekadar memasukkan nada bunyi di dalam kehidupan aku, agar hidup ini tidak sunyi, maka aku suka untuk memetiknya kembali suatu hari..:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!