‘Cuba’an
Oleh:
Daud Mili (2012)
Cikgu Nordin mengajar
matapelajaran matematik tambahan di Sekolah Menengah Chung Hwa Kuala Pilah
Negeri Sembilan. Walaupun sekolah ini ialah sebuah sekolah jenis kebangsaan
Cina, namun, pelajar yang terdiri daripada kaum Melayu mengungguli jumlah majoriti
pelajar disini selain pelajar kaum India pula sebagai minoriti. Ibubapa kaum
Melayu lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina
kerana bagi mereka silibus disekolah ini boleh memberi kelebihan dan kepintaran
kepada anak-anak mereka. Itu pendapat peribadi mereka.
Cikgu Nordin kini menghadapi
sedikit masalah dengan sesi pembelajaran beliau setelah kerajaan Malaysia
menguatkuasakan bahasa pengantara untuk matapelajaran Matematik yang kini telah
bertukar kepada Bahasa Inggeris daripada Bahasa Malaysia sebelumnya. Cikgu
Nordin agak risau tentang kesan dasar baru tersebut terhadap pelajar beliau
terutamanya pelajar kaum Melayu yang agak lemah di dalam memahami teks bahasa
Inggeris.
“Saya tengok result
kamu ramai yang teruk untuk test bagi bab satu sampai bab tiga. Yang lulus lima
orang sahaja, lagi tiga puluh dua orang macam tak faham apa yang saya ajar
dalam kelas selama ini. Bab satu sampai bab tiga adalah asas kepada
pembelajaran add math keseluruhannya, jika ini pun kamu tak boleh nak score, saya
khuatir kamu tak faham bab-bab yang lain, macam mana saya nak berpindah ke
bab-bab seterusnya?”
Seluruh kelas tampak
sunyi. Tiada jawapan.
Ah Keet termenung
menatap kertas jawapan beliau. Beliau mendapat keputusan yang agak baik. Beliau
menjawab dengan betul lapan belas soalan daripada dua puluh soalan. Beliau
seorang yang agak tekun. Punya seorang bapa yang tegas, berpangkat tinggi di
sebuah syarikat pembinaan. Manakala ibunya pula seorang pegawai tinggi kerajaan
di Kementerian Sumber Manusia. Beliau jarang beraktiviti diluar, malah menumpu
sepenuh hari dengan menimba ilmu. Pagi beliau ke sekolah, petang menghadiri tuisyen
dan malam pula menatap homework dan membuat begitu banyak latihan. Semua kerja
akan diperiksa oleh ibu atau bapanya. Hidupnya umpama penjara bagi seorang
remaja belasan tahun. Barangkali atas nama kepatuhan dan disiplin yang diterap
dari kecil. Ah Keet tidak sekali membantah. Bahkan menganggap ianya sebagai
sebuah rutin kehidupan.
“Kalau kamu tak cuba,
kamu tak akan tahu dimana silap kamu, saya akan bagi kamu lima puluh buah
soalan sebagai latihan, duduk bersama rakan-rakan yang lebih tahu, buat
sama-sama, tanya kalau tak tahu, jangan jadi bodoh sombong. Kamu pun boleh
berjumpa saya di bilik guru atau bila-bila masa. Teruskan mencuba, jangan leka
nak main sahaja.” Pesan Cikgu Nordin kepada kelas tingkatan empat bestari.
Kertas latihan di edar
seluruh kelas. Cikgu Nordin memberi masa tiga hari untuk menyelesaikannya.
Hantar kepada ketua kelas.
Helmi menerima kertas
soalan yang diedar dengan perasaan yang sangat malas. Sambil melihat kertas yang
begitu banyak soalan, beliau mula sedikit kepeningan. Matematik bukan
matapelajran yang beliau minati. Mata beliau sempat menjeling kearah Janet,
yang hanya duduk selang dua meja di hadapannya, gadis Cina yang disukainya
sejak dari tingkatan satu lagi. Namun Janet tidak membalas cinta monyetnya. Tanpa mengetahui sebab musababnya.
“Saya tak suka you, you
pemalas!” kata-kata Janet ketika saat beliau melafaskan rasa hatinya tiba-tiba menjelma
dibenak fikiran Helmi. Dia tak pernah lupa. Dia juga tak pernah putus asa.
Janet seorang gadis
Cina yang baik. Dia datang dari keluarga yang sederhana. Dan menetap pula di
perkampungan Cina yang terletak di pinggir pekan Kuala Pilah. Bukan sahaja
lelaki Melayu yang gagal mendekatinya, lelaki sebangsa dia pun agak sukar untuk
bergurau-senda kerana dia agak sedikit menyendiri. Tetapi tidak lah seorang
yang pendiam, dia seperti gadis biasa-biasa, namun mungkin kurang selesa
didekati lelaki.
Loceng berdering
menandakan waktu rehat telah tiba.
Kelas jadi hingar
bingar.
Setelah keluar dari
kelas, cikgu Nordin meninggalkan kelas empat bestari dan terus berjalan menuju
ke kantin, menangguh untuk meletakkan buku-bukunya di bilik guru. Barangkali
kerana lapar atau malas.
Cikgu Badrul sudah pun
berada di kantin. Menikmati laksa dan Nescafe suam sebagai hidangan waktu
rehat. Memerhati cikgu Nordin menghampiri mejanya. Matanya membulat.
Cikgu Badrul adalah salah
seorang guru matapelajaran fizik di sekolah tersebut. Dia sangat menyokong idea
bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima iaitu Tun Dr Mahathir mengenai
penukaran bahasa Inggeris dari bahasa Malaysia untuk matapelajaran Matematik
dan Sains. Itulah antara cara terbaik untuk anak bangsa Malaysia dewasa ini untuk
mempelajari apa sahaja bidang di dalam dunia ilmu yang sangat luas ini.
“Cuba kau fikir Din, seperti
buku-buku rujukan untuk matematik dan sains, bahkan bidang kejuruteraan,
undang-undang mahupun bidang perubatan, kesemua buku yang ditulis oleh orang U.S.
atau orang Eropah. Kalau yang menulis itu orang India atau orang Indonesia
sekali pun, mereka juga menggunakan bahasa Inggeris, cuba kau bayangkan andai
anak-anak murid kita ini tidak menguasai bahasa Inggeris dari umur serendah sekarang,
mereka sukar untuk survive di IPT nanti.” Terang Badrul kepada Nordin.
“Iya, itu aku tahu,
bukan kah kita sendiri sudah punya matapelajaran bahasa Inggeris, hari Rabu
sebagai hari Bahasa Inggeris, pertandingan pidato berbahasa Inggeris,
pertandingan menulis esei bahasa Inggeris dan sebagainya. Bahkan banyak lagi
method yang boleh kita bentuk untuk memperkasakan bahasa Inggeris ini kepada
murid-murid. Penukaran ini hanya membelakangkan bahasa kebangsaan kita sahaja.
Jangan suatu hari orang Malaysia tak boleh cakap bahasa sendiri.” Nordin seperti
memberi peringatan pada Badrul.
“Aku tak rasa itu semua
boleh membantu semua pelajar, maybe hanya segelintir pelajar sahaja yang
mendapat faedah dari segala macam aktiviti berbahasa Inggeris kita selama ini.
Bukannya semua pelajar. Kita harus cuba method yang dicadangkan oleh Perdana
Menteri ini, kalau tidak kita sendiri tidak tahu hasilnya.” Badrul menyakinkan.
“Aku cuma risau,
sesetengah dari anak-anak murid aku tidak dapat tangkap apa yang aku explain,
kadang-kadang aku guna bahasa Malaysia sahaja atau aku rojakkan dengan English,
dengan harapan mereka faham.” keluh Nordin.
“Sudah lah tu, apa yang
penting, sekolah terpaksa mengikut dahulu apa yang disaran oleh Kementerian,
perkara baru yang dibawa oleh Kementerian ini semestinya mempunyai cabaran dan
halangan. Mungkin bukan anak-anak murid kita tahun ini yang mendapat faedahnya,
mungkin generasi selepas ini, siapa tahu? Lagipun, pelajar kita sekarang ini mungkin
sedikit terkejut. Lama-kelamaan okey lah tuh.” Pujuk Badrul kepada Nordin.
“Harap-harap begitu
lah.” Jawab Nordin ringkas.
Di kelas empat bestari,
pelajar-pelajar lain sudah keluar ke kantin, kecuali Helmi dan Tengku. Helmi
rasa tidak lapar. Manakala Tengku hanya menguyah roti yang dibawa dari rumah.
Helmi terus membelek-belek soalan latihan add math sambil memegang kepala.
Helmi tidak tahu mahu belajar bersama siapa untuk menyelesaikan masalah
matematik ini.
Helmi melihat Tengku.
Mata Helmi kuyu kecewa kerana Tengku juga sekufu dengan nya. Mempunyai level
pengetahuan yang sama dengan beliau. Harapannya tipis jika mereka belajar
bersama. Selalunya sesi pembelajaran yang membabitkan Helmi dan Tengku hanya
membawa kearah ngilaian gelak tawa dan menjurus kepada perkara-perkara lain
yang kurang berfaedah. Jarang sekali membantu pembelajaran.
“Jom pekena rokok
dulu.” Ajak Tengku kepada Helmi.
“Aku tak ada mood lah,
engkau pergi la dulu, nanti aku datang.” Balas Helmi lemah.
“Jangan lambat, nanti
aku habiskan.” Ugut Tengku.
“Suka hati engkau lah.”
Helmi merelakan.
Tengku mengeluarkan
sebatang rokok Winston light yang dikebas dari kotak rokok ayahnya di rumah
pagi tadi. Mujur dia masih menyimpan lighter yang diperoleh dari rakan-rakan
lepaknya semalam. Dia tiba di toilet, toilet penuh dengan pelajar lain. Tengku pun
membuang air kecil di mangkuk berdiri dan menunggu sebentar agar semua pelajar
di dalam tandas berkurangan.
Tunggu line clear.
Sementara itu, Helmi
masih di kelas. Termenung. Entah apa yang difikirkan. Masa depan atau
kesunyian? Tahun depan dia harus menghadapi SPM. Dia kembali melihat kertas
latihan add math tadi.
“Susah sangat ke soalan
tu?” Tegur Janet dari belakang.
“Eh, Janet…” suara Helmi
terkejut dari lamunan.
“Kalau tak cuba, mana
nak tau susah ke tak, bukan begitu?” suara Janet lembut.
Helmi sedikit terkedu
kerana tidak pernah ditegur Janet. Jauh sekali mendapat perhatian Janet sebegini
rupa. Helmi kali ini seperti mengalah dan mula merendah diri merasa dirinya
memang seorang yang pemalas. Kelu.
“Sudah lah, kalau tak
faham juga, mari lah join kita orang petang nanti, aku bercadang mahu bersama
Michelle dan Siti di perpustakaan, kalau you mahu join sekali pun tidak ada
salah nya…” Ajak Janet.
Bungkam.
Helmi takut.
Tetapi dalam sudut hatinya
seperti sangat mengiyakan ajakan itu. Beliau terlalu mahu bersama mereka
mengulangkaji pelajaran ini. Bersama Janet.
“Macam mana?” Soal
Janet seperti terdesakkan jawapan.
“Urmm… Boleh juga, tapi
kau tak kisah kan?” Helmi menduga.
“Kenapa perlu nak kisah
pulak?” Tanya Janet kurang mengerti.
“Kau tak marah aku
lagi?” Helmi berterus terang.
“Tidak. Aku tidak
pernah marah sama you. Cuma aku tidak suka perangai you sebelum ini yang merimaskan.
You terlalu mendesak.” Luah Janet.
“Iya lah… betul kata
kau, aku suka mendesak. Salah aku. Tapi,aku hanya mencuba sahaja kan?…” Tanya
Helmi sedikit malu.
“Banyak lah you punya
cuba. Ah!... forget it. Urm… Jangan lupa ya petang nanti. Jumpa di perpustakaan.”
senyum Janet manja.
Helmi hanya mengangguk
dan membalas senyuman.
“Okey.” Balas Helmi lambat.
Helmi seperti menerima
sedikit cahaya. Seperti ada bantuan dan kekuatan luar biasa memilih beliau
untuk merasa begitu gembira. Mana tidaknya, ditegur dan diajak belajar bersama
oleh gadis yang dia suka, sambil itu dia bakal pula menyelesaikan masalah
pembelajarannya. Dia berharap dapat berubah. Andai tidak semua, barangkali
sedikit.
Dia tidak berhenti
tersenyum.
Senyum seorang diri.
Ah Keet membasuh muka
di sinki tandas. Rasa sedikit lega selepas air paip yang sejuk itu menyentuh
kulit mukanya. Hari itu cuaca agak panas. Kulit pelajar Cina ini sedikit
sensitif. Cepat kemerah-merahan apabila terdedah kepada cahaya matahari. Bila
dibilas air, beliau rasa sedikit ketenangan darinya. Sambil mengelap tangan
dengan tisu dan ingin bergerak keluar dari tandas, Ah Keet terbau sesuatu. Beliau
kenal bau ini. Beliau melihat sekeliling. Barulah beliau sedar yang ada
seseorang rupanya sedang menghisap rokok di bahagian tandas yang paling hujung.
Dengan menggunakan cermin muka yang terletak didinding, beliau memerhati siperokok
tersebut, beliau sangat kenal dengan bayangan manusia itu. Iya, beliau sangat
kenal.
“Haaa,… engkau rupanya
Tengku!” sergah Ah Keet.
“Oiii… Ah Keet!... aku
ingat siapa tadi, kau buat aku cuak je...” jawab Tengku terkejut dengan suara sedikit
terketar.
“Bak sikit rokok kau
tuh, aku nak rasa.” Pinta Ah Keet.
“Sejak bila kau isap
rokok?” Tengku sedikit pelik.
“Aku pun nak cuba
jugak…” rayu Ah Keet.
“Biar betul engkau?”
soal Tengku.
“Betul lah, bak sini…”
desak Ah Keet.
“Nah!” hulur Tengku.
Rokok Winston Light yang
sudah tinggal separuh itu disedut laju oleh Ah Keet.
“Uhukkkk!!....
Uhukkk…!!” Batuk asap keluar dari mulut
dan hidung.
Tersedak.
Ah Keet memegang
lehernya sambil menahan perit ditekak. Ah Keet mencampakkan rokok dan
memijaknya dengan geram.
Ah Keet puas. Puas mencuba.
“Hahaha… nak sangat
cuba, kan dah kena. Hahaha…” tawa Tengku tanpa henti.
“Sudah lah, aku nak
cari air minum di kantin sekejap.” Ah Keet keluar dari tandas menuju ke kantin.
Memandangkan masa rehat
hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi, Tengku lekas menghilangkan bau rokok
di badan dengan hanya menyapu-nyapu uniform sekolahnya. Dengan mengharap ada
bau yang hilang. Sebiji gula-gula hacks dikeluarkan dari kocek seluar, dibuka plastik
gula-gula, dan di masuk ke dalam mulut, berjalan menuju ke kelas di tingkat 2.
Mengharap dengan memakan gula hacks ini bau rokok pada mulutnya akan hilang.
Ah Keet di kantin sedang menikmati air kotak berperisa
Oren. Tekak yang perit tadi terasa sedikit lega setelah dilalukan dengan air
oren tersebut.
Lega.
“Menyesal pulak aku try
rokok tuh tadi, Tiu nia seng…!” Sumpah Ah Keet sendirian.
....
**Penulis cuba meletakkan banyak watak didalam cerpen singkat ini. Seperti mana yang penulis fahami, cerpen tidak memerlukan begitu banyak watak. Namun, penulis tetap mahu mencuba merimaskan cerpen ini dengan watak. 'Cuba'an juga perlukan kritikan. 'Cuba'an ditulis sekitar Mei 2012.