Jumaat, 31 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 22

Assalamualaikum............(31 Disember 2010)(Jumaat). Mereka yang aku sanjungi.

Siapa pula lah yang aku sanjung sebegini rupa? Siap buat tajuk post lagi. Mungkin untuk memberi sedikit penghargaan - yang hakikatnya aku tidak mampu membalas jasa-jasa mereka. Ceritanya begini, ketika aku menerima tawaran menyambung pelajaran ke UiTM Shah Alam, aku ke'kering'an, tiada satu sen pun duit yang ada di dalam poket aku ketika itu. Bukan nak cerita pasal bayaran rumah sewa, membeli peralatan pembelajaran, buku-buku, pakaian  dan sebagainya, bahkan, nak buat procedure perubatan atau Medical Check-Up sebagai syarat untuk mendaftar di UiTM pun aku tak mampu nak bayar. Jadi, aku ketika itu agak risau dan sedikit buntu untuk meneruskan pengajian dan pernah juga terfikir untuk bekerja. Tapi, sebenarnya, aku adalah insan bertuah kerana telah dikurniakan Allah lima orang adik-beradik yang prihatin terhadap aku. Mereka lah yang membantu aku melunaskan kesemua perbelanjaan pengajian aku sebelum pinjaman pendidikan PTPTN aku diluluskan. Dan mereka inilah yang aku sanjungi. Mereka adalah Ambong - kakak yang sulung, Angah Amer - abang - yang kedua, Alang - kakak - yang ketiga, Apin - abang - yang keempat, dan juga Bangadik - abang - yang kelima. Ini bukanlah baru bagi mereka - membantu aku, sebenarnya sejak zaman sekolah lagi. Tetapi, seperti sedia maklum, perbelanjaan degree bukannya murah. Walaupun sebenarnya UiTM adalah yang paling murah. Tetapi untuk orang yang baru memulakan hidup di Shah Alam seperti aku, memang sangat memerlukan sokongan seperti ini. Terima kasih aku ucapkan kepada mereka. Harap aku juga dapat berbakti pula kepada mereka di masa depan. InsyaAllah.

Tidak lupa kepada yang melahirkan kami berenam, iaitu Mak yang tersayang. Yang tidak pernah langsung check result aku - samada okey atau tidak, kerana beliau tidak pandai untuk menilai grade yang digunakan di universiti kerana Mak aku orang kampung. Apa yang Mak aku mampu buat adalah beliau sentiasa memberi nasihat dan peringatan agar aku menjadi orang berguna. Sehingga kadang-kadang terkeluar satu dua perkataan yang agak pedih didengar, tapi penuh sarat nasihat yang sampai sekarang aku ingat. Antaranya, dia selalu membezakan aku dengan insan-insan lain yang lebih kurang umur dengan aku di kampung. Yang ketika itu mungkin aku agak nakal. Dan sekarang aku telah berjaya membuatkan Mak tidak mampu membandingkan lagi aku dengan sesiapa pun - maksud aku dari segi tahap pelajaran. Alhamdulillah.

Juga kepada ketua keluarga kami, iaitu Ayah. Ayah adalah orang yang paling kuat bekerja menyara Mak dan kami berenam dari kecil hingga selesai semuanya bersekolah. Aku masih ingat di ketika aku di Jengka, ketika itu aku ingin membuat pinjaman PTPTN untuk pengajian Diploma, aku perlu menyediakan slip gaji Mak dan Ayah aku. Jadi aku hubungi kampung menyuruh abang aku, Bangadik, untuk menghantar salinan tersebut. Mak aku tak kerja, jadi Mak aku tak perlukan slip, cukup surat menyatakan beliau adalah suri rumah. Ayah aku pula seorang pesara polis, itu pun polis bantuan zaman merdeka dahulu. Tetapi disaat aku dapat sambung belajar Diploma, beliau berkhidmat sebagai security guard di sekolah berdekatan rumah kami. Aku menyuruh abang aku menghantar salinan kad pesara ayah aku sahaja. Jadi aku akan gunakan salinan kad itu sebagai 'pendapatan keluarga' untuk proses permohonan PTPTN. Ketika aku menerima salinan tersebut, aku agak sedikit terkejut kerana pencen yang Ayah aku terima selama ini hanyalah sekitar plus-minus RM300 sebulan. Sungguh!.. aku tak pernah tahu dan tak pernah tengok selama ini. Sayu aku sekejap memikirkan bagaimana Ayah aku menyara kami semua ketika itu - iaitu sebelum beliau bekerja sebagai security guard. Tapi beliau tetap mampu, dan tidak pernah pula menunjukkan kesusahannya kepada kami. Ayah aku memang hebat.

Itulah dia mereka. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang berada di belakang aku ketika aku 'jatuh' dan 'berjaya' di dalam babak-babak kehidupan aku. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang selalu bergaduh dengan aku, berselisih faham dengan aku, dan akhirnya telah menjadikan kami saling mengambil berat dan saling bantu-membantu tanpa jemu. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang suka memarahi aku, mereka yang selalu mengutuk dan menyindir aku, hingga akhirnya tiada apa yang mampu memutuskan hubungan kekeluargaan kami yang telah terpatri sehingga kini. Mereka yang aku sanjungi adalah mereka yang bersama-sama merasa kesusahan dan kekurangan di dalam hidup,.. sebelum kami bersama-sama merasai dan menikmati kehidupan yang lebih baik dan cukup sederhana. Alhamdulillah - segala puji hanya bagi Allah, kerana Allah mengurniakan mereka semua kepada aku...


Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 21

Assalamulaikum........(16 Disember 2010)(Khamis). UiTM Shah Alam.

Aku ditawarkan ke UiTM Shah Alam sedikit lewat dari kawan-kawan aku yang lain - second intake. Aku, Shaikh dan Amad ketika itu sangat serabut mencari rumah sewa di Shah Alam, dah la kami bertiga aje. Sebab kawan-kawan yang lain semuanya sudah sebulan memulakan pengajian - sudah mempunyai rumah sewa dan ahli rumah masing-masing.  Sementara mendapat rumah sewa, kami bertiga menetap di rumah sewa Ijol. Rumah itu sudah penuh, ditambah pula dengan kami bertiga, menjadikan rumah itu sungguh pack. Suasana tersebut mendesak kami terus berusaha mencari rumah sewa lain tidak kira apa pun terjadi. Disamping usaha mencari rumah sewa, kami juga terus menerus mencari teman serumah. Kami bertiga mempunyai masalah kewangan ketika itu. Jadi, kami mencari rumah sewa yang mempunyai harga yang sedikit murah. Namun, gagal menemuinya. Yang ada hanyalah harga standard rumah sewa di Shah Alam ketika itu iaitu RM1000 hingga RM 1200 sebulan untuk sebuah rumah. Oleh sebab itu, kami perlu mencari sekurang-kurangnya lima orang lagi teman untuk duduk di rumah sewa tersebut.

Kami bertiga mengambil keputusan mencari  pelajar yang tiada rumah sewa ketika hari pendaftaran. Aku, Shaikh dan Amad mendaftar di dewan Annexe UiTM Shah Alam. Setelah selesai urusan kami, kami pun menunggu di luar dewan dan bertanya-tanya kan kepada pelajar-pelajar yang sama mendaftar bersama kami, adakah mereka sudah mempunyai rumah sewa, kolej atau tidak?.. Sebenarnya tak ramai pun kami tanya kerana kami juga agak segan, gaya kami macam orang jual barang pun ada.. Haha. Dan akhirnya kami bertemu Lukman. Lukman berasal dari Kelantan. Dia tidak berjaya mendapat perkhidmatan kolej, sama macam kami. Setelah berkenalan, dia setuju untuk duduk bersama kami. Alhamdulillah, kami sudah mempunyai empat orang.

Kami juga ada meminta bantuan dari agen rumah sewa. Agen rumah pasti mempunyai banyak contact. Mereka sudi menolong. Memang pantas, setelah beberapa hari, kami dihubungi agen menyatakan bahawa ada tiga orang pelajar juga sedang mencari teman serumah. Jadi kami hubungi mereka bertiga. Berjumpa lah kami semua di Restoran Mulus. Restoran yang terletak betul-betul di depan rumah sewa yang akan kami duduki. Mereka bertiga adalah pelajar degree, kos Kejuruteraan Elektrik. Mereka adalah Mail, Kue dan Fahmi(tulang). Setelah berbual, kami semua bersetuju untuk pindah terus ke rumah itu kerana rupa-rupanya mereka juga seperti kami, sudah tidak tahan dan malu untuk terus menumpang di rumah sewa rakan-rakan. Setelah kami duduk dirumah sewa baru kami, kami disertai pula oleh Naufal dan Adam. Naufal menyertai kami setelah keluar dari rumah sewa lamanya kerana masalah transport. Dan Adam pula menyertai kami kerana baru menerima tawaran degree - lewat sedikit dari kami. Duduklah kami semua di Pusat Komersial, Seksyen 7, Shah Alam. Kami juga adalah antara batch yang pertama menetap bangunan rumah kedai itu. Ketika itu Pusat Komersial tidak sesibuk seperti sekarang. Kalau sekarang nak cari parking pun susah. Penat lelah kami mencari rumah dan teman serumah ketika itu membuahkan hasil. Kami memulakan hidup baru, di bandar baru, di suasana baru, di persekitaran baru, dengan membawa harapan baru, azam baru dan impian yang semestinya lebih baru dan segar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan kami untuk menuntut ilmu.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Khamis, 16 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 20

Assalamualaikum........(16 Disember 2010)(Khamis). Saat akhir di Jengka Pahang.

Kalau diikutkan. Tiga tahun aku duduk di Jengka, banyak cerita aku yang boleh coretkan. Dari ketika duduk di Kolej, sehinggalah pengalaman duduk di rumah sewa. Dari gelak tawa nangis rakan-rakan, sedih pilu teman-teman, gaduh tumbuk sahabat-sahabat, sehinggalah kepada terhasilnya satu keluarga yang erat dan tampak jelas saling mengambil berat. Aku tidak mampu untuk coretkan semua cerita di Jengka Pahang. Biarlah ianya menjadi cerita dan bual tawa ku suatu hari nanti - jika diizinkan bertemu semula - semua watak-watak penting di dalam kehidupanku ketika di Jengka Pahang.

Di akhir semester aku di Jengka. Aku menjadi agak pemalas dan semakin lama semakin aku rasa nak grad Diploma lebih awal. Mungkin sebab dah nak dekat sangat nak grad. Jadi, kerja kursus aku jadi kerja yang paling ntah ape-ape pernah aku buat, subjek business plan aku menjadi kerja paling berterabur pernah aku buat, termasuk paper-paper final exam aku, dah la study gitu-gitu jek dan jawab pun ala kadar. Fikir masa tuh nak lulus aje. Nak grad. Yang paling simple aku buat adalah untuk paper Water Resources, seingat aku, masa exam aku submit paper tuh tak sampai sejam pun. Haha. Tak siap pun, ada la dua soalan aku jawab dari lima soalan besar. Cuak gak, takut tak lulus. Redha dan tawakkal. Dan Alhamdulillah, paper itu lulus juga. Sekadar lulus sahaja lah. Hehe.

Aku dan rakan-rakan mengisi borang untuk memohon menyambung ke pengajian Sarjan Muda(degree) di UiTM Shah Alam selepas grad diploma. Boleh dikatakan kesemua dari kami mengisinya. Suasana menjadi semakin teruja dan juga menjadi semakin sayu - kerana akan tamat diploma. Di samping memohon degree di UiTM Shah Alam. Aku dan Kent - melalui idea Kent - kami juga ada apply untuk sambung pengajian ke Universiti of Western Australia (kalau aku tidak silap, tak ingat nama universiti). Masih ambil course yang sama. Namun, aku membatalkan hasrat setelah melakukan beberapa procedure akhir kerana memikirkan perbelanjaan yang akan ditanggung. Aku bukan dari keluarga 'berada' seperti Kent. Jadi, aku tak mahu menyusahkan keluarga aku, sudah cukup aku membebankan mereka selama ini . Oleh itu aku memilih Shah Alam sahaja sebagai destinasi. Mungkin suatu hari jika aku mahu, baru lah aku akan ke luar negara untuk menyambung pengajian lebih tinggi - dengan duit sendiri. InsyaALLAH.

Meninggalkan Jengka memang menjadi impian semua musafir yang menuntut di UiTM Jengka Pahang, tambah-tambah lagi yang tinggal di luar negeri Pahang. Tetapi, apa yang sukar bagi mereka, termasuk aku, adalah meninggalkan kenangan-kenangan yang ada disana. Tidak semudah seperti melipat baju dari almari, menyimpan baju-baju di dalam beg, mengemas barang-barang keperluan, dan memasukkan kedalam kereta, terus memandu pulang. Tidak semudah itu. Walaupun sudah bertukar tempat, Jengka Pahang tetap punya keistimewaan.

Aku antara insan yang terakhir meninggalkan rumah sewa. Masih cuba menikmati suasana Pekan Jengka dan Kampus Jengka ini, mungkin ini kali terakhir - jika aku tiada sebab untuk kembali kesini lagi. Setelah pulang, bercuti lah semua rakan-rakanku dan aku, sambil menunggu keputusan peperiksaan, sebelum kami di sahkan grad secara rasmi. Dan sudah menjadi ramalan, majoriti dari kami semua nya lulus, ada juga yang cemerlang. Dan seorang demi seorang pula mendapat tawaran ke UiTM Shah Alam - termasuk aku. Sah!... memang ramai yang akan aku jumpa kembali di Shah Alam nanti. Jika dibandingkan dengan Jengka Pahang, Shah Alam tampak lebih mesra remaja, macam-macam ada, dekat pula dengan ibu kota Kuala lumpur, dan aku sebenarnya agak risau untuk menjalani pengajian di tempat yang sebegini - bandar Shah Alam. Berbeza dengan Jengka, aktiviti sosial remaja seumur aku di Shah Alam lebih bebas. Perihal akademik, aku tidak dapat menjangka apakah yang aku akan aku hadapi di dalam sesi pengajian nanti. Aku dengar degree berbeza dengan diploma. Agak susah.  Tetapi, bila fikirkan ramai kawan-kawan yang sama belajar di Jengka akan turut serta di Shah Alam, aku menjadi semakin berani. Didalam rasa keterujaan, aku panjatkan rasa syukur kepada Tuhan kerana telah menempatkan aku dikedudukan setinggi ini. Tidak semua orang berkesempatan merasainya.. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 8 Disember 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 19

Assalamualaikum..........(8 Disember 2010)(Rabu). Naik motor ke Terengganu.

Ini bukan kali pertama aku ke Terengganu. Selama aku duduk di UiTM Jengka Pahang, aku pernah ke Terengganu untuk tujuan kursus Biro Tata Negara, ketika itu aku bersama Basyir, Shaikh, Ekin dan Amiza. Selesai kursus tersebut. Aku, Basyir dan Shaikh telah dipelawa oleh Ijol untuk kerumah beliau yang terletak di Kuala Terengganu. Ekin dan Amiza pula ke rumah Yana. Disini, aku berkesempatan merasa udara dan suasana pantai Laut China Selatan, dan juga menikmati suasana hutan serta air yang sangat sejuk di Hutan Lipur Sekayu. Berkesempatan pula merasa makanan-makanan orang Terengganu, di samping menikmati suasana bandar, suasana kampung dan semestinya berinteraksi dengan orang-orang Kuala Terengganu. Memang menarik juga hasilnya. Tetapi bukan kisah ini yang aku mahu tulis. Aku mahu tulis mengenai perjalanan aku ke Dungun Terengganu daripada Jengka Pahang dengan menaiki motor Honda EX5 aku, yang lebih dikenali sebagai 'BFA' dikalangan rakan-rakanku. Kisah ini berlaku setelah batch aku tidak lagi mendapat perkhidmatan kolej. Dan kami harus menyewa rumah di sekitar Pekan Jengka. Dan disemester yang sama, housemate aku iaitu Joe, mempunyai seorang kakak yang akan melangsungkan majlis perkahwinan di Dungun, Terengganu - yang juga adalah rumah Joe. Maka, kami ahli rumah sewa bergabung dengan rakan-rakan lain yang juga menyewa sekitar rumah kami, bergerak secara konvoi dengan motor masing-masing ke Dungun Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak Joe itu. Aku dengan hanya menaiki EX5 cuba memberanikan diri menyertai mereka. Dan ini adalah antara keputusan paling cepat pernah aku buat - menyertai konvoi motor. Yeah!

Aku servis sekadar menukar minyak hitam dan plug motor aku sahaja. Dengan membeli tiub motor untuk disimpan dan akan dibawa bersama. Cukup sudah aku rasa. Maka, kami yang seramai lebih kurang 30 orang, yang juga 30 buah motor, bergerak ke Dungun, Terengganu. Dengan memakai baju sejuk berbulu berwarna coklat yang aku beli di kedai bundle, lengkap dengan sarung tangan dan helmet baru. Siap sedia untuk konvoi kali pertama dalam hidup aku. Haha. Aku tidak meresa risau sangat kerana di dalam kumpulan bermotor ini ada orang yang tahu membaiki motor - pomen, ada yang pakar arah jalan dan berbagai-bagai lagi pakar yang wujud di dalam kumpulan ini. Jadi, apa yang orang baru macam aku patut buat adalah mendengar arahan sahaja ketika berkonvoi.

Kalau aku tidak silap, kami bergerak awal pagi. Ini kerana kami akan tiba disana tengah hari atau petang. Apabila semua kenderaan sudah siap, kami pun bergerak. Di dalam perjalanan, sudah tentunya EX5 aku kalah kepada Yamaha LC, Yamaha Lagenda, dan semestinya jauh lagi ditinggalkan RXZ. Aku pun tak pasti berapa banyak jenis motor yang ada. Tetapi senarai tadi itu sudah cukup untuk mengambarkan kelajuan mereka-mereka ini, biarpun di jalan biasa, mahupun lebuhraya, kelajuan mereka tetap sama. Disebabkan aku selalu ditinggalkan oleh ahli yang lain, akhirnya, ketika kami berehat, mereka membuat keputusan agar aku dan pemilik EX5 lain agar mengetuai konvoi supaya tidak tertinggal lagi dibelakang. Perjalanan yang agak jauh. Boleh kata perjalanan bermotor ini adalah yang jauh pernah aku tempuhi. Naik kebas juga punggung aku melayan konvoi ini. Akhirnya, satu ketika, sampai juga aku di Dungun. Wah, lama juga. Setibanya kami disana, kami terus mencari rumah Joe dan melayan pula majlis perkahwinan kakaknya. Lama juga kami di rumah Joe.

Petang itu juga kami kembali ke Jengka, namun perjalanan pulang terasa lebih lama. Oh ya, kerana kami singgah di Cherating dahulu. Di sana kami berehat menikmati hari petang, kononnya mahu melihat matahari terbenam. Haha. Matahari pun tak nampak. Mungkin sebab kami terlewat sedikit - sudah senja. Setelah hari mulai gelap, kami bergerak terus ke selatan, yakni terus pulang ke Jengka Pahang. Perjalanan pulang ini masing-masing tidak memperdulikan EX5 lagi, mereka memecut dan siapa tertinggal, maka tertinggallah. Tetapi, yang menariknya, motor EX5 aku ni, agak sedikit perform ketika perjalanan pulang ke Jengka. Aku pun tidak tahu kenapa. Kerana ketika perjalanan pulang itu, aku mampu bersaing dengan motor-motor laju yang lain tanpa masalah. Laju sungguh motor aku - atau mereka yang bawa pelahan - aku pun tak tahu. Jadi, aku tidaklah ditinggalkan oleh mereka dan aku selamat sampai ke Jengka bersama mereka. Nampaknya semua gembira ,kecuali motor-motor kami sahaja - sudah pasti motor kami yang paling 'terseksa'.Hehe.

Penat badan tak mampu nak cerita. Tetapi, perjalanan ini sangat bermakna. Dahulu aku melihat keadaan ini dan menggelar mereka ini 'budak motor' - sebelum perkataan rempit memburukkan imej mereka. Kini, aku sudah merasa bagaimana menjadi mereka. Aku merasa puas, pengalaman ini cukup berharga. Apa pun aku tidak mungkin mengulanginya, kerana ternyata ianya sangat penat sekali. Ada juga aku bercita-cita, jika benar mahu konvoi, aku akan ulanginya suatu hari hanya jika aku memperolehi sebuah motor berkuasa tinggi. Hehe.:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 18

Assalamualaikum........(8 Disember 2010)(Rabu). Aku dan bunyi-bunyian.

Aku bukan lah pandai cipta lagu atau apa. Tetapi, aku telah mempunyai gitar kapuk sejak aku masih tingkatan lima sekolah menengah lagi. Material seperti itu tidak sepatutnya ada disisi orang yang ingin menduduki SPM seperti aku. Apakan daya, ketika itu, minat dan nafsu remaja aku sangat membuak-buak agar aku belajar bermain gitar. Belajar dari beberapa orang rakan dan juga melalui buku-buku yang aku beli di gerai majalah di tepi jalan pekan Kuala Pilah. Aku ada juga mengikut rakan-rakan ke sesi jamming mereka ketika di Kuala Pilah. Sehinggalah aku selesai peperiksaan SPM. Aku ketika itu hanya tahu bermain gitar telah dipelawa oleh Angah yang juga pandai bermain gitar, untuk menyertai dia dan Adril, Adril tahu bermain drum, untuk menyertai sesi jamming mereka, aku membantu mereka dengan bermain bass. Setelah beberapa bulan, kami bertindak untuk merakamkan 5 buah lagu hasil nukilan Angah, namun di olah oleh aku dan Adril ketika sesi latihan. dipendekkan cerita, sebelum aku ditawarkan ke UiTM Kuala Pilah, aku boleh dikatakan telah merasa sedikit pengalaman bermain muzik berkumpulan dan berpeluang pula merakamkan lagu-lagu punk rock versi sendiri di studio serba ringkas yang juga terletak di Kuala Pilah. Tetapi, kami ketika itu belum berkesempatan untuk perform kerana ketandusan peluang. Begitulah serba sedikit kisah perjalanan anak muda ini. Yang kononnya mahu sangat jadi musician. Haha.

Baiklah. Ceritanya pula di UiTM Jengka Pahang, aku tak terlepas dari dunia ini. Iaitu dunia muzik. Di asrama lelaki, bukan sukar mahu cari gitar kapuk, ada sahaja di bilik-bilik, maka, jelas lah untuk melihat siapa yang tahu main gitar, siapa yang tak tahu. Aku sudah semestinya apabila bosan, akan ke bilik rakan-rakan mencari hiburan, lalu ternampak gitar, dan akan dipetik sejauh mana yang aku tahu. Maka, menyanyi lah mereka yakni ahli bilik tersebut sambil melayan kerenah aku. Mungkin sedap atau tidak sedap atau hanya kerana melayan aku kerana datang ke bilik mereka.  Di UiTM Jengka Pahang ini juga aku telah dipelawa untuk turut serta dalam sesi jamming. Kumpulan yang dianggotai oleh Adam, Henry, Apis Sabri dan aku. Aku tidak berapa ingat. Mungkin hanya kami berempat. Atau ada lagi yang tertinggal. Aku rasa ahli nya berubah-ubah juga. Ada kala Zamru juga menyertai, Amad juga, serta Zain juga ada, dan yang lain-lain juga. Lagu apa yang dibawa? Urm... aku rasa genre-nya pelbagai. Adakalanya rock, adakalanya grunge, adakalanya punk rock, adakalanya... kami bawak saja lagu apa yang terlintas difikiran.Hehe. Namun, kumpulan ini tidak bertahan lama. Sejak ketiadaan Henry - kerana beliau berhenti belajar, maka gerakan kumpulan ini tidak lagi menyala. Dari nama Tong Kiat Tragedy ke Jengka Rejected, kalau sudah bukan bermain muzik itu masa depan kami, maka, tiada lah apa-apa yang boleh dibanggakan. Ketika aku bersama mereka juga aku tidak berkesempatan untuk perform. Tambahan umur kumpulan ini lebih pendek dari yang dijangka.

Begitulah suasana dunia bunyi-bunyian aku ketika di UiTM Jengka, Pahang. Tetapi, sehingga saat aku menulis ini, aku masih bersama Angah, tanpa Adril, namun mempunyai Apis sebagai drum dan Ah Cong sebagai second gitar. Haha, Mengarut sungguh perjalanan ini. Aku sendiri tidak dapat memberi komitmen kepada kumpulan walau di dalam keadaan sibuk atau senang. Hakikatnya muzik hanya hobi untuk orang seperti aku. Dan di Malaysia juga, orang yang mampu hidup senang dengan bermain muzik bukan lah ramai. Itu semua rezeki, dan semestinya mereka yang berjaya dalah mereka yang sangat berbakat di dalam bidang ini. Sekadar memasukkan nada bunyi di dalam kehidupan aku, agar hidup ini tidak sunyi, maka aku suka untuk memetiknya kembali suatu hari..:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Selasa, 23 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 17

Assalamualaikum........(21 November 2010)(Ahad). Taman Negara Pahang.

Di samping aku terbabit sebagai AJK di Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam (CESS), aku juga sempat berpengalaman memimpin seluruh batch aku untuk trip lawatan sambil belajar ke beberapa tempat sekitar Pahang untuk subjek yang berkaitan dengan batu dan tanah - tak silap aku nama subjek itu adalah Geologi. Aku dilantik sebagai Pengarah Projek. Aku tak berapa  ingat berapa yang banyak tempat kami pergi. Namun, yang paling terkesan di ingatan aku adalah lawatan ke Taman Negara Pahang. Kami ke Taman Negara untuk melihat jenis-jenis batu dan juga struktur muka bumi disana, serta semestinya kami merancang untuk cuti melancong!.. Seperti kata guru pengiring lawatan tersebut iaitu Encik M. Zul, "sambil menyelam, kita minum air".

Aku juga disediakan dua orang Penolong Pengarah iaitu Izzat atau lebih dikenali sebagai Kent, dan seorang lagi adalah Anas. Aku cukup bersyukur kerana aku dikurniakan pembantu. Sepatutnya, segala keputusan dapat dibuat dengan baik sekali kerana sekarang sudah terdapat dua lagi kepala yang akan memberi aku idea yang pelbagai untuk digunakan di dalam merangka aktiviti di Taman Negara. Tetapi, hakikatnya adalah, aku, Kent dan juga Anas mempunyai pemikiran dan pendapat yang sangat-sangat berbeza diantara satu sama lain, di dalam membincangkan apa sahaja perkara yang untuk lawatan Taman Negara itu nanti. Termasuk untuk isu tempahan asrama dan chalet, isu baju batch - warna baju dan design baju, isu makanan -  jenis makanan yang macam mana yang akan disediakan, banner - design dan warna, siapa mahu membuat itu, siapa mahu membuat ini, pemilihan beberapa AJK - ada yang mahu dan ada juga yang tidak mahu , cara-cara untuk menguruskan pelbagai ragam pelajar dalam batch kami - kawan-kawan kami, serta yang paling penting adalah untuk menjaga nama baik Encik M. Zul dan juga agar dapat menjayakan lawatan tiga hari dua malam kami di Taman Negara Pahang itu dengan jaya sekali.

Menjaga kebajikan makanan, kediaman dan kelesaan orang lain memang sesuatu yang agak sukar. Aku sentiasa mengharap agar kekurangan yang berlaku ketika menguruskan lawatan itu, adalah perkara remah dan  bukanlah perkara yang besar. Dan kawan-kawan aku lebih mengetahuinya. Maaf jika aku tersilap pandang. Aku pun baru belajar ketika itu. Tapi, kawan-kawan aku ketika itu adalah insan-insan yang baik dan sangat bagus yang pernah aku temui... hehe... Disamping bertindak sebagai ketua kepada yang lain, aku juga tidak lupa untuk menikmati lawatan ini. Berjalan masuk hutan di waktu malam pertama lawatan untuk menyuluh rusa dan kijang, di awal pagi keesokkan harinya pula mula berjalan masuk ke hutan semula dan menaiki bukit bukau untuk menikmati suasana sebenar hutan tebal Taman Negara Pahang, tidak cukup dengan itu, masuk pula ke dalam gua-gua yang terdapat di dalam hutan itu - aku tidak ingat nama guanya - nasib baik muat untuk aku masuk ke dalam gua sebab gua itu punya ruang-ruang yang sempit, berjalan di atas jambatan gantung yang menyambungkan pokok-pokok yang tinggi di dalam hutan tebal itu - aku memang gayat - tak tengok bawah aku dibuatnya, mengunjungi perkampungan Orang Asli sambil dihiburkan dengan beberapa aktiviti seperti belajar menggunakan sumpit, bermain air dengan menaiki bot laju melawan arus sungai Pahang, dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang disediakan oleh pihak agent dan juga yang aktiviti yang dibuat sendiri oleh kami.

Tiga hari yang penat diakhiri dengan rasa gembira - mungkin. Namun, setelah kami pulang ke kolej, kami kena pula menyediakan laporan lawatan tersebut untuk dihantar kepada Encik M. Zul, bab-bab buat laporan ini yang kami malas... Haha. Apa pun ianya adalah pengalaman yang menarik. Disamping punya pengalaman mengurus, dapat juga merasa masuk ke hutan tebal yang sebelum ini dilihat di dalam kaca tv sahaja. Dari saat ini aku mula berminat untuk travel ke banyak lagi tempat di Malaysia. Cuma di saat aku menulis ini, aku masih belum punya kesempatan. InsyaALLAH, suatu hari, dan kalau ditanya, mahu sahaja aku pusing satu dunia, untuk lihat tamadun-tamadun yang hebat di luar sana - sambil tulis buku. Hehe. Siapa tahu?... InsyaALLAH..:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Ahad, 14 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 16

Assalamualaikum............(15 November 2010)(Isnin). Perjalanan ke Zouk Club.

Jika dikira secara purata, jarak dari Jengka ke Kuantan, iaitu ibu negeri Pahang, dan dari Jengka ke Kuala Lumpur, iaitu ibu negara Malaysia adalah lebih kurang sama sahaja jaraknya. Oleh itu kebanyakan dari kami lebih terarah untuk ke Kuala Lumpur jika ingin meluangkan masa cuti yang ada. Pernah aku bersama tiga rakan aku iaitu Amad, Apis Sabri dan Zamru, bergerak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas semata-mata ingin menghadiri gig band Butterfingers di Zouk Club, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Band ini tidak lah asing bagi golongan remaja seusia kami. Jadi, keterujaan kami ketika itu agak tinggi. Kami akan bermalam di rumah sepupu Apis Sabri yang tidak silap aku terletak di sekitar Kuala Lumpur itu juga. Maka inilah kali pertama aku akan menjejakkan ke sebuah kelab malam yang agak elit di Kuala Lumpur.

Apalah istimewanya berada di gig ini? Tiada apa pun, hanya mahu merasa apa yang orang lain rasa. Bergembira melayan muzik tanpa sebarang pengaruh alkohol dan benda-benda mengarut yang lain. Siapa kata kalau nak berhibur perlu ada itu semua?.. Tidak semestinya. Dan jenis muzik grunge lebih serasi dengan jiwa kami berempat. Walaupun aku sendiri lebih menyukai lagu berentak punk ketika itu. Tapi ianya masih di dalam satu planet yang tidak jauh berbeza. Sebelum band Butterfingers beraksi, kami disajikan dengan band seperti Republic of Brickfields, OAG dan beberapa band lagi. Dan band OAG pulak adalah band yang aku sangat suka, sebab memang dah lama aku layan lagu mereka dari dulu. Setiap lagu mereka aku nyanyikan bersama. Suara Radhi memang ada kelas tersendiri. Melodinya punya keserasian dengan jiwa aku. Dan liriknya masih berkisar kehidupan remaja. Aku sukakan lagu mereka sehingga aku pernah bercita-cita membuat lagu seperti mereka.

Tiba giliran band Butterfingers, yang dianggotai oleh Emmet, Loque, Kadak dan Loko beraksi penuh bertenaga. Wah!.. Memang sama seperti di dalam corong radio. Sebijik!.. Lagu-lagu mereka tidak pernah menghampakan. Memang kami semua mengharap mereka membawa lagu-lagu lama. Lagu seperti Girl Friday, The Chemistry, Faculty Of Mind, dan lagu-lagu lama lain yang memang gempak habis. Di sokong pula dengan teknologi bunyi yang sangat bagus di Zouk Club, apa yang dipetik dan dimainkan band ini, jelas kegarangan dan kehanyutan irama Butterfingers mereka. Zouk Club bergegar malam itu. Banyak sungguh lagu dimainkan. Kalau tidak silap, band Butterfingers telah memainkan lebih 20 buah lagu untuk kami semua. Sangat puas. Selesai sahaja gig. Kami sempat juga bersalaman dengan mereka. Buterfinggers punya muzik sendiri. Berbeza dan bererti. Korang memang best!

Dan semestinya setelah selesai sahaja gig. Penat badan yang amat sangat. Dari Zouk Club, kami berempat berjalan kaki menuju ke KLCC dan duduk sebentar di kawasan sekitarnya. Menikmati lanskap malam di Kuala Lumpur dan kemudiannya kami menaiki bas dan menuju ke rumah sepupu Apis Sabri. Aku, Amad, Zamru dan Apis Sabri ketika itu tidak lah punya banyak wang, jadi kami bertekad membeli lima bungkus Maggi perisa curry dan dimasak di rumah sepupu Apis Sabri. Maka, makanlah kami berempat dengan gelak tawa sambil mengungkit beberapa peristiwa dan aksi ketika didalam gig tadi. Perut sudah kenyang. Mata sudah penat. Pagi esoknya kami harus bergerak kembali ke kampus Jengka Pahang. Lalu tidur lah kami berempat.

Empat remaja yang telah disajikan dengan hedonisma yang ringkas. Serba sedikit telah memuaskan hati anak muda berempat ini. Aku sendiri tidak bersetuju dan sakit hati dengan amalan hedonisma yang seperti tidak terkawal di zaman sekarang. Yang bagi aku, boleh merosakkan keseluruhan golongan masa depan negara iaitu golongan anak muda Malaysia. Tetapi, andai kata semua ini tiada. Kemanalah pula agaknya anak-anak muda sekarang melepaskan rasa jiwa mereka??... Mengharap si pemikir akan terus mencari penyelesaiannya. Risau juga... Dan untuk pengetahuan, band Butterfinggers sudah pun dibubarkan. Pemain gitarnya iaitu Loque pula sedang bergerak solo, dan kini bergelar Monoloque. Sekadar menceritakan perjalanan aku ke kelab malam itu. Untuk aku simpan apa sahaja yang aku pelajari dari melihat, mendengar dan berfikir, semoga ilmu ini mampu digunakan di masa hadapan kelak. InsyaALLAH.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 15

Assalamualaikum.........(15 November 2010)(Isnin). Berpersatuan.

Kehidupan di Jengka tidaklah menjanjikan keseronokan yang diimpikan oleh anak-anak muda zaman sekarang. Tiada banyak aktiviti hiburan yang wujud di pekan kecil ini. Sebaliknya, kawasan ini dipenuhi dengan hutan-hutan tebal dan juga sangat sedikit pembangunan yang didirikan. Tetapi pekan ini tetap istimewa. Walaupun tampak penuh dengan kehijauan alam disekeliling, pekan kecil Jengka ini tetap dilengkapi dengan pusat sukan futsal, snooker, stesen minyak dan kedai-kedai minum yang dibuka 24 jam serta beberapa ciri-ciri lain yang biasa terdapat di bandar besar masih terdapat disini. Tidaklah anak-anak muda seperti pelajar UiTM kampus Jengka merasa kekurangan ketika berada disini.

Di kampus Jengka aku terlibat dengan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Awam atau dikenali sebagai CESS (Civil Engineering Student Society) sebagai Exco Logistik. Hahaha... Sebelum masuk Universiti, aku dah set dalam minda aku, yang aku malas nak join mana-mana persatuan, mungkin jadi ahli tu boleh la. Tetapi di kampus Jengka ini aku agak ligat pula berpersatuan - dengan menjadi Exco. Bagaimana aku boleh terlibat menjadi Exco?

Ketika semester tiga, batch kami dikehendaki oleh abang-abang senior supaya mengadakan hari keluarga untuk pelajar kejuruteraan. Organisasi dibentuk dengan diketuai oleh Shaikh, kami semua bertungkus lumus mengendalikan hari keluarga tersebut yang lebih dikenali sebagai CEFAD (Civil Engineering Family Day). Susah senang di dalam menjadikan majlis tersebut kenyataan telah mengeratkan silaturrahim di antara kami seluruh batch. Dari suasana menaip kertas kerja, berurusan dengan pihak HEP, membeli barangan untuk digunakan di dalam aktiviti sukaneka, sehinggalah kepada suasana bersengkang mata hingga ke pagi untuk melukis dan mewarnakan banner. Didalam kekusutan itu wujud keseronokannya yang tersendiri. Alhamdulillah, majlis hari keluarga tersebut dijalankan dengan jayanya.

Semester berikutnya, semua senior kami yang memegang jawatan di dalam CESS meletakkan jawatan masing-masing setelah tamat tempoh masa perkhidmatan dan pemilihan baru harus dilakukan. Jawatan kuasa baru akan dipilih dikalangan pelajar di dalam batch kami. Sekali lagi kami menaruh harapan kepada Shaikh. Dan beliau memenangi kerusi presiden dengan mudah. Setelah presiden dan ahli majlis tertinggi dipilih. Maka, exco dibawahnya harus dipilih oleh Shaikh sendiri. Dan semestinya beliau memilih kawan-kawan yang dahulunya pernah terlibat dengan beliau di dalam beberapa aktiviti. Dan sebagai rakan, aku menerima perlawaannya. Hanya pinta aku ketika itu supaya tidak diberikan kedudukan yang berat. Cukup la sebagai exco biasa, dengan niat untuk support kawan-kawan. Dan Exco Logistik menjadi medium aku berpersatuan dikampus Jengka. Kesibukan untuk study, untuk jemaah tabligh, untuk persatuan, untuk rakan-rakan, menjadikan kehidupan aku sangat penuh dengan aktiviti. Setakat waktu itu, aku masih lagi seronok melayan kehidupan yang setiap hari laksana hari yang sangat bermakna bagi aku. Mungkin juga aku gembira kerana kawan-kawan ada disisi.. Maka, tak lah merasa bosan dan sunyi. Namun, cabaran sentiasa sahaja menanti...!!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Ahad, 7 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 14

Assalamualaikum.........(7 November 2010)(Ahad). Roommate baru.

Di hujung semester satu, kami semua harus mendaftarkan ahli bilik baru mengikut kos masing-masing. Jadi, aku dan roommate semestinya akan berpisah. Sebab kami semua lain-lain kos. Dan ini bukanlah perpisahan yang menyedihkan sangat kerana ianya hanyalah bertukar bilik sahaja. Tetapi, masih duduk di blok yang sama. Nampaknya aku akan punya masalah. Masalah untuk memasuki bilik manakah selepas ini? Siapa mahu terima aku? Budak-budak kos aku yang dekat dengan bilik aku pun semuanya sudah mempunyai roommate. Agak serabut jugak, aku masih mencari kesana dan kesini. Ada juga yang kosong, tapi, aku pula tak berapa rapat dengan mereka pada masa itu, jadi, aku lebih senyap dan menunggu untuk dipelawa, tak berani nak offer diri.

Akhirnya aku jumpa Syed Sofi, atau lebih dikenali sebagai iley dikalangan kami. Aku dan dia memang tidak mempunyai teman untuk mendaftar bilik. Jadi, aku pun berbincang dengan nya, tetapi kami perlu mencari dua orang lagi. Selepas masa berlalu terlalu lama, aku pula rasa sudah tidak dapat menahan sabar, kerana takut nanti disumbat masuk kemana-mana bilik yang aku tidak suka. Suatu ketika di dalam perjalanan menaiki tangga untuk kebilik masing-masing, aku mendengar perbualan dari dua lelaki ini, iaitu Ijol dan Jemy, yang tengah membincangkan perihal pendaftaran bilik untuk semester depan. Amad juga ada ketika itu jika aku tidak silap. Aku fikirkan mereka sudah cukup orang. Jadi aku diam sahaja la. Tetapi, mungkin sudah rezeki aku. Benarlah takdir itu milik Tuhan. Memang soalan yang aku perlukan selama ini akhirnya ditanya juga oleh orang. Dan soalan itu pula datang dari orang seperti mereka, soalannya berbunyi;

"Daud, ngko dah ada bilik?.."

Tanya mereka kepada aku,

"Belum..."

Jawab ku pelahan, sambil mengelengkan kepala lembut.

Dari hanya memandang anak tangga, aku mengangkat kepala memandang mereka dengan tanda tanya. Lalu, mereka tersenyum dan menawarkan aku untuk menyertai mereka kerana mereka juga hanya bertiga. Alhamdulillah, aku gembira, terasa lapang juga rasa hati, kerana terasa amat kusut sebelum ini. Namun tiba-tiba terfikir akan nasib si Syed, sebab aku sudah berjanji dengannya. Aku serba salah. Lantas aku memilih untuk bertindak sedikit kejam dengan menyambut pelawaan mereka bertiga tadi sahaja - malas nak fikir pasal cari roommate dah. Hal Syed itu nantilah aku selesaikan. Setelah beberapa hari, baru lah aku ketemu semula dengan Syed, dan Alhamdulillah, dia juga sudah ketemu teman biliknya. Jadi, nampaknya semuanya selesai.

Aku, Ijol, Jemy dan Amad. Memulakan semester baru sebagai teman sebilik. Apalah yang ada pada kami hanya lah keterujaan untuk meneruskan semester mendatang. Masing-masing mempunyai sikap yang agak positif dan semestinya kami semua amat berbeza. Berasal dari negeri-negeri yang berbeza juga. Aku dari Negeri Sembilan, Jemy dari Kelantan, Ijol dari Terengganu dan Amad dari Johor. Aku segan juga dan adakalanya terfikir yang aku ni sebenarnya tidak pun berada di dalam pelan awal mereka untuk duduk sebilik. Bersangka baik sahaja lah yang mampu aku lakukan. Kerana itu lebih baik... :)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 3 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 13

Assalamualaikum.......(4 November 2010)(Khamis). Melihat diri sendiri.

Pengalaman mengikut jemaah Tabligh keluar berdakwah memberi aku satu perspektif baru serta mengajar aku untuk rajin berfikir serta lebih terbuka didalam menerima pelbagai pandangan di dalam agama Islam. Dahulu aku pernah memandang serong golongan berjubah serta berserban ini. Mungkin kerana terlalu dimomokkan dengan jemaah-jemaah sesat di dalam masyarakat. Ketika itu juga aku semakin berminat menyelongkar beberapa kumpulan Islam lain yang wujud di dalam kelompok Melayu seperti golongan sufi atau tareqat, golongan Salaf, dan juga Syiah, yang kesemuanya mempunyai ramai pengikut di Malaysia. Tidak lah banyak yang aku teroka. Sekadar membaca ingin mengetahui. Jika benar tulisan yang aku baca, maka benarlah ilmu yang aku terima, jika silap ilmu yang aku terima, maka perlindungan Allah aku pinta, semoga memaafkan kami yang tiada daya upaya ini.

Aku tidak ingat berapa kali aku keluar mengikut jemaah Tabligh. Setiap kali keluar mengikut mereka, setiap satunya ada cerita tersendiri. Yang aku pelajari dari adab dan tertib yang menjadi pegangan mereka, sehinggalah kepada perkara-perkara luar dari jemaah yang harus di ambil kira. Aktiviti ziarah adalah aktiviti wajib di dalam jemaah ini. Menziarahi manusia dari rumah ke rumah, melalui pintu-pintu kediaman mereka, salam diberi dan menunggu tuan rumah keluar, jika salam sudah berjumlah 3 kali, maka, jemaah beredar dengan sangkaan baik terhadap tuan rumah. Dan jika tuan rumah berada dirumah pula, dan akan keluar menjawab salam, maka Amir(ketua jemaah) akan memperkenalkan jemaah kepada tuan rumah, dan kadang kala bertanyakan khabar, perkembangan serta kebajikan tuan rumah, perbualan selalunya terus berubah dari mengingati dunia kepada mengingati akhirat. Sedikit demi sedikit, bergantung kepada pengetahuan si tukang bicara. Ianya tidaklah mengambil masa. Selesai sudah. Tuan rumah akan dijemput untuk ke masjid berhampiran, masjid yang menjadi persinggah jemaah ini. Salam diberi, jemaah beredar dan mencari rumah lain pula.

Apa yang buat aku benar-benar teringat di dalam perjalanan dakwah Tabligh ini adalah setiap kali bertemu manusia di dalam aktiviti ziarah, aku dapat melihat pelbagai gaya jenis manusia yang muncul. Ada yang menyorok dari jemaah, ada yang keluar menyambut jemaah dengan baik, ada yang berat-berat ingin melayan, ada yang apa bila sedar kami datang -  mereka menukar seluar pendek kepada seluar panjang atau kain pelekat yakni untuk menghormati, ada yang sedang merokok akan memadamkan rokoknya, ada yang apabila kami selesai memberi tazkirah ringkas - mereka pula berceramah kepada kami - bukan pendek, bahkan lebih panjang berjela, ada juga kadang-kala menjadi debat yang kelihatan tenang dan ada ketika agak tegang, dan berbagai-bagai lagi keadaan. Aku suka melihat raut muka mereka ketika di berikan tazkirah. Dan kadang-kala aku melihat diri aku sendiri di dalam sifat-sifat mereka. Melihat banyak ciri  yang terdapat pada diri aku ini yang ada pada mereka, banyak persamaannya - dari dalam berbagai perkara. Membuat aku berfikir jauh mengharapkan diri ini berubah menjadi orang yang lebih berguna.

Aktiviti ziarah telah mengajar aku banyak perkara. Dapat melihat berbagai jenis manusia di berbagai tempat dan budaya. Berbagai jenis masjid pernah aku singgah. Berbagai jenis ragam AJK masjid yang kami pernah terima. Dakwah yang dilakukan kelihatan seperti mahu menyedarkan orang lain, namun, yang aku benar-benar nampak adalah, ianya sebenarnya adalah untuk sipendakwah sendiri, dan adalah untuk orang seperti aku yang mengikut aktiviti mereka. Telinga insan-insan di dalam jemaah adalah lebih banyak mendengar dan lebih dekat pendengarannya keatas setiap penyampaian tazkirah serta nasihat itu berbanding hadirin atau penduduk setempat yang mendengar dari jauh dan mendengar sekadar mana yang mampu. Semoga setiap perjalanan yang aku lalui memberi aku sedikit ilmu dalam menghadapi kehidupan mendatang. Segala perbuatan adalah dengan niat. Niat yang baik menghasilkan kesudahan yang baik, insyaALLAH. Semoga Allah melindungi iman kita semua. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Isnin, 1 November 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 12

Assalamualaikum....(1 November 2010)(Isnin). Malam puasa.

Berpuasa di bulan Ramadhan diperantauan memang tak sama. Yang paling kelihatan adalah mengenai juadah berbukanya. Makanan di Jengka Pahang tidak banyak berbeza, cuma mungkin sedikit istimewa kerana makanannya mempunyai pengaruh dari seluruh negeri, cakap sahaja mahu makanan dari negeri mana, ada sahaja semuanya. Bazar ramadhannya juga agak luas dan pelbagai. Aku sangat suka. Walaubagaimanapun, rasa makanan disini mungkin tidak terlalu kena dengan deria rasa aku. Aku belajar dan mula selesa untuk makan nasi kerabu adalah ketika di kampus Jengka ini. Itu pun sesudah beberapa semester. Dulu, di kampus UiTM Arau Perlis, ada juga. Tapi mungkin masih tidak biasa. Suasana di bulan puasa di Jengka sama sahaja. Aktiviti pun sama sahaja. Mungkin sebab aku sudah mula terbabit dengan jemaah Tabligh, maka aktiviti kerohanian aku agak terjaga. Alhamdulillah. Tapi masih ada kelemahan disana sini. InsyaALLAH diperbaiki.

Bulan puasa semester pertama memang ada cerita. Aku dan rakan selalu lepak di atas atap kolej Blok A. Aktiviti ini selalunya dilakukan di waktu malam. Ini sebenarnya adalah port lepak mereka yang merokok. Namun, akhirnya bertambah ramai ahli, tetapi masih di dalam kalangan rakan-rakan kami sahaja. Seronok juga sehinga aku pernah berbaring di atas atap, melabuhkan kepala di atas zink yang agak keras dan menghayati langit malam yang bersih tidak berawan. Dan rezeki aku, pernah mendapat peluang  melihat tahi bintang beraksi, namun hanyalah sekelip mata lalu. Subhanallah. Sangat mempersonakan.

Langit di kawasan Jengka Pahang jika dalam keadaan cuaca yang baik, memang langitnya cantik. Tambahan pula di malam bulan mulia Ramadhan ini. Ada sedikit lain perasaannya. Itu mungkin salah satu kelebihan pekan kecil Jengka. Aku sangat berani naik ke atas atap di waktu malam, dan ada kalanya lepak sampai ke waktu pagi, kerana ketika itu adalah bulan puasa, maka, fikiran aku tidak diganggu dengan benda-benda serta cerita-cerita mengarut itu semua. Menaiki tangga besi kecil di belakang bahagian tandas. Kalau dah naik ke atas atap, memang malas nak turun. Mungkin juga kerana aktiviti tersebut sangat baru ketika itu. Excited-nya lain macam. Tetapi, untuk semester-semester selepasnya, aktiviti tersebut tidak lah pula menjadi pilihan kami lagi. Aktiviti sentiasa berevolusi mengikut semester, dan semestinya sentiasa berubah setara usia seseorang manusia....!!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!! 

Jumaat, 29 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 11

Assalamualaikum.......(30 Oktober 2010)(Sabtu). Mereka tersenyum, aku pun tersenyum.

Sesiapa pernah ke Bandar Jengka, sudah pasti mengenali pasaraya yang megah berdiri di tengah-tengah pekan Jengka dan ianya adalah pasaraya yang pertama dibina di pekan ini - Pasaraya Mat Sapak. Pasaraya ini adalah seperti pasaraya kebiasaan yang lain. Ianya sudah cukup menjadi tempat untuk penduduk sekitar Jengka membeli peralatan dapur dan sebagainya. Setiap hari Sabtu pula, terdapat pasar malam di bersebelahan pasaraya Mat Sapak. Pasar malam yang menjual pelbagai macam barangan, pakaian, makanan dan sebagainya. Pasar malam yang sentiasa menjadi kunjungan mahasiswa UiTM, itu sudah pasti. Kehidupan aku diawal semester satu tidak lah terlalu aktif, kehidupan di dalam kampus - hanya pergi ke kelas kemudian pulang ke bilik semula, mahu makan pergi ke cafe atau dewan makan, mahu bersukan bermain bola atau join apa sahaja yang ada, kalau rajin aku ke Masjid Awis Qarni apabila masuk waktu solat atau kesudahannya duduk sahaja di bilik sahaja.

Peristiwa selepas maghrib, waktu aku keseorangan sahaja di bilik, bilik aku diketuk beberapa kali sambil diselangi dengan ucapan salam. Aku bangun membuka pintu sambil berligar di otak aku pertanyaan siapakah gerangan yang amat sopan bertindak sebegini?... Selalunya, pintu bilik dibuka tanpa salam dan isyarat langsung!.. Setelah menarik tombol pintu, aku agak terperanjat apabila yang mengunjungku adalah jejaka-jejaka jemaah tabligh yang seramai 4-5 orang. Meminta kebenaran untuk masuk ke bilik, dengan nada yang berat, aku membenarkan. Selesai semua mereka duduk, aku diperkenalkan dengan nama setiap dari mereka dan kemudian aku pula memperkenalkan diri. Apa yang aku tidak percaya,  baru ku tersedar, salah seorang dari mereka adalah senior aku di UiTM Kuala Pilah dahulu, Zarep nama beliau. Tapi, aku tangguhkan untuk menegurnya kerana dia agak diam ketika bersama jemaah itu. Aku diberikan sedikit penerangan mengenai kerja-kerja dakwah dan seterusnya dipelawa turun ke Masjid untuk solat Isyak bersama-sama dan akan ada sedikit ceramah selepas itu. Salam diberi, mereka pun beredar.

Aku kembali duduk semula, dan terfikir, kenapa aku begitu berat untuk membenarkan mereka masuk sebentar tadi??.. Adakah kerana aku membenci perbuatan mereka? Atau mungkin kerana aku tidak kenal mereka - jemaah Tabligh. Mungkin juga kerana aku tidak suka diceramah atau dipesan. Mungkin kerana aku tidak suka diajar perkara yang kononnya aku sudah tahu - agama... Ahh!.. itulah diri aku ketika itu. Apalah sangat yang aku tahu??!!.. Dan hari demi hari, aku mula cuba mendekati mereka, cuba memahami mereka, dengan memaksa diri untuk duduk bersama di majlis Ta'lim mereka yang selalunya diadakan selepas waktu Asar, mereka akan membaca beberapa potong hadith dari Kitab Fadhilatul Amal karangan Maulana Zakaria, dan memperdengarkannya dalam nada yang sederhana. Hari demi hari aku mula berasa selesa bersama mereka.

Dan suatu malam, selepas Isyak, aku duduk di majlis bayan(ceramah) dengan mendengar ceramah mereka. Tiba-tiba aku mula terasa mahu belajar, terasa mahu mengikut mereka. Rezeki aku, Alhamdulillah, hujung minggu tersebut mereka akan keluar berdakwah ke sekitar kawasan Jengka selama tiga hari. Selesai sahaja bayan, mereka mengesa hadirin agar berazam untuk keluar berdakwah . Dan meminta sesiapa yang berniat supaya bangun dan memberikan nama. Lantas, seorang demi seorang pelajar bangun menyatakan hasrat. Masa berlalu dan aku masih duduk disitu. Dengan tekad, aku mengangkat tangan seraya berkata;

"..Daud, keluar 3 hari InsyaALLAH..."

Ucapan aku disambut oleh beberapa orang ahli mereka;

"...InsyaALLAHHH..."

Mereka tersenyum kepadaku dan aku pun tersenyum semula. Berfikir panjang juga pada mulanya. Tetapi jika bukan sekarang aku berusaha mengenali golongan ini. Bila lagi? Malam itu sukar untuk aku tidur, mungkin kerana asyik memikirkan perkara yang akan di hadapi nanti, namun aku yakin, bahawa aku sudah bersedia untuk menyelongkar dunia baru yang bakal aku harungi ini...!

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 10

Assalamualaikum........(29 Oktober 2010)(Jumaat). Ketika tiba di Jengka, Pahang.

Perjalanan yang mengambil masa yang agak lama, bergerak dari Kuala Lumpur di awal pagi, menelusuri lebuhraya karak yang berbukit bukau, dan akhirnya menemui kawasan ladang kelapa sawit yang sangat luas. Permandangan yang sama sahaja - kelapa sawit kiri dan kanan. Setelah bergerak lebih jauh, baru lah ketemu akan sebuah pekan kecil yang dinamakan Bandar Pusat Jengka. Kampus UiTM Jengka terletak disana. Setibanya di kampus Jengka, suasana tidak lah sesukar mana, kerana kali ini semua dokumen sudah aku sediakan. Mungkin kerana pengalaman membuatkan aku lebih bersedia. Selesai procedure pendaftaran, aku ditunjukkan bilik tidur di tingkat empat asrama Blok A. Mendapat bilik yang muat untuk empat orang. Duduk bersama dua orang pelajar jurusan Business iaitu Faiz dan Fadhil, serta seorang lagi adalah pelajar jurusan Sains iaitu Ijan.

Bilik budak-budak jurusan Kejuruteraan Awam (KA) hanyalah sebelah menyebelah dengan bilik aku sahaja. Tetapi aku belum bersedia menegur kesemua mereka. Aku tidak lah merasa terlalu asing berada di UiTM Jengka ini kerana kawan-kawan Pra-Sains 2 UiTM Arau dahulu juga ramai yang mendaftar di sini dan ada diantara mereka sama kos dengan aku, seperti Shaikh, Faxrurozi, Aswadi, Suryani dan...urmm.. itu aje la kot. Di dalam kelas pertama aku, barulah aku dapat melihat muka-muka sebenar pelajar KA dan rupa-rupanya budak lelaki kelas aku kebanyakannya menetap sama level dengan bilik aku. Nampaknya suasana akan jadi lebih meriah. Kehidupan disini semakin rancak. Segala-galanya baru bagi semua orang. Kami tampak gembira.

Aku pada awalnya lebih banyak masa dihabiskan bersama rakan-rakan bilik(roommate), pergi ke dewan makan bersama dan melihat kawasan sekitar UiTM juga bersama. Ketika ini aku mengenali ramai pelajar jurusan Business. Iye lah, aku asyik bersama roommate dan mereka pula bersama rakan jurusan mereka. Setelah beberapa ketika, baru lah aku mula serasi dengan rakan-rakan satu kos dengan aku. Aku tidak berapa ingat dengan siapa aku mula rapat. Dengan budak-budak bilik Itok, sebab bilik mereka dekat, atau dengan Ijul, sebab aku pernah makan bersama dia di cafe. Iya lah, ramai kot, aku agak selesa dengan semua orang. Tidak menjadi masalah besar untuk bergaul. Menjadi seorang pelajar, menjadi seorang anak lelaki, menjadi seorang adik, menjadi seorang sahabat, menjadi seseorang kepada seseorang yang lain, dan juga yang paling penting menjadi hamba Allah, adalah sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan. Tanggungjawab ini dipikul atas pilihan sendiri, dan atas ketentuan Allah yang semestinya adalah yang terbaik untuk hamba-nya ini.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 9

Assalamualaikum......(28 Oktober 2010)(Khamis). Menyambung Diploma.

Perjalanan kursus Pra Sains 2 aku di UiTM Arau Perlis berjalan agak lancar. Carry mark juga agak selesa untuk semua subjek. Carry mark adalah 40% markah yang kita perolehi untuk sepanjang semester terdiri daripada test, assignment, projek dan lain-lain. Selebihnya sebanyak 60% terdapat pada peperiksaan akhir semester atau lebih dikenali sebagai final exam. Keselesaan ini seterusnya membawa kepada keyakinan yang tinggi dalam menjawab setiap kertas final exam aku. Kebanyakan dari kami amat gembira dengan soalan-soalan final exam dan semestinya ramai di antara kami yakin akan berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma. Borang sudah diisi, aku memilih Kejuruteraan Awam (Civil Engineering) kerana melihat kos ini lebih mudah difahami (mungkin) berbanding Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekanikal. Kenapa Kejuruteraan? Kerana aku minat bidang ini.

Untuk pulang ke tempat masing-masing selepas final exam berakhir, kami semua memilih untuk menaiki keretapi express. Keretapi ini akan berhenti di stesen Kuala Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa lebih lama dari perjalanan menaiki bas. Sangat memenatkan, namun seronok - pengalaman baru. Apa lah yang hendak dibuat di dalam keretapi selama lebih 12 jam (mungkin lebih), berjalan ke hulu dan ke hilir. Berbaring di tempat duduk yang tidak begitu selesa untuk tidur, duduk di cafe keretapi yang menyediakan makanan dan minuman yang mahal. Apa lah yang boleh dibuat sangat. Layan sahaja. Bergerak dari Perlis sekitar petang. Tiba di ibu kota Kuala Lumpur sekitar subuh keesokan harinya. Wah!,.. penatnya badan tidak dapat digambarkan.

Sarapan bersama nasi lemak dan kopi O di KL Sentral. Rehat untuk tenangkan badan yang sudah dipaksa terkurung di dalam keretapi begitu lama. Masing-masing kelihatan sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah. Mata yang kuyu kepenatan ditambah dengan ketidak selesaan badan. Berpecahlah kesemua mereka ke destinasi masing-masing. Perpisahan yang diakhiri dengan pelukan dan salam. Juga pesan-memesan supaya jangan  melupakan antara satu sama lain. Maka, bergeraklah mereka. Ada yang ke Melaka, Seremban, Selangor dan lain-lain tempat. Aku meneruskan perjalanan menaiki keretapi untuk ke Seremban. Dan akan menaiki bas pula untuk ke Kuala Pilah. Kepulangan disambut dengan senyuman dari mak dan ayah sudah cukup untuk membuat hati anak lelakinya ini berbangga dan puas. Sangat gembira.

Cuti semester sementara menunggu tawaran diploma, aku membanting tulang membantu keluarga menyiapkan majlis perkahwinan kakak(Alang) aku. Rumah ini rumah pengantin perempuan, anak gadis pertama pulak tuh yang berkahwin, semestinya ibu aku orang yang paling sibuk. Majlis berjalan seperti majlis perkahwinan kebiasaan. Namun, kemeriah majlis tetap tersendiri. Dihadiri oleh orang yang jarang sekali diketemukan. Diperkenalkan oleh mak kepada mereka, sebagai ahli keluarga. Dan aku juga gembira menerima ahli keluarga yang baru (Abang Ipar - Abang Arin). Majlis tersebut selesai dengan selamat. Selang beberapa hari, aku mendapat surat tawaran Diploma. Aku dapat seperti yang aku minta. Diploma Kejuruteraan Awam. Aku terpilih untuk ke kampus UiTM Jengka Pahang. Dengar cerita tempat nya agak corok(pedalaman). Disebabkan ahli keluarga aku ramai yang sudah mengambil cuti ketika majlis perkahwinan, hanya pasangan pengantin sahaja yang masih mempunyai baki cuti - mereka cuti sangat lama. Maka, merekalah yang menghantar aku ke Jengka, Pahang. Bergerak ke Pahang bersama pengantin baru, aku membawa harapan dan impian serta sudah sedia menerima kehidupan baru yang akan menentukan hala tuju kehidupan aku. Dan UiTM Jengka Pahang menjadi destinasi untuk pengalaman itu!!...

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Khamis, 28 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 8

Assalamualaikum........(28 Oktober 2010)(Khamis). Berjalan dan berfikir.

Ketika aku di UiTM Arau Perlis, seluruh negara dikejutkan dengan kejadian bah laut yang terbesar dalam sejarah nusantara iaitu peristiwa tsunami pada Disember 2004 yang telah mengakibatkan ramai manusia terkorban. Peristiwa malang ini membabitkan Bandar Aceh, Sri Lanka, India, Thailand, beberapa pantai Malaysia di Selat Melaka dan juga beberapa bahagian lain lagi. Ketika ini Pak Lah menjadi Perdana Menteri, dan beliau telah bertindak membatalkan semua sambutan Tahun Baru untuk tahun 2005. Ketika itu, aku dan rakan-rakan tetap bertindak mencari sesuatu aktiviti untuk Tahun Baru dengan menyewa beberapa buah kereta dan menyusun rancangan untuk ke Pulau Pinang di hari malam Tahun Baru 2005 (malam New Year).

Ini lah kali pertama aku memasuki sebuah pulau dan melalui sebuah jambatan yang sebelum ini hanya aku lihat melalui gambar dan melalui kaca television sahaja - Jambatan Pulau Pinang. Di Pulau Pinang juga tiada apa-apa sambutan dilakukan. Maka, malam tersebut kami hanya banyak berpusing-pusing ke sekeliling kawasan Butterworth dan menikmati suasana malam di pulau yang berangin itu. Kami juga singgah ke kawasan Gurney yang juga terkesan sedikit akibat tsunami. Sebenarnya, tiada lah banyak yang boleh kami lihat dari kesan bah laut terhadap pantai disana. Ada juga segelintir remaja yang tetap melakukan aktiviti hiburan untuk menyambut Tahun Baru, tetapi masih di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Bandar Butterworth sebenarnya adalah bandar yang agak old scholl kerana masih banyak rumah kedai ala-ala koboi. Kelihatan agak klasik juga. Aku memang suka perkara yang klasik. Malam itu kami berpusing, ada kala kami terpecah, ada masa kami tersesat, melihat kerenah mat rempit berlumba sehingga polis tiba - kami juga lintang pukang lari kerana takut dituduh terbabit walaupun hanya menonton, melihat kerenah bapuk-bapuk berkeliaran, melihat pergaduhan di luar pub, dan macam-macam lagi. Banyak perkara boleh didekati pada malam itu. Selesai berpusing, kami mencari parking di tepi pantai, ada yang melelapkan mata didalam kereta, ada yang berbual-bual. Menjelang Subuh, kami bergerak mencari masjid atau surau. Rupanya susah sungguh untuk mencari rumah Allah di Pulau ini. Setelah mencari dan bertanya kepada orang sekeliling, Alhamdulillah, akhirnya kami ketemu sebuah surau kecil, kami berhenti solat Subuh dan berehat disitu.

Sesudah cerah, kami bergerak meninggalkan pulau dan menuju ke Seberang Perai, yakni daratan bagi negeri Pulau Pinang. Kami memilih untuk ke UiTM Pulau Pinang untuk bertemu rakan masing-masing. Aku memilih untuk mencari rakan-rakan ku ketika di UiTM Kuala Pilah dahulu. Sudah lama tidak berjumpa mereka, sekali berjumpa membawa kepada perbualan yang agak lama. Kisah demi kisah dibuka, sambil berkesempatan merasa makanan-makanan disana. Sedap juga.

Melalui UiTM aku dapat menjelajah ke seluruh Malaysia. Ketika aku di UiTM Kuala Pilah, aku berpeluang untuk ke Negeri Kelantan, iaitu ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), PCB telah dipilih sebagai lokasi kursus Biro Tatanegara kami. Kursus selama tiga hari ini sangat seronok dan menarik, serta tentatifnya tidak ubah seperti kursus Biro Tatanegara yang lain. Berpengalaman solat subuh di tepi pantai PCB, menghirup udara segar dan juga menikmati makanan-makanan disana. Selesai kursus, kami singgah di bandar Kota Bharu. Membeli sedikit barangan bukti pemergian ke Kelantan untuk dibawa ke rumah. Melihat tempat orang, untuk orang seperti aku adalah amat mengujakan, dan banyak yang boleh dipelajari. Dengan melihat dunia luar dan asing dapat membuka minda manusia agar tidak lah tepu atau tidaklah seperti masih duduk "di bawah tempurung".

Disamping kita dapat belajar dan melihat budaya orang lain, secara tidak langsung kita dapat menghayati ciptaan Tuhan yang Maha Esa, yang sangat indah dan maha menakjubkan. Subhanallah, kenapa setelah segalanya yang Tuhan berikan dan kurniakan, masih ramai manusia yang menjadi penentang yang nyata?! Ya Allah, ampunkan kami, maafkan dosa-dosa kami. Semoga Allah memberi petunjuk kepada hamba-hambanya yang kerdil ini dan memohon janganlah Kau pesongkan hati kami, setelah Engkau beri kami petunjuk. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 7

Assalamualaikum.......(28 Oktober 2010)(Khamis). Kemudahan dan kurniaan

Adalah perkara biasa, jika kita terdengar kisah-kisah seram apabila tiba di mana-mana asrama. Tambahan pula untuk kampus UiTM Arau di Perlis ini yang memang sudah lama dibina. Tetapi, biasa lah. Aku selalunya ambil endah tak endah akan berita tersebut sebab aku sendiri pun penakut. Haha. Kolej yang aku duduk, kolej Cengal, adalah kolej yang baru. Design pun baru. Apa yang menarik disini adalah meja study dalam bilik kami. Meja disediakan setiap seorang. Jadi dalam bilik ada 4 buah kerusi dan 4 buah meja. Semuanya menghadap kedinding. Setiap meja disediakan sebuah lampu 'pendaflour kecil' yang dilekatkan didinding. Suiznya juga berlainan setiap satu. Kami merasa lebih selesa sebab ahli bilik yang lain boleh menutup lampu utama jika mereka ingin tidur. Dan bagi sesiapa yang ingin mengulangkaji, boleh menggunakan lampu 'pendaflour kecil' tersebut. Mengulangkaji diwaktu malam memang agak seronok. Memang benar kata orang, kemudahan yang baik menjadi faktor utama dalam mewujudkan mewujudkan suasana yang lebih selesa.

Jika tiada kelas pagi keesokkan harinya, aku akan selalu mengulangkaji sehingga subuh. Dan itulah amalan peribadi aku di UiTM Arau. Kadang-kadang aku seorang sahaja mengulangkaji. Kadang-kadang aku juga bertemankan rakan-rakan. Bila ada teman, selalunya aku tidak mudah bosan. Banyak la perkara boleh dibualkan di dalam sessi pembelajaran itu. 

Tetapi, semua ini berubah sekitar hujung semester. Apabila kolej Cengal kecoh dengan berita seorang pelajar ternampak bayangan manusia berjalan-jalan kesana kemari di atas atap asrama kami di waktu malam. Dan kadang-kadang bayangan tersebut itu  melompat-lompat dari satu blok ke blok yang berlainan. Cerita tersebut telah tersebar dan semestinya telah mematikan rutin harian aku dan rakan-rakan untuk berjaga malam, dan ramai yang mengambil keputusan untuk tidur lebih awal.Haha. Kelakar juga jika difikirkan kembali. 

Apa sahaja yang terjadi ada hikmahnya. Dan apa sahaja yang tersedia itu adalah yang terbaik untuk kita. Mungkin ada orang tidak perlu berjaga malam dan berusaha gigih untuk belajar. Namun, keputusan peperiksaannya lebih hebat dari kita. Ada juga orang yang Tuhan kurniakan sedikit kelebihan di dalam otaknya agar cepat menangkap apa yang diajar oleh pensyarah. Golongan ini hanya menyemak sedikit sahaja apabila peperiksaan tiba, kerana manusia jenis ini cepat memahami konsep yang diajar. Itulah kuasa Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang manusia kerdil ini tidak ketahui. Namun, ramai manusia tidak bersyukur dan menggunakan pula kurniaan Tuhan itu  untuk perkara-perkara batil. Bagi aku, aku belajar cara aku, orang lain belajar cara mereka. Masing-masing ada cara. Tetapi tiada masalah jika kita sentiasa bertukar selera dan cara. Itu lah indahnya menuntut ilmu. Setiap jiwa rasa teruja untuk menerima ilmu, dan juga sedia untuk meluahkannya kembali suatu hari nanti, insyaALLAH.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Rabu, 27 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 6

Assalamualaikum......(27 Oktober 2010)(Rabu). Yakin dengan diri

Di Perlis ini terkenal dengan ladang tebu terbesar. Rakyat Perlis pun tak kurang ramahnya - tambahan pakcik-pakcik teksi di sekitar Kangar. Mungkin sebab pelajar adalah punca rezeki bagi mereka -  maka, mereka lebih ramah dengan kami. Di UiTM Arau Perlis ini aku dapat merasai nikmat duduk di Universiti. Mungkin sebab suasananya berbeza dengan kampus Kuala Pilah. Dengan saiz kampus yang agak besar - kampus Arau adalah kampus cawangan terbesar di Malaysia. Tidak bosan untuk kita pusing-pusing satu kampus, aktiviti kebiasaan aku dan rakan ketika awal semester. Kelibat mahasiswi juga lebih ramai dan lebih berbeza. Hehe.:)

Petang di kampus Arau adakalanya kami bermain bola sepak. Rajin sungguh aku bersukan disini. Mungkin sebab boleh dapat ramai kawan. Sebagai teman gelak tawa. Kehidupan disini nampaknya lebih baik. Lebih meyakinkan. Jauh dari keluarga membawa aku untuk lebih menghargai setiap tindakan yang dilakukan. Terus terang aku katakan. Aku semakin yakin ketika di kampus Arau ini. Pensyarah-pensyarah juga majoritinya baik dan kelas juga lebih menarik. Cuma, mungkin pensyarah Bahasa Inggeris sahaja yang agak tegas sedikit. Siapa datang lewat, memang tak berpeluang untuk masuk kelas. Kehadiran di UiTM adalah penting. Tiga kali tidak hadir secara berturut-turut tanpa sebab boleh menyebabkan anda tidak layak mengambil peperiksaan. Dan disebabkan budak kelas aku ramai berasal dari Kelantan, maka lebih ramai yang suka mendiamkan diri di dalam kelas Bahasa Inggeris. Termasuklah aku. Haha.:D

Suasana malam di sini juga meriah. Ada tiga medan selera di dalam kampus ini. Ada 'Kulat', 'Mushroom' dan juga ada 'Orange'. Aku tak pasti nama ini kekal atau tidak sehingga sekarang. Mungkin istilah ini juga boleh berubah mengikut masa. 'Kulat' adalah yang paling dekat dengan Kolej Cengal - asrama aku. Aku selalu lepak di'Kulat' selain lepak di Dewan makan Kolej Cengal. Pelajar sebenarnya disediakan makanan percuma di dewan makan setiap kolej. Tapi biasa lah, pelajar di Malaysia sangat memilih dengan makanan.

Suasana di dalam asrama adalah persis seperti suasana asrama yang lain di Malaysia. Waktu siang mungkin lebih sunyi - ramai ke kelas. Kehidupan asrama di waktu malam adalah yang paling meriah dan menyeronokkan. Suasana bermula selepas maghrib. Jejaka-jejaka jemaah tabligh mula berdoa di luar surau, dan seterusnya bergerak dari bilik ke bilik untuk berjumpa saudara seagama. Ada satu peristiwa, ketika sebelum aku benar-benar mengenali jemaah ini, aku sendiri melarikan diri kerana takut dikunjungi. Masa mematangkan manusia untuk menerima nasihat dan juga menerima pendapat orang lain dan menilai dari pelbagai perspektif. Baik atau buruknya seseorang atau sesebuah kumpulan tiada siapa layak menghakiminya selain Allah.

Setiap malam akan ada sahaja orang yang berjaja dengan membawa plastik besar berisi burger atau pun 'Hotdog'. 'Hotdog' di Malaysia juga dipanggil sosej. Mereka mengetuk pintu dan menyebut nama barang yang mereka jual... "..Burger...burger...hotdog...hotdog...".. Harganya juga berpatutan. Sesuai untuk pelajar yang lapar di waktu malam. Bercerita tentang 'Hotdog'. Aku teringat kisah aku ketika di sekolah rendah, ketika di dalam rombongan sekolah. Aku pernah membeli 'Hot Dog' dan membawanya ke dalam bas. Aku ditanya rakan aku;

"Apa kau beli tu Daud..??...."

Tanya rakan ku,

"..'Anjing Panas'..."

Jawab aku selamba.

Rupanya, perbualan aku itu didengari oleh cikgu pengiring rombongan kami, yang juga cikgu berbahasa Inggeris di sekolah aku. Beliau memarahi aku dengan menyatakan bahawa 'Hotdog' bukan lah bermaksud 'Anjing Panas'. Menasihatkan aku supaya tidak mengulanginya.Aku mengangguk dan mendiamkan diri. Walaubagaimanapun ketika itu aku berasakan bahawa apa yang aku katakan adalah betul. Translation aku sudah betul. Cuma mungkin benar, apa yang aku tengah makan itu sebenarnya adalah sosej ayam dan bukanlah 'Anjing Panas'. Lemahnya penggunaan istilah Bahasa Malaysia kita sekarang ini. Aku rasa sehingga sekarang orang masih memanggilnya 'Hotdog'. Masyarakat masih belum mampu merubah istilah ini. Berharap juga suatu hari kita mempunyai bahasa Malaysia yang hebat dan terbela. InsyaALLAH.

Lewat malam di kampus Arau agak sejuk dan berangin. Panas juga kadang-kadang. Mungkin sebab bentuk tanah di Arau  terdiri dari tanah yang lapang - jika dilihat dari mata kasar. Malam juga tempat anak-anak muda duduk melepak, ada yang mengulangkaji, bergayut dengan awek, isap rokok di dalam dan diluar bilik, mengadap PC main game, ada juga yang bermain gitar - suara mereka agak sedap juga dan aktiviti biasa di asrama di malam hari. Aku juga tidak punya masalah untuk berkomunikasi dengan mereka, selagi kita punya tujuan untuk dibualkan. Bercampur gaul dengan pelbagai jenis manusia menjadikan kita lebih yakin dan perbualan serta luahan percakapan itu menjadikan hati-hati manusia lebih lega dan tenteram.. Hati manusia adalah antara mahkluk Tuhan yang paling indah dan kompleks ciptaannya. Terima kasih Tuhan atas segalanya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)...!!

Selasa, 26 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 5

Assalamualaikum........(26 Oktober 2010)(Selasa). Tiba di Perlis.

Jika mahu diingat kembali, aku sangat kecewa tak dapat sambung diploma terus, dan terpaksa pula menimbal kembali kursus pra-sains di UiTM Arau, Perlis. Panggilan diterima daripada kakak kerani yang menyatakan bahawa aku harus melapor diri terus ke UiTM Arau dalam beberapa hari kerana surat tawaran yang dihantar mungkin lewat sampai ke rumah pelajar. Aku bergerak ke Arau seorang diri, tanpa diiringi ahli keluarga sebab perkara ni berlaku terlalu pantas dan mengejut. Tiada persediaan rapi dibuat. Namun, di legakan sedikit apabila terjumpa sahabat lama ku yang juga belajar disana. Kami ditakdirkan menaiki satu bas.Alhamdulillah.

Sampai di UiTM Arau Perlis sekitar subuh... 12 jam perjalanan dari Seremban - banyak perkara boleh dilihat, pemandangan yang sangat baru.. Bergerak ke Arau tanpa borang tawaran adalah perkara yang sangat memeningkan aku.. Alhamdulillah, Allah memudahkan dengan menemukan aku dengan orang kuat HEP di sana, aku tak ingat namanya, Puan itu membantu aku menguruskan segala urusan pendaftaran aku, sehingga aku hanya perlu menguruskan urusan asrama sahaja. Puan itu seperti disediakan oleh Tuhan untuk aku. Terima kasih kasih Allah. Menjelang tengah hari, mengusung beg yang besar turun naik bukit, mencari Kolej Cengal, antara Kolej paling belakang sekali, pernah disapa oleh Mak guard yang simpati, "Kesiannya dia...". Namun, tiada apa-apa pula yang dia bantu, hanya pergi berlalu. Aku tahu, bahawa aku harus kental untuk berdikari sendiri di UiTM ini..

Tiba di asrama Kolej, mencari bilik, mendapati bilik yang aku bakal duduki terletak di sebelah toilet... pintunya ku ketuk, tombolnya aku tolak..

"..Assalamualaikum...",

Salam diberi. Menoleh-lah bakal roomate aku kearahku dengan muka yang terpinga-pinga. Yang juga kelihatan seperti baru tiba.. Menjawab salam dengan lorghat pantai timurnya.

"..Waalaikumsalee.."

Aku memperkenalkan diri, dan kami berbual ringan. Dan kini aku ingin membuat pengakuan bahawa, aku langsung tidak faham satu hapah pun ketika kami berbual berdua itu...!!  haha.. Bahasa Kelantan sangat asing bagi aku ketika itu... Namun, buat-buat faham sudah la.. Dan bilik yang boleh diduduki seramai 4 orang itu akhirnya dipenuhi oleh seorang lagi anak jati Kelantan, dan seorang lagi berasal dari Selangor... Fuh,,.. ada pun orang Selangor. Aku sudah ada 'kawan'. Kawan yang boleh memahami dan difahami bahasanya - ketika itu.

Aku sebenarnya tidak prejudis. Sebenarnya aku yang silap. Kerana aku tidak pernah mahu explore bahasa-bahasa yang ada di Malaysia. Lama juga aku cuba nak mendalaminya. Akhirnya setelah beberapa bulan. Aku boleh menangkap beberapa istilah. Menarik sebenarnya bahasa Kelantan ni. Pengalaman dapat berbual dengan loghat negeri lain ni adalah pengalaman yang menerujakan. Keadaan ketika itu aku rasa seperti tidak berada di Perlis, tetapi terasa seperti berada di Kelantan...hehe.

Kerinduaan kampung dan keluarga tidak dapat digambarkan. Jasad berada di Perlis, namun hati aku masih di Kuala Pilah. Berada di kejauhan menuntut aku mejalani semester ini dengan lebih bersungguh-sungguh. Aku ingin melakukannya dengan lebih baik. Lebih tekun. Berbeza seperti sebelumnya. Berjaga malam untuk mengulangkaji adalah satu  fenomena pelik bagi aku, namun aku lakukannya ketika di UiTM Arau. Belajar membancuh air nescafe panas untuk diminum ketika mengulangkaji. Mepunyai bekalan Maggi yang cukup untuk mengisi perut yang dikala kosong. Sesekali aku melihat langit diluar. Bercita-cita untuk menjadi orang yang lebih matang dan bukan orang yang hanya suka berkata kosong,... insyaALLAH..

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)...!!

Ahad, 3 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (belajar) - 4

Assalamualaikum....(4 Oktober 2010)(Isnin). Elak jadi bodoh sombong!

Hanya menjalani kos pra-sains ketika di kampus UiTM Kuala Pilah... Apa lah yang ada pada SPM aku, semuanya tidak menepati target.. Oleh itu, aku isi permohonan untuk pra-sains.. Dan aku ditawarkan... Alhamdulillah... Di UiTM Kuala Pilah semuanya di dalam english, aku jadi agak janggal, semua benda aku tak tahu... ketika itu, english aku lemah, matematik aku lemah, add math pun lemah, fizik dan kimia lagi la aku  lemah... otak kiri dan otak kanan pun aku tak pandai nak guna dah... setiap kali test matematik aje aku fail..setiap kali test yang lain pun aku fail.. Kalau tak fail pun hanya cukup makan,....argghh!!... lembab sangat ke otak aku nih??...

Tetapi, sehinggalah aku belajar bab kamiran di dalam matematik, aku tiba-tiba minat bab ni, aku faham bab nih, serius aku faham.. Dan untuk test kamiran aku telah mendapat markah yang paling tinggi dalam kelas... giler!!.. berlaku tiba-tiba.... memang sangat tiba-tiba.. sampaikan pensyarah matematik aku masa tuh menyindir kawan-kawan kelas aku yang lain,...

"Haa,..tengok?.. Daud pun dapat 100 peratus, kamu yang lain ni tak study ke?"..

Terperanjat aku dengar, perasaanku ada rasa sedikit happy - kerana dipuji... Namun, hakikatnya, di dalam lubuk hati ini terasa sangat hina. Daud yang sebelum ini menjadi masalah kepada pensyarah kerana tidak boleh memberi yang terbaik, telah bertindak sedikit cemerlang. Aku dijadikan sebagai contoh pelajar yang tak patut diikut ketika itu - mungkin... Tetapi itulah hakikat yang aku harus terima. Dan aku sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan meneladani kenyataan pensyarah aku itu.

Namun, selepas itu, kecemerlangan aku tak lama, mungkin sebab aku belum mampu kuasai matapelajaran itu. Berubah kepada matapelajaran kimia pula. Subjek ini lagi la mempunyai seribu satu halangan untuk aku memasuki medan kefahaman-nya. Entah mengapa, tidak suka aku akan istilah-istilahnya. Pensyarah kimia aku juga sudah sedia maklum pencapaian aku dan beliau juga mengenali aku dengan cara yang sama, sehingga dia juga pernah berpesan, katanya;

"..Kalau tak tahu tuh bertanya, jangan jadi bodoh sombong..."

Err!!!,..Satu demi satu ayat pedih yang aku terima dari pensyarah-pensyarah aku,... Kadang-kadang situasi sukar yang aku lalui ketika itu bagaikan tiada sokongan langsung dari pensyarah.. Mungkin sebab aku sendiri yang tidak mahu berusaha lebih gigih... Dan pemalas pulak tuh... Di lain peristiwa, pensyarah add math aku pernah bertanya.... Bertanya kepada aku diatas sebab kegagalan aku menjawab salah satu soalannya di dalam kelas;

"Daud, kat hostel buat ulangkaji tak?.. buat latihan tak?? .."

Dengan yakin aku jawab-lah;

"..Tak Cik, tak sempat..."

Dia pun mengelengkan kepala,.. Gelengan kepala yang sangat sementara itu dapat aku rasakan bahasa-nya... Inilah antara cara sindiran paling pedih yang pernah aku terima ketika di UiTM Kuala Pilah.. Dan aku sepatutnya sangat tahu, kelakuannya itu tidak lain hanyalah untuk menyedarkan orang semacam aku yang tegar untuk menjadi orang yang "tak sedar dek untung"... Tapi, berbeza dengan apa yang berlaku di saat akhir semester aku, setelah selesai semua paper, aku dipanggil pensyarah fizik aku, memang aku dah agak, fizik aku tak boleh buat masa exam final.... Bila pintu pensyarah aku ketuk, dan masuk, perkataan pertama keluar darinya adalah;

"..Haa kamu, bila balik kampung?.." ,

Jawab aku;

"..Esok encik..",

Sambil dia mengarah tangan menyuruh aku duduk di kerusi, dia berkata lagi;

"..Kamu mintak apa untuk diploma kamu?..",

Jawab aku;

"...Architecture encik.."

Pensyarah aku merenung aku, dan menarik nafas panjang lalu berpesan, katanya;

"...Apa pun kos yang akan kamu dapat nanti, belajar la sungguh-sungguh, jangan malas, kalau tak faham jangan malu bertanya, kurang kan sikit bermain tuh, dan kena usaha lebih lagi kalau betul-betul nak berjaya"..

Begitu lah lebih kurang ayat-nya yang aku masih ingat - mungkin punya ralat. Satu kata-kata semangat yang sungguh merubah perasaan kecewa aku... Menjadi kembali bersemangat... dan berazam keatas apa sahaja peluang sambung belajar yang akan ditawarkan kepada aku selepas itu, akan aku cuba hargainya insyaALLAH... Di dalam cuti semester, keputusan exam final pun keluar. Dan ternyata. Aku tidak layak untuk menyambung pelajaran ke diploma, hanya layak untuk mengambil semula semester Pra Sains 2... Dan aku memilih untuk mengambil-nya!... :/

Sementara aku ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!...

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (belajar) - 3

Assalamualaikum.......(2 Oktober 2010)(Ahad). Karut atau Logik?

Ketika aku di UiTM Kuala Pilah, aku pernah berkesempatan berbual dengan salah seorang pak guard di sana, masa-nya sekitar petang menanti senja, beliau berumur di dalam lingkungan 40-an... Aku masih cuba untuk mengingat peristiwa itu... Salam diberi, maka perbualan pun terjadi... Perbualan kosong yang disertakan dengan lawak-lawak yang tidak lah pun menghasilkan ketawa, sekadar ingin menjadi orang yang lebih baik, dan memegang prinsip untuk tidak menjadi seperti kera sumbang, semakin hari, aku ingin belajar menjadi orang yang mesra, tidak bongkak, tidak sombong dan disenangi teman-teman,...

Maka berbuallah kami berdua sehingga hari mulai gelap...Namun, sampai di satu tahap perbualan, keluar-lah satu ungkapan daripada mulut beliau, yang sehingga hari ini masih terlekat dalam ingatan aku... katanya;

"Sesiapa sahaja yang pernah belajar disini, akan kembali suatu hari nanti"...

Tersenyum aku mendengarnya... Terkesima pun ada, perasaan bercampur tidak percaya... Membuat kan aku mula tertanya-tanya,..Eh, betul ke nih?.. Aku memang pernah dengar cerita mengenai sumpah sebelum ini .. Betul ke wujud sumpah itu?? Aku yang ketika itu sudah berada di menara gading juga hampir-hampir mempercayai kenyataan tersebut..Dan hakikatnya, sehingga sekarang... aku masih belum menjejakkan kaki semula ke kampus Kuala Pilah...  Tiada sebab untuk aku kembali... mungkin selalu juga aku melalui pintu depan UITM Kuala Pilah, tapi, untuk masuk, mungkin tidak!...

Ah!!.. percaya sangat pada perkara-perkara seumpama ini... Mengarut saja...!! Tetapi... jika difikir dari segi logik, ada betul juga kata-kata pak guard tuh... Namun, ia-nya bukan-lah suatu ketetapan.. Jika alumni UiTM Kuala Pilah diberi peluang untuk berkumpul semula di UiTM itu... Pasti kami hadiri-nya!!... Namun, bukan-lah disebabkan sumpah atau apa-apa.. Petang yang tiada bezanya dengan suasana petang seperti hari ini, apa-lah salahnya jika ketika itu dia hanya bertujuan mengajar orang seperti aku supaya belajar untuk berbakti...

Belajar berbakti di suatu hari nanti kepada kampus UiTM Kuala Pilah... Mungkin secara terang atau secara sembunyian... Menghargai semua usaha yang dilakukan kampus UiTM Kuala Pilah dalam membentuk insan berguna pada masyarakat... Masa mematangkan aku untuk memikirkan maksud kata-kata beliau di petang itu.. Atau mungkin ketika itu aku hanya lah peneman bual seorang pak guard yang kesunyian di pondok birunya, yang juga sedang menunggu pertukaran shif-nya pada petang itu, maka, berbual-lah dia dengan aku, pak guard yang mesra pelajar dan sangat mudah untuk didekati... Dan beliau juga ingin menjadi pak guard yang baik dan tidak mahu digelar sebagai pak guard yang sombong...:)

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!

Jumaat, 1 Oktober 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat - 2

Assalamualaikum.....(2 Oktober 2010)(Sabtu). Baru masuk kampus!

Masa aku kat cawangan UiTM Kuala Pilah, pertengahan tahun 2004 kalau aku tak silap.. ha'ah, betul lah 2004,.. sebab aku amik SPM tahun 2003...tua dah aku weh!.. Masuk aje UiTM, time tuh aku telah menerima pemberian hadiah berupa hand phone dari kakak aku... Tahu-tahu aje la orang yang baru merasa nak pakai hand phone.. Habis semua orang aku miss call... pantang bertemu orang, bertukar sahaja nombor-nya,.. Zaman itu, kalo tidak silap aku, popular dengan "three second"... aku tak pernah la nak dapat peluang bercakap lama dalam panggilan, kerana semua-nya "three second" jek...

"Kat mana tuh?"

Pap!.Letak.

Dijawab pulak oleh orang yang dipanggil tuh;

"Kat dining".

Pap!.Letak.

Hahaha... Sampai-kan di saat bila ada orang betul-betul nak call aku dan nak cakap lama, aku pulak ter-reject call tuh sebab dah terbiasa... hahaha... Kerana takutkan kredit terjatuh - mungkin itu lah sebabnya... Fuhh...Rindu pulak akan pisang goreng cicah sambal lada di sana...!!.. pandai makcik tuh masak, kedainya betul-betul di sebelah padang bola sepak... padang bola sepak yang hanya sebesar court tennis... kadang-kadang ada orang bermain, kadang-kadang tiada... Di kampus Kuala Pilah ini juga aku sudah mula suka ber"kenalan" dengan wanita yang lebih tua, mungkin kebanyakan mereka lebih mesra, atau golongan itu "sahaja" yang ada kat kampus tersebut di masa tuh...hahaha...Nak buat macam mana kan?..mungkin kurang pilihan...hehe.. - gurau...

Aku ni anak jati Kuala Pilah... bertindak menyambung pelajaran di kampus yang sangat dekat dengan rumah aku, maka, tidak banyak-lah perkara yang menarik mengenai persekitaran-nya, tiada-lah permandangan baru, semua-nya lama dan masih sama... kerana berada di tempat lahir sendiri, maka, tiada apa-apa yang ter"sendiri"nya... apa yang menarik adalah kehidupan "kampus" yang baru bagi aku, dan dapat bertemu bermacam jenis ragam kawan juga adalah baru bagi aku ... rindu pula aku pada mereka... haiiish!!... -_-"

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(belajar)!...

Khamis, 30 September 2010

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat - 1

Assalamualaikum.....(1 Oktober 2010)(Jumaat). Hari ini 1 Oktober. Tinggal lebih kurang 2 bulan lagi sebelum aku tamat belajar,kini aku masih bergelar mahasiswa. Setelah lebih 6 tahun menghambakan diri kepada dunia kampus, 6 tahun memberi masa untuk mengejar cita-cita. Biasa lah. Apabila dah nak abis nih. Terasa seperti baru semalam mendaftarkan diri ke Universiti Teknologi Mara(UiTM). Terlalu cepat masa berlalu.

Maka terdetiklah di saat ini, suasana ketika aku baru menerima tawaran menyambung pelajaran selepas SPM dahulu, bagaimana kelam kabutnya aku mendaftarkan diri ketika itu, bertemu pula sahabat-sahabat baru yang tak putus memperkenalkan diri, duduk di bilik asrama sehinggalah berpeluang merasa menyewa di rumah sewa, berkesempatan untuk menetap di lebih 4 cawangan kampus UiTM kerana kerap menukar-nukar kampus, menghadapi bermacam-macam ragam manusia, bermacam-macam ragam pensyarah, berbagai-bagai keadaan dan suasana serta situasi yang luar biasa dan ada juga yang biasa-biasa sahaja, yang mana banyak perkara boleh dipelajari dari peristiwa dan memori yang dilalui, banyak yang boleh di ambil iktibar dan digunakan untuk hari murka nanti, itulah untungnya berguru dengan guru yang paling hebat di dunia - iaitu pengalaman.

Hari ini, 1 Oktober 2010, aku terasa ingin mula menulis tulisan bersiri, menulis tentang apa yang aku masih ingat ketika zaman belajar di kampus UiTM ini, walaupun sekarang ini aku dalam kesibukan yang amat membebankan, bebanan projek akhir tahun yang dikatakan akan memudahkan aku nanti di dunia pekerjaan, masih belum disiapkan sepenuhnya... aku akan cuba sejauhmana yang aku mampu... Menulis apa yang aku masih rasakan ianya sebuah memori... Memori manis dan memori pahit... Atas perkara-perkara yang aku masih belum lupa ketika aku di UiTM kampus cawangan Kuala Pilah Negeri Sembilan, Kampus Arau Perlis, Kampus Jengka Pahang dan akhirnya disini, di kampus Shah Alam... Semoga aku mampu mencoretkannya disini,..InsyaALLAH... sementara aku masih ingat - versi sebelum aku tamat...

Isnin, 6 September 2010

Terlalu awal ramadhan ini pergi

Gambar hiasan

Assalamualaikum....(6 September 2010)(Isnin). Hari ini adalah hari yang ke 27 ramadhan 1431 Hijrah. Sehingga saat aku menulis ini, hanya tinggal 3 hari sahaja lagi sebelum tirai ramadhan ini berlabuh.. Terlalu awal rasa-nya ramadhan ini pergi.. belum sempat aku merasa kepuasan bulan ini... besarnya peluang yang terhidang sepanjang dua puluh tujuh (27) hari yang lalu... juga yang lebih besar manfaatnya telah terhidang di sepuluh (10) malam terakhirnya.. maka kini hanya ada tiga (3) malam sahaja lagi untuk direbut... Malam yang di sebut bersamaan seribu malam itu juga entah di mana agaknya... berharap pada Allah supaya telah ditemui atau bakal ditemui....

Terlalu awal rasa-nya ramadhan ini pergi... adakah ramadhan berjalan terlalu laju? .. atau aku yang terlalu leka sehingga tidak mempedulikannya?.. Dengan kesibukan dunia yang sebelum ini tak lah sesibuk mana, apabila masuk sahaja ramadhan, kesibukan-nya bermula dengan tiba-tiba dan semakin bertambah dengan pelbagai cerita dan alasan...

Aduh, terlalu awal rasa-nya ramadhan ini pergi.... Jika bulan ini mudah untuk ditempuh, maka, tidak lah mungkin besar ganjaran Allah pada makhluknya - aku fikir begitu... Atau manusia memang azali-nya akan mudah kalah dengan nafsu... nafsu yang pelbagai, nafsu makan, nafsu tidur, nafsu bermain-main, nafsu seks, nafsu shopping serta nafsu-nafsu yang lain lagi... Tapi kata orang nafsu mudah dijinak apabila kita berlapar...

Terlalu awal rasa-nya ramadhan ini pergi... ketika ianya sudah tinggal sedikit.. ketika itulah baru kita nak hargai.. Mungkinkah itu lebih baik daripada tidak menghargainya langsung!!!.. Ah, setiap tahun jadi begini, lain yang dirancang, lain pula yang jadi.. sudah kehendak Allah begitu.. Nak buat macam mana.. Salahkan takdir?? Allah tak ubah nasib sesuatu kaum, kalau kita sendiri tak mahu merubahnya!!..

Terlalu awal rasa-nya ramadhan ini pergi... semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita dan memakbulkan doa-doa kita di bulan ramadhan ini.. Semoga Allah redha Islam menjadi agama kita... Semoga Allah redha terhadap amalan kita.. Semoga kita tergolong di dalam seruan Allah di dalam kitabnya yakni "wahai orang-orang beriman"... Semoga kita  dijauhkan dari sifat munafik, .. Ya Allah, tunjukkan lah kami jalan yang lurus, Yakni jalan-jalan orang yang Engkau beri nikmat, bukanlah jalan-jalan orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat..Amen.

Sekian.

Ahad, 22 Ogos 2010

The Power of Idea

Assalamualaikum...(23 Ogos 2010)(Isnin)...
 
You can ban the Lecture,...
but you  CAN'T ban the POWER of Idea..

Sabtu, 21 Ogos 2010

Student Power dan Kebebasan Akademik Mahasiswa

Assalamualaikum.....(22 Ogos 2010)(Ahad). Cerita ini sangat pendek dari cerita asalnya - yang mungkin sepatutnya lebih panjang. Tidak mengapalah. Aku menulisnya dari perspektif aku sendiri. Aku mungkin akan digelar Pro-Fahmi Reza kerana artikel ini. Tiada apa pun. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan isu mahasiswa, maka, aku Pro terhadap mereka..!!... Dan kepada sahabat-sahabat mahasiswa sekalian, yang dikenali sebagai orang akademik - mungkin juga orang yang berilmu... Adalah telah menjadi sesuatu yang pelik apabila kamu semua menjauhi sejarah.

 Fahmi Reza

Fahmi Reza, pembikin filem dokumentari dan juga aktivis sosial, telah membawa semula sejarah gerakan mahasiswa Universiti Malaya (UM) melalui projek "Student Power" ke seluruh Malaysia dalam bentuk Public Lecture selama lebih kurang satu jam. Public Lecture ini adalah mengenai sejarah gerakan mahasiswa UM sekitar tahun 60'an yang tidak pernah diceritakan oleh mana-mana individu di zaman sekarang. Paling kuat pun ianya pernah tertulis di dalam beberapa buah buku.

Pada tanggal 10 Ogos 2010, Fahmi Reza dijadualkan akan membawa Public Lecture ini ke UiTM Puncak Perdana. Permohonan untuk membawa beliau masuk ke UiTM adalah berjaya pada awalnya. Sehinggalah ianya gagal pada hari berlangsungnya majlis itu kerana mendapat bantahan dari pihak Universiti di atas alasan permohonan yang tidak lengkap. Majlis yang dijadualkan pada pukul 5 petang itu terpaksa ditunda pada pukul 6.30 petang, dan atas usaha beberapa orang pelajar, mereka berjaya mengumpulkan RM100 sesama mereka dan menyewa sebuah dewan kecil di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam kira-kira 20km dari kampus.


 Poster UiTM 1

Untuk pengetahuan semua, atas saranan Fahmi Reza sendiri, kami  telah pun mempelawa Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM serta kesemua Perwakilan Pelajar untuk sama-sama hadir ke majlis ini. Ini adalah untuk memperlihatkan kepada mereka apakah sebenarnya Public Lecture ini. Namun, tiada seorang pun yang hadir. Mungkin mereka sibuk. Mereka banyak kerja. Mereka kan wakil mahasiswa.


 Poster UiTM 2

Poster UiTM 3

Ini adalah Public Lecture yang kedua aku hadiri selepas yang pertama di Jaya One, Petaling Jaya (klik sini - tulisan Aku & Mahasiswa). Setelah isu mahasiswa UiTM di halang oleh pihak Universiti untuk membawa masuk Public Lecture ke dalam kampus, ramai pihak memberi pandangan mengapa ianya di haramkan untuk dibawa masuk ke dalam kampus.

"Mungkin judul ceramah itu 'Student Power' (kuasa pelajar) menakutkan mereka,” kata seorang mahasiswa UiTM kepada Malaysiakini. (klik sini) 

Namun apa yang dilakukan pihak Universiti itu tidak menjadi penghalang untk mereka meneruskan Public Lecture tersebut di tempat yang berlainan. Menurut penceramahnya, Fahmi Reza, ceramah itu berjaya menarik penyertaan 30 peserta yang “memberanikan pelbagai rintangan dan halangan oleh universiti” ke majlis berkenaan. Apa yang dibentangkan oleh Fahmi Reza adalah mengenai sejarah mahasiswa sahaja. Tetapi ianya dihalang seperti beliau membentangkan sesuatu yang sangat 'bahaya'. Mungkin ada unsur-unsur yang agaknya boleh membawa mahasiswa untuk ber'demontrasi' atau untuk selalu ber'aktivis' atau juga untuk membawa isu-isu rakyat jelata itu, telah menakutkan beberapa pihak.

Belum pun sudah kisah di UiTM itu berlalu. Public Lecture yang sama telah cuba dibawa oleh beberapa orang pelajar Universiti Malaya (UM) ke dalam kampus mereka. Dengan diketuai oleh Abu Ubaidah Amir, mereka membuat permohonan dan diluluskan oleh pihak UM dan dijadualkan akan diadakan pada 24 Ogos 2010.

 Poster UM 1

Poster UM 2


Poster UM 3

Poster UM 3

Public Lecture kali ini adalah amat bermakna kerana akan dibawa ke tempat asalnya iaitu UM,  isi kandungan sejarah dalam ceramah ini adalah berkisarkan tentang sejarah mahasiswa UM itu sendiri. Public Lecture ini juga akan diceriakan dengan kehadiran dua ikon gerakan mahasiswa 60'an iaitu Syed Hamid Ali dan Khoong Kim Hoong. Maka beruntunglah mahasiswa-mahasiswa UM kerana mereka mempunyai sejarah gerakan mahasiswa yang hebat dan juga tokoh-tokoh yang masih hidup untuk menceritakan kepada mereka semua, bahawa gerakan mahasiswa ketika zaman 60'an sangat berbeza dengan mahasiswa zaman sekarang.

Namun, beberapa hari selepas ianya diluluskan. Pihak UM membatalkan Public Lecture ini..!!

Ramai juga individu dan kumpulan mahasiswa di luar UM menyatakan kekecewaan. Kecewa lagi mahasiswa-mahasiswa UM yang bertindak sebagai penganjur. Apa yang di dengar dari sahabat-sahabatku, pihak UM membatalkan lecture itu sebelum ianya berlangsung adalah kerana mengikut tindakan UiTM yang telah membatalkannya lebih awal. Dari sinilah bermulanya sebuah perjalanan yang mungkin mahasiswa UM sendiri lebih tahu dari aku. Jadi disini aku ingin menceritakannya dari pandangan mahasiswa bukan UM ataupun lebih mudah adalah orang luar, yang sentiasa menyokong mereka.

 Poster UM Batal 1

Abu Ubaidah Amir, individu yang bertangungjawab membawa Public Lecture ini telah bertindak untuk membuat permohonan semula atau rayuan kepada pihak UM dengan bantuan idea dari Fahmi Reza sendiri. Kertas Kerja Dasar (KKD) dikeluarkan bagi setiap individu mahasiswa atau persatuan mahasiswa untuk mengisinya dan membawanya bersama-sama ke Pihak Hal Ehwal Pelajar UM pada hari Jumaat, 20 Ogos 2010, jam 3 petang. Tindakan ini adalah bagi menunjukkan kesungguhan mereka untuk mengadakan Public Lecture ini.

Walaupun hanya sekitar 10 orang yang hadir pada petang itu, mereka tetap menghantar permohonan tersebut ke pihak HEP UM. Dan seperti yang di jangka. Pihak HEP menolaknya. Bahagian Hal Ehwal Universiti Malaya (HEP UM) menolak permohonan mahasiswa untuk menganjurkan syarahan umum forum 'Student Power' pada 24 Ogos 2010, kerana pihak universiti tidak membenarkan sebarang program yang dianjurkan oleh individu (Berita-klik sini).
 
"Saya rasa ia tidak relevan kerana program ini tidak melibatkan ramai orang. Universiti hanya sediakan kelengakapan (tempat) sahaja ," kata Abu Ubaidah, pelajar tahun satu fakulti sains.

Sehingga saat aku menulis artikel ini. Pihak UM masih tetap dengan keputusannya. Namun, Abu Ubaidah dan rakan-rakannya termasuk Fahmi Reza sendiri masih akan meneruskan usaha mereka membawa Public Lecture ini masuk ke dalam UM. Ini adalah sejarah kamu semua wahai mahasiswa Universiti Malaya. Di manakah kamu semua ketika segelintir sahabat-sahabat kamu berusaha membawanya masuk ke dalam kampus kamu? 
 

Poster Batal UM 2

Gambar yang menjadi profiles picture facebook Fahmi Reza
 
Bagi aku, banyak yang manusia boleh belajar dari sejarah. Manusia akan jadi lebih maju melalui sejarah. Manusia tidak akan melakukan kesilapan kedua kerana mengingati sejarah... Dan mahasiswa di Malaysia beruntung kerana mempunyai sejarah gerakan mahasiswa yang hebat dan menarik untuk dihayati serta direnungi. Ianya juga boleh dijadikan sumber inspirasi untuk gerakan mahasiswa yang sedia ada sekarang. Dan pihak universiti tidak harus menghalang mahasiswa zaman sekarang mengetahui sejarah gerakan mahasiswa zaman dahulu. Kerana kebebasan akademik adalah hak asasi setiap mahasiswa. 

Kebebasan Akademik Hak Asasi Mahasiswa

Kebebasan akademik adalah kebebasan yang mutlak untuk setiap orang yang sedang menuntut ilmu ingin mengetahui dan belajar sesuatu yang baru mahupun yang lama. Tidak kiralah ianya dalam bentuk apa. Kerana penuntut-penuntut ilmu zaman sekarang sudah pandai membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana memberi faedah dan yang mana mengarut. Cuma mereka ini tidak di beri peluang untuk mengetahuinya. Dan juga kebanyakan pengetahuan tidak didedahkan secara jujur. Jika ada yang mengetahuinya, tidak pula dibenarkan untuk menghurai semula serta jauh lagi untuk mengkritik atau memberi pendapat... Sudah tiba masanya untuk pihak Universiti lebih terbuka. Bukan hanya dalam isu "Student Power". Juga terhadap apa-apa isu yang akan mendatang... Semoga kebebasan akademik akan dapat diamalkan...!!!... Dan dapat membawa Universiti-universiti di Malaysia menjadi institut pengajian yang dibanggakan oleh rakyat dan menjadi bualan cendikiawan seluruh dunia.. InsyaALLAH.

Sekian. 

**Segala Poster dan Gambar ini adalah milik Fahmi Reza yang aku copy dari laman facebooknya.(klik sini)
..