Sabtu, 26 November 2011

AUKU akan dipinda?

Assalamualaikum.

Benarkah?
Betul lah tu kot.

Tahun 2012 akan menjelma,
Tahun 2012 ini barangkali memberi makna yang besar kepada aktivis-aktivis mahasiswa untuk bergerak aktif,
Kerana;
Sebelum ini mereka tidak dibenar menyertai mana-mana NGO,
Tidak dibenar menyertai mana-mana organisasi,
Tidak dibenar menubuhkan apa-apa organisasi sebelum mendapat kelulusan Universiti,
Dan yang paling utama;
TIDAK dibenarkan menyertai mana-mana Parti Politik, serta organisasi yang berkepentingan politik.

Ini semua kerana AUKU,
Seksyen 15 itu.

Aku menyebut aktivis kerana aktivis-lah yang selalu terganggu oleh sekatan itu,
Aktivis-lah yang selalu di-ancam dengan seksyen itu,
Aktivis-lah yang tidak suka dan tidak memerlukan seksyen itu,
Aktivis juga lah yang berulang alik mahkamah dek kerana Akta ini,

Oleh itu, andai kata seksyen itu dipinda,
Maka aktivis mahasiswa lah yang sangat gembira,
Dan bukan-nya semua mahasiswa,
Percaya-lah.
Aku tak percaya mereka semua gembira.
Aku tak percaya mereka mampu lakukan seperti apa yang mahasiswa zaman sebelum AUKU mampu lakukan.

Jika mampu pun, mungkin ambil masa. Masa yang lama.

Jika AUKU dipinda,
Mahasiswa harus ambil kesempatan ini,
Untuk bersolidariti tentunya,
Untuk menjadi pemimpin hari ini,
Untuk membuat keputusan sendiri,
Cara mahasiswa sendiri,
Menentukan segala hal,
Memperbanyakkan diskusi, raikan demokrasi ataupun lebih dari demokrasi,
Bahkan mampu berdikari; dari berharap hanya kepada Pihak Universiti.

Jika tidak,
Maka, tiada guna AUKU dipinda.
Ucapan Selamat! kepada mahasiswa zaman ini...!

............................................................................................
Daud Mili
Kampung Talang
26 November 2011

Sabtu, 5 November 2011

Selamat menumpang Hari Raya

Salam,
Selamat menunaikan Haji kepada mereka,
Dan selamat menumpang Hari Raya kepada yang lain,

Menurut Ali Shariati di dalam bukunya Hajj;
ibadah Haji bukan sekadar ritual sahaja,
tetapi mengandungi makna dan tanda yang harus difahami,

Antaranya adalah;
bagaimana kita menjadi 'Ibrahim',
dan siapa atau apakah 'Ismail' kita??...

Semoga Allah datangkan kebaikan kepada kita semua.
InsyaALLAH.

..................................................
Daud Mili
Kampung Talang
6 November 2011 
(10 Zulhijjah 1433H)

Selasa, 20 September 2011

Ayoh, menulis lah...

Salam,
Setelah agak lama aku tidak menulis di dalam blog ini,
Mungkin semenjak aku berhenti menuntut barangkali,
Mungkin juga semenjak aku cuti terlalu lama,
Eh, bukan begitu... bukan begitu...
Tapi; mungkin aku berhenti menulis setelah aku mulakan kerjayaku di dalam bidang industri pembinaan tempoh hari (baca: beberapa bulan yang dulu)...

Iya,
ketika itu aku sangka;
kerjaya aku tiada menekan aku untuk selalu menulis,
kerjaya aku tidak juga boleh membantu aku untuk terus menulis,
tiada orang suka menulis didalam dunia kerjaya-ku,
maka, aku tiada lagi peluang untuk aku menulis!

Aku tampak keliru ketika itu,
Perlukah penulis hanya dari kalangan guru-guru bahasa?
Atau dari golongan empunya sarjana penulisan?
Atau yang kerjayanya dikelilingi oleh penulis?
Atau juga dia bekerja sebagai seorang penulis?
Atau etc?

Sekarang baru aku sedar,
Rupa-rupanya aku tertipu,
Tertipu dengan suasana kerjaya-ku,
Yang akhirnya menyebabkan aku tinggalkan tabiat menulisku,

Kasihan sungguh aku...

Sekarang mari kita buktikan,
Siapa juga aku dan kamu; adalah layak untuk menulis,
Kamu Doktor?
Kamu Engineer?
Kamu Lawyer?
Kamu kerani?
Kamu penganggur?

Siapa pun aku dan kamu; ayoh, menulislah...

Tulislah apa sahaja yang kamu mahu...

.............................................
Daud Mili
Taman Impian Putra, Bangi
20 September 2011

Sabtu, 25 Jun 2011

Adeh...

"Apa yang dicari dalam hidup?....



.................................
Kampung Talang
25 Jun 2011

Selasa, 17 Mei 2011

Tidak akan berakhir

Salam,
Sudah hampir tiga bulan aku bekerja,
Sibuk, sangat sibuk,
Tiada kesempatan untuk diri sendiri,
apatah lagi orang lain,
Mungkin kerna aku tidak pandai menyusun masa?,
Atau aku terlalu semangat mahu bekerja?,

Minggu ini ada majlis,
Majlis konvokesyen,
Tahniah untuk diri sendiri,
Bukan bermaksud untuk berhenti menuntut ilmu hanya setakat ini,
Ilmu akan tetap diterima dan di hajati sehingga aku tiada lagi,

Semoga ilmu-ilmu selama ini diberkati...
Dan juga ilmu-ilmu mendatang dirahmati...
InsyaALLAH...

...................................................................
Daud Mili
Dengkil
17 Mei 2011

Jumaat, 25 Februari 2011

Erti

Biar bersalaman sekalipun,
belum tentu adanya rasa perlu untuk orang-orang seperti itu,

bukan mahu cerita siapa dahulu perlu hulur tangan,
senyum pun adakala sudah cukup,
iya-lah,
kata orang; janji kita dapat tunjuk muka,
apalah sangat jika kita sedia beri masa?,

nanti bila kena pada diri sendiri,
baru dia tahu apa rasanya erti,

ada orang yang tak kisah pun,
janji hidupnya tidak diganggu,
tapi dia juga ada rasa sedikit sunyi,
bila tidak bertindak seperti orang lain,
mungkin lah,
dia akan cuba suatu hari...

Suatu hari nanti dia akan jaga hati semua orang,
dan mungkin sehingga korbankan prinsipnya sendiri,

masyaAllah,
tatkala dapat merasa nikmatnya bila mencurah rasa,
tidaklah hanya menjadi lidah yang suka merasa...
................................................
Daud Mili
Melang, Kuala Pilah.
29 November 2010

Selasa, 22 Februari 2011

Haram...

haram...
mane ada haram,
kan ada logo JAKIM ni?,
aku makan tak ada rasa apa-apa pun yang pelik,

haram...
apsal pulak?,
iye-lah bersentuh lelaki dan perempuan; tak boleh,
tapi seronok weh!...
kalau begitu lebih baik dicucuk besi panas saja,

haram...
ape lagi yang haram ni?,
makan babi,
memang la haram, siapa pula yang mahu makan?,

haram...
iye, apa yang dia dah buat?,
dia pegang anjing,
eh, kenapa pula haram?,
basuh saja lah 7 kali,
pandai-pandai aja la kau ni,

haram...
cukuplah tuh!
sedikit sahaja yang Tuhan haram,
banyak lagi yang Tuhan halalkan,
ambillah mana-mana yang baik,

haram...
..................................................
Daud Mili
Dalam perjalanan keretapi (KTM)  Seremban-Kuala Lumpur
27 November 2010 

Isnin, 21 Februari 2011

Pergi buat kerja!

betapa rasa runsing,
betapa rasa tegang,
yang datang dari perasaan yang amat dalam,
andai boleh dipilih,
mahu sahaja melepaskan semua,

walaupun dahulu punya pengalaman,
apalah sangat yang kau belajar?

kali ini,
dirasa menjadi seorang adik,
menjadi seorang sahabat,
menjadi seorang anak,
susah lagi menjadi diri sendiri,
sukar lagi jadi hamba Tuhan,

alangkah indah cerita asalnya,
bukanlah cerita yang di ada-ada,
cuma penghujungnya masih kabur,
masih belum punya pilihan,

istikharah dipilih; untuk mencari jalan keluar,
mencari redha,
bersangka baik pada Yang Esa,
membuang rasa buruk sangka pada semua,
tutup sahaja mulut kau,
pergi buat kerja!
................................................
Daud Mili
Dalam perjalanan keretapi (KTM) Kuala Lumpur-Seremban
28 November 2010

Jumaat, 18 Februari 2011

Akidah

"...Kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain
jikalau tidak percaya aku akan dia,
bolehkah rosak iman?..."
- Munshi Abdullah

Rabu, 16 Februari 2011

Dia(Muhammad s.a.w).

Dari perut Aminah; anak perempuan Wahb,
Berbenihkan Abdullah; anak lelaki Abdul Muthalib,
Lahirlah seorang anak laki-laki,
Menurut cerita; dia sesuci-suci bayi,

Makkah rela menjadi tanah,
Lahirnya dia tanpa ber-ayah,

Tatakala menjadi budak - giliran ibu pula yang pergi,
Hidup dalam suasana jahiliyyah - dipelihara oleh Halimahtus Sa'adiah,
seterusnya menjadi kesayangan Abdul Muthalib,
menjadi teman rapat Abu Bakar,
kekasih Khadijah,

Si-pemegang mandat menjaga sebesar-besar umat,
memikul sebesar-besar amanah,
menanggung setinggi-tinggi sabar,
menerima sesakit-sakit cobaan,

dan sesungguhnya dia dikasihi Tuhan....

..................................................
01:34 PM
15 Februari 2010/12 Rabiulawal

Selasa, 8 Februari 2011

Dokter ekonomi!



"...Hei Dokter ekonomi! 
Apa yang terkandung di dalam bukumu itu, 
tiada lain hanyalah mengemukakan coretan-coretan melengkung yang rewet, 
dan itu bukanlah suatu keajaiban...." 
-Muhammad Iqbal, Indonesia.
Komentar terhadap Das Kapital (Karl Marx).

...

Isnin, 7 Februari 2011

Sungguh ganjil


"...Tuhanku

Sungguh ganjil

Bagaimana bisa sekian lama aku tergiur

Oleh yang bukan Engkau..."

-Emha Ainun Nadjib (1983)


...

Rabu, 2 Februari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 31

Assalamualaikum...............(31 Januari 2011)(Isnin). Penutup.

Tujuan utama aku menulis pengalaman ini adalah untuk mengasah bakat aku sebagai penulis. Dalam cita-cita aku untuk menulis berbagai jenis tulisan/buku dimasa akan datang. Dengan menggunakan ruang blog, kononnya untuk melihat sejauh mana kemampuan aku. Cita-cita aku adalah untuk menjadi Jurutera. Menulis mengenai bidang kejuruteraan tersebut mungkin dapat membantu pembangunannya di Malaysia. Selain itu, minat aku juga wujud dalam pelbagai bidang, terutamanya di dalam bidang seni. Dan di dalamnya ada seni penulisan. Aku harap akan ada yang sudi mengadili tulisan aku ini. Sudi mengkritik aku. Sudi untuk menasihati aku, biarpun dalam kontek penulisan mahu pun apa sahaja. Tulisan ini yang tidak pernah aku rancang secara teliti. Menulis mengikut sedap rasa hati. Aku juga bukan dari keluarga penulis. Jauh lagi keluarga artis. Hehe.

Salam perjuangan diucapkan untuk semua. Berjuang mencapai cita-cita di dalam hidup. Berjuang mencapai kemajuan dalam diri. Hidup berbekalkan pengalaman yang ada, memegang prinsip bahawa 'kebodohan itu bukanlah satu fitrah'. Ramai beranggapan bahawa dia tidak mampu melakukan ini, tidak mampu melakukan itu, kerana dia kata dia bodoh, dia tidak ada bakat, dia tidak pandai, dia tidak tahu. Sedangkan semua manusia dikurniakan otak untuk berfikir dan terus belajar. Yang membezakan atas usaha dan kesungguhan kita adalah hasil. Hasil kepada kerja kita. Tetapi setiap sesuatu hasil itu ada seninya. Ada kelebihan tersendiri. Pesan aku untuk diri aku dan kalian semua. Jangan takut. Jangan malu keatas apa yang orang akan kata. Lakukan sahaja. Mari terima pencerahan. Tinggalkan mereka yang mempertikaikan tindakanmu itu jauh kebelakang. Sekian, Terima Kasih.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 30

Assalamualaikum..................(31 Januari 2011)(Isnin). Masa belajar itu indah.

Kalau nak tulis semua cerita ketika aku di UiTM Shah Alam memang tak mampu. Terlampau banyak barangkali. Atau pun tidak berapa penting untuk diceritakan. Layak untuk disimpan sahaja di dalam sanubari ini. Disimpul dan di buka bila perlu. Begitu juga untuk apa sahaja cerita yang telah dilalui. Apa sahaja kenangan yang telah di tempuhi. Sekarang masa untuk melihat kehadapan lebih jauh. Jauh dari masa silam. Melihat dunia yang nyata, dunia sebenar seorang manusia. Dunia remaja atau dunia dewasa? Mungkin aku tengah berada diantara keduanya. Ah! aku belum mahu jadi dewasa. Hehe. Kalau boleh mahu sahaja jadi mahasiswa lagi. Dimana ketika itu aku suka merungut; ".. Bila la nak abis belajar nih??..". Rungutan yang selalu sahaja keluar bila assignment atau kerja kursus terlampau banyak. Kini semua tiada lagi. Dunia pekerjaan pula akan menyusul - bakal menyusul.

Ketika masuk sekolah menengah dahulu, sering sahaja teringatkan masa-masa sekolah rendah. Begitu juga ketika dah masuk Universiti, teringat akan indahnya zaman persekolahan. Kadang-kadang boleh buat ketawa sendirian. Bahkan kini, ianya lebih panjang dari sebelumnya, iaitu dari sekolah hingga ke Universiti. Memang tak habis kalau mahu cerita. Kalau kita lihat sendiri apa-apa dokumentari pun, mesti dia akan menemubual insan-insan yang terbabit secara langsung dalam cerita dokumentari itu. Mestilah! sebab dia lah yang paling banyak terdedah kepada dunia yang menjadi tajuk dokumentari tersebut. Tambah-tambah lagi warga emas. Bak kata perumpamaan, warga emas ini seperti bangunan bersejarah yang menyimpan pelbagai barang-barangan yang berharga. Iaitu ia mampu menceritakan segala apa yang dilihatnya, dihadapinya, didengarnya ketika zaman mudanya. Dan warga ini sangat penting dalam penulisan sejarah di kebanyakan negara. Dan termasuklah di Malaysia. Tetapi, mungkin Malaysia masih tidak mahu lebih terbuka dan jujur mengenai sejarah sendiri, maka, kelihatan sejarah kita terlalu kaku dan tidak langsung menarik. Aku pernah menonton channel History (Channel 555) di Astro, iaitu dokumentari tentang Malaysia oleh seorang warga Britain, aku sangat terkejut dengan penyampaian hasil kajiannya yang sungguh menarik dan sarat dengan fakta. Cukup mantap!. Tetapi, aku sedikit malu kerana yang melakukannya adalah warga luar. Bukannya warga Malaysia sendiri. Dan pastinya warga Britain tersebut hanya memandang sejarah Malaysia dari perspektifnya sendiri, memandang Malaysia sebagai salah sebuah negara yang sangat memerlukan kerajaan British suatu masa dahulu.

Berbicara mengenai masa belajar aku ketika aku di UiTM Shah Alam. Selain rapat dengan rakan-rakan didalam course aku. Aku juga agak rapat dengan rakan-rakan dari course lain seperti dari Fakulti Undang-undang dan sebagainya. Teman-teman lepak sambil shisha di Saad Char Kue Teaw yang terdiri daripada aktivis-aktivis mahasiswa seperti Ecal, Along, Paan, Farha, Nadia, Dosh, Athari, Karl, Iqa, Sarrah, Zikri, Mim, Zaki, Raf, Haziq, Ilyas, Azim, Halim, Naqi, Amzar dan ramai lagi yang aku tak mampu nak tulis. Selain itu juga untuk geng-geng Le Lac Community seperti Izmil, Hilman, King Chai, Acap, Adib, Fendi, Abon(Nazreen), Adi, Eddy dan juga rakan aktivis yang lain yang tak mampu aku sebutkan kat sini.

Keindahan masa belajar juga telah banyak ditulis oleh ramai orang. Dan ada pula yang disampaikan melalui lagu, novel, filem, bahkan ada diantaranya disampaikan dengan penuh falsafah dan penuh dengan pengajaran. Kini aku mengakhiri tulisan ini dengan rasa mahukannya lagi. Mungkin kalau ada kesempatan, aku boleh coretkan mengenai zaman yang paling indah ini. Aku menulisnya hanya sekadar mahu berkongsi sahaja. Bukan mahu menunjuk-nunjuk atau apa. Kadang-kadang kita hanya asyik menulis tentang orang lain, diri sendiri pun kita tidak berani mahu kritik atau ceritakan. Semoga sesiapa yang sudi membaca tulisan-tulisan aku dapat mengambil sedikit manfaat daripadanya iaitu daripada pengalaman-pengalaman aku. Semoga Tuhan datangkan kebaikan dari tulisan-tulisan ini dan jauhinya dari fitnah akhir zaman. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 29

Assalamualaikum............(31 Januari 2011)(Isnin). Kawan kelas.

Semenjak dari UiTM Kuala Pilah ke UiTM Arau, kemudian ke UiTM Jengka Pahang, rakan-rakan kelas aku adalah antara manusia yang paling rapat dengan diri aku ketika bergelar mahasiswa. Begitu juga ketika di UiTM Shah Alam. Ketika di UiTM Shah Alam, rakan kelas aku tidak terlalu banyak bertukar-tukar kerana kami sememangnya diletakkan di bawah group major kami sendiri iaitu Water Resources Division. Mungkin terlalu banyak untuk diceritakan tentang mereka. Tak mampu untuk aku tulis. Tetapi mereka adalah insan yang paling mudah untuk didekati. Dan kebanyakan dari mereka pun adalah bekas rakan-rakan ketika di UiTM Jengka Pahang lagi. Kelebihannya, kesemua ahli dalam kelas mempunyai kepala yang sama. Mampu untuk melayan perangai antara satu sama lain. Begitulah ianya terjadi. Di dalam rasa semangat untuk melayan aktiviti mereka, di dalam rasa malas untuk menyertai perjumpaan mereka, di dalam rasa bosan asyik melihat mereka setiap hari, di dalam rasa jengkel dengan sesetengah sikap-sikap mereka, di dalam rasa ambil berat terhadap perhatian diberikan oleh mereka serta mereka lah sebenarnya yang menjadi sumber gelak tawa aku, menjadi sumber rasa tenang di hati aku dan yang paling penting adalah menjadi sumber assignment untuk aku tiru. Hehe.

Dengan ke'sunshine'an Yusuf, ke'anak-anak'an Naufal, ke'muncul'an Pida, Ke'jengkel'an Syammir, ke'matang'an Basyir, ke'lembut'an Lukman, ke'macho'an Fahmi, ke'kelantan'an Fauzan, ke'enjoy'an Fadhil(Ax), ke'maintain'an Mat Ju, ke'genius'an Adham, ke'jambu'an Rudy, ke'misteri'an Amad, ke'korea'an Adam, ke'kemaih'an Nidzam, ke'pimpinan'an Burhan, ke'lurus'an Tuyang(Nurhafiz), ke'borneo'an Apai(Azrol) serta ke'utara'an Hariri. Begitu juga dengan ke'migrain'an Ekin, ke'sesat'an Lost(Adila), ke'gembira'an Tasya, ke'gedik'an Puteri, ke'sabar'an Dila, ke'blur'an Syu, ke'cool'an Ayu, ke'pucat'an Aina, ke'kesian'an Mimie, ke'kenit'an Dayang dan ke'farancisca'an Idzumi. Haha. Ini semua bukan lah sifat sebenar mereka pun. Ini hanyalah hasil yang keluar dari otak aku ketika aku menulisnya dengan sekali type sahaja. Hehe.

Aku gembira mengenali mereka semua. Teringat pula aku akan kisah persahabatan Hang Tuah dan Hang Jebat, satu kisah yang sungguh tragis. Ketika itu, tiada yang mampu untuk melepaskan ikatan persahabatan ini. Pasangan duet yang cukup utuh ketika berlawan dengan musuh-musuh Melaka. Walaupun masih muda, mereka umpama laksamana perang yang sudah lama berpengalaman, tanpa takut pada lawan, bagi mereka; pantang berundur walau setapak. Namun, kisah mereka ini, di akhiri dengan pembunuhan ke atas Hang Jebat oleh Hang Tuah sendiri - kerana menurut perintah Raja. Kerana ketaatan katanya. Bermula apabila Tuah difitnah oleh hati-hati yang cemburu, Tuah dihukum bunuh oleh Raja, Memanda Menteri mencampakkan sahaja ke dalam hutan kerana simpati, sebelum Tuah dikutip semula oleh Raja untuk membunuh Jebat. Dan Jebat pula pedih menahan rasa kecewa apabila Tuah di tuduh sebegitu rupa. Anak pahlawan mana mampu melihat sahabat baik sendiri dianiaya, lantas bangkit menuntut pembelaan keatas darah Tuah(Tuah padanya sudah mati dibunuh Raja). Maka istana Raja ditawannya. Sekembalinya dari buangan,  Tuah menhunus keris menentang Jebat di dalam istana Raja Melaka. Akhirnya, Tuah berjaya membunuh Jebat, sahabatnya sendiri kerana sangkanya derhaka kepada Raja.

Cukup lah aku bercerita. Hehe. Aku sebenarnya bukan tidak bersetuju dengan sistem Raja. Aku masih mahukan sistem tersebut di negara Malaysia ini. Tetapi aku mahu melihat Raja itu lebih berperanan. Lebih neutral. Lebih bijak memainkan funginya. Siapa yang tidak suka Raja yang adil? Betul tak?. Kembali cerita rakan kelas aku, aku berharap kalian semua akan berjaya menjadi 'somebody' satu hari nanti. Semoga impian kalian tercapai. Bila dah berjaya, jangan lupa bantu orang-orang yang susah. Jangan lupa pada jasa ibu bapa. Manfaatkan masa bersama keluarga. Ikatan itu tak akan putus sampai bila-bila. Kalau ada rezeki. Kita akan jumpa lagi. Pasti akan jumpa lagi. Tidak di dunia, mungkin di akhirat. Yang penting akhirat itu sesuatu yang pasti. Tiada yang mampu terlepas darinya. Ya Allah, selamatkan kami dari seksaan api neraka. Amen.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Selasa, 1 Februari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 28

Assalamualaikum.................(31 Januari 2011)(Isnin). Kuasa mahasiswa.

Aku tidak terbabit dalam mana-mana persatuan mahasiswa pun sebenarnya. Di luar mahupun di dalam Universiti. Tetapi aku mungkin hanya sebagai pemerhati terhadap dunia 'gerakan mahasiswa'. Aku juga tidak lah mampu mengambil bahagian di dalam mana-mana gerakan kerana pergerakan terhad aku sebagai seorang mahasiswa yang tidak ada apa-apa aset. Tambahan di UiTM Shah Alam tidak terdapat kumpulan mahasiswa yang benar-benar bergerak secara independent - iaitu kumpulan yang sangat aku cari-cari. Dalam hati aku ini, aku percaya yang mahasiswa mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, biarpun dalam soal ekonomi, sosial dan juga politik. Mahasiswa yang kebanyakannya berusia dari semuda-muda 19 tahun hinggalah sematang-matang 28 tahun. Umur tersebut mungkin hanya dari pemerhatian aku tanpa apa-apa fakta yang solid, bahkan pelajar Master dan PhD pun boleh jadi lebih tua dari umur tersebut. Mereka juga adalah mahasiswa.

Tetapi, sistem pendidikan pengajian tinggi yang wujud di Malaysia ini telah melayan mahasiswa persis seperti pelajar zaman sekolah. Masih tidak diberikan ruang yang cukup bebas untuk mengekspirasi idea-idea mereka. Biar dalam apa bidang sekali pun. Kebanyakannya agak tersekat. Dan dihalang juga untuk mengkritik. Diburukkan lagi dengan kebanyakan Universiti hanya mengagung-agungkan konsep yang berorientasikan peperiksaan. Mendesak mahasiswa gred-gred yang tinggi sehingga pelajar tertekan terhadap situasi yang diwujudkan. Kesannya, mahasiswa yang lahir adalah mahasiswa yang menjadi penghafal bahan bacaan yang hebat dan licik. Bukannya idealis. Oleh itu, ada mahasiswa yang mahu merubahnya. Tetapi dengan cara yang tersendiri. Iaitu melalui gerakan mahasiswa. Maka, wujudlah segelintir mahasiswa yang mahu membawa idea-idea yang lebih segar dengan cuba mencadangkan perubahan yang lebih mendasar kepada pihak pengurusan Universiti melalui medium pergerakan mahasiswa. Berlambaklah gerakan mahasiswa di seluruh Malayisa terutamanya di Universiti-universiti tersohor, sama ada pergerakan yang aktif, atau pun yang kurang aktif.

Pergerakan seumpama ini di Malaysia agak terhad pergerakannya. Ini kerana mahasiswa seluruh Malaysia masih di belenggu dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan UiTM pula di bawah Undang-Undang Malaysia Akta 174, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan Peraturan-Peraturan Universiti Teknologi MARA. Banyak juga kan? Ini semua adalah untuk menghalang mahasiswa dari berpartisipasi atau menyertai mana-mana organisasi yang tidak diiktiraf Universiti. Namun, AUKU telah di gubal lagi pada tahun 2008. AUKU telah dilonggarkan sedikit kepada pembabitan pelajar di dalam organisasi luar, namun tidak pada mahasiswa UiTM kerana masih terikat dengan Akta 174. Alasannya, supaya mahasiswa belajar bersungguh-sungguh, jangan leka - hanya suka berorganisasi. Benarkah andaian mereka itu? Cuba kita lihat pada zaman sekarang. Mahasiswa yang tidak berpartisipasi pun masih juga tidak mahu belajar. Dimana silapnya?

Aku membaca, menonton dan mendengar mengenai pergerakan mahasiswa. Aku juga pernah menghadiri Public Lecture dari Fahmi Reza, seorang aktivis Student Power (klik sini). Public Lecture tersebut adalah mengenai sejarah pergerakan mahasiswa sekitar tahun 60'an sebelum AUKU diwujudkan pada tahun 70an. Zaman tersebut mahasiswa Malaysia sangat hebat. Bukan hanya terbabit dalam isu pendidikan, tetapi lebih luas menyeliputi masalah rakyat dan sebagainya. Aku juga menghadiri forum atau majlis anjuran pergerakan mahasiswa lain di sekitar Kuala Lumpur. Aku mempunyai rakan dalam dunia tersebut terutamanya dari UKM, UM, UNISEL dan juga dari UiTM sendiri. Penjelajahan ini membawa pengalaman yang menarik sebenarnya. Pengalaman bergaul dengan kaum-kaum lain seperti Cina, India, Singh dan sebagainya di dalam organisasi. Kerana aku sebagai mahasiswa UiTM (Universiti untuk Melayu/Bumiputera dan Arab) langsung tiada kesempatan untuk mengenali pelbagai kaum di Malaysia. Malu. Warganegara sendiri pun tidak dapat didekati. Semoga satu hari UiTM akan mencari solusi untuk perkara ini. Supaya mahasiswa UiTM lebih terbuka terhadap kaum lain. Aku sangat berharap akannya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Isnin, 31 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 27

Assalamualaikum..........(30 Januari 2011)(Ahad). Rumah teres.

Pindah ke rumah teres adalah impian aku dan housemate. Ini kerana kami sudah tidak tahan lagi duduk di suasana yang amat hingar-bingar di Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam ini. Sebelum ketibaan kami disini, Pusat Komersial ini sangat amat aman dan tenang, tetapi, setelah dua semester berlalu, suasananya menjadi haru-biru. Bising dengan bunyi kenderaan dan bunyi-bunyi dari persekitaran bandar yang sibuk. Tambahan pula di bawah rumah kami terdapat sebuah bengkel motorsikal. Rumah yang kami duduki adalah rumah kedai. Maka, bergegarlah rumah kami setiap hari, dari pagi hingga ke malam. Rumah teres yang bakal kami duduki ini sangat besar. Tiga tingkat pula tuh. Terletak di Seksyen 7 Shah Alam juga iaitu di rumah No 10 Jalan Pualam. Aku, Adam, Amad, Shaikh, Faizul, Naufal dan Mael akan pindah ke rumah yang sama. Manakala Fahmi(tulang), Kue dan Lukman berpindah ke rumah lain. Di rumah baru aku, kami disertai oleh Afiq, Adham, Sali, Zuwairi, Syukri, W.Nuh, Apis, Mat Yie, Mazumi dan Najmudin. Ada yang tertinggal ke?Hehe. Itu lah nama-nama yang aku ingat. Rumah ini ada kawasan tanah di bahagian belakang dan depan rumah. Aku sempat juga bercucuk tanam dibelakang rumah sambil dibantu rakan-rakan, terutamanya Amad, Mael dan Adham. Aku bawa anak cili dan juga serai. Bila pokok cili sudah besar dan berbuah. Sempat kami gunakan untuk masakan. Haha. Cuma serai yang kami tak merasa sebab kami tak tau nak guna dalam masakan apa pun. Rumah orang bujang masak apa jek.

Di rumah No 10 Jalan Pualam ini tempat berkumpul budak-budak kelas aku untuk study - kelas Water Resources. Basyir dan Yusuf adalah pengunjung tetap. Mamat berdua nih menjadi pembuka semangat kepada yang lain untuk study. Mereka duduk tak jauh dari rumah sewa kami ini. Basyir(klik sini) ada blog. Yusuf(klik sini) juga ada blog. Selain itu, ramai juga kawan-kawan aku yang menulis seperti Aina(klik sini), Momoi(klik sini), Adli(klik sini), Amal(klik sini) dan Ekin(klik sini). Aina adalah antara insan yang banyak membantu aku mewujudkan blog aku ni. Terima Kasih. Aku tak tahu dari mana minat menulis datang. Dah nama pun minat. Minat itu sendiri bagi aku amat subjektif. Pernah juga aku hadirkan diri ke bengkel penulisan Ustaz Pahrol Juoi, editor majalah Solusi di UiTM Shah Alam anjuran Fakulti Perubatan. Tak sangka kan? Fakulti yang jauh dari dunia sastera pun mengadakan bengkel sebegini. Teringat aku akan kata-kata Ustaz Pahrol, katanya;

".. Jika penulis menulis dari hati, ia akan sampai ke hati pembaca, jika penulis menulis dari akal, ia akan sampai ke akal pembaca..".

Penulis yang baik adalah penulis yang benar-benar memberi kesan kepada pembaca. Barangkali juga kepada pendengarnya, jika ianya dibaca atau diperdengarkan. Seperti kata-kata pensyarah aku di UiTM Jengka Pahang dahulu, Cik Asmida(klik sini);

"..orang yang hebat, adalah orang yang menjadi inspirasi kepada yang lain.."

Bagaimana tulisan mampu menginspirasi orang lain? Bahkan, melalui kata-kata pun tidak ramai yang mampu melakukannya. Mungkin seperti pidato Presiden Sukarno terhadap bangsa Indonesia-nya, dimana beliau mampu membangkitkan semangat bangsa-nya untuk menuntut kemerdekaan dan seterusnya menubuhkan Indonesia. Ketika zaman itu, barang siapa mendengar pidatonya, maka meremang bulu roma tubuh masing-masing lantas menimbulkan semangat luar biasa. Pidato beliau adalah di antara yang terhebat didalam sejarah. Semangat yang beliau wujudkan itu juga telah sampai ke Tanah Melayu, kesannya dapat dilihat pada keseluruhan gagasan Nusantara untuk bangun menentang dan menghalau penjajah asing. Antara kata-kata yang paling popular milik Sukarno adalah:

"..Berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya akan ku goncang dunia!...."

Kembali kepada cerita rumah teres aku. Rumah teres ini didiami sekitar lima belas orang, tetapi masing-masing kebanyakannya buat hal sendiri sahaja. Jarang kami semua mampu bersama. Kalau ada pun sekali dua, itu pun tidak cukup, mungkin separuh dari ahli rumah sahaja. Lama kelamaan perkara ini menjadi kebiasaan. Bahkan, kita sendiri tidak tahu, apa yang rakan lain di dalam rumah buat. Rasanya itu lah resam kehidupan di dalam rumah yang dihuni oleh ramai ahli. Tiga tingkat pula tuh. Yang atas tidak tahu apa di bawah buat, begitu juga yang dibawah. Ianya terserah kepada diri sendiri sama ada ingin menjenguk ke tingkat lain atau tidak. Itu sahaja yang aku mampu buat. Memang riuhnya berbeza berbanding ketika duduk di asrama. Tetapi kalau betul riuhnya, mahu bising satu kawasan perumahan gamaknya. Hehe. Rindu saat belajar itu memang perkara biasa. Iya, sekarang aku telah benar-benar merinduinya..:) 

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Ahad, 30 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 26

Assalamualaikum..............(30 Januari 2011)(Ahad). Bila dah start suka lepak.

Ketika aku di awal semester di Shah Alam, Restaurant Kamal Corner menjadi saksi terhadap gejala lepak diantara aku dan rakan-rakan. Restaurant tersebut yang terletak lebih kurang satu blok dari rumah aku. Ketika itu, aku duduk di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam, selama setahun, sebelum berpindah ke sebuah rumah teres No 10 Jalan Pualam, juga di Seksyen 7, Shah Alam. Ahli tetap kaki lepak tersebut adalah aku, Adam, Shaikh, Amad dan kadang-kadang disertai oleh Mael, Faizul Saari, Fahmi(tulang) dan juga Kue. Dua lagi housemate aku iaitu Naufal dan Lukman agak kurang menyertai kami. Aktiviti ini berlangsung di malam hari. Di Kamal pula pasti akan ada seorang rakan kelas kami iaitu Fadhil (Ax). Mamat ni adalah pengunjung tetap Kamal Corner. Ramai gadis-gadis datang kesana katanya. Aku juga bersetuju dengan pendapat itu sekali sekala. Sepanjang lepak, kami selalu juga disertai oleh Yusuf, Basyir dan budak-budak rumah mereka. Selain itu juga, budak-budak rumah Ijul seperti Ijul sendiri, Rosyam, Ijan, Amin dan lain-lain juga turut serta. Apa yang menariknya Kamal Corner nih? Aku kurang pasti. Mungkin sebab kami tengok siaran langsung EPL disana. Yang pasti ianya adalah sebuah restaurant mamak. Dan berkumpul sesama sendiri itu adalah tujuannya.

Kekerapan melepak disana menyebabkan kami mengenali setiap pelayan yang ada disana. Nama-nama gelaran seperti Bumin, Shah Rukh Khan, Salman dan beberapa lagi nama menjadikan mereka senang didekati. Sebenarnya, ada beberapa nama lagi yang menjadi bualan kami kerana telatah mereka ketika meminta order, tetapi aku sudah tidak berapa ingat. Ada di kalangan mereka dari India, Pakistan, Bangladesh, Iran dan sebagainya. Yang penting mereka semua adalah dari susur manusia berhidung mancung. Aku pernah juga berbual dengan mereka, bertanya khabar dan mengusik juga kadang-kadang. Mereka juga kebanyakannya sudah mengenali muka-muka kami ini. Muka-muka yang selalu lepak di Restaurant Kamal. Aku pernah berbual dan bertanya kenapa memilih Malaysia sebagai tempat kerja. Ada yang kata ikut orang, ada yang kata kat sini lebih aman. Pernah juga berbual dengan warga Pakistan, tetapi berdarah Parsi, yang baru sahaja tamat kontrak kerja di Jepun, sekarang bekerja di Malaysia. Begitulah kehidupan musafir ini. Katanya, di Pakistan dia mempunyai tanah ladang yang agak besar, sepatutnya disana boleh dijadikan ladang gandum. Ladang tersebut kepunyaan keluarganya. Tetapi, dia tidak mampu untuk mengusahakan tanah itu. Dia membuat keputusan keluar negara untuk mencari duit dengan lebih mudah dan menghantarnya ke Pakistan - kepada keluarganya. Ladang tersebut boleh diusahakan sekadar untuk makan sendiri sahaja.

Pada suatu hari, aku dan rakan lepak di sana di petang hari. Maka, lalulah sebuah kenderaan Polis dan berhenti. Dan tiga orang Polis keluar, dan duduk di Restaurant Kamal. Maka berkatalah mamat-mamat hidung mancung nih, yakni pelayan restaurant, terhadap Polis bertiga itu: "Hello bos..!!" . Dan order pun diambil. Telatah mereka agak lucu. Kami mengeleng ketawa memerhati gelagat mereka. Aku pun memanggil mamat pelayan yang berasal dari India itu untuk aku order minuman. Sampai sahaja dimeja aku dia berkata, " Polis sini banyak baik..". Aku mula hairan. Selepas aku order minuman, aku pun tanya; "Kenapa pulak?..". Lalu dia menjelaskan; "..India Polis tak boleh percaya.." . Katanya  dengan nada serius, dan terus beredar. Aku melihat yang kawan yang lain, kami hanya mampu ketawa sahaja. Kerana pelayan disitu memang bahan ketawa kami. Tapi dalam hati aku banyak pula persoalan yang timbul.

Aku pernah terdengar betapa korup-nya polis di India. Seperti yang telah mereka gambarkan di dalam filem-filem mereka. Tetapi, aku juga dengar bahawa tidak semua polis mereka begitu, dan ada juga cerita bahawa semua kisah tersebut adalah kisah lama. Sekarang Polis mereka dah bertambah baik. Ntah la, aku tidak pasti. Ada juga aku terfikir dalam satu situasi, Polis Malaysia kita sebenarnya tiada beza. Tetapi tidaklah kita kategorikan sebagai sangat teruk lagi. Meminta rasuah ketika sekatan jalan raya, dan juga memberi alasan bahawa ini adalah satu arahan pihak atasan ketika melakukan serbuan, sehingga menghilangkan nilai-nilai adab, yang sepatutnya harus dijaga oleh seseorang yang lengkap beruniform - lebih professional. Itu yang aku selalu dengar lah. Untuk tidak mahu melihat ianya menjadi semakin teruk - Integriti menjadi persoalan. Polis di mana-mana negara sekalipun berhadapan dengan masalah ini. Polis sepatutnya menjadi badan yang bebas dari mana-mana pihak termasuk kerajaan. Baru lah kita boleh nampak Polis benar-benar berkesan.

Kembali kepada suasana lepak. Restaurant Kamal hanya menjadi pilihan ketika kami menetap di Pusat Komersial sahaja. Setelah kami berpindah, Restaurant Kamal bagi kami agak jauh. Dan tempat lain menjadi pilihan - banyak tempat. Budaya lepak di kedai bukan sesuatu yang asing bagi remaja. Tetapi bagi warga tua itu mungkin pelik. Banyak yang dapat kita kongsi dari berbual dan bertukar cerita. Yang paling istimewa pada budaya ini ialah perpaduan. Ada orang kata bola sepak itu juga perpaduan. Hakikatnya, kesan dari berbual, kaki lepak tak akan lepas dari tempias mengumpat. Hehe. Apa yang boleh aku kata untuk diri aku sendiri, semoga dapat mengurangkan sikap ini. Masa mematangkan kita. Zaman belajar memang banyak keistimewaannya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 25

Assalamualaikum.............(30 Januari 2011)(Ahad). Islam jadi cara hidup.

Di dalam post 'Jalur agama Islam', aku bercerita mengenai fahaman yang menjadi pegangan aku. Sekarang aku ingin terus berbicara mengenainya. Kenapa kita perlukan fahaman? Adakah kita memerlukan fahaman? Perlukan diadakan pemahaman kelompok, atau dibiarkan bersifat individu? Aku sendiri tiada jawapannya. Namun, Islam bagi aku adalah mengenai soal kerohanian, dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih Islam dari yang lain serta menuduh yang lainnya sesat atau kafir. Islam mempengaruhi hidup aku dari segi budaya dan nilai hidup secara keseluruhan. Menerima Islam sebagai cara hidup adalah kemahuan semua penganutnya, tetapi, ianya tidak semudah kata-kata, bahkan memerlukan kekuatan yang besar untuk menguasainya. Pelbagai fahaman di dalam Islam adalah salah satu dari perkara yang tidak dapat di-elakkan kewujudannya. Dan ini sepatutnya telah menjadikan agama Islam ini lebih terbuka kepada pelbagai jenis pemikiran dan bukannya tersekat kepada hanya satu pemahaman sahaja.

Agama Islam di Malaysia rata-rata adalah agama yang diperoleh dari keturunan - dari ibu bapa. Termasuk diri aku. Pencarian 'apa itu Islam' seharusnya dilakukan oleh individu itu sendiri. Adakah beliau beragama kerana beliau percaya akan agama tersebut, atau hanya beragama kerana mengikut orang disekelilingnya beragama? Hebat jika manusia itu ada keinginan untuk terus belajar. Sama ada belajar berguru, belajar sendiri dan berbagai cara lagi, mahu tidak mahu sahaja. Sumber rujukan di zaman sekarang tampak lebih mudah diperoleh berbanding zaman-zaman dahulu. Sudah banyak juga kitab diterjemah ke dalam bahasa ibunda masing-masing. Tidak ada sebab untuk aku dan sesiapa sahaja yang beragama Islam menjauhi tulisan-tulisan tersebut. Apa yang ada hanya malas. Atau tidak suka belajar. Ada juga yang membenci. Menganggap bahawa diri sudah mengetahui segala-galanya. Ada juga yang cepat berpuas hati, cukuplah tahu perkara ini dan perkara itu sahaja. Dan berbagai-bagai sebab lagi. Zaman ini bukan lagi zaman untuk kita memaksa orang lain untuk buat yang tidak menjadi pilihannya. Siapa yang mempunyai keinginan dan terus melakukannya, dia akan lebih kehadapan dari yang lain.

Aku, menasihati diri aku, dan juga menasihati kalian semua, untuk memujuk hati kita ini, agar terus belajar mengenai agama Islam atau apa-apa fahaman yang kamu percayai, sambil menilainya sendiri menggunakan akal fikiran yang di anugerahkan Allah. Kita sudah cukup dewasa untuk melakukannya tanpa apa-apa tekanan dari pihak lain. Tidak perlu kita salahkan sesiapa jika kita gagal dalam mendalami atau mengamalkan perkara di dalam agama Islam. Cukuplah untuk menyalahkan Ibu dan bapa, tok imam di masjid, ustaz-ustaz di Jabatan Agama, guru-guru mengaji Al-Quran, guru-guru KAFA dan berbagai pihak lagi. Salahkanlah diri sendiri. Salahkan lah diri aku ini. Salahkan diri kamu itu.. Cari penyelesaian terhadap masalah yang menimpa diri sendiri. Semoga dipertemukan penyelesaiaannya. Dan juga, semoga sama-sama kita dapat manfaat dari apa yang kita telah pelajari dan yang akan kita pelajari nanti. Amen.


Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 24

Assalamualaikum.........(16 Disember 2011)(Ahad). Jalur Agama Islam.

Berubah dari suasana desa ke bandar seperti Shah Alam, mengundang perubahan dari segi amalan sosial aku secara tidak langsung. Aku mula meminati mendengar syarahan agama Islam sejak dari Jengka Pahang lagi. di Shah Alam, aku menjelajah youtube mencari syarahan agama Islam dengan menggunakan line internet rumah sebelah aku secara percuma. Aku tertarik dan sependapat dengan satu lagi jalur fahaman yang terdapat di dalam agama Islam. Yang dikenali di Malaysia sebagai Salaf. Aku mendekati tulisan Dr Asri Zainul Abidin dan juga menonton rakaman-rakaman ceramahnya yang aku rasa dekat dengan pemahaman agama aku. Dari sana juga aku mengenali beberapa insan lain seperti Ustaz Fathul Bari, Ustaz Rasul Dahri dan juga ustaz-ustaz yang lain. Kenapa aku beria mahu menyebutnya, kerana aku benar-benar mahu mengakui apa yang menjadi pemahaman aku terhadap agama Islam selama ini. Ada juga pendapat mereka yang aku kurang bersetuju, namun, kebanyakan darinya lebih dekat dengan pemahaman aku. Aku bertindak seterusnya menghadiri sebuah Daurah di Melaka ketika musim cuti semester. Disana aku melihat golongan ini dengan lebih dekat. Golongan yang mengangkat ilmu lebih tinggi dari cerita masyarakat. Mengambil dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dengan penuh teliti dan tertib. Tidak kira dari golongan yang masih muda atau pun tua. Tidak ketinggalan juga kepada golongan yang sudah mahir, atau kepada golongan yang baru belajar - seperti aku. Mereka sentiasa membelek kitab Al-Quran dan Hadis ketika di dalam sesi kuliah. Akhlak tersebut membuat aku jatuh cinta dan terpaut pada method yang digunakan didalam memahami agama Islam.

Dan bahasa Arab dilihat menjadi keutamaan terhadap pembaca-pembaca kitab tersebut. Andai dikalangan mereka tidak tahu maksud, mereka akan cuba bertanya dan tak henti menuntut ilmu dari sahabat yang lain yang lebih arif. Kepulangan aku dari program Daurah ke Shah Alam, membuatkan aku benar-benar mahu belajar bahasa Arab. Disamping hatiku mahu mempelajari dan memahami Islam dengan cara yang lebih seronok. Aku mencari dan akhirnya ketemu. Mendaftarkan diri di dalam kelas bahasa Arab yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Arab UiTM Shah Alam. Kelas diadakan pada waktu malam selepas maghrib. Aku pergi seorang diri. Pada hari pertama, tidak aku sangka, rakan batch aku iaitu Mohd Nur, juga datang untuk belajar bahasa Arab. Di dalam kelas hanya terdapat lebih kurang sepuluh orang. Maka belajar la aku bersama yang lain. Aku tidak ada asas. Juga jauh dari pengetahuan aku tentang bahasa ini. Jadi, lambat untuk aku fahaminya. Dan ketika dipertengahan semester, aku masih tidak dapat sepenuhnya menangkap apa yang di ajar, dan boleh dikatakan gagal dalam menguasai bahasa ini, walaupun sedikit. Kelas tersebut pula terlalu awal dihentikan iaitu dipertengahan semester, dan tiada pula ura-ura mahu menyambungnya. Aku redha, aku sudah cuba mempelajari bahasa tersebut. Mungkin bukan disini tempatnya. InsyaAllah, jika berpeluang lagi, mahu aku memberikan masa untuk bahasa Arab ini.

Kembali kepada cerita golongan Salaf. Berbeza ketika aku di UiTM Jengka Pahang. Ketika itu aku tertarik dengan jemaah Tabligh. Di Shah Alam pula aku tertarik dengan Salaf. Aku tidak dipengaruhi, bahkan aku yang memilihnya sendiri. Selagi niat aku mahu belajar agama masih kuat - aku sedia untuk terus mempelajarinya walau apa jua cabang fahaman yang ada. Aku cuma disedarkan bahawa di dalam menuntut ilmu kita harus ada rujukan yang konkrit. Disebabkan itu lah aku selami jalur Islam ini. Sama-sama buka minda untuk terima dan nilai sendiri pelbagai fahaman dan mazhab yang wujud di Malaysia ini. Tidak perlu kita menuduh mana fahaman yang salah, mana yang betul. Doaku agar kita semua dapat diberi kefahaman oleh Allah, Tuhan yang maha mengetahui setiap sesuatu. Amen. Juga kesempatan di Shah Alam aku mempelajari aliran Al-Assyairah, satu lagi fahaman Sunnah yang terdapat di Malaysia selain Salaf dan Tabligh. Selain fahaman Sunnah, aku juga ada membaca serba sedikit tentang fahaman Syiah. Juga berkesempatan berbual dengan mereka beraliran Syiah di Malaysia. Yang kebanyakan dari mereka adalah Syiah keturunan dan ada juga yang baru menganutinya. Aku antara orang yang tidak bersetuju dengan apa yang dipercayai oleh Syiah, tetapi, aku tidak suka kepada mereka yang suka menimbulkan provokasi dan tuduh-menuduh bahawa siapa yang lebih benar sehingga menyebabkan suasana tegang diantara fahaman Sunnah dan Syiah.

Kita sentiasa mengharap kepada Allah agar kita dimasukkan kedalam golongan orang yang diredhai-Nya. Juga supaya Allah jangan pesongkan hati kami setelah Engkau beri kami petunjuk. Mengatakan bahawa kita adalah golongan yang 'sedar' dan mendakwa bahawa orang lain tidak 'sedar' adalah satu kesedaran yang salah. Taksub kepada sesuatu mazhab atau sesuatu fahaman adalah sikap yang sangat merbahaya. Untuk berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah bukan suatu perkara yang mudah, dan bukan pula perkara yang boleh dilakukan sehari dua. Semoga kita semua terperlihara dari fitnah yang boleh memecah belahkan umat Islam. Amen. Rindu sungguh untuk melihat umat ini bersatu.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Sabtu, 15 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 23

Assalamualaikum.......(31 Disember 2010)(Jumaat). Susah nak faham. 

Semester pertama aku di UiTM Shah Alam, aku terpaksa menduduki banyak kertas peperiksaan yang terdiri dari pelbagai subjek. Dan kesemua subjeknya pulak agak sedikit susah - memerlukan kekuatan mental serta fizikal untuk mempelajarinya. Kebanyakan kertas adalah berbentuk calculation seperti Structure, Statik and Dynamic, Hydraulic dan subjek menghafal seperti Geology serta subjek-subjek lain yang aku tak berapa ingat namanya. Dan bentuk pembelajaran juga sudah berbeza, tidak sama seperti ketika Diploma. Pensyarah hanya membaca slide, tanpa apa-apa latihan diberi, kemudian memberi assignment tanpa mengajar bagaimana menjawabnya. Memang lain. Aku terasa agak terkejut dengan sistem pembelajaran disini. Suasana ini telah membuatkan test-test aku kebanyakannya failed. Bukan aku sorang, bahkan rata-rata sahabat yang aku tanya punyai pendapat yang sama. Mungkin ada di antara kami yang tidak merasa begitu - golongan genius - mereka ini punya kurniaan yang berbeza.

Betapa gerun aku menunggu kelas di setiap hari Jumaat, kerana hari tersebut terdapat kelas Statik. Pensyarahnya perempuan - yang agak manis orangnya, tetapi sangat tegas dan akan memilih secara random dikalangan kami di dalam kelas untuk membuat latihan di white board. Dah la subjek ini aku lambat nak faham, adakalanya langsung tak faham. Dia buat pulak method ini. Lagi la aku kelam kabut. Tetapi, dengan adanya method yang pensyarah aku guna ini, membuatkan aku sentiasa bersedia, namun tetap merasa tertekan tatkala aku gagal bersedia. Dan tekanan itu seringkali membuat aku mengeluh dan sentiasa memikirkan, apakah pilihan yang aku ada??.., adakah aku ini betul-betul mahu untuk sambung belajar??... Semester pertama ini adalah semester yang penuh ranjau berduri - aku tempuhi dengan redha, samada aku menjalaninya dengan memahami apa yang aku pelajari atau menjalaninya untuk sekadar mahu lulus.

Selesai semester pertama ini, aku bersyukur kerana lulus subjek-subjek yang aku fikirkan akan gagal. Tetapi, aku tetap malang, aku failed satu paper, iaitu paper Geology. Entah kenapa, aku kecundang dengan subjek menghafal ini. Sejak dari dunia Diploma, aku tidak pernah mengalami pengalaman mengulang semula paper (repeat). Inilah kali pertama. Dan kesukarannya memang menyerabutkan. Datangnya masalah dari segi pendaftaran sehinggalah kepada masalah clash dengan kelas semester seterusnya; iaitu semester kedua. Subjek Geology pula terdapat sesi makmal, dan aku sepatutnya menyertai kumpulan junior. Nasib aku baik kali ini, kerana aku diletakkan sekelas dengan seorang lagi mamat di dalam batch yang senasib dengan aku iaitu Hanafi atau Pioh. Kami membentuk kumpulan dengan beberapa rakan kami yang lain dikalangan junior.  

Semester kedua ini aku jalani dengan sedikit perasaan tanggungjawab. Teringat pesan Mr. Ching Chong Kee, pensyarah Mathematic aku ketika di semester pertama, katanya;"practice make perfext..!!". Kata-kata keramat ini menjadi salah satu punca semangat aku kembali segar ketika aku di ambang kegagalan. Mungkin kerana tidak mahu repeat paper lagi, jadi aku lebih bersungguh-sungguh kali ini. Subjek Geology akhirnya lulus dengan cukup makan sahaja - Alhamdulillah. Tatkala ini, aku baru sedar bahawa aku memang susah untuk menghayati subjek yang berbentuk hafalan. Buktinya, setiap paper semester seterusnya untuk subjek yang memerlukan hafalan, aku hanya berjaya lulus sahaja. Tidak gagal, dan tidak pula cemerlang. Susahnya nak faham subjek sebegini atau adakah cara belajar aku yang salah??, yang membuatkan aku gagal memahami isi kandungan subjek. Aku pun tidak pasti...

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!