Ahad, 30 Januari 2011

Sementara Aku Masih Ingat, Versi Sebelum Aku Tamat (UiTM) - 26

Assalamualaikum..............(30 Januari 2011)(Ahad). Bila dah start suka lepak.

Ketika aku di awal semester di Shah Alam, Restaurant Kamal Corner menjadi saksi terhadap gejala lepak diantara aku dan rakan-rakan. Restaurant tersebut yang terletak lebih kurang satu blok dari rumah aku. Ketika itu, aku duduk di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam, selama setahun, sebelum berpindah ke sebuah rumah teres No 10 Jalan Pualam, juga di Seksyen 7, Shah Alam. Ahli tetap kaki lepak tersebut adalah aku, Adam, Shaikh, Amad dan kadang-kadang disertai oleh Mael, Faizul Saari, Fahmi(tulang) dan juga Kue. Dua lagi housemate aku iaitu Naufal dan Lukman agak kurang menyertai kami. Aktiviti ini berlangsung di malam hari. Di Kamal pula pasti akan ada seorang rakan kelas kami iaitu Fadhil (Ax). Mamat ni adalah pengunjung tetap Kamal Corner. Ramai gadis-gadis datang kesana katanya. Aku juga bersetuju dengan pendapat itu sekali sekala. Sepanjang lepak, kami selalu juga disertai oleh Yusuf, Basyir dan budak-budak rumah mereka. Selain itu juga, budak-budak rumah Ijul seperti Ijul sendiri, Rosyam, Ijan, Amin dan lain-lain juga turut serta. Apa yang menariknya Kamal Corner nih? Aku kurang pasti. Mungkin sebab kami tengok siaran langsung EPL disana. Yang pasti ianya adalah sebuah restaurant mamak. Dan berkumpul sesama sendiri itu adalah tujuannya.

Kekerapan melepak disana menyebabkan kami mengenali setiap pelayan yang ada disana. Nama-nama gelaran seperti Bumin, Shah Rukh Khan, Salman dan beberapa lagi nama menjadikan mereka senang didekati. Sebenarnya, ada beberapa nama lagi yang menjadi bualan kami kerana telatah mereka ketika meminta order, tetapi aku sudah tidak berapa ingat. Ada di kalangan mereka dari India, Pakistan, Bangladesh, Iran dan sebagainya. Yang penting mereka semua adalah dari susur manusia berhidung mancung. Aku pernah juga berbual dengan mereka, bertanya khabar dan mengusik juga kadang-kadang. Mereka juga kebanyakannya sudah mengenali muka-muka kami ini. Muka-muka yang selalu lepak di Restaurant Kamal. Aku pernah berbual dan bertanya kenapa memilih Malaysia sebagai tempat kerja. Ada yang kata ikut orang, ada yang kata kat sini lebih aman. Pernah juga berbual dengan warga Pakistan, tetapi berdarah Parsi, yang baru sahaja tamat kontrak kerja di Jepun, sekarang bekerja di Malaysia. Begitulah kehidupan musafir ini. Katanya, di Pakistan dia mempunyai tanah ladang yang agak besar, sepatutnya disana boleh dijadikan ladang gandum. Ladang tersebut kepunyaan keluarganya. Tetapi, dia tidak mampu untuk mengusahakan tanah itu. Dia membuat keputusan keluar negara untuk mencari duit dengan lebih mudah dan menghantarnya ke Pakistan - kepada keluarganya. Ladang tersebut boleh diusahakan sekadar untuk makan sendiri sahaja.

Pada suatu hari, aku dan rakan lepak di sana di petang hari. Maka, lalulah sebuah kenderaan Polis dan berhenti. Dan tiga orang Polis keluar, dan duduk di Restaurant Kamal. Maka berkatalah mamat-mamat hidung mancung nih, yakni pelayan restaurant, terhadap Polis bertiga itu: "Hello bos..!!" . Dan order pun diambil. Telatah mereka agak lucu. Kami mengeleng ketawa memerhati gelagat mereka. Aku pun memanggil mamat pelayan yang berasal dari India itu untuk aku order minuman. Sampai sahaja dimeja aku dia berkata, " Polis sini banyak baik..". Aku mula hairan. Selepas aku order minuman, aku pun tanya; "Kenapa pulak?..". Lalu dia menjelaskan; "..India Polis tak boleh percaya.." . Katanya  dengan nada serius, dan terus beredar. Aku melihat yang kawan yang lain, kami hanya mampu ketawa sahaja. Kerana pelayan disitu memang bahan ketawa kami. Tapi dalam hati aku banyak pula persoalan yang timbul.

Aku pernah terdengar betapa korup-nya polis di India. Seperti yang telah mereka gambarkan di dalam filem-filem mereka. Tetapi, aku juga dengar bahawa tidak semua polis mereka begitu, dan ada juga cerita bahawa semua kisah tersebut adalah kisah lama. Sekarang Polis mereka dah bertambah baik. Ntah la, aku tidak pasti. Ada juga aku terfikir dalam satu situasi, Polis Malaysia kita sebenarnya tiada beza. Tetapi tidaklah kita kategorikan sebagai sangat teruk lagi. Meminta rasuah ketika sekatan jalan raya, dan juga memberi alasan bahawa ini adalah satu arahan pihak atasan ketika melakukan serbuan, sehingga menghilangkan nilai-nilai adab, yang sepatutnya harus dijaga oleh seseorang yang lengkap beruniform - lebih professional. Itu yang aku selalu dengar lah. Untuk tidak mahu melihat ianya menjadi semakin teruk - Integriti menjadi persoalan. Polis di mana-mana negara sekalipun berhadapan dengan masalah ini. Polis sepatutnya menjadi badan yang bebas dari mana-mana pihak termasuk kerajaan. Baru lah kita boleh nampak Polis benar-benar berkesan.

Kembali kepada suasana lepak. Restaurant Kamal hanya menjadi pilihan ketika kami menetap di Pusat Komersial sahaja. Setelah kami berpindah, Restaurant Kamal bagi kami agak jauh. Dan tempat lain menjadi pilihan - banyak tempat. Budaya lepak di kedai bukan sesuatu yang asing bagi remaja. Tetapi bagi warga tua itu mungkin pelik. Banyak yang dapat kita kongsi dari berbual dan bertukar cerita. Yang paling istimewa pada budaya ini ialah perpaduan. Ada orang kata bola sepak itu juga perpaduan. Hakikatnya, kesan dari berbual, kaki lepak tak akan lepas dari tempias mengumpat. Hehe. Apa yang boleh aku kata untuk diri aku sendiri, semoga dapat mengurangkan sikap ini. Masa mematangkan kita. Zaman belajar memang banyak keistimewaannya.

Sementara aku masih ingat, versi sebelum aku tamat(UiTM)..!!

Tiada ulasan: