Rabu, 18 Ogos 2010

Puasa dan keampunan dari Allah

Assalamualaikum......(18 Ogos 2010)(Rabu).Selamat berpuasa. Selamat bersahur dan selamat berbuka. Juga selamat beribadah di siang hari dan di malam hari. Selamat menghayati ramadhan dengan penuh penghayatan. Alhamdulillah kita semua masih diizinkan bertemu dengan ramadhan tahun ini. Disini aku mahu berkongsi sedikit pengetahuan hasil bacaan aku yang aku ingin kongsi dengan siapa yang membaca tulisan ini. Semoga aku dan yang lain dapat sama-sama mengambil manfaat. InsyaALLAH.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, malaikat Jibril pernah berdoa kepada Allah:

Celakalah bagi golongan yang bertemu dengan bulan Ramadan, tetapi setelah berpisah dari bulan tersebut, dosanya tidak diampunkan. 

(Hadis riwayat al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad).

Allahuakbar... rugilah aku, rugilah manusia semua jika tidak mengambil kesempatan dan tak mahu ambil faedah dari bualan special ini. Dan aku... aku mengingatkan diri aku. Supaya sentiasa mengharap redha Allah, menjaga amal sebaik mungkin, menambah amal se-mampu mungkin. Begitu juga kita semua. Kadang-kadang tu terasa sangat, bila datang-nya ramadhan ini, kita akan menghadapi pelbagai dugaan yang sangat besar. Semestinya. Kerana bulan ini menyediakan pelbagai faedah dan kelebihan. Untuk mendapatkannya, mesti-lah tidak semudah yang disangka.

Kelebihannya dinyatakan oleh Nabi Muhammad yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."

(Hadis riwayat Muslim)

Jangan lah kita sangsi dengan apa yang Allah janjikan. Sesungguhnya janji-janji Allah itu pasti. Seperti manusia yang melakukan kesilapan terhadap sesama manusia. Dan biasanya, manusia akan rasa malu serta terbit rasa mahu berbaik-baik dan bermaaf-maafan. Ini kan pula kita dengan Tuhan, dengan Allah. Alangkah beratnya kebiadaban ini. Ya Allah, Ampunkan dosa aku, ampunkan dosa kami.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 

“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: 

“Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Marilah. InsyaALLAH. Aku sendiri tidak ada kekuatan. Masih belum mampu konsisten dalam solat sunat dan juga ber-doa. Tambahan pula didalam saat dan ketika 'sepertiga malam' . Mungkin berat jika ianya di bulan-bulan lain. Namun, bulan ini sepatutnya lebih mudah, kerana kita memiliki 'masa sahur'. Jadi masa sahur ini lah, dengan izin ALLAH, kita boleh amalkan hadith di atas. Dengan keizinan Allah juga, solat dan doa-doa kita diterima. Subhanallah. Alangkah ruginya kita terlepas dari kemaafan dan keampunan Allah. Sesungguhnya Allah Maha pengampun dan Maha Penyayang. Semoga Allah memaafkan dosa kita semua. Amen.

Mencapai kedudukan para sahabat Muhammad itu memang mustahil. Namun, jika kita cuba untuk contohi mereka dan meneladani cara mereka menghayati agama itu adalah salah satu method yang mudah untuk memahami bagaimana mereka semua, yakni para sahabat, menjadi orang yang hebat di dunia dan di akhirat. Tidak dapat ambil semua, mungkin sedikit itu sudah baik. Seperti di dalam kisah 'Umair bin al-Humam yang mendengar sabda Nabi Muhammad:

"Bangunlah kalian menuju syurga Allah yang luasnya seperti langit dan bumi."

Terdengar ucapan tersebut, Umair bertanya: "Benarkah, keluasannya seperti langit dan bumi?"

Nabi bersabda: "Ya."

Beliau lantas menyebut: "Bakhin bakhin." (sebutan yang menggambarkan rasa pengagungan).

Nabi bertanya: Apakah yang menyebabkan engkau berkata sedemikian?

'Umair menjawab: "Kerana aku ingin menjadi ahlinya."

(Hadis riwayat Muslim).

Subhanallah. Alhamdulillah. Lailahaillallah. Allahuakbar.

Selasa, 27 Julai 2010

Sudut Pidato Mahasiswa

 -Sudut Pidato-

Assalamualaikum...(28 Julai 2010)(Rabu). Aku yakin bahawa hala tuju sesebuah negara, mundur atau majunya sesebuah negara, terletak kepada orang-orang muda-nya. Dan orang-orang muda itu pula adalah terdiri daripada berbagai golongan. Golongan yang amat diharapkan akan memacu masa depan yang cemerlang adalah golongan orang-orang muda yang intelek. Golongan orang-orang muda yang punya ilmu. Mereka lah yang dikenali sebagai mahasiswa!

Namun, mereka dikatakan semakin hari semakin lesu. Lesu yang bagaimana-kah? Lesu dalam pelajaran? Lesu dalam hasil penyelidikan? Lesu tanpa suara?.. Oleh sebab itu, roh universiti harus dihidupkan semula. Tetapi, bagaimana mahu menghidupkannya semula? Disini, aku sangat yakin akan peranan Sudut Pidato di dalam menghasilkan mahasiswa yang tidak lesu. Sudut pidato mampu mengeluarkan mahasiswa yang hebat berhujah, punya prinsip dan berpegang teguh dengan prinsip tersebut, serta mahasiswa yang punya idea-idea yang hebat. Sudut Pidato sangat popular dan menjadi medan para mahasiswa berpidato dan bertukar pendapat secara bebas sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, namun ianya telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), serta pindaannya pada 1975.

Namun, pada tahun 2009, iaitu tahun lepas, ia dipinda lagi dan telah memberikan semula hak kebebasan bersuara kepada mahasiswa-mahasiswa seluruh Malaysia. Selepas 40 tahun menyepi, satu jangka masa yang sangat lama, mahasiswa-mahasiswa institut pengajian tinggi di Malaysia hari ini mampu menyampaikan pandangan mereka semula melalui sudut pidato ini.

Timbalan  Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian tidak menetapkan sebarang garis panduan terhadap sudut pidato ini dan menyerahkannya kepada pentadbiran Universiti sendiri untuk melakukannya.

"...Sudut pidato tidak perlu terlalu banyak peraturan kerana tiada keputusan yang betul atau salah mengenai idea yang disampaikan.... Apabila mahasiswa mengkritik, ia sepatutnya diraikan dan kita tidak sepatutnya melabel mereka sebagai 'pembangkang' atau sebagainya..." -Datuk Saifuddin Abdullah

Bagi aku, golongan muda ini, iaitu golongan mahasiswa-mahasiswa terpelajar ini, mereka mempunyai seribu satu idea dan pendapat yang boleh dikongsi bersama pihak pentadbiran universiti dan juga kerajaan dalam membawa universiti dan secara langsung membawa negara kearah yang lebih cemerlang. Suara mereka tidaklah seharusnya di'mati'kan!

Kualiti mahasiswa yang kita harapkan untuk mengganti tampok pemerintahan negara adalah dalam tahap yang amat merisaukan. Oleh itu, dengan menghidupkan semula Sudut Pidato, aku yakin, dan sebenarnya ramai orang yakin, sangat yakin, dapat menghasilkan mahasiswa yang mampu membuat keputusan, yang mampu mengeluarkan pendapat, yang mempunyai keyakinan tinggi dan juga yang punya idea yang mampu diguna pakai oleh masyarakat. Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuka sudut pidato masing-masing baru-baru ini. Jadi, universiti lain tunggu apa lagi? ayoh! hidupkan semula roh universiti kita!

Rabu, 21 Julai 2010

Apa yang Mahasiswa baca?

Assalamulaikum...(21 Julai 2010)(Rabu). Tadi siang, aku ada talk kat dewan kuliah. Speaker talk tersebut telah mempersoalkan attitude kami. Iaitu tidak suka membaca. Datangnya teguran dari Speaker itu setelah tiada siapa yang mahu bertanyakan soalan kepadanya. Dia berhenti bercakap, dan menunggu soalan dari kami, tetapi tiada. Siapa kami itu? Kamilah yang dikenali sebagai mahasiswa. Dengan nada kecewa akan sikap anak-anak bangsanya, Speaker itu pun bertanya;

"Berapa ramai kat dalam ni yang membaca TIME? newspaper? Journal? .."

Kami senyap.

Siapa kami ini? Kamilah yang dikenali sebagai mahasiswa.

Dan aku juga mahasiswa.

Apa yang aku baca?.Aku suka baca buku yang berkaitan dengan kos aku jek. kadang-kadang aku baca jugak bacaan lain yang aku minat. aku minat penulisan. jadi mungkin artikel dan cerpen menjadi pilihan. Kadang-kadang juga novel - mungkin. Aku juga minat bolasepak. jadi aku bacalah mengenai perkembangan bolasepak luar negara. bolasepak dalam negara aku tak tahu sangat.Aku baca pasal Liga Perdana Inggeris (EPL).Dan tentang manusia yang telibat dalam liga tersebut. Siapa aku? Aku lah Mahasiswa.

Perkara yang paling susah untuk aku nak baca adalah berita dan isu-isu semasa. Kalau ada pun hanya yang berkaitan dengan hidup aku. Kehidupan aku. Atau pun keadaan sekeliling aku. Tak pun sebab tajuk nya best. Atau tajuk nya pelik, lucah, mengarut dan perkara-perkara lain yang menarik perhatian pembaca seperti aku.
Siapa aku? Akulah mahasiswa.

Jadi masalahnya dimana? Sepatutnya aku lah yang kena jawab. Kami lah  yang kena jawab. Mahasiswa lah yang kena jawab. Kenapa kami jadi begini?... Kenapa Mahasiswa jadi begini??..Adakah kerana sistem Universiti itu sendiri yang membuat kami malas membaca. Atau apa ya? Banyak faktor juga - rasanya. Duitkah?. sekarang dah boleh online sahaja. Malaskah? mungkin juga. Tapi kenapa yang lain boleh membaca. Siapa pula yang lain itu?? Siapa pula mereka? Mahasiswa ke?. Susah juga nak jawab.

Sekian.

Isnin, 5 Julai 2010

Memilih cara untuk membuka minda

-gambar hiasan-

Assalamualaikum......(5 Julai 2010)(Isnin). Semua orang memilih untuk membuka minda dengan pelbagai cara mengikut kehendak masing-masing. Menulis, membaca, mengembara - melihat tempat baru, menerima dan memberi pandangan, memahami ideologi dan kefahaman orang lain, melihat dari sudut positif, berfikir diluar kotak dan lain-lain lagi. Sehinggakan ianya berjaya membawa kearah pemikiran yang lebih kreatif dan progresif.

Namun, tidak semestinya aggresif.

Berusaha untuk pandai berkata-kata, meluahkan pendapat serta tidak risau akan kritikan, selain dengan melakukan kerja dengan betul dan amanah - bukan hanya bercakap kosong. Bersungguh-sungguh menyatakan pendirian dan berpegang terhadap pendirian tersebut.

Perkara yang sangat perlu ada dalam diri seseorang adalah berani. Berani mencuba. Berani untuk belajar lebih banyak perkara di sekelilingnya. Berani untuk diperkatakan oleh orang lain - tidak kira positif atau negatif. Tidak melakukan sesuatu hanya kerana harga upahan atau hanya kerana setelah diberi tekanan oleh pihak lain. Namun, keberanian sebenar adalah lahir daripada keikhlasan melakukan sesuatu.

Minda kita akan lebih terasah, dan idea akan lebih mudah terbina apabila kita gemar menghuraikan sesuatu keadaan dengan menjadikannya lebih tersusun dan menarik. Juga dengan menghurai sebarang masalah yang akhirnya mampu diselesaikan. Lebih menarik jika kita mengaitkan segala bentuk pemikiran dengan isu-isu semasa dan kehidupan seharian kita - akan menjadikannya lebih bermakna untuk dihayati. Hasil sebenar bagi segala pengertian ini adalah tidak lain hanya-lah untuk menjadi orang yang lebih berilmu dan seterusnya dapat memanfaatkan ilmu itu.

Selasa, 22 Jun 2010

Dr Asri, musuh dakwahmu ada dimana-mana

 -Dr Asri Zainul Abidin-

Assalamualaikum...(22 Jun 2010)(Selasa). Ketika leka melayan komen-komen rakan serta menganggu status-status rakan lain di laman facebook, aku ditegur abang kandungku yang berada di kejauhan melalui ruangan chat di laman itu, dia bertanya kepada aku:

"ngko tak nak masuk UMNO ke?..."

aku jawab:

"tak... kenapa??.."  (kerana aku memang tidak mahu masuk mana-mana parti politik)

jawabnya:

"Dengar cerita Asri (Dr Asri Zainul Abidin) dah masuk UMNO.."

 Aku terperanjat, dan masih tertanya-tanya,:
  
"Bila dia masuk? .. conform ke?..."

Masih dalam keadaan terkejut, aku tanya abangku, kenapa Dr Asri memilih UMNO?.. jadi kami pun berbual ringkas dengan membincangkan beberapa faktor yang pada pandangan lemah kami, Dr Asri mungkin akan memasuki  parti politik itu atas tujuan usaha dakwah-nya. Bukanlah atas tujuan kerusi jawatan, jika iya pun, kami percaya, ianya masih lagi atas tujuan dakwah-nya. Ini kerana kami berdua adalah peminat tulisan-tulisan Dr Asri, yang seperti sedia maklum, dia adalah bekas mufti, jadi tulisannya banyak mengajar kami tentang agama... jadi, apabila dia memasuki politik.. ia adalah berita yang agak mengejutkan.

Pendapat aku, tidak kira lah jika Dr Asri bebas dari parti politik, atau bersama parti pembangkang, atau bersama parti pemerintah, atau bersama kumpulan mana sekalipun,... dia tetap akan menghadapi dugaan dan cabaran dalam mengetuai suara dan pendapat yang lebih progressive di dalam agama di Malaysia ini.

Fitnah terhadap golongan pendakwah adalah perkara biasa. Ada sahaja di dalam mana-mana zaman, di dalam mana-mana kurun, di dalam mana-mana negeri...Itu-lah sunnah golongan pendakwah!.. Setelah di lempar tuduhan sebagai wahabi, dan ditangkap atas isu tanpa tauliah, serta tuduhan mengatakan bahawa ajaran yang dibawanya bersifat liberalisme dan pluralisme di dalam agama, dan yang paling terbaru, dia di fitnah dengan mengatakan beliau terbabit dengan kumpulan yang selalu dikaitkan dengan keganasan iaitu Jemaah Islamiah (JI).... Namun, beliau tanpa rasa putus asa sentiasa terus menerus menerangkan kepada masyarakat melalui kuliah dan tulisan-tulisannya,... Dia membawa satu suasana yang lebih ilmiah dalam perdebatan ilmu..Membuka ruang yang luas dalam mempersoalkan perbezaan pendapat... dimana rujukan atau dalil adalah amat penting di dalam ingin membezakan yang mana satu amalan adalah ibadah, dan yang mana satu amalan hanya sekadar adat... Aku teringat kata-kata Dr Asri dalam salah satu kuliah nya suatu ketika dahulu:

"..biar lambat menang, tapi kena ikut cara yang betul, seperti mana yang di dalam Al-Quran dan Sunnah.."

Semoga Allah memberikan kepada para pendakwah seperti ini kekuatan yang besar. Jauh dari sifat jemu untuk menyatakan kebenaran. Semoga Allah lindungi iman kalian seperti mana Allah lindungi iman orang terdahulu...Amen. Tidak kiralah Dr Asri memasuki UMNO atau pun tidak, terbabit dengan politik atau pun tidak, namun musuh di dalam usaha dakwah Islam ini tetap wujud... Maka, bersabar lah Dr Asri, musuh dakwahmu ada dimana mana.

........

Rabu, 16 Jun 2010

AUKU - Siri ceramah umum


Assalamualaikum.....(17 Jun 2010)(Khamis)... Baru-baru ini Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sekali lagi menjadi perhatian umum apabila empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM bakal dikenakan tindakan disiplin di bawah akta tersebut kerana didakwa melibatkan diri dalam kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Mereka telah dituduh melanggar Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang mahasiswa dari menyatakan sokongan atau simpati terhadap mana-mana parti politik. Walaupun semakin banyak perhatian diberikan terhadap kes tersebut, pemahaman tentang latar belakang, fungsi, keberkesanan dan impak sebenar AUKU masih menjadi persoalan serta tanda tanya dikalangan mahasiswa dan juga masyarakat umum.

Siri Ceramah Umum AUKU ini bertujuan untuk membincangkan akta ini secara menyeluruh dari sudut perspektif sejarah, perlembagaan, hak asasi, dan juga penguatkuasaan. Program ini dianjurkan oleh KL & Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section.


Ceramah Umum AUKU (1):
AUKU & SEJARAH KEBANGKITAN MAHASISWA 1960AN
Tarikh: Khamis, 1 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Fahmi Reza, Penyelidik sejarah gerakan mahasiswa

Ceramah Umum AUKU (2):
AUKU & PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Tarikh: Khamis, 8 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Azmi Sharom, Prof. Madya Fakulti Undang-Undang, UM dan Soh Sook Hwa, Bekas mahasiswa USM yang didakwa di bawah AUKU

Ceramah Umum AUKU (3):
AUKU & HAK MAHASISWA
Tarikh: Khamis, 15 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Shazni Munir, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Yap Heng Lung, Sekretariat Malaysian Youth and Students Democratic Movement (DEMA)

Ceramah Umum AUKU (4):
AUKU & MASA DEPAN
Tarikh: Khamis, 22 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Teh Yee Keong, Mantan Penyelaras Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU

Tempat: Auditorium KLSCAH, Jalah Maharajalela, KL
Anjuran KLSCAH Youth
Maklumat lanjut: 03-22746645 (Yee Keong)

Jumaat, 14 Mei 2010

Pekan Taif - Orang jauh yang bermasam muka

-gambar hiasan-

Assalamualaikum....(14 Mei 2010)(Jumaat)..Kemungkinan jika kita ada zaman itu, kita mungkin bukan di pihak Muhammad (s.a.w.).. Seluruh 'media massa' Quraish melalui apa sahaja yang Quraish miliki, serta 0rang-orang besar Quraish memandang Muhammad (s.a.w.) sebagai manusia yang sesat, gila, tukang sihir, pemecah belah dan istilah lain lagi.. Tiada langsung istilah yang elok yang diberikan kepada Muhammad (s.a.w.).

Tidak cukup dengan itu, para sahabat yang mengikut Muhammad(s.a.w.) ketika itu juga dianggap sebagai orang gila, mengikut tukang sihir, mengikut orang sesat... Tekanan ini adalah salah satu dari sebab Muhammad (s.a.w) memilih untuk keluar sedikit dari kawasan di Makkah untuk tujuan dakwah. Dan beliau memilih Taif.

Kawasan Taif dikenali sebagai tanah yang lebih subur dan lebih sejuk, pokoknya lebih rimbun, jika dibandingkan dengan keadaan kering kontang seperti Makkah. Muhammad (s.a.w) mahu berdakwah kepada kabilah-kabilah disana. Kabilah-kabilah ini sebenarnya tidak kuat, namun mereka kaya. Risiko yang Muhammad harus tanggung adalah kabilah-kabilah itu suka mengadu, dan khuatir akan memberitahu kepada Quraish. Untuk tidak mahu dikesan, beliau memilih Yazid, anak angkat nya, bukan nya Abu Bakar atau Omar, supaya gerak geri nya tidak disekat terlalu awal...Akhirnya, Muhammad dan Yazid tiba di Taif.

Malangnya,bila di Taif, mereka menolak Muhammad.

Mereka menolak seperti mana Quraish menolak. Bahkan lebih teruk dari apa yang Quraish lakukan. Mereka melontar beliau. Mereka lakukan macam-macam. Ini lah tempat beliau paling dasyat menerima tekanan. Seperti seluruh negeri memukulnya. berlalulah beliau keluar dari Taif dalam keadaan luka. Beliau duduk dan berkata.

"... Ya Allah, aku mengadu padamu, lemah nya kekuatan ku. dan sedikitnya helah ku. dan hina nya aku ini di kalangan manusia. Engkau lah Tuhan orang-orang yang di tindas dan Engkau lah Tuhan ku...

Kepada siapa hendak Kau serahkan diriku wahai Tuhan?

Adakah kepada orang jauh yang bermasam muka dengan ku?

Atau kepada musuh yang kau jadikan mereka itu menguasai urusan ku?.."


( Riwayat Bukhari- dari Aisyah)
(ada pendapat yang mendhaifkan, & ada yang mengangkatnya ke darjat Hasan)

Baiklah. Hanya sedikit sedutan. Dari aku yang kurang ilmu. Namun, aku mahu berkongsi. Supaya kita tidak berkata angkuh, yang kononnya membela Muhammad(s.a.w.)... Sedangkan kita tidak melakukan sebaik nya.. Melalui peranan 'media massa' Quraish, yang berjaya meracuni hampir keseluruhan penduduk Makkah ketika itu... dalam doa beliau(s.a.w.):

Kepada siapa hendak Kau serahkan diriku wahai Tuhan?

Adakah kepada orang jauh yang bermasam muka dengan ku?....

Atau kepada musuh yang kau jadikan mereka itu menguasai urusan ku?....

Jadi, janganlah kita(diri ku dan kamu semua) bongkak dan angkuh, dengan mengatakan, bahawa kita akan menjadi pengikut Muhammad(s.a.w.), jika kita dibenarkan kita hidup dizaman nya... Jangan ambil mudah,...sukar... sungguh sukar... Semoga Allah memasuk kan kita bersama-sama orang yang hidup-mati-nya dalam perjuangan yang dibawa Muhammad(s.a.w.)... InsyaALLAH...~

Sekian.

Rabu, 12 Mei 2010

Kenapa Kau Tak Tanya?

-gambar hiasan-

Assalamualaikum....(12 Mei 2010)(Rabu). Sudah tiga hari aku melalui latihan praktikal. Dalam misi memenuhkan ilmu di dada dengan segala macam perkara baru yang akan aku hadapi di latihan praktikal ini. Jadi, yang pertama sekali, orang seperti aku akan hadapi adalah untuk menyesuaikan diri. Di dalam suasana yang baru. Di dalam cara yang baru. Di dalam syarat-sarat dan peraturan-peraturan yang baru. Maka aku harus betul-betul perlu menyerapi keadaan itu... Kemudian, sesudah itu, menyusul lah suasana kenal-mengenal. Mengenali orang-orang sekitar dan mengenali keadaan sekelilingnya.

Menegur itulah bagi aku paling susah.

Telah dinasihatkan supaya aku bertanya jika tak tahu apa-apa. Tapi aku pun bukan nya jenis orang yang banyak bercakap, tambahan pula orang itu aku kurang kenali...hehe. Kesudahan nya aku lah yang rugi. Rugi jika gagal mendapat ilmu dari orang-orang yang hebat di sekeliling aku. Sebut sahaja jawatan apa.. Semuanya ada di pejabat tempat aku berpraktikal ini... Besar nya pengalaman mereka.. besar lagi ilmu mereka...

Teringat aku akan hadith Muhammad (s.a.w) yang bermaksud:


"Bukankah ubat kepada kejahilan itu bertanya?.."


(Hadith Riwayat Hakim, Abu Dawud, Ibnu Majah)


Alangkah kusut nya jiwa ini, bila gagal mengatakan salam kepada sahabat baru.. Alangkah gagalnya jiwa ini, bila tidak berjaya memikat hati orang-orang di sekililing ku ... Betapa lemah nya hati ini, jika tidak mampu mendapat perhatian dari orang yang berilmu... Ahhh.. mustahil.. mereka itu sibuk... Mereka juga punya banyak kerja... Mana mahu melayan budak belum grad macam aku.. Hissh.. sampai hati aku berburuk sangka...

Nasib baik aku ada teman berpraktikal... tidak lah mudah tersesat jauh... Namun, aku yakin,..perjalanan ini baru bermula.. dengan harapan, semoga Allah izinkan aku dan sahabat-sahabat ku yang lain, yang juga tengah melalui perjuangan ini, dapat menangkap seberapa banyak ilmu yang ada yang berkaitan dengan course kami, berkaitan kehidupan atau apa sahaja cabang ilmu yang ada,.. kadang-kadang , sepotong kata nasihat itu lebih memberi impak dalam hati manusia, berbanding mendengar syarahan yang panjang berjela,,,...InsyaALLAH...:)

Sekian.

Selasa, 27 April 2010

Apa kaum kamu?

-gambar hiasan-

Assalamualaikum....(27 April 2010)(Selasa). Perbincangan ni memang tak akan punya penamat sampai bila-bila, selagi Malaysia ini masih sebuah negara, tetapi ianya masih diperlukan, masih tetap perlu di perbincangkan. Ada yang kata isu ini sensitif. Iya kah?- bagi aku tidak!. Bah kan ianya suatu keperluan kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia jika ingin melihat Malaysia ini terus aman dan bergerak maju kehadapan. Kenapa boleh jadi macam itu?

Baiklah.

Pluralisme budaya bukan fenomena baru bagi masyarakat di Malaysia. Jika konsep 1-Malaysia (satu Malaysia) itu tidak wujud pun, kaum di Malaysia memang sudah lama bersedia untuk hidup bersama. Sikap prejudis memang tetap ada, dan adakalanya menebal mengikut suasana tempat lahir masing-masing. Bukan setakat antara kaum sahaja yang berbeza, berlaku juga di dalam kaum yang sama, cuma berbeza asal dan tempat lahirnya, berbeza loghat-nya atau berbeza budaya nya.

Di semenanjung, yang berbeza itu kelihatan hanya dari kaum Melayu, Cina dan India. Jika di Sabah dan Sarawak itu, mereka mungkin lebih selalu didengar dengan gelaran bumiputera walaupun hakikatnya dari sana lebih banyak kaum yang wujud dan yang membesar.Apabila setiap kaum itu punya ruang untuk menyatakan ketidak puasan hati, untuk menyatakan cadangan, untuk menyatakan apa sahaja yang tersirat, maka, lebih besar lah ruang untuk setiap kaum mencari titik persamaan. Namun ruang-ruang itu ditutup dengan istilah 'ini isu sensitif'.

-gambar hiasan-

Kewujudan beberapa gerakan yang baru yang terhasil dari asas perkauman seperti Hindraf dan Perkasa nampaknya semakin menimbulkan lebih banyak salah faham tentang pemahaman dikalangan kaum-kaum yang terlibat. Bukan semua yang di bawa Hindraf adalah suara masyarakat India dan tidak juga semua yang di perjuang Perkasa melambangkan suara orang Melayu. Tidak kira lah Melayu, Cina atau India, Sama sahaja prejudis nya. Mungkin tulisan ini adalah tulisan yang berulang-ulang. Sudah ditulis oleh penulis sebelum ini. Tapi ini lah tujuan ianya ditulis. Untuk sentiasa diperbincangkan. Jadi apa yang kita perlu ada? Macam mana mahu bagi setiap kaum faham dan hormat antara satu sama lain? Adakah konsep akomodasi seperti yang sedia di amalkan di Malaysia sudah cukup bagus? Atau mahu mengikut konsep asimilasi seperti Indonesia? atau konsep segregasi, akulturasi atau amalgamasi? Apa dia semua konsep ini?

Jadi, bagi aku, apa lah yang ada pada konsep? Ia hanya lah konsep. Percaya lah, masih ada jalan untuk kita menjadikan kehidupan berbilang kaum ini lebih menarik dan sangat memberahikan suatu hari nanti. Walaupun masalah ini belum lagi dikaitkan dengan perbezaan agama dan warna kulit. Perbezaan bahasa. Belum juga dikaitkan dengan perbezaan fahaman serta pemikiran. Lagilah rumit jika perjuangan politik yang berbeza juga menjadi garisan pemisah antara kaum. Berbeza juga penerimaan nya kepada golongan luar bandar, bandar-bandar kecil dan bandar-bandar besar. Lain pula masalah yang mereka hadapi. Masyarakat Cina dan India yang membela anjing mampu hidup dengan aman di kawasan majoritinya Melayu. Bagaimana ada sesetengah kaum boleh menerima perbezaan ini, namun sesetengahnya begitu jumud menerima keadaan ini?

-gambar hiasan-

Terima hakikat suatu hari nanti kita kena perintah Malaysia ini sama-sama. Sampai satu masa tiada sesiapa dari negara lain mahu melihat dan membantu kita. Kita yang berbilang kaum ini lah yang kena bina sama-sama tamadun ini. Adakah sebab kita terlalu mudah hidupnya sesudah merdeka? Sindiran kepada anak-anak merdeka-apa yang kita lupa nak jaga agaknya ya? Tersilap pandang kah? Atau orang-orang tua kita tidak pernah mengingatkan? Atau memang kita tidak mahu ambil tahu. Cukup duit belanja untuk makan, untuk minum, untuk tinggal, itu pun sudah cukup. Sampai bila pulak nak jadi macam itu?

Banyak lagi sebenarnya. Ini hanya lah luahan secara spontan. Datang dari dalam hati ini yang sangat sayang kan kepelbagaian ini. Namun, dikiri-kanan aku juga punya suara dan pandangan yang berbeza. Aku mengakui. Aku juga prejudis pada yang lain. Tapi, aku sedar. Aku juga masih belajar untuk menjadi lebih terbuka. Tapi usaha satu hala ini juga tidak akan membuahkan hasil jika tiada respon dari yang lain. Semoga kita semua dapat mendekati perkara ini, dan belajar menikmati kepelbagaian yang ada.InsyaALLAH.

Sekian.

Sabtu, 24 April 2010

Pilihan

-gambar hiasan-

Assalamulaikum....(25 April 2010)(Ahad). Setelah beberapa fasa dalam medan yang sangat mengelirukan telah ditempuhi... Dan kini aku mengambil keputusan untuk melepaskan semua kekeliruan itu dengan meninggalkan segala medium yang wujud dalam perjuangan tersebut.. Dengan mengambil nasihat dari insan-insan seperti basyir, ucop n momoi...hehehe... dan sekarang aku memilih untuk menjadi seperti sebelumnya....

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka carilah yang beragama, jika tidak binasalah engkau."

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Masih ada masa untuk buat keputusan.. tersalah pilih maka padah lah kesannya.. Jangan tinggalkan peranan agama dalam apa juga pilihan kita di dunia.. Semoga Allah beri petunjukNya dan masuk kan kita ke dalam petunjuk tersebut.. InsyaALLAH..:)

Sekian.