Setara
Oleh: Daud Mili (2012)
“Warna putih warna warni-nya,
Masam manis ada pahit-nya,
Andai bergaul tetap identiti-nya,
Andai dipisah tetap warna-nya"
Joda
masih menunggu Damia ditempat biasa. Joda sempat menyelak Utusan Malaysia yang
disediakan di atas meja makan di Medan Selera Fakulti Perubatan UiTM Shah Alam
ini. Nasi lemak dan teh tarik jadi pembuka selera. Sarapan yang berat ini di
ambil kerana kelaparan yang amat. Malam tadi Joda tidak berkesempatan untuk
menjamah makanan, hanya memilih untuk minum air sahaja. Berita kematian seorang
lelaki yang dibunuh kejam sehingga dikerat beberapa bahagian dan dimasukkan
kedalam guni beras sebelum dicampak dengan hina ke sebuah sungai yang terletak
di dalam ladang kelapa sawit di sekitar Jengka Pahang menjadi perhatian Joda. Joda
baca dengan teliti sebelum ingatan Joda mengelamun entah kemana. Tidak
terbayang akan Joda memikirkan bagaimana lelaki yang bergelar Tan Sri itu
dibunuh sebegitu rupa. Berhutang atau punya musuh yang sudah lama berdendam? Dan
kenapa dicampak disungai, kenapa tidak dibakar sahaja sehingga hilang buktinya?
Pembunuh yang singkat keputusan barangkali.
Kepala
Joda sedikit sakit. Barangkali otak terlalu penat kerna tidak cukup tidur, terlalu
leka bermain video game bersama teman sebilik malam semalam. Kerana nafsu remaja
mereka yang rakuskan hiburan, mereka hanya tidur pada pukul empat pagi, dan
bangun sebelum pukul enam untuk solat Subuh dan seterusnya bersiap ke kuliah
yang dijadualkan pada pukul lapan setengah pagi. Dua jam tidur dinikmati malam tadi
tampak gagal memberi tenaga untuk hari ini.
Dari
jauh kelihatan Damia berjalan sedikit laju. Damia yang hanya memakai baju T
lengan panjang berwarna hijau muda dengan seluar jeans biru muda menghampiri Joda.
Beliau seorang yang kurus dan berkulit cerah, pengaruh dari ibunya yang berdarah
Siam. Damia juga tidak bertudung. Setibanya Damia di meja Joda, Damia
melemparkan senyuman terpaksanya, meletakkan buku yang digendongnya dengan sedikit
kuat di atas meja makan. Penat lah tu agaknya. Joda bersiap memulakan
perbualan.
“Kau
ni kenapa?”
“Hish,
geram betul aku dengan driver Taxi tadi, dah la tua, ada hati nak ngorat aku,
umur dah macam bapak aku je aku tengok.”
“Itu
lah, kau jual mahal sangat.”
Joda
ketawa sendirian.
Damia
menjeling tawaan Joda kerana baginya ia bukan bahan gurauan. Joda tahu, Damia
bukan jenis yang suka diganggu sebegitu. Mungkin driver Taxi itu keterlaluan,
barangkali ada sahaja ayat lucah atau ayat yang tidak menyenangkan telinga
Damia. Kalau setakat mengorat, tidaklah mungkin dia marah sebegini rupa.
Tambahan Damia adalah seorang yang sangat cepat melenting. Sifat yang barangkali
beliau peroleh dari bapanya iaitu bekas seorang askar darat.
Dahulu
Damia pernah bercinta. Dengarnya bercinta dengan lelaki yang berasal dari Johor
Bahru. Mereka sama-sama menuntut ketika di MRSM Jasin, tetapi lelaki itu kini menyambung
pelajaran di luar negara, dan sudah pun berkahwin disana. Anak muda yang
mengambil keputusan berkahwin di luar negara ketika belajar adalah perkara
biasa. Tambahan pula di negara Eropah. Damia kecewa barangkali. Begitu sangkaan
lemah Joda kepada percintaan mereka.
Pesanan
ringkas SMS diterima, daripada Afiq, ketua kelas mereka, beliau memberitahu
kelas pagi ini dibatalkan oleh pensyarah. Joda mengeluh untuk itu, sedangkan
Damia kelihatan menarik nafas lega. Mungkin kerana pagi ini Joda punya semangat
untuk ke kuliah, sedang Damia tidak. Tiada mood diganggu pemandu Taxi agaknya. Ramai
pelajar malas untuk memasuki kuliah, tambah-tambah lagi kuliah yang
membosankan. Tetapi, wujud juga pensyarah yang malas. Menangguhkan banyak waktu
kuliah kerana ada urusan-urusan lain kata mereka. Dan apabila peperiksaan
semakin hampir, baru lah pensyarah yang malas ini mula melakukan kelas tambahan
dan sedaya upaya melajukan sesi kuliah. Bab-bab di dalam subjek akan cuba
sebaik mungkin di mampatkan dan disajikan kepada pelajar dengan begitu ringkas sekali.
Ada pelajar yang masih mampu menerima cara ini dan mendapat faedah daripadanya,
tetapi ada juga pelajar yang akhirnya terkeliru dan tertinggal sejauh-jauhnya.
Tidak
semua pensyarah berperangai begitu. Ramai juga pensyarah yang baik. Hanya satu
dua sahaja yang malas. Begitu juga dengan pelajar. Tidak juga semua pelajar itu
malas.
Bagi
Joda, malas bukan lah masalah yang besar. Malas hanyalah kesan terhadap
persekitaran. Persekitaran yang membosankan dan tidak menarik bagi mereka.
Namun wujud insan yang tidak terkesan dengan persekitaran. Insan seperti ini
akan cepat menyesuaikan diri walau apa juga persekitaran yang ada. Dirinya
konsisten untuk fokus terhadap objektif, seperti menuntut ilmu. Mereka akan cuba
memahami walau dengan apa cara sekalipun ilmu itu disampaikan. Tetapi jenis
seperti ini tidak ramai. Dan Joda juga bukan dari golongan itu.
Kelas
seterusnya pukul dua petang. Banyak sungguh jam yang terluang. Joda mengajak
Damia ke perpustakaan Tunku Abdul Razak untuk mencari bahan bacaan kuliah dan
bahan bacaan ringan. Damia mengangguk bersetuju dan tersenyum. Manis sungguh
senyuman gadis ini. Fitrah bagi seorang lelaki seperti Joda yang sangat menyukai
senyuman seorang gadis. Mereka bangun lemah dan jalan perlahan beriringan
menuju ke perpustakaan.
Joda
mula berkawan rapat dengan Damia ketika semester satu lagi. Mereka berjumpa di
gerai buku yang sama selama beberapa hari. Tak sedar rupanya mereka sekelas. Sifat
ulat buku ini menemukan mereka. Walau bahan bacaan mereka terkadang punya
perbezaan, namun dek kerena keterbukaan dan minat membaca yang sama membawa mereka
erat dengan begitu pantas.
“Indonesia
bukan contoh asimilasi yang terbaik”. Tegas Damia.
Setelah
satu jam lebih jam mereka duduk di dalam perpustakaan, sedar tak sedar mereka leka
berbual mengenai masa depan masyarakat Malaysia yang di penghuni oleh berbagai
jenis kaum ini. Mereka memilih duduk di bilik diskusi, bilik ini bilik yang
tertutup dari khalayak pembaca buku yang lain. Mempunyai cermin sisi yang
membolehkan orang di luar bilik melihat kedalam bilik. Mereka memilih bilik ini
kerana mereka selalu sahaja bising berdiskusi dan kadang-kadang suka berbual
kosong dengan gelak tawa yang boleh menganggu orang lain.
“Seperti
orang-orang tua kita selalu cakap, kita kena sayang tanah ini, jaga tanah ini,
kalau tidak kaum Cina dan India akan mengambil kesempatan, dan rampas kesemua
hak kita, habis lah kita, apa akan jadi pada masa depan anak-anak kita nanti? terang
Joda kepada Damia.
“Faaasis…”
sindir Damia.
“
Kau hanya menganggap Malaysia ini hanya milik orang Melayu? Betul kata Dr.
Sulaiman pensyarah ekonomi kita, orang Melayu memang susah nak hilang semangat
ini, tambahan pula orang-orang Melayu lama. Tapi bagi aku, sekarang pun kalau
kita lihat, walaupun dibawah kepimpinan orang Melayu, yang kononnya menjaga
kepentingan orang-orang Melayu, tetapi apa sahaja yang kaum Melayu dapat? Bukan
semua orang Melayu terima kelebihan ini…”. Tambah Damia lagi.
“Kau
lihat sahaja Penang. Apa sudah jadi disana? Apabila bangsa Cina dapat sesuatu,
dia tak akan pulangkan balik. Kau mahu banyak lagi tempat jadi macam itu?” Joda
memberi contoh.
“Hanya
kerana ramai orang cina menetap disana? Lalu kau nak salahkan mereka? Kenapa Melayu
tak mahu duduk disana? Dan pula, bagaimana pula dengan kawasan yang orang
Melayu sudah kuasai sejak dahulu, ada sesiapa yang mempertikaikan? Tiada
bukan?... Apa yang orang Melayu mahu sebenarnya? Mahu miliki segala-galanya
dengan mendesak orang mengakui kita empunya asal Malaysia ini?” soal Damia
bertalu-talu.
“Sekurang-kurangnya
kita masih dapat makan bukan? Dengan kuota yang kita ada, masa depan anak-anak
Melayu terjamin; masih mampu melanjutkan pelajaran, penganggur-penganggur
Melayu masih punya peluang mendapat pekerjaan, peniaga-peniaga Melayu pula masih
punya peluang untuk dapat pinjaman perniagaan. Bukan begitu?” Soal Joda tegas.
“Makan
sahaja yang kau fikir? Nak makan pun perlu disuap. Sampai bila Melayu akan
dibantu?” Getis Damia.
Damia penuh bersemangat cuba
memberikan gambaran berbeza kepada apa yang berlaku di Tanah Arab. Apa yang
berlaku di kalangan masyarakat Tanah Arab adalah masalah puak dan masalah mazhab
di dalam beragama. Majoriti penduduk di Asia barat adalah beragama Islam.
Walaupun mereka mempunyai kulit, tulisan dan bahasa yang sama, andai sekalipun
tidak sama; tetapi menghampiri antara satu sama yang lain, mereka tetap di
ganggu dengan masalah perbezaan iaitu perbezaan keturunan atau puak, dan juga
perbezaan mazhab atau sisi pandangan yang berbeza terhadap agama yang menjadi anutan
bersama iaitu Islam.
“Bagaimana
masyarakat kulit putih Amerika Syarikat akhirnya bersedia menerima Obama yang
berkulit hitam mengungguli kerusi paling penting di negara mereka dan di dunia,
iaitu sebagai Presiden Amerika Syarikat pada
tahun 2009? Ini kerana mereka akhirnya sudah bersedia. Bersedia untuk hidup aman
bersama-sama. Walaupun Amerika sebenarnya memerlukan lebih dari seratus tahun
untuk sama-sama merasakan kenikmatan hidup setelah mengharungi pelbagai ranjau
masalah perkauman diantara masyarakat kulit putih dan kulit hitam yang hidup disana”.
Terang Damia dengan teliti.
Apabila
di tanya kepada rakyat Amerika;
“
Who are you?”
Jawab
mereka,
“Im
American.”
Tidak
kira mereka berkulit putih atau berkulit hitam. Ada juga nenek moyang mereka
yang berasal dari Eropah, timur tengah atau dari negara matahari terbit.
Generasi baru ini amat berbangga menjadi bangsa Amerika. Mereka lahir dan
membesar di Amerika. Walau mereka bebas mengamalkan budaya masing-masing.
Bukan lah mahu menganggap Amerika telah
berjaya keluar dalam masalah perbezaan ras ini. Tetapi
sekurang-kurangnya mereka telah pun melalui masa-masa yang sukar suatu
masa dahulu dan sentiasa belajar memperbaikinya untuk mencipta masa depan Amerika yang
lebih baik.
“Bangga sungguh kau dengan Amerika
yang banyak kejahatan itu ya?” Sinis Joda.
“Benci ku akan sikap mereka terhadap
dunia dan negara Islam tidak akan berubah, Cuma aku melihat ada baiknya andai cara
mereka menyelesaikan masalah perkauman disana boleh diguna pakai disini. Kau
tidak boleh menolak mentah-mentah idea kepimpinan Amerika hanya kerana beberapa
sikap buruk mereka terhadap orang Islam seperti kita.” Tegas Damia.
Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia
lazimnya telah lama hidup bersama. Dewasa ini, masalah perkauman di Malaysia
selalunya terkait rapat dengan pegangan politik kepartian. Andai seseorang
tokoh politik sesuatu parti itu berbicara mengenai masa depan kaum masing-masing,
ketika itu juga lah media massa memainkan peranan dan isu kaum yang dibawa oleh
mana-mana tokoh politik itu akan terus sampai ke telinga masyarakat yang mana
mereka bersedia atau tidak untuk menerima isu tersebut. Masyarakat akan mula
menilainya, mengagak dan membuat kesimpulan sendiri. Atau barangkali mereka
suka bersikap sinis dan skeptikal, bahkan lebih teruk dari itu.
Damia menjelaskan, negara seperti
Indonesia didirikan dengan mendorong segala bangsa didalamnya meninggalkan
identiti asal dan harus menjadi seperti majoriti. Asimilasi konsep yang ampuh.
Namun, Indonesia sangat berjaya dalam menanam sikap kenegaraan kepada setiap
rakyatnya. Rakyat Indonesia sangat menyayangi negara dan bangsa Indonesia
mereka. Lihat sahaja kes seorang pembantu rumah Indonesia yang didera oleh
majikan yang tidak bertanggungjawab di negara Malaysia, maka bergolak lah
jalan-jalan di Jakarta, habis Jalur Gemilang kita dibakarnya.
Hari sudah pun tengah hari, Joda
agak lapar walau sudah bersarapan pagi tadi, tetapi dek kerana Damia masih
bersemangat memberi pendapat, Joda biarkan sahaja. Cadang Joda jika Azan Zuhur
kedengaran nanti barulah Joda hentikan perbincangan. Boleh makan dan solat
sebelum ke kuliah.
“Apa akan jadi kalau kita terus
mempertahankan ketuanan Melayu kita sedangkan orang Cina dan orang India serta
warga bumiputera lain juga bersama-sama mengerah tenaga dalam memajukan negara?
Bukan kah ketuanan yang dilaungkan pemimpin Melayu kita ini hanyalah gula-gula politik
mereka sahaja? Hanya meraih sokongan undi untuk mengekalkan kedudukan mereka?”
Soal
Damia kepada Joda. Joda menarik nafas dan menjawab dengan nada suara yang lebih
perlahan.
“Iya,aku akui juga ianya serba
sedikit. Tetapi Melayu masih belum bersedia untuk survive, apa akan jadi kepada
generasi seterusnya jika negara ini dapat kepada mereka? Sekarang jika kau
lihat kita semua masih ada kerja, mampu membeli tanah, kedudukan agama masih
terjaga, dek kerana pemimpin sekarang menjaga kuota ini. Apa akan jadi selepas
ini andai bukan kita yang menjaganya?” Joda sedikit emosi.
“Jadi sampai bila kita ingin
dibantu? Sampai bila Melayu hanya hidup dibantu? Bukankah memilih untuk hidup
bersama dan saling bantu membantu itu lebih banyak faedah nya? Kau tak sedar,
andai kita teruskan sikap kita hanya bersetuju dengan pemimpin sedia ada yang
sering melaungkan agar kita membantu bangsa sendiri, tetapi sebaliknya mereka
sendiri tidak dapat membela orang kebanyakan seperti kita, sedikit sangat dari
kita yang yang memperoleh faedah, selebihnya dimiliki mereka sendiri melalui
cara mereka sendiri.”
“Joda, aku bukan lah tidak sayangkan
bangsa kita. Sayangkan bangsa bukan dengan cara menafikan hak mereka yang
bersama-sama memastikan keamanan dan kemajuan di negara ini. Prinsip aku mudah.
Aku membenci sikap rasis. Tidak kira ianya datang dari kaum Melayu, Cina atau
India. Ianya harus ditentang. Andai Melayu rasis, apa faedahnya? Juga begitu
kepada Cina dan India. Iya, terkadang aku sendiri bingung memikir jalan paling
baik untuk kita pilih supaya Malaysia menjadi lebih baik di masa depan. Tetapi
dengan memaksa bangsa-bangsa lain menerima Melayu sebagai tuan tanah selamanya,
bukan cara yang terbaik untuk kita hidup aman bersama-sama.”
Azan
pun berkumandang sayu.
Joda
melihat Damia masih cuba meyakinkannya sesuatu. Namun, Damia berhenti sejenak
menghormati Azan Zuhur dan menyusun buku-buku yang diambil dengan kemas. Begitu
juga Joda, memilih untuk berfikir sejenak kepada manfaat yang akan diperoleh
oleh jiwa bangsa Malaysia yang aman dapat dibentuk tanpa bersikap skeptik
kepada ras-ras yang berbeza yang hidup disekitar kita, serta dapat menghormati
antara satu sama lain selain bebas mengamalkan adat dan agama masing-masing.
“
Diskusi mengenai isu ini harus diteruskan dan dibualkan oleh masyarakat,
jikalau kita tidak dapat menemui penyelesaian, barangkali kita dapat memilih
jalan yang terbaik. Hakikatnya, tiada apa pun yang sensitif. Perkara ini harus
perlu dibahas secara terbuka. Supaya kita tahu apa kehendak dan pandangan
sesuatu ras kepada ras yang lain. Pedulikan larangan sesetengah pihak yang
mendakwa diskusi seperti ini kononya sensitif dan boleh membawa kepada
perpecahan. Mengarut. Cukup mengarut. Hal ini sepatutnya dibualkan
bersama-sama, barulah sebarang masalah kita dapat di lihat dan dirungkai satu
persatu.” Damia menyakinkan Joda.
“Damia,
kali ini, walau tidak semua, aku telah sedikit bersetuju dengan kau. Walau aku
masih fikirkan bahawa apa yang ada kita sekarang ini, apa yang kita miliki dan
perolehi, tidak perlulah diubah. Aku sayangkan agama kita, kita perlu…..”
“Melayu
menjaga Islam atau Islam yang menjaga Melayu???!!!” Pantas kata-kata Joda
diganggu Damia. Joda sedikit terkejut.
“Kita
beruntung kerana Islam berada disini. Allah izinkan Islam dianuti oleh bangsa
Melayu. Syukur kita kerana keizinanNya memilih kita. Joda, hari ini kita
mungkin tidak nampak apa yang kita perlukan, tapi suatu hari bangsa Melayu ini
akan sedar, apa yang mereka harus lakukan. Islam memerlukan Melayu, atau Melayu
memerlukan Islam? Islam sepatutnya dihayati dengan cara yang betul. Agama
bukanlah tiket untuk kita hukum- menghukum, haram-mengharam. Dan pula, kebanyakan
kita menyalahkan keaktifan agama lain menjadi sebab kemunduran Islam. Islam
dipupuk di dalam hati setiap penganutnya. Bukan dipupuk di Jabatan Agama.”
Perlahan
Damia bangun dan memberi isyarat mengajak Joda beredar untuk ke surau. Mereka
mengemas barang dan terus bangun berjalan beriringan keluar dari bilik diskusi,
seterusnya keluar dari perpustakaan. Mereka jalan sedikit renggang menuju ke
surau. Tiba di surau Joda akan ke bahagian muslimin dan Damia akan ke bahagian
muslimat.
“Jumpa
nanti ya seusai solat.” Pesan Joda kepada Damia.
“Ok.” Damia tersenyum. Juga sedikit
menjeling nakal.
Oh, manisnya senyuman itu. Manisnya
jelingan itu. Kaki melangkah menuju ke pintu surau dan membuka kasut. Sementara
Joda beratur untuk berwuduq kerana hanya ada satu paip disediakan, Joda
terfikir kembali mengenai kedudukan Islam dan kedudukan Melayu itu bagi Joda
adalah dua perkara berbeza. Tetapi sering kali apabila kita ingin menceritakan
perihal kedudukan Melayu, kita akan menyokongnya dengan berbagai pernyataan
Islam. Sedangkan Islam, tidak perlu dan tidak langsung berkehendakkan akan apa
yang ada pada Melayu. Wuduk Joda ambil dan solat Joda dirikan. Doa Joda
panjatkan semoga diberi petunjuk dari Allah untuk terus menimba ilmu di dunia
sementara ini. Amin.
** Penulis memilih untuk menayangkan 'Setara' di atas dasar mahu dikritik dari segi bahasa, gaya penulisan, cara menyusun isi cerita, gaya penyampaian cerita melalui tulisan, adakah memenuhi konsep sebuah cerpan atau tidak? dan sebagai-nya. Penulis sangat memerlukan kritikan. 'Setara' ditulis sekitar April 2012.