Selasa, 1 Mei 2012

Cerpen: Setara

Setara
Oleh: Daud Mili (2012)

“Warna putih warna warni-nya,
Masam manis ada pahit-nya,
Andai bergaul tetap identiti-nya,
Andai dipisah tetap warna-nya"

Joda masih menunggu Damia ditempat biasa. Joda sempat menyelak Utusan Malaysia yang disediakan di atas meja makan di Medan Selera Fakulti Perubatan UiTM Shah Alam ini. Nasi lemak dan teh tarik jadi pembuka selera. Sarapan yang berat ini di ambil kerana kelaparan yang amat. Malam tadi Joda tidak berkesempatan untuk menjamah makanan, hanya memilih untuk minum air sahaja. Berita kematian seorang lelaki yang dibunuh kejam sehingga dikerat beberapa bahagian dan dimasukkan kedalam guni beras sebelum dicampak dengan hina ke sebuah sungai yang terletak di dalam ladang kelapa sawit di sekitar Jengka Pahang menjadi perhatian Joda. Joda baca dengan teliti sebelum ingatan Joda mengelamun entah kemana. Tidak terbayang akan Joda memikirkan bagaimana lelaki yang bergelar Tan Sri itu dibunuh sebegitu rupa. Berhutang atau punya musuh yang sudah lama berdendam? Dan kenapa dicampak disungai, kenapa tidak dibakar sahaja sehingga hilang buktinya? Pembunuh yang singkat keputusan barangkali.

Kepala Joda sedikit sakit. Barangkali otak terlalu penat kerna tidak cukup tidur, terlalu leka bermain video game bersama teman sebilik malam semalam. Kerana nafsu remaja mereka yang rakuskan hiburan, mereka hanya tidur pada pukul empat pagi, dan bangun sebelum pukul enam untuk solat Subuh dan seterusnya bersiap ke kuliah yang dijadualkan pada pukul lapan setengah pagi. Dua jam tidur dinikmati malam tadi tampak gagal memberi tenaga untuk hari ini.

Dari jauh kelihatan Damia berjalan sedikit laju. Damia yang hanya memakai baju T lengan panjang berwarna hijau muda dengan seluar jeans biru muda menghampiri Joda. Beliau seorang yang kurus dan berkulit cerah, pengaruh dari ibunya yang berdarah Siam. Damia juga tidak bertudung. Setibanya Damia di meja Joda, Damia melemparkan senyuman terpaksanya, meletakkan buku yang digendongnya dengan sedikit kuat di atas meja makan. Penat lah tu agaknya. Joda bersiap memulakan perbualan.

“Kau ni kenapa?”

“Hish, geram betul aku dengan driver Taxi tadi, dah la tua, ada hati nak ngorat aku, umur dah macam bapak aku je aku tengok.”

“Itu lah, kau jual mahal sangat.”

Joda ketawa sendirian.

Damia menjeling tawaan Joda kerana baginya ia bukan bahan gurauan. Joda tahu, Damia bukan jenis yang suka diganggu sebegitu. Mungkin driver Taxi itu keterlaluan, barangkali ada sahaja ayat lucah atau ayat yang tidak menyenangkan telinga Damia. Kalau setakat mengorat, tidaklah mungkin dia marah sebegini rupa. Tambahan Damia adalah seorang yang sangat cepat melenting. Sifat yang barangkali beliau peroleh dari bapanya iaitu bekas seorang askar darat.

Dahulu Damia pernah bercinta. Dengarnya bercinta dengan lelaki yang berasal dari Johor Bahru. Mereka sama-sama menuntut ketika di MRSM Jasin, tetapi lelaki itu kini menyambung pelajaran di luar negara, dan sudah pun berkahwin disana. Anak muda yang mengambil keputusan berkahwin di luar negara ketika belajar adalah perkara biasa. Tambahan pula di negara Eropah. Damia kecewa barangkali. Begitu sangkaan lemah Joda kepada percintaan mereka.

Pesanan ringkas SMS diterima, daripada Afiq, ketua kelas mereka, beliau memberitahu kelas pagi ini dibatalkan oleh pensyarah. Joda mengeluh untuk itu, sedangkan Damia kelihatan menarik nafas lega. Mungkin kerana pagi ini Joda punya semangat untuk ke kuliah, sedang Damia tidak. Tiada mood diganggu pemandu Taxi agaknya. Ramai pelajar malas untuk memasuki kuliah, tambah-tambah lagi kuliah yang membosankan. Tetapi, wujud juga pensyarah yang malas. Menangguhkan banyak waktu kuliah kerana ada urusan-urusan lain kata mereka. Dan apabila peperiksaan semakin hampir, baru lah pensyarah yang malas ini mula melakukan kelas tambahan dan sedaya upaya melajukan sesi kuliah. Bab-bab di dalam subjek akan cuba sebaik mungkin di mampatkan dan disajikan kepada pelajar dengan begitu ringkas sekali. Ada pelajar yang masih mampu menerima cara ini dan mendapat faedah daripadanya, tetapi ada juga pelajar yang akhirnya terkeliru dan tertinggal sejauh-jauhnya.

Tidak semua pensyarah berperangai begitu. Ramai juga pensyarah yang baik. Hanya satu dua sahaja yang malas. Begitu juga dengan pelajar. Tidak juga semua pelajar itu malas.

Bagi Joda, malas bukan lah masalah yang besar. Malas hanyalah kesan terhadap persekitaran. Persekitaran yang membosankan dan tidak menarik bagi mereka. Namun wujud insan yang tidak terkesan dengan persekitaran. Insan seperti ini akan cepat menyesuaikan diri walau apa juga persekitaran yang ada. Dirinya konsisten untuk fokus terhadap objektif, seperti menuntut ilmu. Mereka akan cuba memahami walau dengan apa cara sekalipun ilmu itu disampaikan. Tetapi jenis seperti ini tidak ramai. Dan Joda juga bukan dari golongan itu.

Kelas seterusnya pukul dua petang. Banyak sungguh jam yang terluang. Joda mengajak Damia ke perpustakaan Tunku Abdul Razak untuk mencari bahan bacaan kuliah dan bahan bacaan ringan. Damia mengangguk bersetuju dan tersenyum. Manis sungguh senyuman gadis ini. Fitrah bagi seorang lelaki seperti Joda yang sangat menyukai senyuman seorang gadis. Mereka bangun lemah dan jalan perlahan beriringan menuju ke perpustakaan.

Joda mula berkawan rapat dengan Damia ketika semester satu lagi. Mereka berjumpa di gerai buku yang sama selama beberapa hari. Tak sedar rupanya mereka sekelas. Sifat ulat buku ini menemukan mereka. Walau bahan bacaan mereka terkadang punya perbezaan, namun dek kerena keterbukaan dan minat membaca yang sama membawa mereka erat dengan begitu pantas.

“Indonesia bukan contoh asimilasi yang terbaik”. Tegas Damia.

Setelah satu jam lebih jam mereka duduk di dalam perpustakaan, sedar tak sedar mereka leka berbual mengenai masa depan masyarakat Malaysia yang di penghuni oleh berbagai jenis kaum ini. Mereka memilih duduk di bilik diskusi, bilik ini bilik yang tertutup dari khalayak pembaca buku yang lain. Mempunyai cermin sisi yang membolehkan orang di luar bilik melihat kedalam bilik. Mereka memilih bilik ini kerana mereka selalu sahaja bising berdiskusi dan kadang-kadang suka berbual kosong dengan gelak tawa yang boleh menganggu orang lain.

“Seperti orang-orang tua kita selalu cakap, kita kena sayang tanah ini, jaga tanah ini, kalau tidak kaum Cina dan India akan mengambil kesempatan, dan rampas kesemua hak kita, habis lah kita, apa akan jadi pada masa depan anak-anak kita nanti? terang Joda kepada Damia.

“Faaasis…” sindir Damia.

“ Kau hanya menganggap Malaysia ini hanya milik orang Melayu? Betul kata Dr. Sulaiman pensyarah ekonomi kita, orang Melayu memang susah nak hilang semangat ini, tambahan pula orang-orang Melayu lama. Tapi bagi aku, sekarang pun kalau kita lihat, walaupun dibawah kepimpinan orang Melayu, yang kononnya menjaga kepentingan orang-orang Melayu, tetapi apa sahaja yang kaum Melayu dapat? Bukan semua orang Melayu terima kelebihan ini…”. Tambah Damia lagi.

“Kau lihat sahaja Penang. Apa sudah jadi disana? Apabila bangsa Cina dapat sesuatu, dia tak akan pulangkan balik. Kau mahu banyak lagi tempat jadi macam itu?” Joda memberi contoh.

“Hanya kerana ramai orang cina menetap disana? Lalu kau nak salahkan mereka? Kenapa Melayu tak mahu duduk disana? Dan pula, bagaimana pula dengan kawasan yang orang Melayu sudah kuasai sejak dahulu, ada sesiapa yang mempertikaikan? Tiada bukan?... Apa yang orang Melayu mahu sebenarnya? Mahu miliki segala-galanya dengan mendesak orang mengakui kita empunya asal Malaysia ini?” soal Damia bertalu-talu.

“Sekurang-kurangnya kita masih dapat makan bukan? Dengan kuota yang kita ada, masa depan anak-anak Melayu terjamin; masih mampu melanjutkan pelajaran, penganggur-penganggur Melayu masih punya peluang mendapat pekerjaan, peniaga-peniaga Melayu pula masih punya peluang untuk dapat pinjaman perniagaan. Bukan begitu?” Soal Joda tegas.

“Makan sahaja yang kau fikir? Nak makan pun perlu disuap. Sampai bila Melayu akan dibantu?” Getis Damia.

            Damia penuh bersemangat cuba memberikan gambaran berbeza kepada apa yang berlaku di Tanah Arab. Apa yang berlaku di kalangan masyarakat Tanah Arab adalah masalah puak dan masalah mazhab di dalam beragama. Majoriti penduduk di Asia barat adalah beragama Islam. Walaupun mereka mempunyai kulit, tulisan dan bahasa yang sama, andai sekalipun tidak sama; tetapi menghampiri antara satu sama yang lain, mereka tetap di ganggu dengan masalah perbezaan iaitu perbezaan keturunan atau puak, dan juga perbezaan mazhab atau sisi pandangan yang berbeza terhadap agama yang menjadi anutan bersama iaitu Islam.

“Bagaimana masyarakat kulit putih Amerika Syarikat akhirnya bersedia menerima Obama yang berkulit hitam mengungguli kerusi paling penting di negara mereka dan di dunia,  iaitu sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2009? Ini kerana mereka akhirnya sudah bersedia. Bersedia untuk hidup aman bersama-sama. Walaupun Amerika sebenarnya memerlukan lebih dari seratus tahun untuk sama-sama merasakan kenikmatan hidup setelah mengharungi pelbagai ranjau masalah perkauman diantara masyarakat kulit putih dan kulit hitam yang hidup disana”. Terang Damia dengan teliti.

Apabila di tanya kepada rakyat Amerika;

“ Who are you?”

Jawab mereka,

“Im American.”

Tidak kira mereka berkulit putih atau berkulit hitam. Ada juga nenek moyang mereka yang berasal dari Eropah, timur tengah atau dari negara matahari terbit. Generasi baru ini amat berbangga menjadi bangsa Amerika. Mereka lahir dan membesar di Amerika. Walau mereka bebas mengamalkan budaya masing-masing.

            Bukan lah mahu menganggap Amerika telah berjaya keluar dalam masalah perbezaan ras ini. Tetapi sekurang-kurangnya mereka telah pun melalui masa-masa yang sukar suatu masa dahulu dan sentiasa belajar memperbaikinya untuk mencipta masa depan Amerika yang lebih baik.

            “Bangga sungguh kau dengan Amerika yang banyak kejahatan itu ya?” Sinis Joda.
           
            “Benci ku akan sikap mereka terhadap dunia dan negara Islam tidak akan berubah, Cuma aku melihat ada baiknya andai cara mereka menyelesaikan masalah perkauman disana boleh diguna pakai disini. Kau tidak boleh menolak mentah-mentah idea kepimpinan Amerika hanya kerana beberapa sikap buruk mereka terhadap orang Islam seperti kita.” Tegas Damia.

            Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lazimnya telah lama hidup bersama. Dewasa ini, masalah perkauman di Malaysia selalunya terkait rapat dengan pegangan politik kepartian. Andai seseorang tokoh politik sesuatu parti itu berbicara mengenai masa depan kaum masing-masing, ketika itu juga lah media massa memainkan peranan dan isu kaum yang dibawa oleh mana-mana tokoh politik itu akan terus sampai ke telinga masyarakat yang mana mereka bersedia atau tidak untuk menerima isu tersebut. Masyarakat akan mula menilainya, mengagak dan membuat kesimpulan sendiri. Atau barangkali mereka suka bersikap sinis dan skeptikal, bahkan lebih teruk dari itu.

            Damia menjelaskan, negara seperti Indonesia didirikan dengan mendorong segala bangsa didalamnya meninggalkan identiti asal dan harus menjadi seperti majoriti. Asimilasi konsep yang ampuh. Namun, Indonesia sangat berjaya dalam menanam sikap kenegaraan kepada setiap rakyatnya. Rakyat Indonesia sangat menyayangi negara dan bangsa Indonesia mereka. Lihat sahaja kes seorang pembantu rumah Indonesia yang didera oleh majikan yang tidak bertanggungjawab di negara Malaysia, maka bergolak lah jalan-jalan di Jakarta, habis Jalur Gemilang kita dibakarnya.

            Hari sudah pun tengah hari, Joda agak lapar walau sudah bersarapan pagi tadi, tetapi dek kerana Damia masih bersemangat memberi pendapat, Joda biarkan sahaja. Cadang Joda jika Azan Zuhur kedengaran nanti barulah Joda hentikan perbincangan. Boleh makan dan solat sebelum ke kuliah.
           
            “Apa akan jadi kalau kita terus mempertahankan ketuanan Melayu kita sedangkan orang Cina dan orang India serta warga bumiputera lain juga bersama-sama mengerah tenaga dalam memajukan negara? Bukan kah ketuanan yang dilaungkan pemimpin Melayu kita ini hanyalah gula-gula politik mereka sahaja? Hanya meraih sokongan undi untuk mengekalkan kedudukan mereka?”

Soal Damia kepada Joda. Joda menarik nafas dan menjawab dengan nada suara yang lebih perlahan.

            “Iya,aku akui juga ianya serba sedikit. Tetapi Melayu masih belum bersedia untuk survive, apa akan jadi kepada generasi seterusnya jika negara ini dapat kepada mereka? Sekarang jika kau lihat kita semua masih ada kerja, mampu membeli tanah, kedudukan agama masih terjaga, dek kerana pemimpin sekarang menjaga kuota ini. Apa akan jadi selepas ini andai bukan kita yang menjaganya?” Joda sedikit emosi.

            “Jadi sampai bila kita ingin dibantu? Sampai bila Melayu hanya hidup dibantu? Bukankah memilih untuk hidup bersama dan saling bantu membantu itu lebih banyak faedah nya? Kau tak sedar, andai kita teruskan sikap kita hanya bersetuju dengan pemimpin sedia ada yang sering melaungkan agar kita membantu bangsa sendiri, tetapi sebaliknya mereka sendiri tidak dapat membela orang kebanyakan seperti kita, sedikit sangat dari kita yang yang memperoleh faedah, selebihnya dimiliki mereka sendiri melalui cara mereka sendiri.”

            “Joda, aku bukan lah tidak sayangkan bangsa kita. Sayangkan bangsa bukan dengan cara menafikan hak mereka yang bersama-sama memastikan keamanan dan kemajuan di negara ini. Prinsip aku mudah. Aku membenci sikap rasis. Tidak kira ianya datang dari kaum Melayu, Cina atau India. Ianya harus ditentang. Andai Melayu rasis, apa faedahnya? Juga begitu kepada Cina dan India. Iya, terkadang aku sendiri bingung memikir jalan paling baik untuk kita pilih supaya Malaysia menjadi lebih baik di masa depan. Tetapi dengan memaksa bangsa-bangsa lain menerima Melayu sebagai tuan tanah selamanya, bukan cara yang terbaik untuk kita hidup aman bersama-sama.”

Azan pun berkumandang sayu.

Joda melihat Damia masih cuba meyakinkannya sesuatu. Namun, Damia berhenti sejenak menghormati Azan Zuhur dan menyusun buku-buku yang diambil dengan kemas. Begitu juga Joda, memilih untuk berfikir sejenak kepada manfaat yang akan diperoleh oleh jiwa bangsa Malaysia yang aman dapat dibentuk tanpa bersikap skeptik kepada ras-ras yang berbeza yang hidup disekitar kita, serta dapat menghormati antara satu sama lain selain bebas mengamalkan adat dan agama masing-masing.

“ Diskusi mengenai isu ini harus diteruskan dan dibualkan oleh masyarakat, jikalau kita tidak dapat menemui penyelesaian, barangkali kita dapat memilih jalan yang terbaik. Hakikatnya, tiada apa pun yang sensitif. Perkara ini harus perlu dibahas secara terbuka. Supaya kita tahu apa kehendak dan pandangan sesuatu ras kepada ras yang lain. Pedulikan larangan sesetengah pihak yang mendakwa diskusi seperti ini kononya sensitif dan boleh membawa kepada perpecahan. Mengarut. Cukup mengarut. Hal ini sepatutnya dibualkan bersama-sama, barulah sebarang masalah kita dapat di lihat dan dirungkai satu persatu.” Damia menyakinkan Joda.
           
“Damia, kali ini, walau tidak semua, aku telah sedikit bersetuju dengan kau. Walau aku masih fikirkan bahawa apa yang ada kita sekarang ini, apa yang kita miliki dan perolehi, tidak perlulah diubah. Aku sayangkan agama kita, kita perlu…..”

“Melayu menjaga Islam atau Islam yang menjaga Melayu???!!!” Pantas kata-kata Joda diganggu Damia. Joda sedikit terkejut.

“Kita beruntung kerana Islam berada disini. Allah izinkan Islam dianuti oleh bangsa Melayu. Syukur kita kerana keizinanNya memilih kita. Joda, hari ini kita mungkin tidak nampak apa yang kita perlukan, tapi suatu hari bangsa Melayu ini akan sedar, apa yang mereka harus lakukan. Islam memerlukan Melayu, atau Melayu memerlukan Islam? Islam sepatutnya dihayati dengan cara yang betul. Agama bukanlah tiket untuk kita hukum- menghukum, haram-mengharam. Dan pula, kebanyakan kita menyalahkan keaktifan agama lain menjadi sebab kemunduran Islam. Islam dipupuk di dalam hati setiap penganutnya. Bukan dipupuk di Jabatan Agama.”

Perlahan Damia bangun dan memberi isyarat mengajak Joda beredar untuk ke surau. Mereka mengemas barang dan terus bangun berjalan beriringan keluar dari bilik diskusi, seterusnya keluar dari perpustakaan. Mereka jalan sedikit renggang menuju ke surau. Tiba di surau Joda akan ke bahagian muslimin dan Damia akan ke bahagian muslimat.

“Jumpa nanti ya seusai solat.” Pesan Joda kepada Damia.

            “Ok.” Damia tersenyum. Juga sedikit menjeling nakal.
           
            Oh, manisnya senyuman itu. Manisnya jelingan itu. Kaki melangkah menuju ke pintu surau dan membuka kasut. Sementara Joda beratur untuk berwuduq kerana hanya ada satu paip disediakan, Joda terfikir kembali mengenai kedudukan Islam dan kedudukan Melayu itu bagi Joda adalah dua perkara berbeza. Tetapi sering kali apabila kita ingin menceritakan perihal kedudukan Melayu, kita akan menyokongnya dengan berbagai pernyataan Islam. Sedangkan Islam, tidak perlu dan tidak langsung berkehendakkan akan apa yang ada pada Melayu. Wuduk Joda ambil dan solat Joda dirikan. Doa Joda panjatkan semoga diberi petunjuk dari Allah untuk terus menimba ilmu di dunia sementara ini. Amin.


** Penulis memilih untuk menayangkan 'Setara' di atas dasar mahu dikritik dari segi bahasa, gaya penulisan, cara menyusun isi cerita, gaya penyampaian cerita melalui tulisan, adakah memenuhi konsep sebuah cerpan atau tidak? dan sebagai-nya. Penulis sangat memerlukan kritikan. 'Setara' ditulis sekitar April 2012.



1 ulasan:

wan mohd basyir berkata...

alhamdulillah......

plot cerita yang tersusun dan intipati cerita yang juga menarik....

penggayaan bahasa mungkin perlu lebih baik dangan kosa kata serta kajian yang lebih terhadap isu dalam cerita...

keep it up bro!!